Bab 4
Februari, 2018. Chiang Mai.
HARI ketiga.
Hari ini sudah genap hari ketiga aku di sini. Duduk di sini, minum air yang sama dan menghadap dia yang sama.
Dia.
Seperti kali pertama aku lihat, mengenakan kemeja yang melekat elok di tubuh. Tidak terlalu tegap, tidak juga kurus. Elok-elok sahaja, menggambarkan tuan empunya badan yang menjaga kesihatan diri. Seperti hari itu juga, bahagian lengan baju disingsing hingga ke siku, menampakkan urat-urat jantan yang hijau dan menimbul. Rambutnya hitam berkilat, sedikit terjongket di atas menampakkan dahi. Keningnya separa lebat dan terukir elok. Matanya...
Ah, matanya. Itu yang paling bahaya.
Bundar. Hitam pekat. Penuh misteri. Serupa lubang hitam di angkasa lepas yang boleh menarik masuk apa-apa pun yang merapat. Atau dalam kes dia, sesiapa pun yang melihat!
Aneh. Aku benar-benar aneh. Aku tidak pernah serupa ini. Aku tidak pernah tertarik untuk melihat seorang lelaki, lebih dari dua minit. Selalunya, sekilas sahaja. Tidak kira betapa kacak pun lelaki itu.
Tetapi lelaki di hadapanku ini, sepertinya ada sesuatu pada dia yang menarik aku untuk melihat kepadanya. Bukan wajah, kerana aku tahu aku pernah bertemu dengan ramai lagi jejaka yang berkali ganda lebih kacak daripadanya. Jadi, mungkin aura seriusnya saat membuat kerja?
Ya, sejak tiga hari lepas, langsung dia tidak peduli dengan orang yang lalu-lalang. Fokusnya pada kerta-kertas yang menimbun atas meja serta panggilan telefon yang sesekali dibuat dan dijawab. Terkadang-kadang, dia akan mengerutkan dahi. Sesekali, mengeluh dan menggigit bibir. Ada ketikanya, dia akan menggosok belakang leher. Tidak lupa juga, cawan demi cawan kopi hitam yang dia tempah. Yang buat aku terasa ingin menegur.
"Jangan terlalu banyak minum kopi. Tak elok untuk kesihatan."
Ah, gila! Kenapa aku perlu peduli dengan kesihatan dia? Cukup-cukuplah aku melekat lihat rupa dia saat kesibukan bekerja. Dan juga, menangkap tabiatnya yang satu itu. Selain gemarkan kopi hitam, aku perasan satu lagi yang dia selalu buat.
Memutar-mutar pen di tangan. Setiap kali dia berhenti menulis, itulah yang dia buat. Sebelah tangan membelek dokumen, sebelah lagi sibuk memutar-mutar pen.
Comel.
Tidak pernah aku rasa lelaki yang buat begitu sebagai comel, tetapi dia...
Entahlah! Apa-apa pun yang dia buat, tampak sangat menarik di mataku.
Ya Allah, Nurul Jannah! Sudah. Cukup. Jangan tenung anak teruna orang macam tu lagi!
Suatu sudut hatiku menyergah. Aku cepat-cepat menggeleng. Saat itu juga, lelaki di hadapanku tiba-tiba mengangkat pandangan mata. Tepat kepadaku.
Aku kejur. Kepala yang tadi tergeleng, tiba-tiba berhenti di sekerat jalan. Liur terasa melekat di celah kerongkong. Telapak tangan terasa berpeluh.
Dah, sudah! Kau dah kenapa? Buat macam biasa sudahlah. Jangan jadi macam budak belasan tahun yang tengah excited sebab crush dia pandang dia.
Aku sudah tidak tahu apa yang aku fikir dalam otak. Semuanya bercampur baur. Dia yang tiba-tiba bangun dari duduk, tidak membantu langsung. Malahan, buat aku rasa macam mahu lari jauh-jauh dari sini.
Setapak dia bergerak ke hadapan.
Alamak! Dia datang ke arahku.
Setapak lagi.
Jap, kenapa dia datang sini? Dia nak apa?
Setapak lagi lebih dekat.
Dia perasan aku tenung dia ke tadi?
Setapak lagi.
Apa aku nak buat ni? Aku nak cakap apa? Tenang, Jannah. Tenang...
"Excuse me."
Dia. Dah. Sampai.
"Excuse me, cik."
Suaranya berbunyi lagi. Keluar dari celah bibir merah yang berada betul-betul di hadapanku. Dalam, garau, maskulin dan... Sangat enak didengar dek telinga. Kemudian, masuk ke dalam hati.
