Truyen3h.Co

Dalam Rintis Hujan

BAB 2

karyaseni2u

"Assalamualaikum, Kak Aya," ucap Raudhah, sambil menepuk bahu Suraiya dari belakang.

"Oi mak kau! Mak aku!" latah Suraiya yang terloncat sewaktu ditepuk. Dia mengusap-usap dada dengan tapak tangan sambil cuba memujuk hatinya bertenang.

Raudhah menahan tawa.

"Lemah semangat aku! Si Raudhah ni! Masuk senyap-senyap. Lain kali bagilah salam!" cetusnya.

"Bagi salamlah tadi tu, kak," balas Raudhah sambil menguntum senyuman. Wahyu yang mula merengek dienjut-enjut sedikit.

"Waalaikumussalam," balas Suraiya, baru menyedari kesilapannya. Memang teman sekerjanya itu ada memberi salam. Cuma dia yang terkejut kerana terlalu asyik bekerja sampaikan tidak perasan ada orang lain masuk ke dapur.

"Dah seminggu kau tak datang, naik gila aku dalam dapur ni seorang. Puan Fauziah cerewet. Itu tak kena, ini tak kena. Itu tak sedap, ini tak sedap. Nak kena air tangan kau juga," rungutnya sambil melayanglayangkan senduk di tangannya dengan air muka geram. Sempat Raudhah mengelak sewaktu layangan senduk itu lalu hampir dengan mukanya.

Raudhah tersenyum lagi. Dia selalunya hanya mendengar saja kalau Suraiya merungut. Mulutnya tidak petah menokok tambah untuk mewarnai lagi ceritera Suraiya. Kalau baik ceritanya, Raudhah akan menyimpan. Kalau buruk ceritanya, Raudhah akan mendengar acuh tak acuh. Bak kata orang, masuk telinga kanan dan keluar semula dari telinga kiri. Hidup ini terlalu pendek untuk dibazirkan dengan memikirkan sesuatu yang negatif dan membiarkan aura itu mengganggu emosinya sepanjang hari.

"Pagi semalam, Rumah Perlindungan Bonda yang pengetua dia rapat dengan Puan Fauziah tu hantar seorang bayi ke sini. Dengar kata, mak dia mati semasa beranak. Anak tak sah taraf. Seluruh ahli keluarga tak nak ambil, bela. Budak tu tak mahu menyusu, Raudhah..." cerita Suraiya.

"Tak nak menyusu, habis macam mana?" soal Raudhah.

"Itulah... Puan Fauziah dah tukar susu beberapa kali. Susu soya dan susu kambing pun dah cuba. Minum adalah sikit. Lepas tu, tak mahu jugak. Asyik teriak. Pagi ni, Kak Aiya nampak macam dah lembik budak tu. Puan Fauziah cakap nak bawa ke hospital. Takut ada sakit lain," cerita Suraiya.

Ada kerut-kerut risau yang bertapak di dahinya. Siapa yang tidak kasihan melihat bayi yang masih merah berteriak sepanjang malam? Bayi itu tak berselera pula apabila ditawarkan susu. Pelbagai ikhtiar telah diambil mereka. Namun, hasilnya masih menghampakan. Bayi itu hanya mahu minum sedikit. Itupun apabila dipaksa menggunakan sudu kecil.

"Hah, Raudhah! Dah sampai kamu," tegur Fauziah yang baru masuk ke dapur. Dia kelihatan sudah bersiap-siap hendak keluar semula sambil menjinjing beg dan menggenggam kunci keretanya.

"Puan," tegur Raudhah dengan penuh hormat, menyalami tangan majikannya yang juga pengetua di rumah kebajikan yang menempatkan 40 orang anak-anak yatim dan asnaf, lima orang penjaga dan dua orang tukang masak itu.

"Saya nak kena bawa bayi baru kita ni ke hospital. Pastikan Si Affan makan, ya. Dia demam, ada dalam bilik, tak turun ke bawah," luah Fauziah, meninggalkan pesan sebelum memandang salah seorang pekerjanya, Madihah sedang mendukung bayi yang sedang dibedung dengan kain lampin.

"Puan..." panggil Raudhah dalam keadaan serba salah. Entah mengapa, hatinya rasa tersentuh sewaktu rupa bayi yang lemah dalam pelukan Madihah menikam pandangan matanya.

"Ya?" luah Fauziah.

Raudhah menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan-lahan. Berdosakah dia kalau dia menawarkan diri menyusukan bayi itu tanpa izin Auzir? Namun, dia tahu setulus mana hati suaminya. Auzir takkan menghalang andai dia mahu berbudi. Mungkin suaminya itu tidak kaya dengan harta benda tetapi kemiskinan mereka tidak pernah menghalang Auzir untuk bersedekah. Hati suaminya lebih kaya daripada dompetnya.

"Puan, saya ada susu lagi. Boleh saya cuba susukan bayi ni, puan?" soal Raudhah.

"Naimah dah cuba juga semalam. Kan dia juga masih menyusu anak dia. Tapi, anak ni tak mahu minum juga, Raudhah," ungkit Fauziah. Pekerjanya yang seorang lagi, Naimah turut menawarkan diri. Tetapi, bayi yang masih merah itu masih tetap juga tak mahu minum susunya.

