Bab 5
"APA..."
Suaraku terasa tersekat. Tidak mampu untuk keluar. Langsung, aku menarik nafas dalam-dalam. Cuba mencari suara yang hilang itu semula. Dada yang sedari tadi berkocak, sejak mendengar kata-kata itu, juga cuba ditenteramkan.
"Apa maksud you?" Dapat juga aku menyambung cakap.
"I tak maksudkan apa-apa yang pelik."
Aku membuat muka.
"Tapi you sedar, kan? Soalan you tu sangat pelik, untuk orang yang baru berjumpa macam kita."
Mata lelaki itu membulat sebentar. Dia menyengih dan mengetap bibir, hampir pada masa yang sama. Sepasang mata yang tadi bulat, jadi mengecil.
Comel!!!
Suatu sudut hatiku meneriak sendiri. Cepat-cepat, aku halau biar jangan menjerit lagi. Buat macam biasa, Jannah. Buat macam biasa. Jangan biar dia perasan apa yang kau rasa. Jangan memalukan diri sendiri.
"You are right. Kita baru jumpa. And you don't even know my name. But... Well, it's just that I'm happy to meet a fellow Malaysian. Dah lama rasanya tak cakap Melayu."
"Cakap Melayu?" Aku mengulang. Dahi berkerut.
Kali ini, giliran dia pula untuk membuat muka.
"Cik Jannah sedar, kan? Kita sekarang kat Chiang Mai. As in... Thailand?" Sebelah keningnya ternaik di hujung kata.
Spontan, aku menepuk dahi. Macam mana aku boleh terlupa? Tadi, bukan main bercakap pasal Chiang Mai dengan papa!
"Mungkin you terlupa sebab I cakap bahasa Melayu dengan you tadi?" Dia menebak.
"How do you know I'm Malaysian?" Aku menyoal. Tiba-tiba rasa curiga pula dengan lelaki yang seorang ini.
Dia senyum halus.
"Macam mana kalau kita duduk dulu sebelum borak-borak lebih lama? Kerusi ni bukan hiasan semata-mata tau," pelawanya sambil menuding jari ke arah kerusi berdekatanku. Yang aku duduki beberapa ketika lepas.
"Atau..."
Dia berhenti sekejap dan melihatku lebih tepat.
"Cik Jannah tak mahu duduk dengan I kat sini? You want to go back to your place?"
Sekilas, aku mengerling ke belakang. Pada tempat duduk aku, seawal teguran dia tadi. Juga, yang jadi tempatku sejak tiga hari lalu setiap kali aku ke kafe ini.
"So..." Dia meleretkan suara, seraya menjongket kedua-dua belah kening. Jelas mahukan jawapan daripadaku. Tidak terus aku beri. Sebaliknya, aku merenung tepat-tepat ke mukanya. Sambil cuba menimbang tara kalau-kalau aku patut duduk dengannya ataupun tidak. Dada berdebar kencang, tetapi aku tahan kuat-kuat. Bersama otak yang cuba berfikir lebih rasional. Tidak mahu terpengaruh dek hati.
Dia lelaki yang tampak baik-baik sahaja. Takkanlah dia akan buat benda-benda pelik. Kalau pun dia berniat jahat, di sini ramai orang. Pasti dia tidak akan berani. Sementelah pula, aku mahu tahu apa maksud kata-katanya tadi.
"Cik Jan..."
"Okay, fine." Belum sempat dia menegur, aku menyampuk. Kerusi di sebelah, ditarik ke belakang. Punggung dilabuhkan di situ.
Lelaki di hadapanku tampak tercengang.
"Kerusi ni bukan hiasan semata-mata." Aku mengulang cakapnya. Selamba.
Dia tergelak kecil sebelum sama-sama mengambil tempat duduk. Betul-betul berhadapan denganku. Barang-barang atas meja, dia tolak ke tepi.
"Drinks? On me. Sebagai tanda terima kasih sebab tolong jagakan barang-barang I tadi."
"Ju..." Hampir sahaja aku menjawab 'jus', namun cepat-cepat aku mengetap bibir dan mengubah jawapan.
"Nope. Thanks. I dah minum tadi."
"Sure?" Dia menyoal lagi.
