Bab 2
DIAM. Senyap. Aku masih lagi terkaku, dalam dunia yang tiba-tiba terasa sangat sunyi. Tiada walau secalit bunyi, melainkan...
"Aku nak hancurkan kau."
Hanya itu. Ya, hanya itu.
"Hei."
Pipiku tiba-tiba rasa disentuh. Sejuk. Perlahan-lahan, aku menggerakkan anak mata. Tepat kepada wajah itu yang sudah balik ke hadapan semula. Betul-betul setentang.
"Kau dengar tak apa aku cakap tadi?"
Mulutnya kelihatan bergerak. Menuturkan sesuatu yang aku sendiri tidak pasti sama ada aku dengar ataupun tidak. Semuanya... Semua yang ada di sekelilingku sekarang, kelihatan tidak benar. Tidak wujud. Dunia sunyi dengan dia yang berlidah kejam ini, bukan benar. Tidak sama sekali!
Ini sekadar mimpi. Ya, mimpi ngeri yang menakutkan.
Langsung, aku mengatup mata rapat-rapat. Menarik dan menghela nafas dalam-dalam, cuba menenangkan diri. Kau tengah bermimpi sekarang, Jannah. Bila kau buka mata nanti, semuanya akan hilang.
Beberapa ketika berlalu, aku membuka semula mata. Tepat bertentang dengan sepasang mata lain. Bening lagi hitam. Dan di dalamnya, aku boleh nampak. Kesinisan yang terselit.
"Kau nampak tak percaya benar. Then, let me do you a favour. Biar aku ulang sekali lagi."
Pemilik mata itu membawa muka lebih dekat. Aku sekadar pegun melihat.
"Aku."
Dia datang lebih rapat.
"Nak."
Semakin rapat.
"Hancurkan kau."
Dan berhenti beberapa inci sebelum hidung kami bersentuh. Desah nafasnya menampar mukaku. Hangat. Malangnya, itu bukan kehangatan yang menyentuh hati. Sebaliknya, itu menyedarkan aku.
Ini. Bukan. Mimpi.
Dia yang berlidah kejam ini, benar-benar wujud. Ada di hadapanku. Sedang merenung dengan mata yang seperti aku nampak sebelum ini.
Penuh kebencian.
Benar, hanya ada kebencian di situ. Bukan sedikit. Bahkan, meluap-luap!
Sedikit-sedikit, aku dapat merasai. Kelopak mataku yang bergetar, cuba menampung air jernih yang kembali bertakung. Dan bibirku yang menggeletar, cuba mengatakan sesuatu.
"Apa... Apa abang... Cakapkan ni?"
Bibir merah di hadapanku, bergerak perlahan. Membentuk senyuman herot.
"Macam yang kau dengar."
Kelopak mataku spontan terkatup, bawa bersama setitik tangisan. Tanpa sempat aku halang.
Amsyar melihat tanpa riak. Tetapi, sebelah tangannya diangkat. Hujung jarinya menyeka air mataku dan dibawa ke hadapan muka. Masih dengan bibir yang menyenget, dia kemudiannya menjilat titisan yang melekat.
"Hmmm, manis."
Dia mengangkat anak mata kepadaku.
"Aku tak pernah sangka, tangisan kau semanis ini."
Sebaik mendengar itu, setitik lagi air mataku gugur. Bibir Amsyar melebar. Jarinya ternaik lagi. Namun belum sempat sampai ke pipiku, aku lebih dahulu menepis tangan itu. Dia tampak tergamam. Tetapi, hanya untuk sesaat. Selepas itu, dia mengangkat kedua-dua belah tangan ke atas. Kening turut terjongket.
"What? Tak suka sentuhan aku? Well, in case kau dah lupa..."
Dia tiba-tiba merengkuh pinggangku. Kuat hinggakan aku terdorong ke arahnya.
"Aku ni, suami kau. Jadi aku..."
Dia mengemaskan lagi pelukan di pinggang.
"Boleh sentuh kau sesuka hati aku."
Mendengarkan itu, telingaku berdesing! Diri yang tadi terawang-awangan, tiba-tiba sahaja terasa jatuh ke bumi. Dadaku mula menyirap. Panas lagi ganas. Lebih-lebih lagi, saat melihat riak puas hati yang terpampang di muka Amsyar.
