Bab 2
"Emak, Tajul ni." Malam ini Tajul buat keputusan untuk memberitahu emaknya, Puan Mona tentang hasrat hatinya untuk meminang Nuha dalam masa terdekat.
"Ya. Emak tahu itu kamu. Takkanlah emak tak kenal suara anak emak sendiri." Puan Mona sengaja mahu mengusik walaupun dia tahu mungkin usikannya itu tidak begitu disenangi Tajul.
"Saya nak beritahu emak ni, saya nak kahwin."
"Ya? Alhamdulillah... Dengan siapa? Seronoknya emak dengar kamu dah nak kahwin, Tajul. Umur kamu tu memang dah patut berkahwin."
"Yalah, yalah. Saya tahulah tu. Ini yang saya telefon emak ni. Mungkin dalam masa terdekat, saya akan bawa dia ke rumah untuk diperkenalkan kepada emak dan ayah. Selepas itu, saya nak mak dan ayah masuk meminang dia untuk saya."
"Ha, yalah. Orang mana bakal menantu emak ni? Sama tempat kerja dengan kamu ke? Siapa namanya?" Bertalu-talu soalan yang diajukan oleh Puan Mona. Perasaan orang tua yang terlalu teruja mahu menerima menantu baharu.
Tajul mendengus. Ini yang dia malas sebenarnya. Belum apa-apa sudah berderet-deret soalan yang perlu dia jawab.
"Nanti emak tanyalah dia sendiri. Apa-apa nanti, saya beritahu emak kemudian. Kalau jadi, saya minta emak tolong kemas sikit rumah tu. Jangan nak soal siasat dia macam pesalah pula. Tanya sekadar apa yang perlu. Emak dengar tak?" Puan Mona kalau tidak diingatkan, mahu beratus soalan yang terpaksa Nuha hadap nanti. Dia tidak mahu Nuha rasa tidak selesa seawal kunjungan pertama ke rumah ibu bapanya.
"Yalah, yalah. Tahulah emak nanti. Jangan tak jadi pula. Emak dah tak sabar nak berkenalan dengan bakal menantu emak tu."
"Kan saya dah cakap tadi, apa-apa hal saya akan beritahu semula. Emak tak payahlah beritahu Kak Liza dan Abang Arham. Buat serabut aje kalau ada mereka nanti. Cukuplah kalau setakat kita-kita aje yang ada," pesan Tajul.
Liza, kakaknya itu mulutnya boleh tahan juga. Macam-macam yang akan ditanyanya nanti. Silap-silap dek mulut Kak Liza, dia dan Nuha bakal berselisih faham pula nanti. Arham, abang sulungnya itu pula memang jarang mereka bertemu ataupun berbual. Tambah-tambah lagi Arham itu agak sibuk orangnya. Adik bongsunya, Si Afnan pula sudah berada dalam tingkatan lima di salah sebuah sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan. Entahlah, sejak dulu lagi Tajul memang tidak begitu rapat dengan kesemua adik-beradiknya walaupun mereka hanyalah empat beradik. Tajul lebih suka buat hal sendiri dan berkurung di dalam bilik kalau sesekali kebetulan mereka semua pulang berkumpul di kampung.
"Kamu ni, mungkin abang dan kakak kamu nak kenal juga dengan bakal adik ipar mereka."
"Saya kata tak payah, tak payahlah! Nanti-nanti akan kenal juga. Saya tak mahu nanti bakal isteri saya rasa tak selesa dekat rumah tu." Suara Tajul sudah sedikit tinggi. Puan Mona terdiam. Takut mahu menjawab. Bimbang jika marah Tajul yang baru berputik akan semakin marak.