Ya Allah! Kau dah kenapa, Jannah?!
"Errr, cik?" Lelaki itu bersuara lagi, dengan rupa yang jelas tercengang.
"Hah?" Aku tersentak.
"Cik tak apa-apa ke?" Dia menyoal. Kali ini dengan wajah yang jelas kebingungan.
"Ehem." Aku berdehem sekali, sebelum lambat-lambat bangun dari duduk. Tubuh dan kepala ditegakkan kepada dia yang masih menanti.
"I tak apa-apa. Kenapa you tanya?" Aku membalas, dengan harapan rupaku sekarang macam orang tenang tak ada apa-apa.
Dia menggaru belakang leher. Bibir tersenyum simpul. Seperti malu-malu dan tidak tahu apa mahu cakap.
Comel! Aku menjerit dalam hati. Tidak boleh menahan diri.
"Tak adalah. Tadi, cik tiba-tiba cakap..."
Dia menegakkan diri dan menyambung dengan gaya yang lain.
"Kau dah kenapa, Jannah?!"
Anak mataku membuntang. Dia... Dia baru sahaja mengajuk cara aku bercakap, kan? Jadi, maksudnya...
Mataku terpejam sesaat. Bawah bibir dikemam kuat. Kau terlepas cakap ke tadi, Jannah? Bukan menjerit dalam otak aje ke? Aduh, aduh, aduh, aduh! Macam mana kau boleh malukan diri macam ni sekali?
"So..."
Dia menundukkan kepala sedikit.
"Are you okay?"
Lembut sekali dia bertanya. Lututku terasa longlai. Mujur aku cepat-cepat pegang kepala kerusi. Kalau tak, mungkin sahaja sudah jatuh dan memalukan diri buat kali kedua.
"Yeah, I'm okay. Really okay," bohongku masih dengan gaya konon-konon tenang, yang entah berjaya entah tidak.
Dia mengukir senyuman. Sekali lagi, hatiku rasa lain macam. Cepat-cepat aku mengetap bawah bibir, mahu mengawal diri.
"Sorry kalau I terkejutkan you. Tiba-tiba datang macam ni. Tapi..."
Dia mengangkat sebelah tangan, naik ke tepi pipi. Terpegang di situ, satu telefon bimbit warna hitam.
"I need to make a call. So, if it's okay with you..."
Dia melirik ke arah mejanya tadi. Seperti selalu, bertimbun dengan macam-macam dokumen dan kertas. Di celah-celah semua itu, terdampar sebuah komputer riba separa terbuka.
"Boleh tak tolong jagakan barang-barang I? I tak boleh call kat sini, sebab agak bising." Serentak dengan itu, bunyi ketulan ais jatuh kedengaran kuat. Bersambung pula dengan bunyi mesin kopi dan jeritan barista memanggil nama pelanggan.
"Oh, okey." Hanya pendek itu yang keluar dari mulutku. Tetapi hatiku...
Biasanya okey aje dia bercakap telefon dalam keadaan macam ni.
"This one is an urgent call. Too urgent. So, kalau boleh, I tak nak ada sebarang gangguan." Dia menjelaskan tiba-tiba.
Eh, tahu-tahu pula apa yang aku fikir tadi.
"In case, you're wondering," sambungnya lagi. Disusuli dengan senyuman halus berkuasa itu.
Aku lekas-lekas mengalihkan pandangan. Tidak mahu terus tertarik kepada senyuman manis itu. Kepala pula diangguk kecil.
"No problem. I akan tolong jagakan. Take your time."
"I hope it won't take too long," balasnya seraya memusing badan mahu berlalu. Tidak sampai sesaat, dia berpaling semula kepadaku.
"Terima kasih, Cik Jannah."
Dia bersuara. Lembut menyebut namaku. Masih bertemankan senyuman simpul itu. Dan aku... Seperti tadi, serupa dipanah sesuatu. Yang kuasanya menembus masuk ke relung hatiku yang paling dalam.
"KAT kafe. Hmmm. Ya, papa. Ana jaga diri. I'm not that naive, papa. Takkanlah nak ikut lelaki macam tu aje? Ya, ya. Ana tahu. Papa cuma risaukan Ana. What? Papa nak hantar Ivy ke sini? Mana boleh, pa! Ini kali pertama papa bagi Ana buat solo travelling, takkanlah papa nak hantar orang pula? Itu dah tak jadi solo. I'm sorry. Ana bukan marahkan papa. It's just that..."
