Bab 3
WAJAH dalam cermin itu, aku pandang dalam-dalam. Bermata bengkak, berbibir pucat. Bukan rupa yang aku bayangkan sebaik menikahi dia. Aku angankan pagi yang indah. Dia yang mengusik nakal, dan aku yang tersipu-sipu malu. Macam dalam drama yang kadang-kadang aku tonton dan novel cinta yang kadang-kadang aku baca. Sekarang, aku dah sedar. Itu semua cuma angan-angan jelik yang buat penonton dan pembaca hidup tidak berpijak di atas tanah.
Hakikatnya, semua keindahan itu tidak wujud. Sama seperti cintaku yang tidak pernah pun wujud. Langsung tidak ada.
"It's a lie..." Bibir dalam cermin, mula bergerak-gerak.
"It's a lie." Bergerak lagi. Lebih terketar-ketar.
"Amsyar... Dia... Dia bohong. Dia... Dia tak pernah... Dia tak pernah... Arghhh!"
Aku merengkuh rambut kuat-kuat dan mencengkamnya. Mata dipejam rapat-rapat. Bibir juga begitu. Aku kemam sekuat hati. Tidak mahu lagi mengeluarkan apa-apa yang cuma akan mencampak aku keluar dari dunia angan-anganku yang indah. Aku tidak rela menghadap hakikat sebenar. Aku tidak mahu mengingati dia yang tidak mencintai.
"Aku mahu hancurkan kau."
Dan semestinya, aku tidak mahu menyedari bahawa lelaki yang paling aku cinta itu sebenarnya cuma mahukan kehancuran aku.
Oh, Tuhan! Tolong! Tolong aku. Aku tak mahu ingat semua tu. Aku tak mahu sedar semua tu. Tolong... Tolong aku...
Sedikit-sedikit, tubuhku melorot jatuh ke bawah. Terduduk dalam keadaan melutut. Tangan yang tadi mencengkam rambut sudah dilepaskan. Kini, menampung dinding kabinet. Dahiku berlabuh di situ. Masih dengan mata yang terkatup rapat. Tetapi kali ini, bertemankan titis-titis jernih. Sepi menodai pipiku.
Bang!
Bahuku terhentak. Kepala laju terngadah dan terpusing ke belakang. Daun pintu bilik air, kelihatan bergegar. Seiring dengan bunyi hentakan dari luar. Kuat. Tidak penyabar langsung.
"Buka pintu ni, Jannah. Kau buat apa kat dalam tu?"
Aku senyap. Hanya lambat-lambat, bangkit semula. Kembali menghadap cermin dan wanita bermuka lesu.
"Kau jangan buat kerja gila dalam tu. Belum masanya lagi kau lepas daripada aku."
Aku tersenyum sinis. Ekor mataku melirik ke belakang. Pada pintu yang sudah hampir roboh. Dapat aku bayangkan rupa suamiku yang panasaran di luar sana. Bukan kerana risau isterinya terlalu lama di dalam bilik air, tetapi risau aku mati dahulu sebelum sempat dia mematikan aku.
Tiba-tiba sahaja aku rasa mahu melukakan diri. Mahu melihat reaksinya. Pasti dia akan geramkan aku. Pasti dia akan sedar bahawa aku tidak akan membiarkan dia hancurkan aku sesenang itu. Aku lebih rela hancurkan diri aku sendiri dahulu, sebelum itu berlaku.
Astaghfirullahalazim...
Cepat-cepat, aku beristighfar. Apa yang aku fikirkan ini?
"Jannah, buka pintu ni." Suara Amsyar tidak lagi sekeras tadi. Agak lembut pada pendengaranku. Tetapi, aku sudah tidak peduli dengan kelembutan itu. Sudah tidak percaya.
Lalu, aku biarkan sahaja dia di luar sana. Biar apa-apa pun yang dia buat dan apa-apa pun yang dia rasa. Aku sekadar melihat semula ke muka dalam cermin. Kemudian, membuka pili air dan melempar air ke wajah. Terasa sejuk air yang menyentuh. Sengaja aku tidak membuka pili lebih dekat ke bahagian panas. Tidak mahu suam. Tidak mahu panas. Biar kedinginan ini menenangkan aku, walaupun aku tahu. Aku tidak boleh lagi jadi tenang. Mungkin untuk selama-lamanya.