"Dahlah. Itu aje yang saya nak beritahu. Emak jangan lupa pula apa yang saya pesan tadi." Tanpa salam dan pamitan, terus sahaja Tajul meletakkan gagang telefon. Puan Mona sudah tidak hairan. Memang begitulah sikap Tajul selalunya. Ini pun mujurlah Tajul mahu juga menelefon. Kalau tidak, sebulan sekali pun payah dia mahu mendengar suara anak ketiganya itu. Kadang-kadang, tahu-tahu Tajul sudah terjengul di depan pintu rumah. Pulang ke kampung tanpa memberitahu kepadanya terlebih dahulu. Apabila ditegur, kata Tajul, malas mahu membuat dia risau sama ada Tajul selamat atau tidak dalam perjalanan. Padahal bukannya jauh benar perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bentong. Sudahnya, baik Puan Mona mahupun Encik Hashim, suaminya, sudah malas mahu berkata apa-apa. Sudah begitu perangai Tajul, terima sahajalah.
Nuha tersenyum melihat Tajul yang sedang menunggunya di lobi bawah bangunan tempat dia bekerja. Hari ini mereka bercadang mahu makan bersama memandangkan Tajul bakal bekerja di luar daerah selama empat hari bermula esok.
"Dah nak balik Nuha?" Nuha yang sedang berjalan menghampiri Tajul tersenyum. Shahrul, salah seorang rakan sekerjanya tetapi berlainan bahagian, menegur. Nuha melirik jam di tangan. Sudah pukul lima suku petang.
"Dari mana, Shahrul? Orang dah balik kerja, awak baru nak masuk ke pejabat?"
"Yalah Nuha. Saya dari KLIA ni. Baru balik bermesyuarat di Kota Bharu. Turun-turun flight, Tuan Haji Saad telefon, suruh singgah di pejabat sekejap. Ada hal yang nak dibincangkan. Terpaksalah juga saya datang. Kita ni kan makan gaji, kenalah menurut arahan pihak atasan." Shahrul memberitahu. Di wajahnya jelas tertera raut wajah letih. Mungkin padat agaknya jadual selama berada di Kota Bharu, telah hati Nuha.
"Oh, macam tu. Tak mengapalah, Shahrul. Saya jalan dulu ya."
"Yalah, Nuha. Jumpa esok." Nuha mengangguk. Langkah diatur semula menghampiri Tajul yang sedang memerhatikannya sejak tadi.
"Dah lama tunggu?" Ceria suara Nuha menegur Tajul. Tajul buat-buat tidak dengar. Terus sahaja menonong menuju ke pintu keluar. Nuha mengerutkan dahi. Dah kenapa pula dengan Tajul ni? Terkedek-kedek Nuha berjalan, cuba mengejar langkah Tajul yang sudah ke hadapan. Hari ini sudahlah dia datang dengan menumpang Effa. Jika Tajul buat perangai, terpaksalah Nuha menahan teksi untuk pulang ke rumah. Effa awal-awal lagi dah balik. Mahu mengambil adiknya yang baru sampai dari kampung di Terminal Bersepadu Selatan.
Haishhh! Susah betul nak melayan angin orang lelaki ni. Sempat Nuha merungut. Tajul memang suka merajuk. Kadang-kadang sampai Nuha terasa letih mahu memujuk. Mengalahkan dia yang sah-sah perempuan. Nuha sendiri pun, boleh dibilang dengan jari, berapa kali sahaja dia merajuk sepanjang dua tahun mereka bercinta.
Tajul terus meloloskan diri ke dalam kereta tanpa mempelawa Nuha masuk. Nuha tidak peduli, cepat-cepat dibuka pintu tempat duduk di sebelah pemandu. Bimbang kalau-kalau Tajul terus memecut lalu meninggalkannya di situ. Pengalaman lalu banyak mengajarnya supaya lebih bersedia. Lagipun dia rasa tidak seronok. Esok Tajul sudah mahu ke luar daerah. Mereka tidak akan berjumpa selama beberapa hari. Jadi, takkanlah mereka mahu bergaduh pula hari ini?
Tajul diam sahaja sepanjang perjalanan. Nuha yang duduk di sebelah sudah mula terasa panas punggung. Hatinya sudah terdetik sesuatu. Pasti ada yang tidak kena sehingga Tajul berkelakuan begini. Dua tahun mengenali Tajul, sedikit sebanyak sikap Tajul sudah dapat dibacanya.
"Awak, kenapa ni? Saya ada buat salah ke?"
