Truyen3h.Co

DIA BUKAN SYURGA

Bab 13

karyaseni2u

Kepulangan rombongan merisik, meminang dan sekaligus pertunangan disambut Tajul dengan perasaan berdebar-debar. Manalah tahu kalau-kalau Nuha tiba-tiba sahaja berubah fikiran seperti tempoh hari. Malulah dia dibuatnya.

Puan Mona dan Encik Hashim terus sahaja duduk di atas sofa. Manakala Arham yang turut sama dalam rombongan tersebut terus sahaja ke dapur mencari air sejuk buat membasahkan tekak.

"Macam mana mak? Okey tak semuanya?"

"Kamu ni... Tak menyempat-nyempat! Penat emak ni pun tak hilang lagi tau."

"Alah emak ni, jauh manalah sangat dari Temerloh ke Bangi tu. Cakaplah mak, macam mana peminangan tu tadi? Keluarga Nuha terima ke peminangan kita? Apa keputusan perbincangan tadi? Berapa lama tempoh bertunang kami ni?"

"Eh, apa pula tak terimanya? Kamu dengan Si Nuha tu kan memang dah berkawan. Bukannya kita main pakai redah aje meminang anak orang," balas Puan Mona sedikit geram. Soalan tu macamlah dia yang pandai-pandai pergi meminang Si Nuha tu. Kalau bukan Tajul yang suruh, dia pun tak berani mahu ke rumah Haji Marwan tu.

"Orang senang juga nampak gayanya keluarga Nuha tu. Rumah besar, abang-abangnya pun berkereta mahal-mahal. Hiasan dalam rumah pun boleh buat emak gelap mata memandang. Tambah-tambah lampu chandelier dekat ruang tamu dan dapur tu. Dah lama emak berkenan lampu macam tu." Beria-ia Puan Mona bercerita. Encik Hashim yang duduk di sebelah menjeling.

"Awak ni, pergi ke rumah orang, itu yang dilihatnya." Tak berkenan sungguh dia dengan perangai isterinya yang suka benar menilik dan bercerita tentang keadaaan di dalam rumah orang. Memang sejak dulu, begitulah perangai Puan Mona setiap kali bertandang ke rumah sesiapa sahaja. Ada sahaja cerita yang akan dibawanya pulang.

"Habis tu dah ada dekat depan mata, apa lagi yang boleh dibuat? Pandang sahajalah. Nak merasa memang tidaklah jawabnya," sindir Puan Mona tidak mahu kalah.

"Lampu tu berat, mahal, berjuntai-juntai... Rumah kita ni rumah kampung. Tak sesuai nak pakai lampu yang macam tu. Pakai ajelah lampu kalimantang yang sedia ada ni. Ini pun dah cukup daripada rumah langsung tak berlampu. Ha, meraba-rabalah awak tu nanti."

Arham yang baru kembali semula ke ruang tamu dengan segelas air di tangan hanya tersenyum sahaja mendengar pertelingkahan manja antara emak dan ayahnya.

"Liza ke mana pula, Arham? Kenapa dia tak sampai-sampai lagi?" Risau pula Puan Mona. Mereka bertolak pulang dari rumah Haji Marwan tadi bersama-sama. Mereka yang menaiki kereta bersama Arham sudah lama sampai, tetapi Liza masih juga belum nampak bayangnya. Tadi mereka pergi dengan menaiki kereta yang berasingan. Dia dan Encik Hashim menumpang kereta yang dipandu Arham, manakala Liza sekeluarga menaiki kereta yang dipandu Suffian, suami Liza.

"Lewat sikit sampai katanya. Berhenti sekejap di stesen minyak. Yuna nak buang air."

"Itulah aku dah kata, leceh bawa budak-budak. Nak kencinglah, nak beraklah, belum campur dengan menangis dan merengek macam-macam lagi. Rimas aku!" Arham menjongketkan kening. Faham benar dengan perangai Tajul yang tidak sukakan budak-budak.

"Habis tu kalau tak dibawa budak-budak tu tadi, siapa yang nak jaga mereka? Kau? Kalau sekarang kau dah rimas, macam mana kau nak berkahwin nanti ni? Takkanlah kau tak mahu ada anak lepas kahwin?" tegur Arham. Sempat matanya mengerling ke arah emaknya yang membuat isyarat mata kepadanya yang bermaksud, usah masuk campur.

