Truyen3h.Co

DIA BUKAN SYURGA

Bab 1

karyaseni2u

Prolog

"Abang... Lepaslah! Nuha sakit!" Tangannya terkapai-kapai cuba melepaskan rambutnya yang ditarik kuat. Rasa seperti mahu terkoyak kulit kepala dibuatnya. Pekikannya langsung tidak diendahkan. Malah rambutnya itu disentap semakin kuat. Peritnya usah dikata. Bergenang air mata dibuatnya dek menahan sakit.

Tajul terus menarik rambut isterinya yang separas bahu itu tanpa belas. Diheretnya masuk hingga ke bilik. Sampai di bilik, pegangan tangannya pada rambut Nuha dilepaskan.

Baru sahaja Nuha mahu menarik nafas lega, tubuhnya pula ditolak ke belakang. Terlentang dia dibuatnya. Mujurlah dia terjatuh di atas katil. Kalau tersembam di atas lantai tadi, kalau tidak patah pinggang, mahu pecah muka dibuatnya.

"Aku dah beritahu kau banyak kali, kan? Aku tak suka kau layan lelaki lain! Kau senyum-senyum, terhegeh-hegeh tu kenapa? Dah gatal sangat? Kau lupa ke yang kau tu dah bersuami?" Tajul sudah mencekak pinggang. Nafasnya naik turun. Marahnya sudah tidak dapat dikawal lagi. Wajah Nuha sudah pucat. Bimbang memikirkan habuan yang bakal diterimanya sebentar lagi.

"Abang, maafkan Nuha, abang. Nuha janji, Nuha tak akan buat lagi," rayu Nuha bersungguh-sungguh. Tidak sanggup rasanya dia mahu membiarkan tubuhnya menerima hadiah daripada Tajul buat sekian kalinya.

"Janji? Dah berapa kali kau berjanji dengan aku, hah? Kau sengaja nak buat aku marah. Kau memang tak serik walau dah beribu kali aku larang, aku ajar kau, kan? Kau memang nak kena!" Tajul sudah memegang tali pinggang yang masih melekap di seluar panjang yang dipakainya. Mata Nuha sudah membulat. Sudah dapat diagak habuan yang bakal diterimanya sebentar lagi.

"Abang, jangan bang. Nuha merayu. Nuha tak buat salah apa pun. Tadi tu, dia cuma bertanyakan jalan. Mahu ke rumah kakaknya." Nuha cuba untuk menjelaskan keadaan sebenar. Semuanya kerana lelaki tadi. Lelaki yang bertanyakan jalan untuk ke rumah kakaknya. Nuha yang sedang mengangkat kain di jemuran terpinga-pinga apabila disapa lelaki yang memberhentikan keretanya itu secara tiba-tiba. Rupa-rupanya lelaki itu sudah tersesat, mahu ke rumah kakaknya yang terletak di taman itu juga. Cuma lorongnya sahaja yang berbeza.

Nuha tidak sedar perbuatannya itu diintip Tajul. Tajul yang memerhatikan perbualan antara Nuha dengan lelaki itu menerusi cermin tingkap sudah hangat hati. Masuk sahaja Nuha ke dalam rumah, apa lagi, mengamuklah Tajul yang sedia diketahui dengan sikap panas baran dan cemburu butanya.

Tali pinggang yang dilonggarkan Tajul tadi sudah pun berada di tangan kanannya. Mata Tajul merah merenung wajah Nuha yang ketakutan di atas katil. Sebaik sahaja tangan kanan suaminya itu diangkat tinggi, Nuha cepat-cepat memejamkan matanya.

Zap! Zap! Zap! Lolongan dan raungan Nuha langsung tidak berbekas dalam hati Tajul. Biar perempuan seperti Nuha itu tahu bagaimana untuk menjaga maruah diri. Jika tidak diajar, esok-esok pandai pula Nuha angkut lelaki masuk ke dalam rumah.

Tubuh Nuha yang semakin lemah akhirnya terkulai. Sudah tidak berdaya mahu menahan kesakitan yang dirasai tubuhnya setiap kali tali pinggang Tajul hinggap di mana-mana bahagian badannya.