Diam. Hanya wajah masam mencuka yang ditunjukkan Tajul. Langsung dia tidak memandang ke arah Nuha walaupun sesaat.
Nuha mengeluh. Entah apa pula yang tidak kena hari ni.
"Kalau saya ada buat salah, saya minta maaf ya, awak." Kali ini Tajul menoleh. Matanya tajam memandang Nuha sebelum fokusnya kembali kepada pemanduan. Dada Nuha sudah berdebar semacam. Renungan Tajul tadi benar-benar membawa maksud yang dia sudah melakukan kesalahan yang besar. Tapi salah apa ya yang aku dah buat? Nuha tertanya-tanya sendiri.
Buk! Nuha tersentak. Takut-takut sahaja di memandang tangan Tajul yang baru sahaja menumbuk pintu kereta di sebelah tempat duduk pemandu.
"Kau dah tahu aku tak suka kau bermesra dengan lelaki lain, tapi kau buat juga. Kau nak aku guna bahasa apa untuk fahamkan kau, ya?" Kali ini barulah terdengar suara Tajul. Tapi Nuha tidak berani mahu menjawab. Wajah Tajul yang sudah menyinga benar-benar membuat dia gerun.
"Siapa lelaki tadi tu?"
"Siapa?"
"Aku tanya kau, aku tak minta kau tanya aku semula soalan yang sama! Siapa lelaki yang buat kau tersengih-sengih bercakap dekat lobi tadi tu? Macam perempuan gatal!" Darah Tajul sudah menyirap hingga ke kepala. Terbayang-bayang adegan mesra Nuha yang sedang berbual dengan seorang lelaki yang tidak dikenalinya di lobi tadi. Itu di depan matanya. Kalau di belakangnya, entah bagaimana agaknya perangai Nuha?
"Oh, itu Shahrul. Kawan satu tempat kerja dengan Nuha. Kami sekadar bertegur sapa aje. Bukannya..."
"Aku tak minta kau bela diri kau. Aku tak minta kau beri alasan. Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri. Tak payahlah kau nak berselindung. Aku benci perempuan yang berlakon alim, tapi sebenarnya gatal! Semua lelaki kalau boleh nak dilayan, nak digodanya." Tajul terus menuduh tanpa memberikan Nuha peluang untuk menerangkan duduk perkara yang sebenarnya.
"Awak dah salah faham ni. Saya..."
"Diam! Aku kata diam. Aku tak suka perempuan yang suka menjawab bila aku bercakap. Macam ni kau kata nak jadi isteri yang baik? Kau kecewakan aku, Nuha..." Nuha sudah tidak mampu bersuara. Sedar, Tajul tidak akan mendengar segala penjelasannya. Biarlah hati Tajul sejuk dahulu, barulah dia akan terangkan kepada Tajul segala-galanya. Apa yang Tajul fikirkan, tidak betul sebenarnya.
Nuha lega kerana Tajul tidak lagi bersuara selepas itu. Sekurang-kurangnya, hatinya tidaklah sakit mahu mendengar tuduhan demi tuduhan yang Tajul lemparkan.
"Kita nak ke mana ni?" Selang tidak berapa lama, Nuha terpaksa juga membuka mulut apabila kereta Tajul mula membelok ke simpang kawasan taman perumahan tempat dia dan kawan-kawannya menyewa.
Tajul diam. Nuha pun malas mahu bersuara lagi. Sudahnya dia hanya memandang lorong-lorong yang biasa dilaluinya setiap kali pergi dan pulang dari kerja.
Tajul memberhentikan keretanya di depan rumah sewa Nuha.
"Turun," suruh Tajul sepatah.
"Tadi kata nak keluar makan?" tanya Nuha. Manalah tahu kalau-kalau Tajul terlupa.
"Kau pekak ke? Aku kata turun tu, turunlah! Atau kau nak aku heret kau turun dari kereta ni ke?"
Nuha cepat-cepat membuka pintu kereta. Sebaik sahaja Nuha menutup semula pintu kereta, Tajul terus memecut tanpa mempedulikan Nuha yang masih berada di tepi. Nuha terasa mahu menangis. Sampai hati Tajul...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co