Aku mengangguk beberapa kali. "Ya."
"Atau..."
Kedua-dua matanya dikecilkan kepadaku. Sekali lagi, aku disuntik rasa curiga.
"You takut I masukkan apa-apa ke dalam minuman you? After all, I'm just a stranger."
"Kalau I cakap ya, macam mana?" Aku bermain soalan. Sengaja. Tetapi terkandung di dalamnya, jawapan sebenar. Satu yang sudah aku tahu dan aku selalu dengar. Jangan sesekali terima pelawaan minuman daripada lelaki asing. Tidak kiralah betapa lelaki itu buat aku tertarik kepadanya.
Macam sekarang.
"Ouch, that's hurt. You buat I rasa macam I ni orang jahat." Dia membalas. Siap dengan sebelah telapak tangan diletak atas dada. Konon-konon sakit hati.
"Well, prevention is better than cure."
Dia senyum kecil. Entah kenapa, aku juga tidak tahu. Mungkin berpuas hati dengan jawapanku atau mungkin juga mengejek aku dalam diam.
Ah, lantaklah! Asalkan aku lebih berhati-hati.
"Okey, I faham. Kalau I perempuan, mungkin I akan ambil tindakan sama. Especially, bila I seorang sahaja, di bandar asing, dengan orang-orang yang I tak kenal."
Kata-katanya menyentak kuat.
"Macam mana you tahu I seorang saja?" Pantas, aku menyergah. Sekali lagi, dihempap curiga.
"Dah tiga hari you kat situ."
Bibirnya dijuih ke hadapan, yang mana aku tahu ditujukan kepada tempat dudukku sebelum ini.
"Depan I. Seorang diri. Minum sendiri. Makan sendiri. Sometimes on the phone. Cakap bahasa Melayu dan bercakap pasal KL. Kalau you fikir I curi dengar perbualan you, then I have to justify myself. I tak curi dengar. Tapi, suara you..."
Dia berhenti sekejap dan mengulum senyum tersirat.
"Well, let's just say... Orang di meja berdekatan you, boleh dengar. Semuanya."
Sebaik mendengar penjelasan itu, aku dapat rasa kedua-dua belah pipiku membahang. Perasaan segan meluap-luap masuk.
"So, dipendekkan cerita, itu caranya I tahu you orang Malaysia dan itu juga sebabnya I tegur you, bukan dengan bahasa Thai tadi." Dia mengakhiri penerangan dengan mata yang dibawa tepat kepadaku.
"Oh." Hanya sepatah itu yang keluar dari mulutku. Masih diselubungi rasa segan.
"Pasal soalan I tadi pula..."
Kata-katanya termati sendiri. Hilang bawah bibir yang tiba-tiba dikemam. Aku pandang dia. Menunggu sambungan. Dia menghela nafas dalam-dalam dan membetulkan tegak duduknya.
"I betul-betul tak maksudkan apa-apa yang pelik. Mungkin I silap soalan. I should rephrase that. Keluar dengan I on a date..."
Dia menggeleng-geleng kepala.
"Tak, tak. Bukan date yang... You know, date. Dating. But it's more like... Keluar as a friend. I dah tinggal sini hampir dua tahun, so I think... Mungkin I boleh tunjukkan you, tempat ni. Apa yang menarik. Apa yang tak menarik. Apa yang you patut tengok. Tempat yang you patut pergi. You know, like a tour guide. Yes, that's the exact word. Tour guide!" Laju dia bercakap. Seperti tidak menarik nafas. Sekejap rendah nada suaranya, sekejap tinggi. Kedua-dua belah tangannya juga sekejap naik ke atas, sekejap turun ke bawah.
Aku tetap menatap dia. Senyap.
"I'm being weird right now, right?" Dia menyambung kata beberapa ketika kemudian.
Spontan, aku tergelak. Teringatkan kata-kata sama yang aku pantulkan sebelum ini. Rasa curiga yang tadi menyelubungi diri, lenyap begitu sahaja.
Dia menyeringai. Jari-jemari belah kanan dibawa ke belakang leher. Menggaru-garu, walau aku yakin dia sebenarnya tidak kegatalan pun.