Sedikit-sedikit, aku mengecilkan mata kepadanya. Merenung tajam.
"Wow! Marah nampak?" Dia mengejek.
Aku mendengus dan menolak dadanya kuat-kuat. Mungkin tidak menduga tindakan itu, pegangan Amsyar terlepas. Terus, aku bangkit dari ribaannya dan cepat-cepat berundur jauh. Sebelum sempat dia mencapaiku lagi.
Namun, aku silap perkiraan. Dia tidak pun mencuba untuk mencapaiku semula. Sebaliknya, dia kembali kepada posisi sebelum ini. Bersandar dengan muka selambanya ke sofa.
"Tadi sedih. Sekarang, marah pula? Menarik." Dia membuat komen.
Aku mengetap bibir. Seluruh tubuh terasa menggeletar, dipam-pam perasaan yang aku sendiri tidak tahu apa. Bercampur baur semuanya, membuat aku cuma mampu...
Mengepal tangan sedikit demi sedikit.
Antara cuba mengawal emosi dan cuba memahami apa yang sedang berlaku sekarang.
"Biar Ana cuba faham sekarang." Aku bertutur. Telingaku dapat mendengar betapa bergetarnya suara yang baru aku pantulkan sebentar tadi.
"Abang kahwin dengan Ana sebab... Sebab..."
Oh, Tuhan! Aku tidak sanggup menyebutnya.
"Ya, aku nak hancurkan kau. Berapa kali lagi aku nak kena ulang, baru kau akan faham?"
"Memang Ana tak faham!" Suaraku ternaik tinggi. Dia yang masih tenang di hujung sana, aku tatap dalam-dalam. Di sebalik mata yang berkaca-kaca.
"Kenapa? Apa salah Ana? Apa yang Ana dah buat pada abang?" Kali ini, aku mengendurkan suara.
"Kau?"
Amsyar menggeleng kepala.
"Kau tak ada buat apa-apa."
"Habis tu, kenapa?"
"Kalau aku beritahu awal-awal, tak seronoklah, kan?"
Hampir melopong mulutku saat mendengar jawapan itu. Enak sungguh dia bercakap. Sedangkan aku yang mendengar, hatiku... Jiwaku... Ragaku saat ini terasa sakit. Sangat-sangat sakit.
Kepalan di tangan, semakin dikuatkan. Cuba bertahan.
"Seronok? Abang ingat hal kahwin ni, hal main-main? Hal hati dan perasaan ni, hal untuk berseronok saja?" Terketap-ketap bibirku saat bertanya.
"Aku tak fikir macam tu. Kalau aku nak berseronok saja dengan hal hati dan perasaan kau, aku takkan rasa terseksa sepanjang kita bercinta."
Aku tersentak. Amsyar rasa terseksa sepanjang kami bercinta?
"Ops, tersilap ayat. I mean, sepanjang aku berlakon bercinta dengan kau." Amsyar membetulkan ayat dengan perkataan 'berlakon' yang sengaja ditekankan. Aku tidak peduli perilaku itu. Sebaliknya aku...
"Abang terseksa?" Hanya pedulikan itu.
Amsyar menjongket bahu.
"Ya. Terseksa. Sebab aku terpaksa berlakon. Terpaksa maniskan muka depan kau, bercakap lembut-lembut, sanggup buat apa sahaja untuk kau kononnya, padahal..."
Dia tiba-tiba mengubah riak muka. Jadi sangat dingin.
"Kalau diikutkan hati, nak saja aku cekik-cekik kau sampai mampus."
Duniaku terasa berdentum buat kali keduanya dalam masa yang singkat ini. Lututku longlai. Tidak sempat aku seimbangkan badan. Tubuh terasa menyenget ke tepi. Namun...
Ada tangan lain yang lebih dahulu menyambut.
Aku menengadah. Kepada dia yang entah bila masa meluru ke depan dan menyambutku.
"Masih terlalu awal untuk kau pengsan." Amsyar bersuara.