"Aku memang tak mahu ada anak! Biar sampai bila-bila cuma ada aku dengan Nuha sahaja. Ada anak-anak pun menyusahkan aje. Sudahlah kos nak membesarkan anak tu bukannya murah. Nak layan kerenah mereka lagi. Belum tentu bila mereka besar nanti, mereka nak balas jasa aku. Huh, lebih baik tak payah ada anak. Nak bermanja dengan isteri pun tak dapat. Sibuk dok melayan anak aje," dengus Tajul.

"Kau dah bincang ke dengan Nuha tentang ni? Aku tengok Nuha tu suka melayan budak-budak. Anak-anak saudara dia pun bukan main manja dengan dia tadi. Langsung tak berenggang. Asyik mengekor sahaja ke mana mak usunya pergi."

"Bukan main liar lagi mata kau, kan. Sempat pula kau mengintip bakal isteri aku tu. Tentang Nuha, pandailah aku nak memujuknya nanti. Kau tu pun, jangan asyik nak memandang dia aje. Kahwin ajelah kalau dah rasa tak tahan sangat!" Kasar sahaja bahasa Tajul meskipun Arham itu berpangkat abang kepadanya. Mentang-mentanglah beza umur mereka pun tidak jauh mana. Tiga tahun sahaja selang usianya.

"Suka hati kaulah, Tajul. Abang cuma nasihatkan aje," balas Arham selamba. Malas mahu melayan baran Tajul yang tidak pernah kenal masa dan ketika.

"Emak, saya ni bertanya sejak dari tadi lagi, langsung emak tak jawab soalan saya tu. Macam mana keputusan perbincangan tu tadi?"

"Hurm... Tempoh bertunang tiga bulan, hantaran sepuluh ribu."

"Apa? Gila ke apa letak hantaran mahal macam tu?" Tajul sudah bertempik. Sangkanya hantaran yang bakal ditetapkan oleh keluarga Nuha adalah dalam anggaran seribu dua sahaja. Bukankah keluarga Nuha itu kaya? Tak mungkin mahu mengadakan kenduri kahwin anak pun tak mampu sehingga perlu meletakkan hantaran setinggi itu.

"Habis tu kau ingat sekarang ni hantaran kahwin macam dulu ke? Kalau diri tu tak mampu, jangan berani-berani pergi meminang anak dara orang." Suara Liza tiba-tiba menyampuk. Arham menoleh ke belakang. Wajah Liza tersembul di sebalik pintu. Berjalan masuk sambil diekori dua orang anaknya. Suffian tidak pula kelihatan. Mungkin masih berada di luar. Mengambil angin agaknya, bisik hati Arham.

"Yang kau ni tiba-tiba menyampuk ni kenapa? Aku tak ada minta pendapat kau pun." Tajul mulai bengang. Ada sahaja langau yang mahu membuat hatinya mendidih.

"Aku terdengar dan sebagai orang perempuan, aku kenalah juga bercakap sebagai wakil." Hampir tersembur air yang berada di dalam mulut Arham. Mahu tergelak dibuatnya dengan kata-kata Liza.

"Kamu tak cukup duit nak kahwin ke Tajul? Kalau kamu tak ada duit, kamu boleh gunakan duit emak dulu," pelawa Puan Mona. Mata Liza sudah mencerlung tajam merenung emaknya. Langsung dia tidak bersetuju dengan saranan emaknya itu.

"Eh, kenapa pula Tajul yang nak kahwin emak yang kena keluarkan duit? Dia minta kita pergi meminang anak dara orang, sepatutnya dia dah ada simpananlah. Bukannya mengharapkan duit emak. Duit itu kan emak kumpul untuk ke Mekah nanti." Laju Liza membantah. Arham malas mahu masuk campur. Hanya mahu memerhatikan sahaja. Jika perlu, barulah dia akan bersuara.

"Awak berbincanglah anak-beranak. Saya tak mahu masuk campur. Baik saya ke kebun. Ada juga faedahnya." Encik Hashim mengangkat punggung. Duduk di situ dan mendengar mereka berbalah anak-beranak bukannya ada faedah pun.

"Saya nak ikut, ayah." Arham segera menawarkan diri. Inilah peluang dia untuk keluar dari perbincangan yang pastinya akan berakhir dengan pertikaman lidah antara Liza dan Tajul. Dia sudah arif benar dengan plot cerita kalau kedua-dua orang adiknya itu bertemu. Laju langkahnya mengekori Encik Hashim dari belakang.

"Aku tak akan sentuh duit mak. Duit aku dah lebih dari cukup kalau setakat untuk belanja kahwin tu. Setakat nak buat kenduri tujuh hari tujuh malam pun aku masih mampu." Hilang sahaja tubuh Arham di sebalik pintu, terus Tajul bersuara. Sakit hati mendengar tuduhan Liza yang langsung tidak berasas.