"Sorry, it's just that... Dah tiga hari I cuba tegur you. I cuba bercakap dengan you. Cuma hari ni, yang I ada keberanian sikit. Atau lebih tepat lagi, I sebenarnya takut terlepas peluang. Manalah tahu, esok you dah tak datang ke kafe ni lagi."
Dahiku serta-merta berkerut.
"Wait a minute. You... Cuba tegur I? Dalam tiga hari ni?" ulangku, cuba memastikan apa yang baru sahaja jadi halwa telinga.
"Ya." Dia menjawab yakin.
"So, tadi..." Aku bersuara lagi sambil cuba memahami apa yang sedang berlaku sekarang.
"That was really an urgent call. Yang I anggap sebagai tanda untuk I bangun dari kerusi ni, pergi pada you dan akhirnya bercakap dengan you," cantasnya dengan penjelasan.
Malangnya, penjelasan itu seperti tidak membuahkan hasil. Aku tetap rasa bingung. Okay, what's really going on?
"I sebenarnya bukan selalu macam ni. I biasanya tak ada masalah untuk... Well, struck a conversation with a girl. Tapi..." Suaranya meleret dan terhenti begitu sahaja. Lantas, aku menyambung.
"Tapi, apa?"
"You lain."
Aku menggaritkan kening.
"Lain? Apa yang lainnya?"
"You just..."
Dia mengukir senyuman dan menatapku tepat. Pandangan matanya kelihatan lain daripada sebelumnya. Sudah jadi...
Lunak?
"Lain. Let's just stop at that." Dia memutuskan.
"Tapi..." Aku cuba membangkang.
"Tapi, I masih tunggu jawapan you." Dia menyampuk laju.
"Jawapan apa?" Aku menyoal semula. Masih memegang watak perempuan kebingungan.
"Will you go out with me?" Dia bertanya. Bersahaja tanpa simpang-siur.
"As a friend. As a tour guide. Nothing more. Nothing less," tegasnya sesaat kemudian. Kedua-dua belah mata, bulat memandangku.
Aku tidak terus menjawab. Sekadar pegun membalas pandangan itu. Ditemani jantung yang sejak dari awal lagi, mengalunkan macam-macam bunyi.
"Cik Jannah?"
Sepasang mata itu bertambah bulat, saat menegur. Ada pengharapan di situ.
Aku boleh nampak. Tetapi aku... Seperti tadi, masih terpegun kaku. Tidak tahu apa yang perlu dikatakan. Sejujurnya, hatiku mengatakan 'ya'. Aku yakin itu. Malangnya, ada sesuatu lain dalam diriku yang seperti menegah. Lalu, mengekang lidah daripada mengucap apa-apa. Aku tidak tahu itu. Aku tidak tahu kenapa. Tetapi...
Walau sekuat mana pun hatiku meneriak 'ya', walau teruja mana pun perasaanku sekarang, sesuatu dalam diriku itu benar-benar menghalang. Umpama tembok besar lagi kukuh, dengan tulisan...
JANGAN, JANNAH. JANGAN.
Dalam-dalam, aku menghela nafas. Bibir diketap sekali, sebelum aku mengulum senyuman. Terasa sangat canggung. Sangat palsu. Sesudah itu, aku membuka mulut.
"Tadi, you betul."
"Huh?"
"You're basically a stranger. Yang I jumpa di bandar asing, dalam kalangan orang-orang yang I tak kenal."
Dengan setiap patah kataku, dahinya semakin lama semakin berkerut. Mungkin sudah dapat meneka apa yang bakal aku ucapkan.
"Jadi..." Aku sekali lagi menarik nafas. Mencari kekuatan untuk mengatakan apa yang hatiku tidak ingin.
"I'm sorry, but I have to say no," sambungku seraya bangkit dari kerusi. Mulutku masih berbicara.
"I tak boleh keluar dengan you. Be it as a friend, or as a tour guide. Or anything."
Raut wajahnya berubah. Tampak kecewa. Aku buat-buat tidak nampak.
"Tapi, Cik Jannah..."
"See? You know my name. But I don't know yours. How could I keluar dengan lelaki yang namanya pun I tak tahu?" pintasku separa tegas. Kerusi ditolak sedikit ke belakang. Sudah bersedia untuk pergi. Mahu jauh daripada lelaki yang sejak tiga hari lalu, mengucar-ngacirkan hatiku, tetapi kini aku halau dia jauh-jauh.