Aku merenung dia, sedalam-dalamnya. Dia membalas selamba. Seperti awal tadi, tiada walau secebis pun perasaan yang terpampang di wajah itu. Yang ada cuma sepasang mata hitam penuh kebencian. Yang tadi dan sekarang, mencarik-carik hatiku. Merobek-robeknya. Menghancurkannya!
"Don't... Touch... Me..." Lidahku berdesis, antara sedar tak sedar.
Kening Amsyar terjongket sejenak, sebelum...
"Ouch!" Aku mengaduh, saat punggungku jatuh menghempap lantai. Kepalaku terdongak kepada dia yang berdiri tegak. Melihatku dengan pandangan mata ke bawah. Kedua-dua belah tangan Amsyar diangkat ke udara.
"Kau yang tak nak aku sentuh kau, kan?"
Aku mengetap bibir rapat-rapat dan mencerlung tajam. Antara mahu menunjuk kuat dan mahu mengawal diri yang bila-bila masa lagi akan tersungkur dalam pedihnya hati. Sungguh, aku tidak mahu itu terjadi. Tidak di hadapan dia! Kerana aku tahu, Amsyar akan bersorak gembira. Bukankah itu yang dia mahu daripada aku?
Menyedari hakikat tersebut, mataku buat kesekian kalinya berair. Jangan menangis, Jannah. Jangan menangis!
Dalam hati, aku menempelak diri sendiri. Tetapi semakin aku mencuba kawal diri, semakin kelopak mataku bergetar. Bibir yang diketap, juga begitu.
Dapat aku rasai betapa tembok mataku hanya menanti saat sahaja untuk roboh!
"Dah, tak payah buat muka sedih kat situ. Tak laku pun." Amsyar menyergah.
Aku tersentak. Cepat-cepat, aku memusing muka ke sebelah dan mengesat setitis tangisan yang tiba-tiba jatuh. Aku mengangkat badan. Punggung terasa perit. Tetapi, aku biarkan sahaja. Apalah sangat rasa sakit itu jika dibandingkan dengan betapa sakitnya hatiku saat ini.
"Sekarang, pergi mandi."
Mukaku berderau. Mata membulat kepada dia yang baru menjatuhkan arahan.
Amsyar menyilang tangan ke dada dan menundukkan sedikit mukanya kepadaku. Jadi sama aras.
"Malam ni kan, malam perkahwinan kita. Mestilah kau kena bersih, kena wangi untuk aku," bisiknya perlahan. Tetapi, sudah cukup untuk menyusup masuk ke dalam hatiku dan memanaskannya.
Setelah apa yang dia ucapkan tadi, berani dia bercakap begitu? Kurang ajar!
Sekali lagi, aku mengepal kedua-dua tanganku. Kalau tadi, bersulam sedih. Sekarang, segala sebak yang ada itu bertukar jadi berang. Amsyar fikir kerana dia suami, dia ada hak untuk memperlekehkan maruah aku? Dan kerana aku isteri, aku akan biarkan dia perlakukan sewenang-wenangnya kepadaku? Tidak! Aku bukan perempuan yang boleh diperkotak-katikkan begitu!
Langsung, aku mengangkat kaki setapak ke hadapan. Lebih dekat, memanah ke dalam mata sinis Amsyar.
"Takkan ada malam perkahwinan antara kita berdua." Dengan gigi yang terkacip-kacip, aku membalas.
Sesudah itu, aku memusing badan. Namun baru separuh, bahu kananku terasa ditarik dari belakang. Automatik, tubuhku terpusing semula. Pada masa yang sama, muncul satu lagi tangan mencengkam bahu kiriku pula dan merengkuh kuat. Aku jadi tertarik ke hadapan dan berhenti betul-betul depan muka Amsyar.
Dahinya menerik. Rahangnya terketap-ketap. Matanya berdesis tajam.
Aku tiba-tiba berasa kerdil.
"Itu..." Dia membuka mulut. Tertahan-tahan keluar dari celah rahang tegang itu. "Aku yang tentukan."
Sebaik melontar kata, Amsyar menolak aku ke belakang. Telapak kakiku bergerak seiring, tidak sempat aku halang hingga aku akhirnya...
Pap!