Usai berpuas hati, aku menarik nafas dalam-dalam. Tubuh dipusing. Langkah diangkat. Setapak-setapak, hingga aku akhirnya terpacak depan daun pintu bilik air. Perlahan-lahan, tanganku diangkat. Sampai ke tombol dan...
Klik.
Aku membukanya. Sepantas itu juga, daun pintu ditolak dari luar. Tersembul muka Amsyar. Aku mengangkat anak mata. Melihatnya kosong.
"Kau tak dengar aku panggil tadi?" bentaknya keras.
"Aku dengar," jawabku selamba.
"Habis tu?"
"Habis tu, apa?" soalku semula.
Amsyar diam. Matanya sedikit-sedikit mengecil. Tajam menikam ke mukaku.
Aku balas tanpa perasaan.
"Kau masih nak melawan aku, kan?" desisnya perlahan.
"Melawan?"
Aku gelak sinis.
"Manalah aku berani nak lawan lelaki macam kau, Amsyar."
Dahi Amsyar berlapis.
"Lelaki macam aku?"
Aku mendekatkan diri setapak kepadanya. Kepala didongak merenungnya. Terasa sangat tajam renunganku. Sesuatu yang tidak pernah aku buat terhadapnya sebelum ini.
"Ya..." Aku mula berdesis.
"Lelaki macam kau. Lelaki yang cuma reti gunakan tubuh isterinya untuk buat dia takut."
Senyap.
Amsyar membisu. Tetapi, dapat aku lihat pandangan matanya yang mula berubah. Bukan jadi marah. Sebaliknya jadi...
Terhibur?
Tawa Amsyar meletus keluar. Halus menampar gegendang telingaku.
"Then, I guess aku dah berjaya."
Kali ini, aku pula yang mengerutkan dahi. Dia menundukkan muka sedikit. Mata bersabung mata.
"Buat kau takut."
Mukaku berderau. Mengakui betapa benarnya itu.
"Itu belum apa-apa, Jannah. Aku belum pun mulakan rancangan aku. Masa tu..."
Bibir Amsyar tersungging sinis. Kata-katanya dimatikan begitu sahaja. Kepalanya diangkat menjauh semula.
"Masa tu apa?" Lidahku laju menyambung. Aku gigit bibir sesaat selepas itu. Ah, lidah! Kenapa tak boleh duduk diam?
"Masa tu kau akan tahu macam mana rasanya mati sebelum tiba masanya."
Sangat bersahaja rupa Amsyar saat menuturkan jawapan. Namun aku yang mendengar, tertelan liur. Apa yang aku terfikirkan tadi, juga melintas dalam benak.
Mati sebelum sempat dia mematikan aku.
Benarlah! Benar firasatku. Amsyar, suamiku... Dia mahu mematikan aku. Bukan hanya kehancuran yang dia mahu, bukan hanya kemusnahan aku. Tetapi, kematian aku yang dia benar-benar inginkan. Mungkin bukan kematian secara harfiah, tetapi dia mahu memastikan hatiku dan jiwaku mati tidak mampu bangkit semula.
Ya Allah, apa semua ini?
"So, kau nak terus terpacak depan bilik air ni? Nak jadi jaga?"
Aku tersentak. Terus tersedar diri masih berdiri betul-betul depan muka pintu. Tanpa menanti lagi, aku mengangkat langkah. Berjalan melepasi Amsyar. Namun baru dua tapak jauh, tangannya menyambar lenganku. Langkahku automatik mati.
Muka Amsyar muncul di sebelah kepala.
"Nak keluar nanti, bubuh bedak sikit kat muka. Tak pun, mekap terus." Bisikannya sampai ke tepi telinga.
Aku menjeling kepadanya.
"Takkan kau nak keluar dengan mata bengkak macam ni?"
Aku merengus dan merentap lengan. Wajahku dipusing biar menghadapnya.
"Kau peduli apa?"
Amsyar menjongket bahu. Selamba.
"Aku kena peduli. Sebab kau isteri aku. Tak naklah orang cakap aku ganas sangat, sampaikan buat kau menangis-nangis."
Mulutku melopong. Mataku membuntang.
"Siapa yang malu nanti? Kau juga, kan?" sambung Amsyar lagi. Masih dengan riak bersahaja dan anak mata yang sinis. Beberapa kali juga dia melihatku atas bawah.