"Tak apalah, puan. Bagi sajalah Si Raudhah cuba pula. Manalah tahu kalau serasi," pujuk Suraiya pula.

Raudhah mengangguk.

Fauziah mengeluh sambil memerhatikan muka jam tangannya. Kalau apa-apa menimpa bayi itu, ia akan mengundang masalah kepada rumah kebajikan mereka. Sungguhpun mereka tidak ada melakukan apa-apa kekejaman ke atas anak-anak di bawah jagaan mereka, Fauziah risau kalau-kalau timbul masalah kecil yang akan diperbesarkan pihak media.

"Cubalah," suruh Fauziah dalam keadaan serba salah.

Suraiya mengesat tangannya yang basah dengan apron dan mengambil Wahyu yang sedang tidur dalam kain batik yang Raudhah ikatkan rapat ke dadanya. Dia mendukung Wahyu dulu, memberikan Raudhah ruang untuk mengambil bayi yang berada dalam pelukan Madihah. Raudhah bersila di atas tikar kecil di sebelah kabinet. Dia memusingkan tubuh, menghadap dinding.

Perlahan-lahan Raudhah merapatkan bayi tadi ke tubuhnya. Bayi merah itu membuka mata sedikit sewaktu tapak tangan Raudhah menyapa ubun-ubunnya. Baju yang tersarung di tubuh diangkat sedikit dan mulut bayi itu disuapkan dengan puting susunya. Lahap si kecil itu meneguk susu Raudhah, menghilangkan haus sampaikan mengeluarkan bunyi kuat.

Fauziah dan Madihah saling berpandangan,

terkejut.

"Alhamdulillah," ucap Suraiya sambil menguntum senyuman.

Suraiya menghampiri Raudhah. Bayi bermata bulat itu dilihatnya sedang memandang tepat ke mata Raudhah tanpa mengelipkan mata. Jauh di sudut hati kecilnya, dia tahu anak semuda itu belum dapat merakam jelas imej di depannya. Pandangan bayi yang sedang di pangku Raudhah masih samar. Namun, cara tenungan bayi itu yang memaku pada muka Raudhah seolah-olah dia percaya wanita itu adalah ibu kandungnya membuahkan rasa kagum dalam diri Suraiya.

"Tak payah bawa ke hospital ke macam mana, puan?" soal Madihah.

Fauziah mengangguk. Dia melabuhkan punggung di sebelah Raudhah. Tangannya diletakkan ke atas bahu Raudhah, melihat bayi yang merengek dan tak mahu minum susu itu akhirnya tertewas di tangan pekerjanya. Ada hikmah Raudhah kembali bekerja hari itu. Anak itu hadiah Allah untuknya.

"Raudhah kena makan lebih nampaknya. Air susu dah kena bahagi dua, untuk Wahyu dan si kecik ni," ucap Fauziah.

Sebaik melihat Raudhah berjaya menyusukan bayi itu, Fauziah terus menaruh harapan supaya pekerjanya sudi menjadi ibu susuan untuk ahli keluarga baru mereka itu. Semoga permintaannya dipermudahkan. Andai pertolongan yang dihulurkan Raudhah berlanjutan tiga kali atau lebih sehingga bayi itu kenyang, maka secara sah dia akan bergelar ibu susuannya.

Pandangan si kecil itu menikam bola mata Raudhah. Tiba-tiba saja dia merasakan seolah-olah baru jatuh cinta pandangan pertama. Mungkin perasaan itu hadir kerana hormon keibuan yang masih tebal dalam dirinya. Raudhah masih lagi menyusukan Wahyu ketika itu. Manakan sampaikan hati Raudhah melihat bayi kecil itu kelaparan meskipun dia bukan dari darah daging Raudhah sendiri.

Atau barangkali rasa itu timbul kerana sifat kemanusiaannya yang ada dalam dirinya. Suatu ketika dulu, Raudhah pernah menjadi anak yang ditinggalkan oleh ibunya di hadapan sebuah surau di kawasan kampung. Dia membesar dengan ihsan keluarga si penggali kubur yang datang awal ke surau untuk mengemop sebelum menjelangnya subuh. Kalau mereka tidak menjumpainya, barangkali hanya jasad kakunya yang akan tertinggal di situ. Mungkin dia takkan sempat untuk merasai nikmat hidup seperti sekarang. Raudhah merasakan dia perlu menyambung kebaikan keluarga angkatnya kepada anak kecil itu pula.

"Insya-Allah. Ada rezeki dia," ucap Raudhah. Dia mengakui kesanggupannya menjadi ibu susuan Mirza secara tidak langsung. Susunya masih banyak dan Wahyu pula sudah boleh mula menjamah makanan lain.

Wahyu mengeliat dalam dukungan Suraiya. Dia tergelak, menampakkan giginya yang hanya dua batang di sebelah rahang bawah. Kemudian dia menepuk-nepuk pula bahu Suraiya sambil mukanya tertala pada si kecil dalam pelukan ibunya, seakan-akan mengerti.

"Bayi ni dah ada nama?" soal Suraiya.

Fauziah mengangguk. "Mirza," jawabnya.

"Sedap namanya," luah Suraiya. Dia menginjut Wahyu.

"Wahyu ada adik ni. Insya-Allah, mereka akan jadi kawan baik seumur hidup, takkan gaduh-gaduh," ucap Fauziah.

Raudhah menguntum senyuman.






Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co