"Nuha, bangun! Nuha... Bangun sayang!" Nuha membuka matanya perlahan-lahan. Dia cuba untuk menggerakkan tubuhnya, tetapi tidak berdaya. Seluruh tubuhnya terasa perit dan begitu sakit sekali. Mahu mengangkat tangan pun dia rasa tidak mampu.

"Bangun, mari makan. Abang ada belikan makanan untuk Nuha. Nuha belum makan tengah hari lagi, kan? Nuha nak makan di dapur atau mahu abang bawakan ke dalam bilik?" tanya Tajul prihatin. Mata Nuha yang sudah terbuka sepenuhnya hanya mampu terkebil-kebil memandang suami yang berlagak seolah-olah tiada apa-apa pun yang berlaku sebelum ini.

"Hei, berangan pula dia! Abang tanya tak jawab pun..." Nuha mencapai bantal, mahu dijadikan sebagai sokongan untuk dia menegakkan badan. Melihat Nuha yang kelihatan begitu susah sekali mahu bangun, Tajul cepat-cepat menerpa ke arah isterinya.

Nuha terasa mahu menjerit setiap kali tangan Tajul tersentuh bahagian tubuhnya yang terkena libasan tali pinggang. Menitik juga air mata Nuha dibuatnya. Bibir digigitnya kuat-kuat untuk menahan sakit. Jika dia menjerit, bimbang kalau-kalau angin amarah Tajul bakal datang semula. Sakitnya dia juga yang bakal menanggung.

"Sakit?" tanya Tajul. Simpati sebenarnya melihat wajah Nuha yang berkerut.

Nuha diam. Tidak tahu jawapan apa yang harus dia berikan kepada soalan Tajul itu. Bimbang mahu menjawab. Jika tersalah jawab, kelak badannya bakal merana.

"Itulah, Nuha kan dah tahu yang abang ni cepat cemburu. Abang tak suka Nuha bercakap dengan lelaki lain. Bukan sahaja bercakap, senyum pun kalau boleh abang tak benarkan. Nuha tu isteri abang, hak abang. Abang tak suka hak abang orang lain pun dapat. Senyum Nuha, kata-kata Nuha hanyalah untuk abang. Nuha pun tahukan betapa abang ni sayangkan Nuha." Tajul merenung Nuha dengan pandangan penuh kasih.

Nuha tersenyum kecil. Terpaksa sebenarnya. Memang begitulah sikap Tajul selepas puas melampiaskan marahnya. Tajul akan menjadi suami yang paling penyayang dan paling romantik yang pernah Nuha kenal.

"Abang ambilkan makanan, ya. Kita makan sama-sama dalam bilik ni. Atau Nuha mahu abang suapkan?"

"Nuha nak mandi dulu, boleh?" putus Nuha akhirnya. Sengaja jalan itu yang dipilihnya. Mahu mengelak daripada terus berhadapan dengan Tajul.

"Hurm... Boleh, sayang. Apa-apa sahaja untuk Nuha. Nak abang temankan Nuha mandi ke?" Tajul mengusik. Pantas kepala Nuha menggeleng sambil senyuman tawar bercampur paksa terukir di bibirnya.

Tajul meninggalkan Nuha selepas itu untuk menyiapkan makan tengah hari buat mereka. Dengan susah payah, Nuha bangkit dari katil dan melangkah dengan penuh hati-hati ke bilik air.

Di dalam bilik air, pancuran air dipulas paipnya sehingga habis had. Nuha terduduk di atas lantai. Kedua-dua tangan memeluk lutut. Kepalanya disembamkan di atas kedua-dua kaki yang sudah dirapatkan. Bahunya terhinggut-hinggut menahan tangis. Pedih kulit yang terluka terkena air, tidak sepedih luka dalam hatinya. Nuha merenung titisan air yang mengalir lalu hilang ke dalam saluran. Jika deritanya juga dapat dihilangkan semudah itu, alangkah baiknya. Nuha menggigit bibir yang sudah sedia terluka.