Sedikit demi sedikit, darah panasku menyirap.
"Kau jangan kurang ajar, Amsyar." Terketap-ketap bibirku saat mengucap kata.
"Jadi, apa kata kau ajar aku sikit?"
Sebaik bersuara, Amsyar mengambil pergelangan tanganku. Aku mencuba bolos, tetapi dia lebih dahulu mengemaskan pegangan.
"Tangan kau ni..."
Dia mula membelai belakang telapak tanganku. Aku mula rasa mahu muntah. Sungguh tidak rela dengan sentuhan itu.
"Rasa gatal nak tampar aku, kan? So..."
Kali ini, Amsyar membawa telapak tanganku ke pipinya pula.
"Nah, tamparlah. Tampar. Aku sebagai seorang suami, izinkan isteri aku sendiri untuk tampar aku."
"Kau..."
Aku menggigit bibir. Cuba menahan sabar. Aku bukan bodoh untuk mengerti apa yang sedang dilakukan Amsyar. Dia sengaja mahu memprovokasi!
Pandangan mata Amsyar tiba-tiba berubah. Tanganku dilepaskan jatuh ke tepi.
"Tapi sekali tangan kau sentuh muka aku, sekali juga..." Dia berhenti di tengah kata.
"Apa?" Aku menyambung. Dada mula berdebar.
"Aku akan sentuh kau."
Mukaku berderau. Mata membulat memandang dia yang menggerak anak mata sedikit-sedikit ke bawah dan akhirnya sampai pada...
"Bibir kau tu nampak boleh tahan."
Spontan, aku mengangkat dua-dua belah tangan dan menekup mulut.
Amsyar tergelak. Tubuhnya dipusing semula ke arah bilik air. Namun, suaranya masih berkumandang.
"Huh, macamlah orang nak cium dia sangat."
"GOOD MORNING, sayang."
"Morning, papa." Aku membalas sambil memandang papa yang sedang melipat dan kemudiannya meletak surat khabar ke tepi. Punggungku dilabuhkan ke atas kerusi bersebelahan kiri papa.
Kepala papa terangkat sedikit. Anak matanya meliar. Aku tahu apa yang sedang dia cari.
"Amsyar mana? Kenapa tak turun sekali dengan dia?"
"Amsyar..."
Suaraku tenggelam, sebaik mak ucu datang mendekat dan menuang Milo ke dalam cawanku. Usai separa penuh, dia menjauhkan teko dan meletak semula ke tepi.
"Amsyar dalam bilik air. Kejap lagi, turunlah tu." Aku langsung menyambung kata. Dapat aku rasakan betapa acuh tak acuhnya cara aku menjawab.
"Abang rasa abang dengar nama abang tadi."
Tanganku yang baru ingin mengambil kuih, terkaku sekejap di udara. Ekor mataku melirik kepada dia yang menuruni tangga. Tidak lama kemudian, dia sudah pun terpacak di sebelahku. Sedang menarik kerusi mahu duduk.
"Baru jauh sekejap, takkanlah dah rindukan abang kut?"
Sempat dia mengucup dahiku sebelum duduk. Mataku terjegil luas.
"Kau..." Hampir sahaja suara kasarku keluar. Namun cepat-cepat, aku mengemam bibir. Lewat ekor mata, aku mengerling kepada papa. Takut-takut dia terdengar bicaraku yang tadi. Daripada gayanya, tidak. Papa sekadar diam dengan senyuman halusnya. Jelas terhibur dengan adegan mesra Amsyar tadi.
Huh, mesra konon! Padahal hakikatnya...
Aku mendekatkan kepala kepada Amsyar.
"Apa dia, sayang? Nak bisik apa ni?" Belum sempat aku buka mulut, Amsyar lebih dahulu menegur. Aku mendengus dalam hati.
"What the hell are you doing?" bisikku tertahan-tahan.
Sekejap, Amsyar mengulum senyum pada papa yang masih melihat. Kemudian, dia berpaling kepadaku dan berbisik, "Kenapa kasar sangat ni, sayang? Tak elok kasar-kasar, tau."
"Kau..."
"Kalau kau nak papa kesayangan kau kena heart attack, kau boleh terus berperangai macam ni."
Kring! Kring!
Hampir serentak, aku dan Amsyar menoleh kepada papa. Dia kulihat, sudah pun bangkit dari kerusi sambil memegang telefon bimbit. Dijauhkan dari muka dan memandang kami berdua.