"Baguslah kalau macam tu. Aku tak mahu nanti ada orang yang gunakan duit mak untuk kepentingan diri sendiri."

"Entah-entah orang yang bercakap tu yang dalam diam-diam meminjam duit emak. Itu yang takut sangat bila dengar emak pelawa aku supaya gunakan duit emak. Takut kalau-kalau duit tu tak dapat kat dia." Halus sahaja sindiran Tajul tapi berdesing telinga Liza yang mendengarnya.

"Eh, kau kalau bercakap baik-baik sikit, ya. Gaji aku suami isteri dah lebih dari cukup kalau setakat nak bermewah-mewah tu."

"Aku cakap aje. Yang kau nak melenting sangat ni kenapa? Orang kalau tak buat, tak perlulah marah-marah. Betul tak? Kalau betul buat itu yang terasa panas semacam. Bak kata orang tua-tua, siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya." Sinis senyuman yang Tajul hadiahkan kepada kakaknya.

"Kau..."

"Sudah! Asyik nak bergaduh sahaja kamu berdua ni. Pening kepala emak ni tau! Baik aku pergi mandi. Badan panas, hati pun panas tengok kelakuan budak-budak ni. Tak malu agaknya dengan Yuna dan Riyad yang sedang memerhatikan aje kelakuan kamu berdua ni. Hesy!" Puan Mona bingkas bangun. Meninggalkan kedua-dua beradik itu di situ. Liza menjeling memandang Tajul. Tajul pula buat muka selamba. Puas hati dapat membalas segala kata-kata Liza tadi. Tapi hantaran sepuluh ribu? Keluarga Nuha ni memang betul-betul mahu menjual anak agaknya? tuduh Tajul dalam hati.

"Awak mintalah kurang sikit hantaran tu. Sepuluh ribu tu banyak!" Malam itu Tajul menelefon Nuha. Mahu menyuarakan rasa tidak puas hati. Keluarga Nuha seolah-olah mahu menjual anak sahaja pada hematnya.

"Manalah saya tahu. Itu kan perbincangan orang tua-tua. Saya dah cakap dengan awak kan, saya serahkan semuanya kepada orang tua saya."

"Saya nak kahwin dengan awak, bukannya dengan mak abah awak! Tak boleh ke awak bersuara sikit?"

"Tempoh hari awak kata berapa pun hantaran yang keluarga saya letak, awak tak kesah, kan? Awak dah siap sedia semuanya. Hari ni dah lepas selesai semuanya, awak nak bising-bising pula. Peninglah kepala saya macam ni." Nuha mengeluh. Yang tidak-tidak sahaja yang diminta Tajul. Mahu meminta supaya abahnya mengurangkan hantaran yang telah dipersetujui kedua-dua belah pihak? Memang Nuha tidak sanggup. Tajul ini memang tebal sungguh kulit mukanya.

"Saya buang-buang cakap aje masa tu. Awak beritahulah umi dan abah awak tu. Minta diskaun sikit. Kalau boleh hantaran tu dalam seribu dua aje. Awak kan anak perempuan seorang, takkanlah mereka tak boleh nak sponsor majlis kahwin awak? Takkanlah sengkek sangat keluarga awak tu sampai duit hantaran awak pun nak digunakan untuk majlis kahwin kita?"

"Awak, awak pernah dengar tak istilah belanja hangus? Kalau umi dan abah saya nak gunakan duit hantaran tu untuk majlis kahwin saya, saya pun tak kesah. Bukannya majlis orang lain, majlis saya juga. Dan memang duit hantaran tu untuk saya, kan? Jadi terpulanglah pada saya nak buat apa dengan duit tu."

"Awak ni langsung tak boleh nak diajak berbincang! Langsung tak boleh bertolak ansur," tuduh Tajul tidak teragak-agak.

"Saya minta maaf sangat-sangat, awak. Kalau awak nak minta kurang, awak cakaplah sendiri atau minta mak ayah awak berbincang semula dengan keluarga saya. Bagi pihak saya, saya memang tak tergamak nak minta," putus Nuha.

Tajul tidak tunggu lama. Terus sahaja mematikan talian sebelum mencampakkan telefonnya ke atas tilam. Nuha dah pandai melawan nampak gayanya. Tajul menggumam marah.

Mahu berkasar atau memaksa Nuha, Tajul tidak rasa ini masa yang sesuai. Hubungannya dengan Nuha baru sahaja pulih. Dia tidak mahu ambil risiko.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co