Bab 1

"Kita kahwin ya, Nuha. Saya janji akan jaga awak, lindungi awak dan sayang awak sampai bila-bila. Saya nak tua bersama awak." Nuha menarik senyum. Masa yang ditunggu-tunggu selama ini sudah tiba. Si arjuna akhirnya melamar dirinya untuk dijadikan sebagai suri hati. Sudah masuk dua tahun dia dan Tajul berkawan rapat. Memang itulah impiannya, mahu menjadi suri hati Tajul Idlan bin Hashim.

"Betul awak akan jaga saya?" Nuha menduga. Tajul senyum sebaris.

"Ya... Saya akan selimutkan hidup awak dengan asmara sehingga awak sendiri tidak tahu sama ada awak berada dalam alam realiti atau pun awak sedang bermimpi."

"Amboi, ayat! Bukan main lagi. Jangan berjanji masa belum dapat aje. Nanti bila dah dapat, awak buat tak tahu aje dekat saya ni."

"Nuha, awak pun tahu kan, macam mana saya sayangkan awak. Saya sayang awak lebih daripada segalanya. Lebih banyak daripada bintang yang ada di langit, lebih luas daripada langit yang terbentang." Tajul mula menjual kata-kata. Nuha ketawa kecil.

"Tak tahu pula saya selama ni saya bercinta dengan seorang pujangga."

"Banyak lagi tentang saya yang awak tak tahu. Tak apa, kita ada seumur hidup untuk mengenali antara satu sama lain. Kita kahwin, ya?" lamar Tajul sekali lagi. Berharap sungguh yang hajatnya tidak ditolak Nuha. Dia manalah ada calon lain selain daripada Nuha. Cuma Nuha seoranglah cinta matinya. Demi Nuha, dia sanggup lakukan apa sahaja.

"Keluarga awak dah tahu yang awak nak melamar saya ni?" Tiba-tiba rasa gementar pula hati Nuha. Keluarga Tajul pun belum pernah ditemuinya. Begitu juga dengan Tajul. Belum ada kesempatan lagi dia mahu memperkenalkan Tajul kepada keluarganya.

"Saya yang nak berkahwin, bukannya mereka." Mendatar sahaja suara Tajul. Nuha mengerutkan dahi.

"Eh, ada pula macam tu... Kita kenalah dapatkan restu keluarga sebelum berkahwin. Kahwin tanpa restu keluarga ni tak berkat kata orang."

"Yalah, yalah. Nanti saya beritahulah keluarga saya. Tapi, kalau keluarga awak tak restu hubungan kita macam mana? Awak sanggup tinggalkan saya?" Tajul mula cuak. Manalah tahu kalau-kalau keluarga Nuha itu cerewet pula dalam soal memilih menantu. Tambah-tambah Nuha itu satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Bongsu pula tu. Tentulah keluarga Nuha mahukan yang terbaik buat anak mereka. Mungkin mereka sudah ada kriteria untuk bakal suami Nuha. Mahu yang kaya, yang kacak, yang lengkap pakej serba-serbi. Dia pula sekadar serba sederhana orangnya.

"Tentang keluarga saya, awak jangan risau. Abah dan umi tak akan menolak pilihan saya," beritahu Nuha tenang.

"Yakin betul awak!"

"Mestilah. Itu kan abah dan umi saya. Saya tahulah mereka itu bagaimana orangnya. Cuma..."

"Cuma apa?" tanya Tajul sedikit tidak sabar. Perkataan cuma yang berada pada akhir ayat Nuha tadi membuatkan hatinya berdebar.

"Abang-abang saya. Awak pun tahulah, saya ni kan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Bongsu pula tu. Abang-abang saya yang bertiga tu mesti akan interview awak macam-macam nanti."

"Oh, saya ingatkan apalah tadi. Tak apa, saya akan prepare diri saya betul-betul. Biar abang-abang awak tu kagum dengan lelaki pilihan awak ni."

"So, kalau macam tu, bila awak boleh datang ke rumah untuk diperkenalkan kepada keluarga saya? Lepas awak dah jumpa keluarga saya, baru giliran saya pula berkenalan dengan keluarga awak." Nuha mula memasang rancangan. Mahu memastikan segalanya berjalan lancar antara mereka berdua.