Keluhanku terluah keluar, entah buat kali ke berapa dalam masa beberapa minit ini. Telefon bimbit dialih dari telinga kanan, ke telinga kiri. Nafas dihela dalam-dalam dan dihembus kemudiannya.
"Papa." Aku menyeru. Lebih lembut. Lebih bertenang.
"Ana betul-betul okey. Ana boleh jaga diri. Trust me, will you?"
"Tapi..." Berat sekali suara papa yang kedengaran di hujung talian.
Cepat-cepat, aku menyampuk, "Ana bukan budak kecil lagi. I'm twenty-six, you know."
"You will always be my baby."
Aku tergelak.
"Papa bukan tengah bergurau, Nurul Jannah." Keras kali ini, teguran papa. Dapat aku bayangkan wajah dengan mata yang sengaja dijegil. Rupa yang selalu papa tayang, saat geramkan aku.
"Ya, Ana tahu. I will always be your baby. Forever. Tapi kan, papa..." Suaraku meleret di hujung kata. Serentak dengan anak mata yang melirik ke arah susuk lelaki di luar jendela. Sedang berjalan ulang-alik, bercakap di telefon bimbit dengan rupa yang serius.
"Apa dia?" Sergahan papa dengar tak dengar sahaja.
"Nanti sampai masanya, Ana akan jadi someone else's baby, kan?" Lidahku menyambung sendiri.
Panggilan tiba-tiba senyap. Sunyi sepi. Hatta, tidak ada bunyi desah nafas. Seolah-olah, orang di sebelah sana sedang menahan nafas.
Beberapa ketika berlalu...
"Okay, that's it! I'm going to Chiang Mai."
Aku tersentak.
"Papa!" Lidah terjerit laju. Mata terbeliak besar.
"Eh, tak boleh. Papa ada banyak urusan kat sini. It's okay, papa akan hantar Ivy."
"She's your PA, patut uruskan papa. Bukan Ana." Kelam-kabut, aku membangkang.
"PA, as in personal assistant. Apa-apa yang personal, papa boleh gunakan dia."
"Papa..." Kali ini, aku mula merengek. Mulut sudah selamat terjuih-juih geram sambil otak mula membayangkan muka Ivy muncul depan bilik hotel.
Itu. Sangat. Tak. Best.
Tidak semena-mena, bunyi ketawa papa kedengaran di hujung telinga. Aku mengerunyutkan dahi.
Papa ni dah kenapa? Tadi bukan main pesan macam-macam pada aku, siap nak datang ke sini, sekarang boleh pula dia ketawa macam langsuir? Sihat ke tak bapak aku ni? Musykil aku.
"Ana ada jumpa siapa-siapa ke kat sana?" Tidak ada angin, tidak ada ribut, itu pula yang papa tanya.
Namun, spontan sahaja aku melihat kepada lelaki di luar sana. Tersedar perbuatan sendiri, aku mengalihkan pandangan dan kembali memberi perhatian kepada perbualan telefon.
"Kenapa papa tanya?" soalku semula. Cuba kedengaran setenang dan senormal mungkin.
"Tak adalah. Sebelum ni, tak pernah-pernah pun Ana cakap macam ni."
"Saja cakap macam tu. Tak ada makna pun," jawabku bersahaja. Tetapi entah kenapa, apa yang keluar itu terasa seperti sebuah pembohongan.
"Ya ke?" Nada suara papa kedengaran sangat tidak percaya.
Aku menghela nafas dalam-dalam, menegakkan badan dan mengubah riak muka jadi lebih serius. Padahal, papa tidak ada pun di depanku. Tidak boleh nampak.
"Papa, tadi papa pesan kat Ana macam-macam. Jangan ikut lelaki. Jaga diri. Jangan keluar seorang-seorang..."
Sekejap, aku berhenti menarik nafas.
"Padahal, obviously Ana datang sini seorang aje. Ini tiba-tiba excited pula bila Ana tercakap macam tu. Tak seiring sejalan tu tau, papa."
Sekali lagi, bunyi tawa halus papa menyinggah telinga.
"Papa tahu. Tapi, papa tak pernah dengar Ana cakap macam tu. Tak pernah sebut pasal lelaki. So yeah, you can say that I'm thrilled. Rasa macam dah ada bau-bau yang papa akan dapat menantu."
"Papa!"
Entah buat kali ke berapa, aku terjerit lagi. Pipi terasa panas.
"But then..." Suara papa tiba-tiba bertukar rentak. Kedengaran keras.