Menghempap dinding bilik. Mataku terpejam sesaat. Menerima hentakan itu. Kemudian, aku membuka semula mata. Kembali bersabung dengan mata hitam Amsyar.
Dia merenung. Aku membalas. Dalam suasana yang terasa lebih hening daripada malam-malam sebelumnya. Lebih tegang. Lebih menyesakkan.
Kedua-dua belah bahuku, semakin lama terasa semakin pedih. Bahkan, aku seperti dapat merasai kuku di jari-jemari jantan Amsyar yang mula mencucuk. Wajahku sedikit-sedikit berkerunyut, menahan sakit. Namun tidak sekali pun, aku membuat bunyi. Tidak mahu Amsyar sedar, betapa dia sudah pun mula menyakitiku.
Seperti yang dia mahu itu.
"Kau memang menarik, Nurul Jannah." Amsyar memecah keheningan.
Aku tetap diam. Melawan renungan membunuhnya. Berusaha untuk tidak tergugat. Walaupun hanya Allah sahaja yang tahu, apa yang aku rasa sekarang.
"Kau masih mahu melawan, kan?"
"You know me, Amsyar Mikael. I love you. I love you so much." Suaraku bertukar serak. Hati terasa sayu. Jantung hampir pecah.
"Tapi, itu tak bermakna..." Aku berhenti sekejap dan mengubah nada suaraku. Jadi lebih keras.
"Aku akan biarkan kau buat apa sahaja yang kau nak ke atas aku."
Serentak dengan 'aku-kau' yang keluar dari mulutku sendiri, jantung yang hampir pecah itu terasa berkecai! Tidak akan bercantum lagi, menandakan aku dan Amsyar yang benar-benar sudah berkecai juga. Tidak akan ada lagi kami yang dahulu. Yang gembira, yang bahagia, yang dilamun cinta. Semuanya sudah hilang. Lenyap!
Dek lelaki di hadapanku ini. Lelaki yang kini sedang... Ketawa?
Aku mengerutkan dahi. Melihat Amsyar yang sudah melepaskan bahuku dan meledakkan tawa. Kedua-dua matanya mengecil. Tangannya menekan-nekan perut. Bunyi tawanya memenuhi ruang bilik.
Aku terpacak macam orang bodoh. Menyaksikan semuanya. Tidak mengerti apa-apa.
"Oh, Nurul Jannah... Nurul Jannah..."
Dia bercakap putus-putus, di celah sisa tawa.
"Kau memang tak faham apa yang sedang berlaku sekarang, kan?"
Aku menyilang tangan ke dada. Kepala diangkat meninggi.
"Aku faham. Sangat-sangat. Lelaki yang selama ini aku sayang, yang aku cinta separuh mati, rupa-rupanya jantan tak guna yang cuma berlakon. Yang menipu! Yang tak pernah..."
Suaraku termati sejenak.
"Tak pernah cintakan aku..." Lirih, suaraku keluar. Aku tidak mahu. Aku tidak ingin! Tetapi suara yang keluar itu, tetap jua perlahan dan lemah.
Mungkin menyedari perilaku aku, Amsyar mengulum senyum. Lebar lagi puas. Nampak gembira benar dia melihat aku yang seperti ini.
"Kau cintakan aku?"
Dia datang dekat semula, dan menundukkan muka kepadaku.
"Pergi jahanam dengan cinta kau tu."
Mukaku tersirap. Bibir kembali terketar-ketar, menandakan betapa aku terkesan dengan apa yang baru aku dengar. Lidahku jadi terkedu. Semangat mahu melawan sebentar tadi, hilang entah ke mana.
Lalu, tertinggallah aku macam perempuan tolol yang cuma mampu berdiri membiarkan diri dilayan macam sampah!
"Tapi..."
Amsyar menyambung lagi. Bibirnya herot sebelah, disusuli dengan kening yang dijongket.
Aku mula rasa tidak senang.
"Kalau kau betul-betul cintakan aku..."
Dia tiba-tiba membuka butang baju. Satu-satu. Aku membeliakkan biji mata.
"Aku boleh buat kau rasa dicintai."