Tajul memegang dagu. Seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.

"Okey. Nanti saya telefon emak saya dulu. Beritahu dia yang saya nak balik bawa bakal menantu yang dia tunggu-tunggu selama ni."

"Awak ni..." Nuha sudah tersipu-sipu malu. Hatinya dilambung rasa bahagia.

"Tapi awak ingat, dah nak jadi isteri saya ni, awak kena lebih hati-hati jaga tingkah laku dan pergaulan awak. Saya tak suka kalau awak terlalu mesra dengan kawan-kawan sekerja awak yang lelaki. Kalau boleh, kurangkan juga keluar dengan kawan-kawan awak tu. Bukannya ada faedah pun. Saya lebih suka kalau awak duduk aje dekat rumah. Tak payahlah nak keluar bersuka ria dekat luar tu."

Nuha mengerutkan dahi. Bila pula dia keluar bersuka ria mahupun berfoya-foya? Ada tak ada pun, sekadar keluar makan dengan kawan-kawan sekerja atau pun kawan-kawan serumahnya. Cuma sesekali apabila ada filem menarik yang ditayangkan di pawagam, barulah dia dan beberapa orang rakannya akan ke panggung untuk menonton. Rakan-rakan sekerja dan serumahnya yang selalu keluar bersamanya pun macamlah Tajul tidak kenal. Semuanya perempuan. Manalah dia pernah keluar dengan lelaki selain daripada Tajul.

"Awak ni, manalah saya ada keluar bersuka ria. Saya ni bukannya jenis yang suka window shopping atau menghabiskan masa di luar. Awak pun kenal saya, kan?"

"Saya cuma ingatkan aje. Rasa tak seronok bila kawan-kawan saya asyik sampaikan cerita, nampak awak dekat situ, nampak awak dekat sini. Saya rasa cemburu, awak tahu tak?" Nuha mengerutkan dahi. Kawan-kawan Tajul selalu nampak aku? Bila? Pelik ni!

"Kawan-kawan awak kenal saya ke? Selalu nampak saya dekat mana?"

"Apa pula tak kenalnya? Saya kan selalu ambil dan hantar awak dekat rumah sewa tu. Kawan-kawan saya ada yang menyewa dekat-dekat situ juga. Selalulah mereka nampak awak dengan kawan-kawan awak makan dekat medan selera tu. Kadang-kadang mereka nampak awak dengan dua tiga orang kawan awak berjoging dekat taman rekreasi hujung minggu. Saya tak suka." Tajul terus-terusan menyatakan apa yang tersimpan dalam hatinya. Selama ini dia tidak meluahkan kerana bimbang Nuha tidak suka dengan apa yang bakal dikatakannya. Namun, memandangkan Nuha sudah bersetuju untuk berkahwin dengannya, jadi Tajul rasa yang dia bertanggungjawab untuk menasihati Nuha demi kebaikan mereka bersama. Dia tidak mahu Nuha terlalu bebas dan lepas laku.

"Oh, padanlah awak macam tahu semua aktiviti dan pergerakan saya selama ni. Ada spy rupanya..." sindir Nuha halus. Langsung dia tidak menyangka segala pergerakannya selama ini diperhatikan oleh rakan-rakan Tajul.

"Mereka tu berniat baik. Lagipun mereka tahu yang awak ni teman wanita saya."

"Kawan-kawan saya pun baik juga. Kami pun bukan keluar ke mana. Sekadar pergi makan dan berjoging. Cuma kadang-kadang sahaja kami keluar menonton wayang dan membeli-belah bersama. Takkanlah itu pun tak boleh?" Nuha mula rasa tidak puas hati.

"Saya cuma nasihatkan awak aje. Awak kan dah nak jadi isteri saya." Tajul cuba memujuk. Dia tidak mahu Nuha terasa yang dia seolah-olah mahu mengongkong segala pergerakan gadis itu. Tunggulah sehingga Nuha dapat diikatnya. Tahulah dia bagaimana untuk membentuk Nuha menjadi seorang wanita sepertimana yang dia ingini.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co