Tubuhku serta-merta terkaku. Telinga terbuka luas mahu mendengar sambungan kata.
"Bukan calang-calang lelaki boleh dapat anak papa. You are my only daughter, Jannah. Papa takkan biarkan mana-mana lelaki pun, mudah-mudah rapat dengan anak papa. You know what I mean, right?"
Aku menelan liur sekali. Kepala diangguk perlahan-lahan.
"Hmmm..."
"Jadi ingat, papa dah bagi kebenaran sekali ni. Ana kena gunakan kebenaran ni betul-betul. Jaga diri. Nak pergi mana pun, telefon dan bagi tahu papa. Kalau pun Ana ada jumpa siapa-siapa kat sana, please... Always take care of yourself. Kalau tak, papa memang akan betul-betul sampai terpacak depan pintu bilik hotel Ana."
Aku mendengar semuanya dengan riak muka yang aku rasa semakin lama semakin sebal. Apa yang aku dengar... Yang sudah aku dengar beratus kali itu, aku biarkan masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
"Dengar tak ni?"
"Ya, papa. Ana dengar." Acuh tak acuh, aku membalas.
"Nurul Jannah." Panggilan papa kedengaran terlebih tegas.
Lekas-lekas, aku bersuara semula.
"Ya, papa. Ana dengar. Ana dengar sangat-sangat. Ana ingat. Papa jangan risau. Papa jangan datang ke sini, atau hantar Ivy ke sini. Tahulah Ana jaga diri." Panjang lebar aku bertutur. Laju tidak berhenti langsung dan sangat bersungguh.
"Hmmm, okey. Take care. Balik nanti, papa akan ambil kat airport."
"Pak Cik Bidin kan ada?"
"Papa akan datang ambil Ana. Sendiri," tegas papa. Sudahnya, aku cuma mampu mengeluh dalam hati dan menjawab...
"Baik, papa. Thank you."
"Hmmm..."
Usai memberi dan menjawab salam buat kali terakhir, aku mematikan panggilan telefon. Suara papa lenyap terus dari telinga, tetapi setiap satu pesanannya tetap jua berdengung dan berputar-putar tidak henti.
Aku mengeluh lagi.
Menjadi satu-satunya anak perempuan papa memang seperti ini. Sangat-sangat dilindungi, hinggakan pada tahap aku rasa aku ini dikongkong. Bayangkan, pada umur aku yang sudah dua puluh enam tahun ini, masih perlukan keizinan papa untuk ke mana-mana pun. Tidak pernah langsung aku keluar berdua dengan mana-mana lelaki, kecuali atas urusan kerja. Itu pun atas pengetahuan papa, yang mana pertemuan itu akan berakhir sebaik sahaja urusan kerja kami selesai. Kalau pun ada lelaki yang cuba mendekati aku, semuanya lari sebab papa akan selalu masuk campur.
Maka, tidak hairanlah bila aku terkejut dengan reaksi papa yang tiba-tiba gembira saat aku menyebut tentang lelaki. Kerana itu bukan papa. Sangat tidak kena dengan perangai sebenar papa. Gembira aku kenal atau dekat dengan mana-mana lelaki? Yalah tu, jauh panggang dari api!
Apa papa cakap tadi? Bau-bau menantu? Huh, macam mana aku nak bagi menantu kalau tersilap sebut macam tadi pun, dah dapat taklimat panjang lebar. Ini kalau aku bawa balik lelaki tadi ke depan mata papa, mahunya papa ceramah aku sampai bernanah anak telinga.
Eh, jauh pula aku fikir!
Aku tergelak kecil. Sedar diri sudah fikir benda-benda merapu. Kenal dia pun tidak, sudah berangan mahu bawa dia balik jumpa papa.
Aku mengangkat kepala. Bawa pandangan ke luar jendela. Lelaki itu, kulihat sudah menjatuhkan telefon bimbit ke sisi.
Kepalanya tegak ke hadapan, bersama sebelah tangan yang meraup rambut ke belakang. Sesudah itu, dia membentuk tangan yang sama itu ke dalam kepalan dan menggoyangnya di bahagian bahu. Gaya seseorang yang baru berjaya mendapatkan sesuatu. Mungkin sahaja dia sedang berbisik 'Yes', kerana bibirnya kelihatan bergerak. Sepasang matanya juga tampak lebih bersinar. Disusuli dengan bibir yang bergerak membentuk senyuman.
Di luar sedar, bibirku sendiri bergerak. Tersenyum.
