Truyen3h.Co

Dalam Rintis Hujan

BAB 3

karyaseni2u


"Berapa lama mak kena tidur kat pusat tu? Kenapa tak suruh orang lain jaga budak tu?" soal Hikmah.

Hikmah bebal apabila diberitahu Raudhah terpaksa menginap di rumah kebajikan tempat emaknya bekerja sekarang untuk menjaga seorang bayi yang sudah bergelar anak susuannya. Apa motif emaknya bermalam di sana? Adakah mereka akan beroleh apa-apa pulangan jika emaknya bekerja lebih masa? Bukankah gaji emak masih sama?

Auzir mengeluh sekejap. Bukan mudah untuk berhadapan dengan kedegilan anak sulungnya. Tiap kali dia berbicara dengan anaknya yang baru hendak beranjak remaja itu, dia perlu menembok dirinya dengan sabar. Kalau dia tertewas dengan emosi, mungkin tangannya bakal melekap di pipi Hikmah. Dia tak mahu mengajar anak-anaknya menggunakan kekerasan.

"Mah, Adik Mirza tu belum mahu minum susu tepung. Mak tengah ajarkan sikit-sikit. Kan ayah dah cakap, Mirza tu adik susuan Mah sekarang. Dia macam adik kandung Mah sendiri, mahram Mah," jelas Auzir.

"Tak. Dia bukan adik Mah. Mak tak beranakkan dia. Mak beranakkan Wahyu. Wahyu adik Mah. Mirza tu anak yang orang buang! Anak yang mak bapak dia tak nak!" luah Hikmah.

"Jangan biadab!" tempik Auzir. Rasa geram membintik dalam hatinya. Dia hampir-hampir hilang sabar dengan keceloparan mulut anaknya.

Hikmah terdiam.

"Ayah dah cakap banyak kali, Mah! Banyak kali! Jangan pandang hina orang! Kita ni makhluk Allah, sama saja semuanya. Pernah ke ayah ajar Mah kurang ajar selama ni?!"

Genangan air mata bertakung dalam kolam mata Hikmah. Tergamak ayah memarahinya dan melebihkan anak orang luar yang ayah baru pernah dukung sekali. Entah dari mana keturunan budak itu. Berani ayah menidakkan hak Hikmah yang merupakan anak kandung ayah dan emak kerananya.

'Satu hari nanti ayah akan menyesal! Hikmah yang bakal menjaga ayah apabila dia tua kelak. Hikmah juga yang bakal menjaga emak. Bukan anak buangan itu,' gertak hati Hikmah. Dia berjanji yang dia akan membuktikan bahawa dia lebih berhak mendapat perhatian dan kasih sayang emak dan ayah berbanding Mirza.

"Kak Mah!" panggil Fayyadh sewaktu melihat Hikmah melangkah bebal masuk ke dalam bilik.

Hikmah tidak mengendahkan adiknya.

Fayyadh mengejar kakaknya dengan patung Ultraman yang sudah tersiat sedikit warnanya kerana tercarik pada dinding sewaktu sibuk bermain.

"Kenapa Kak Mah marah? Kan mak cakap Mirza tu dah jadi adik kita," tegur Fayyadh.

ungkit Hikmah, bebal.

Otak Fayyadh sibuk memikirkan kata-kata kakaknya. Namun, susah untuk dia mencerna tuduhan keras Hikmah. Bagi Fayyadh, hidupnya tidak terkesan sekalipun emak dan ayah berbuat baik kepada orang lain ataupun tidak. Permintaannya dalam hidup mudah. Asalkan perutnya tidak kelaparan, dia reda. Asalkan ada atap teduhan di atas kepala, dia aman. Asalkan ada pakaian untuk disarungkan ke tubuh, dia selesa. Asalkan waktu bermain dengan kawan-kawannya tidak terganggu, dia seronok. Hanya itu kemahuannya. Cantaskan saja iri hati. Dia tidak pernah menyimpan cita-cita tinggi seperti Hikmah.

"Mak dah ada anak lelaki lain. Ayad tak fahamkah? Mak dah tak pedulikan Ayad. Mak dah tak sayangkan Ayad lagi. Ayad dah bukan anak lelaki tunggal mak," luah Hikmah.

Fayyadh terdiam seketika. Dia tidak terfikir soal itu. Benar kata Hikmah, dia bukan lagi satu-satunya anak lelaki emak dan ayah sejak kehadiran Mirza. Tetapi benarkah emak dan ayah akan berhenti menyayanginya hanya kerana mereka mempunyai anak lelaki yang lain?