"Sorry. I have to take this call. Kau orang boleh makan dulu. Tak perlu tunggu papa."
Tidak sampai seminit kemudian, papa sudah pun hilang di sebalik ruang tamu. Meninggalkan aku dan Amsyar, terkebil-kebil sendiri.
Seusai itu, aku berpusing kepada Amsyar. Tubuhnya yang tadi agak dekat, aku tolak biar jauh. Amsyar tayang muka tak bersalah.
"Apa kau nak buat?" Terus, aku menempelak dia.
"Apa?"
"Tadi." Pendek aku menjawab, mengingatkan dia kepada perbualan asal kami.
"Oh, itu..." sela Amsyar sambil menyandarkan belakang ke kerusi. Matanya melirik kepadaku.
"Hmmm, maybe aku boleh berterus terang kepada dia? Yang aku kahwin dengan anak perempuan kesayangan dia, sebab aku nak hancurkan anak dia tu. He loves you too much. Mesti dia takkan boleh terima, kan?"
Semakin aku dengar apa yang keluar dari mulut Amsyar, semakin mataku membulat.
"Jangan sentuh papa." Langsung, aku bersuara laju. Memberi amaran.
Amsyar senyum lebar yang sepatutnya menyenangkan. Sebelum kelmarin yang jahanam. Tetapi sekarang, hanya dengan melihat senyuman itu, aku jadi panas. Bercampur hiba.
Hatiku masih terasa sakit. Tanpa dapat aku halang.
"Awww, that's so sweet of you. Nak protect papa kesayangan. Tapi, macam mana kalau aku beritahu..." Amsyar meleretkan suara dan berhenti. Jelas sengaja kerana dia mula mengangkat kening.
Aku merengus dan mencelah, "Apa?"
"Semuanya bermula daripada dia."
Riak mukaku terasa berubah.
"What is that supposed to mean?"
Amsyar tidak menjawab.
"Amsyar, aku tanya ni. What is that supposed to mean?"
"Aku dah beritahu semalam, kan? Kalau aku reveal semuanya awal-awal, mana seronok. So, my dear wife..."
Dia merapatkan wajah.
"Let's just play this game, will you?" ucapnya disudahi dengan sebelah tangan mengusap rambutku.
Secepat kilat, aku menepis tangan itu. Amsyar menjauhkan tangannya semula dan menjongket bahu.
Sangat. Selamba.
Sekali lagi, aku merengus kuat-kuat. Gigi dikacip bersama suara yang tertahan-tahan keluar.
"Kau..."
"Oh, sorry! Itu panggilan dari ofis. Tengah cuti pun, orang kacau lagi." Suara papa mencelah tiba-tiba. Agak kuat dan beria-ia.
Aku dan Amsyar cepat-cepat menjauhkan diri dan menoleh ke arah ruang tamu.
Papa tercegat di situ. Bersama kening yang bertaut rapat.
"What's wrong? Kenapa ni?" soalnya seraya mengangkat kaki menghampiri kami. Setapak-setapak. Teragak-agak. Penuh curiga.
"Tak... Tak ada apa-apa..." Aku berdalih sambil menggeleng. Senyuman juga diukir, padahal terasa canggung.
"Jannah ni, papa..." Amsyar di sebelah menjawab.
Laju, aku menoleh kepadanya. Mata bulat memberi isyarat 'apa kau nak buat?'.
Amsyar buat tak tahu.
"Kenapa dengan Jannah?" Papa menyoal sebaik duduk semula di atas kerusi tadi.
"Dia tak puas hati dengan Am."
"Kenapa pula?"
"Sebab Am ada hal penting perlu diuruskan sebelum pergi honeymoon. Jadi, kami kena pindah rumah ASAP. Dia tak nak. Katanya, tak nak tinggalkan papa cepat sangat."
Mulutku melorot jatuh ke bawah. Amboi, pandai sungguh dia buat skrip!
"Ya Allah! Awak tu dah berlaki, Jannah. Mana boleh menempel dengan papa lagi."
"Mana ada..."
"Haaa, tak nak mengaku pula. Tadi bukan main lagi jegil-jegil mata pada abang," sampuk Amsyar.
Terus, aku menjegil mata kepadanya.
"Haaa, tengok tu! Dia buat lagi."