Tanpa menunggu reaksinya, aku mengangkat kaki.
"Then..."
Langkahku terhenti semula. Kepala terkalih sendiri. Memandang dia yang kini bangun dari kerusi. Lambat-lambat.
"Let me introduce myself."
Dia menegakkan kepala. Matanya tepat memanah ke dalam mataku.
"I'm Amsyar. Amsyar Mikael."
"AMSYAR."
Nama itu bergema memenuhi ruang bilik. Keluar dari celah bibirku yang terbaring atas hujung katil. Terbalik, rambut panjang ke bawah, menyentuh lantai. Satu tabiat yang entah sejak bila aku cipta. Gemar sekali baring terbalik serupa ini. Lebih-lebih lagi, saat aku mahu memikirkan sesuatu.
"Amsyar Mikael."
Nama itu disebut lagi.
"Cantik nama dia," getus bibirku. Tanpa sempat aku tegah. Tersedar diri, aku cepat-cepat menggeleng dan bangkit dari perbaringan. Rambut yang separa menutupi muka, aku selit ke belakang telinga. Kedua-dua belah kaki pula, dibawa ke bentuk sila. Usai duduk elok-elok, aku menengadah ke hadapan.
Terlihat pantulan diriku dalam cermin.
"Kau dah kenapa, Jannah?" Aku menyoal diri sendiri.
"Kenapa fikirkan dia? Kau cakap tak nak, kan? So, tak naklah. Kenapa ulang-ulang fikir pasal dia lagi?"
Senyap.
Tiada jawapan kepada setiap satu soalanku. Bukanlah aku mengharapkan aku dalam cermin itu menjawab. Itu menakutkan namanya. Tetapi, entahlah. Aku benar-benar buntu. Aku tidak ingin fikirkan dia lagi. Aku tidak mahu teringatkan wajah kecewanya lagi. Aku tidak rela terdengar-dengar suara perlahan itu lagi.
"I faham. I takkan paksa you. Thanks, anyway. At least you sudi duduk dengan I tadi. Sekejap pun jadilah."
Kenapa dia perlu cakap macam tu? Kenapa dia perlu buat aku rasa bersalah? Kenapa dia perlu buat aku rasa macam akulah perempuan paling jahat dalam dunia ini?
"Arghhh!!!" Aku merembat bantal di sebelah, menekup muka dan menjerit kuat-kuat. Berpuas hati, aku lempar bantal itu ke arah dinding sebelum jatuh ke atas lantai.
"You ni kan... Encik Amsyar Mikael, apa yang you dah buat pada I?" soalku di celah-celah gigi yang dikacip. Kegeraman pada dia yang mengganggu ketenteraman aku dan semestinya kegeraman kepada diri sendiri yang boleh terganggu dengan lelaki yang tidak aku kenal itu.
Aku mengeluh kuat-kuat. Sungguh, apa yang sedang berlaku kepadaku sekarang? Aku tidak pernah seperti ini. Tidak pernah berperasaan seperti ini. Tidak pernah terganggu dek seorang lelaki seperti ini. Justeru, ini apa?
Tiba-tiba sahaja aku rasa ingin menangis. Aku rasa takut. Rasa tidak berdaya. Lantas aku memejam mata ketat-ketat dan membawa telapak tangan ke dada. Ditekap kuat, merasai degupannya yang tidak pernah berhenti berkocak, semenjak pertemuan petang tadi.
"Amsyar..." getus bibirku. Perlahan, sipi-sipi menyentuh telinga sendiri.
"Amsyar..." Aku menyebut lagi.
"Amsyar..." Dan lagi.
"Amsyar..." Dan lagi sekali. Setiap kali itu, telapak tanganku dapat merasai degupan yang bertambah kencang. Jantung yang hampir pecah.
Sedikit demi sedikit, aku membuka mata. Kembali pada perempuan dalam cermin. Sedang elok membalas pandanganku. Dalam sepasang matanya, aku boleh nampak. Betapa dia sudah menyedari sesuatu.
Papa, buat pertama kalinya, anak perempuan papa sudah jatuh cinta.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co