Nafasku rasa tersekat. Anak mata meliar ke kiri kanan. Mahu bolos dari celah dinding. Terus, aku memusing ke kanan.
Pap!
Telapak tangan gagah terpampang depan mataku. Melekap kemas pada dinding. Aku memusing ke kiri pula.
Pap!
Satu lagi telapak tangan melekat dekat.
"Tadi..."
Suara garau itu datang mendekat. Sedikit-sedikit, aku memaling semula badan ke hadapan. Menghadap dia yang sudah rapat, memerangkap aku di dinding.
"Bukan main lagi kau menjawab. Sekarang mahu lari pula?"
"Kau... Kau jangan buat apa-apa, Amsyar." Terketar-ketar, aku menjawab.
Amsyar senyum tenang.
"Buat apa? Aku cuma jadi seorang suami sekarang. Macam yang kau nak selama ni."
Sebelah tangannya diangkat dari dinding dan dibawa ke bahuku. Menyentuh. Sepantas itu, tubuhku terkaku keras.
"Abang kan..."
Amsyar mula mengusap bahuku. Atas bawah.
"Suami sayang..."
Sangat lembut dia bertutur. Tetapi malangnya, itu cuma kelembutan penuh kesinisan. Aku bukan buta untuk nampak dan bukan tuli untuk mendengar.
"Suami tercinta."
"Cukup, Amsyar!" Aku menempelak. Mata dijegil luas-luas. Tangan turut menolak dadanya. Sangat kuat, hinggakan Amsyar jadi terundur ke belakang beberapa tapak.
"Jangan hina perasaan aku."
Amsyar melepas gelak.
"Hina? Abang tak menghina, sayang. Abang tengah menghargai perasaan sayang pada abang. Abang tengah nak tunjuk perasaan abang pula. Jadi..."
Dia kembali merapat.
"Apa kata Ana bagi kerjasama pada abang?"
Jari-jemari jantannya mencapai pergelangan tanganku. Sepantas itu, aku merentap kuat.
"Jangan kau berani sentuh aku!"
"Jangan sentuh kau?"
Sekali lagi, Amsyar tertawa.
"Kau tahu tak? Apa yang orang cakap jangan buat, itulah yang aku nak buat sangat."
Anak mata Amsyar kemudian mengecil. Dingin. Tersirat dengan seribu satu makna.
Aku menelan liur. Kaki mula melangkah ke belakang. Tidak boleh ke mana pun, memandangkan aku masih dekat dinding.
"Ja... Jangan, Amsyar..." Putus-putus, aku memohon. Mata kejap kepadanya. Berjaga-jaga melihat dia yang semakin menghampiri.
Birai bibir Amsyar menyenget, entah buat keberapa kalinya malam ini. Kemudian...
"Amsyar!"
Aku terjerit. Serentak dengan tubuh yang terangkat ke atas bahu Amsyar. Sekelip mata sahaja, dia sudah pun mengangkut dan membanting aku ke atas katil. Cepat-cepat, aku mengangkat tubuh dan menolak diri ke kepala katil. Cuba menjauhi dia yang berdiri di hujung.
"Jangan... Jangan buat kerja gila, Amsyar."
"Kerja gila? Tak. Abang cuma buat tugas abang sebagai suami."
Sebaik mengucap itu, dia datang ke katil. Aku tidak menunggu lagi. Terus merangkak ke birai. Tetapi, Amsyar lebih pantas bertindak. Pergelangan kakiku ditarik, lantas mengheret aku ke arahnya kembali. Aku menggelupur, cuba bolos. Namun, lain pula jadinya. Tubuhku dipusing rakus, menempatkan diriku betul-betul di bawah Amsyar.
Aku membeliakkan biji mata. Menatap dia yang dekat benar.
"Kau nak lari ke mana, Nurul Jannah?" Dia berbisik.
Aku tidak menjawab. Sebaliknya, aku mula menolak tubuhnya. Kuat sedaya aku. Malangnya, tubuh kekar Amsyar tidak seinci pun bergerak. Aku menguatkan lagi tenaga, berserta rontaan yang berkali-kali.
"Let me go, Amsyar! Jangan sentuh aku!!!" Juga, dengan jeritan.