Aku menggigit bibir pula. Eee, dia ni kan...
"Jannah," tegur papa. Sepatah. Tetapi, sepatah itu sudah cukup untuk buat aku berpaling kepadanya. Menghadap papa umpama orang bersalah.
Lembut, papa mengambil tanganku ke dalam genggaman. Diusap-usap. Sentuhan yang selalu menyusup ke dalam hatiku. Buat hatiku hangat. Dan sekarang buat mataku berair.
"Papa tahu Ana susah nak tinggalkan papa. Papa pun rasa macam tu. You are my daughter. My pride and my joy. My everything. Jadi, nak lepaskan Ana..."
Suara papa pecah. Jadi serak. Mataku semakin lebat bertakung.
"Pada lelaki yang tak pernah wujud pun dalam kehidupan kita sebelum ni, sangat susah. Tapi, papa juga sedar. He's the man that you love."
But he doesn't love me, papa. Aku menyambung dalam hati. Lirih.
"And now he's your husband. Lelaki yang paling berhak ke atas Ana. Bukan lagi papa tau, sayang. Jadi..."
Papa mengemaskan lagi genggamannya. Aku mengemam bibir ketat-ketat, menahan diri yang mahu melompat ke dalam pelukannya dan menangis kuat-kuat.
Sungguh, aku mahu menangis pada papa. Aku mahu mengadu. Aku mahu beritahu segala-galanya kepada papa. Tapi... Tapi...
"Kalau kau nak papa kesayangan kau kena heart attack..."
"He loves you too much. Mesti dia takkan boleh terima, kan?"
Aku juga tahu. Aku tak boleh buka mulut. Papa takkan boleh terima. Papa... Dia ialah ayah yang sanggup dirinya mati, asalkan anak perempuannya tidak dilukai.
"Pergilah. Ikut cakap Amsyar."
Jangan!!! Jangan biar dia bawa Ana, papa. Jangan...
Oh, Tuhan! Ingin sekali aku mengatakan itu. Malangnya, apa yang keluar dari mulutku cuma...
"Nanti Ana akan rindukan papa..."
Papa mengulum senyuman.
"Rumah kau orang bukannya jauh pun. Boleh datang hari-hari."
"Tapi, tak sama dengan duduk sekali."
"Ya Allah, budak ni! Kan memang dah setuju duduk asing."
"Ya, tapi..."
"Setakat awal few days daripada jangkaan, it's not a big deal, sayang."
Tidak, pa. Tidak. It is a big deal. Ini hal besar. Lebih cepat papa jadi jauh daripada Ana, lebih cepat Amsyar boleh sakitkan Ana di rumah tu nanti. Entah apa yang dia dah rancang, papa. Ana takut. Ana takut...
"Sayang..."
Seruan Amsyar tiba-tiba berbunyi. Serentak dengan sebelah tangannya menyentuh bahu kiriku. Ingin aku tepis, tetapi aku tahankan sahaja. Tidak mahu buat hal depan papa.
"Janganlah macam ni. Abang janji. Kita akan selalu balik ke sini."
Janji? Hujung bibirku menyenget halus. Janji secara rasminya sudah jadi perkataan yang paling aku benci.
Amsyar berjanji mencintai aku.
Amsyar berjanji menjaga aku.
Amsyar berjanji membahagiakan aku.
Tetapi, mana semua itu pergi? Pada saat dia melafazkan akad, dia sudah melempar semua janji itu jauh-jauh. Hilang entah ke mana. Lalu, tertinggallah aku sebagai seorang isteri yang mahu dihancurkan oleh suami sendiri.
"Ana, janganlah macam ni."
Mungkin menyedari reaksi senyapku, papa bertutur lagi. Aku cepat-cepat mengukir senyuman. Sekadar penyedap hati papa.
"I'm sorry. Ana tak sepatutnya macam ni, kan? Itulah. Papa manjakan sangat Ana selama ni. Tengok, dah kahwin pun, masih nak duduk bawah ketiak papa."
"Ketiak papa wangi kut," sambung papa disusuli tawa. Amsyar di sebelah turut ketawa. Jelas palsunya. Aku mengambil tindakan serupa.
Sedikit-sedikit, aku mula menyedari. Bermula saat ini, kehidupan kami akan jadi penuh kepalsuan.
Seperti tawa ini.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co