"Habis selama ini, mak dah tak sayang Kak Mah?" soal Fayyadh bagaikan orang dungu.

Dahi Hikmah berkerut.

"Apa maksud Ayad?" soalnya.

"Sebab mak ada Wahyu, kan? Jadi, Kak Mah dah bukan satu-satunya anak perempuan mak. Jadi, maknanya mak dah tak sayang Kak Mah sejak Ayu lahir?" ungkit Fayyadh.

Hikmah terpaku.

Fayyadh melayang-layangkan patung Ultramannya sambil berangan-angan yang ia sedang terbang. Dia acuh tak acuh semasa melontarkan pertanyaan itu. Ia bukan sesuatu yang serius bagi seorang budak tidak matang sepertinya. Soalan tadi diajukan dengan pemikiran realistik tanpa menyimpan nawaitu untuk menyindir.

"Ah, itu lain!" cantas Hikmah.

"Apa yang lain?" soal Fayyadh.

Hikmah terdiam. Tajam pandangannya. Dia jadi geram dengan soalan-soalan Fayyadh. Tetapi dalam masa yang sama, soalan-soalan Fayyadh mengajak dia berfikir tentang perkara itu dengan lebih mendalam. Tetapi, Hikmah terlalu malu untuk mengakui silapnya. Rasa dengki masih bermaharajalela dalam hati. Ego Hikmah menembokkan dirinya daripada mengerti nawaitu baik emak dan ayah.

"Wahyu adik kita," jawab Hikmah.

Fayyadh meletakkan patung Ultramannya sekejap.

"Ayah cakap Mirza pun adik kita," balas Fayyadh.

Fayyadh tidak cuba mentafsir istilah adik susuan yang Auzir katakan sebelum ini. Baginya, kalau emak dan ayah mengatakan yang Mirza ialah adiknya, maka Mirza ialah adiknya. Untuk apa mempersoalkannya? Lagipun, dia sudah berjumpa dengan budak itu. Mirza comel. Sama seperti Wahyu. Bagaimana pula budak sekecil itu mampu membawa kecelakaan ke dalam keluarga mereka?

"Dahlah! Malas aku nak cakap dengan kau, Ayad!" marah Hikmah.

Fayyadh mengeluh sekali. Dia mendagu di tingkap sambil memerhatikan koridor flat yang lengang. Matanya tertuju pada rak kasut di depan rumah. Selipar kegemaran emak tidak duduk di atasnya seperti selalu. Buat seketika, rasa rindu menyeludup ke dalam hati Fayyadh. Dia mulai memikirkan kata-kata Hikmah semula.

Ya, kalau Mirza tidak ada, barangkali mak sudah pulang ketika itu. Disebabkan Mirza, mak selalu terkejarkejar. Mak hanya pulang sekejap-sekejap untuk memasak dan menyediakan kelengkapan mereka. Kemudian, mak akan bergegas ke rumah kebajikan tempat mak bekerja semula kerana bimbang kalau-kalau Mirza meragam semasa ketiadaannya.

Wahyu bertuah. Disebabkan Wahyu masih kecil, dia selalu diusung ke sana sini bersama Raudhah. Tetapi, Fayyadh selalu tertinggal. Dilema anak tengah kerapkali menghantuinya dan memaksa dia mencari perhatian yang jarangkali diperolehinya. Hikmah selalu memberontak sendiri, mencipta drama yang tidak perlu. Wahyu yang masih kecil selalu dimanja-manjakan dan beroleh perhatian walau ke mana saja dia pergi. Sedangkan Fayyadh bagaikan si halimunan.

Fayyadh memandang patung Ultraman yang menjadi teman permainannya tadi. Ia hadiah yang dibelikan ayah sebagai habuan hari jadinya yang lepas. Tak ada kek. Tiada sambutan yang mewah. Keluarganya jarang-jarang menyambut majlis hari jadi. Fayyadh juga tidak pernah mengharapkannya seperti Hikmah. Dia sudah selalu makan kek hari jadi kawan-kawannya. Tidak menyambut hari jadi adalah suatu kebiasaan baginya. Tetapi, tidak ada emak di sisi adalah suatu kejanggalan.

"Mak, Ayad rindu mak," ucap Fayyadh.

Fayyadh menjenguk keluar lagi sambil memeluk patung Ultramannya rapat ke dada. Air matanya luruh sendiri.





Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co