Tidak semena-mena, dia menoleh. Aku tergamam. Secepat kilat, aku mematikan senyuman dan mengalih muka. Kembali kepada taburan dokumen depan mata. Menyedari diri berada di sini, aku terus bangkit. Kaki diangkat sebelah, mahu pergi. Namun...
"Cik Jannah."
Suara itu memasung pergerakan. Aku mengetap bibir sekali, sebelum lambat-lambat berpaling semula. Bersama senyuman paling canggung yang pernah aku ukir.
"Errr, ya?"
"Nak ke mana?" Dia menyoal sambil merapati, hingga akhirnya terpacak betul-betul depanku. Meja kafe menjadi pembahagi antara kami berdua.
Aku betulkan semula tegak berdiriku. Lebih menghadap dia yang sudah dekat.
"Sorry, I datang duduk kat meja you tanpa izin. I terfikir tadi, that... Errr... Maybe lebih baik kalau I duduk sini, tolong jagakan barang you. Not... Errr, duduk sana tengok dari jauh aje. You know... In case, ada orang tiba-tiba muncul duduk sini dan I tak sempat tegur dia atau... Yeah, something like that." Beria-ia aku bercakap. Sekejap terputus-putus. Sebelah tangan pula, beberapa kali menggaru belakang leher.
Oh, Tuhan! Apa kau buat ni, Jannah? Apa kau cakap ni?
Tiba-tiba sahaja aku rasa mahu lari jauh-jauh.
Lelaki itu pula, sekadar diam mendengar. Sangat teliti dengan renungan yang tidak sekali pun dialihkan daripada wajahku, lantas membuatkan aku bertambah rasa tidak keruan. Lalu, sudahnya aku...
"Errr, I'm being weird right now, right?" Itu yang aku ucapkan.
Dia tiba-tiba ketawa. Tidak kuat mana tetapi cukup untuk buat aku terkedu. Pertama, kerana aku tidak tahu apa yang kelakarnya. Kedua, kerana bunyi tawanya. Cukup untuk aku katakan bahawa bunyi itu sangat indah. Aku sendiri tidak tahu bagaimana mahu menggambarkannya. Tetapi sungguh, bunyi yang sedang menyapa telingaku sekarang...
Indah. Sangat.
"You're not being weird. You're..."
Dia bergerak ke hadapan sedikit. Kedua-dua belah telapak tangannya diletak atas meja yang menjadi sempadan antara kami berdua. Kemudian, kepalanya ditunduk dan didekatkan ke hadapan.
Aku termangu-mangu melihat.
"Being..." Dia menyambung.
Aku menanti.
"Cute."
Serta-merta, pipiku menyerbu panas.
"So cute."
Jeda.
Aku pandang dia. Dia pandang aku. Aku mengelip sekali. Dia mengelip sekali. Aku mengelip dua kali. Dia mengelip dua kali. Entah berapa lama kami berkeadaan begini, tetapi akhirnya...
"Huh?" Itu yang terpantul keluar dari bibirku.
Dia tergelak lagi seraya menjauhkan semula kepala dan mengambil beberapa keping dokumen yang bertaburan. Tanpa memandang kepadaku, dia menyusunnya satu-satu.
"Meja I ni bersepah, kan? I'm not usually like this, tapi bila buat kerja, barang-barang I selalu ended up macam ni. Dah jadi tabiat I, mungkin." Tanpa dipinta, dia mula bercerita.
Aku tegak berdiri. Tidak tahu apa yang perlu dibuat, atau apa yang patut aku cakapkan. Kata-kata comel tadi pula, tidak henti-henti terngiang-ngiang di telinga.
Comel? Aku dikatakan comel? Apa yang comel dengan perangai aku yang macam orang tak betul sekarang?
"Cik Jannah." Dia tiba-tiba menyeru. Masih dengan kepala tunduk kepada barang-barangnya. Tidak memandangku.
"Ya?" Ragu-ragu, aku menyahut.
"Mahu keluar dengan I?"
"Hah?" Jantungku umpama dihentak gempa. Mujur sekali aku tidak terjelepok jatuh ke atas lantai.
Lelaki di hadapanku, tidak berkata apa-apa lagi. Dia tenang dengan tangan yang sibuk-sibuk mengemas. Sesudah meletak komputer riba ke atas susunan kertas terakhir, dia menengadah. Berwajah tenang, persis air di kolam. Bermata hitam bening yang menikam terus ke dalam mataku sendiri. Seketika kemudian, dia bersuara. Sipi-sipi serupa sedang berbisik. Tetapi, jelasnya hingga ke gegendang telingaku.
"On a date."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co