Tiada apa yang berlaku. Segala rontaan dan jeritan aku tidak langsung membuahkan hasil. Tubuh Amsyar tetap kukuh separa menindih. Dari celah-celah rontaan, mataku juga sempat menangkap air mukanya.
Sinis. Puas.
Tidak semena-mena...
"Shhh..."
Tubuhku mengeras. Rontaan yang tadi beria-ia, terhenti sendiri. Sudah terpasung bawah sebelah tangannya yang kini menekup mulutku, sebelah lagi mencengkam pergelangan tanganku. Kuat memedihkan.
Mataku buntang, memandang dia yang sedikit-sedikit menurunkan muka. Sampai depan-depan, dia bergerak lagi. Membawa mulut ke tepi telingaku.
"Jangan menjerit." Suara garaunya berbunyi dekat.
Aku keras mendengar. Segenap mukaku terasa basah berpeluh.
"Kau sedar kita kat mana sekarang, kan? Kat rumah papa kesayangan kau. Dengan sanak saudara kau kat luar sana. Kalau kau jerit kuat-kuat, apa pula mereka fikir nanti?"
Mata buntangku, membulat lagi. Mengerti maksud kata-kata itu.
Amsyar menggerak kepala ke hadapanku semula. Bibirnya mengulum senyuman, yang jelas-jelas tidak sampai ke mata. Jari-jemari yang menekup mulutku, dialih. Dibawa pula ke pipi. Bermain-main dengan rambutku yang serabai, menutupi separuh muka.
"Behave sikit ya, sayang. Kalau tak, malu kita esok pagi."
Aku sekadar diam, mendengar dan menerima perlakuan Amsyar. Dia tidaklah kasar. Tetapi... Seluruh tubuhku menggeletar. Birai mataku kembali berair.
Aku takut dengan dia yang ini. Benar-benar takut.
"Please, abang..." Teragak-agak, aku buka mulut.
"Jangan... Jangan buat Ana macam ni. Ana... Ana merayu..."
Kening Amsyar ternaik sebelah.
"Abang? Ana? Dah tak ada aku-kau yang tadi?" sindirnya.
Aku buat-buat tak dengar.
"Ana merayu... Tolong lepaskan Ana... Jangan..."
Tetap juga aku merayu. Tangisan, aku biarkan bercucuran di hujung mata. Tidak lagi aku tahan. Tidak lagi aku kawal. Aku sudah tidak peduli kalau Amsyar rasa puas dapat menyakitkan aku. Yang penting sekarang...
"Jangan sentuh Ana macam ni. I'm begging you..."
Maruah yang ada ini, aku harus pertahankan. Walaupun daripada suamiku sendiri.
Amsyar merenungku dalam-dalam. Aku membalas dengan mata yang sudah pun lencun. Tolong, abang... Tolong lihat Ana baik-baik. Jangan... Jangan sakitkan Ana macam ni.
Seketika berlalu, Amsyar menghembus nafas. Terpejam sesaat mataku, menerima desahnya di muka. Kemudian, dia bangkit. Nafasku pula yang terlepas keluar. Lega.
Ragu-ragu, aku bangun. Baju dan rambut dibetulkan mana yang patut. Namun, mataku tidak sedikit pun lari daripada memandang dia. Sedang elok duduk membelakangi di birai katil.
"Sekarang..." Suaranya berkumandang. "Kau dah faham, kan?"
Aku mengerutkan dahi. Tidak faham.
"Aku lelaki dan aku suami. Kau perempuan dan kau isteri. Jadi, ingat. Apa yang aku boleh buat pada kau dan apa yang kau perlu buat untuk aku."
Amsyar tiba-tiba menoleh kepadaku. Nafasku rasa terhenti di celah kerongkong.
"Kalau aku jadi kau, aku akan lebih berhati-hati dengan apa yang aku cakap dan apa yang aku buat. Kalau tak..."
Dia tidak menyambung. Sengaja. Tidak perlu pun. Kerana aku boleh mengerti apa yang tersirat di situ.
Sesungguhnya, suami yang baru aku kahwini menjadikan tubuhku sendiri sebagai pertaruhan. Antara aku dan dia.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co