Bab 14
"Nuha, abang nak tumpang mandi dekat bilik Nuha. Semua bilik air penuh. Melekit sangat badan abang ni. Panas!" beritahu Norman tatkala berpapasan dengan Nuha yang baru turun dari tingkat atas. Hujung minggu ini semua anak Haji Marwan dan Hajah Fatim berkampung di Bangi. Perbincangan terakhir sebelum majlis perkahwinan Nuha. Jika tiada aral, majlis tersebut bakal berlangsung dalam tempoh dua minggu sahaja lagi. Banyak persediaan perlu dibuat kerana majlis di sebelah pihak perempuan akan diadakan di rumah sahaja secara bergotong-royong. Kad pun sudah diedarkan dan semua saudara-mara sudah dijemput untuk menghadiri majlis perkahwinan anak bongsu Haji Marwan.
"Tumpang ajelah. Minta izin tu macamlah ini rumah orang lain."
"Kenalah minta izin. Mana boleh main redah aje walaupun bilik adik-beradik." Nuha mencebik. Macamlah Norman itu tidak biasa menggunakan bilik air yang ada di dalam biliknya. Boleh dikatakan hampir setiap kali mereka adik-beradik berkumpul, jika semua bilik air di tingkat bawah penuh, bilik air di dalam biliknya itulah yang bakal disewa tanpa sebarang bayaran.
"Abang Norman jangan picit ubat gigi dari tengah. Picit dari bawah. Nuha tak suka tengok. Tak kemas," pesan Nuha. Norman tersengih nakal. Sama sahaja macam pesanan yang diberikan Sofia, isterinya.
"Ubat gigi tu untuk digunakan, bukan untuk dipandang. Biarlah kalau nak picit dari mana pun. Yang penting tujuannya sampai," jawab Norman sambil lewa. Sengaja mahu mengusik adiknya yang tidak lama lagi bakal bergelar isteri orang.
"Abang Norman... Janganlah! Nuha tak suka." Norman menjelirkan lidah sebelum berlari-lari anak menaiki tangga. Nuha menghentakkan kakinya. Geram!
Norman mengesat rambutnya yang masih basah. Telefon Nuha yang diletakkan di atas katil berbunyi nyaring. Norman hanya membiarkannya sahaja. Seketika kemudian, deringan itu berhenti. Belum pun sampai seminit, telefon itu berbunyi semula. Rimas mendengar nada dering yang mengganggu ruang udara pendengarannya, Norman mencapai telefon yang berwarna putih itu. Matanya menatap nama pemanggil yang tertera pada skrin. Mr. Fiance. Ceh, apa-apa sahajalah nama yang Nuha letak pada telefon dia ni. Ini sah Si Tajul yang telefon Nuha ni, bisik hati kecil Norman.
Baru Norman mahu menekan butang yang berwarna hijau, telefon itu kembali berhenti berdering. Norman mendengus. Terasa seolah-olah telefon itu sengaja mahu mempermain-mainkan dirinya pula.
Norman menunggu buat seketika. Manalah tahu kalau-kalau telefon itu bakal berdering lagi. Tajul pasti akan menelefon semula jika ada perkara penting yang mahu disampaikan kepada Nuha.
Tepat seperti jangkaan Norman. Selang tidak berapa lama, telefon Nuha yang masih berada di dalam genggamannya berlagu lagi. Kali ini pantas jarinya menekan butang hijau lalu telefon itu dilekapkan ke telinga.
"Hei, perempuan! Kau pergi mana hah? Aku telefon banyak kali kau tak angkat. Kau pergi menggoda siapa pula kali ni?" Norman terkedu. Kasarnya bahasa yang Tajul gunakan. Skrin telefon ditatapnya sekali lagi. Sekadar mahu memastikan nama pemanggil. Ya. Masih Mr. Fiance.
"Eh, Nuha! Kau ni pekak ke? Aku bercakap dengan kau ni. Aku tak suruh kau diam. Dah aku tanya, jawablah bodoh!" Suara Tajul sudah memekik di hujung talian sana. Hati Norman sudah terasa menggelegak. Kalau betul ini Tajul, memang lelaki ini benar-benar mahu mencari nahas. Berani Tajul bercakap sekasar ini dengan Nuha?
"Nuha tak ada. Abang dia yang bercakap ni." Suasana di hujung talian sepi buat seketika.
"Er... Nuha ke mana bang?" Norman diam. Cuba mengempang rasa marah. Jika diturutkan, kenyang telinga Tajul mendengar maki hamunnya petang ini.
"Macam ni ke cara kau bercakap dengan adik aku selama ni?"
"Eh, tak adalah bang. Saya bergurau aje tadi tu..." dalih Tajul dengan suara yang teragak-agak.
"Oh, bergurau? Bagus betul cara kau bergurau, ya. Kau tak nak bergurau dengan aku ke? Aku pun pandai juga bergurau macam kau," sindir Norman.
"Er... Tak apalah, bang. Beritahu Nuha, nanti saya akan telefon dia semula." Tanpa sempat Norman membalas, Tajul sudah kalut mematikan talian. Norman mengetap gigi. Kurang ajar!
Di seberang sana, Tajul mengetuk-ngetuk kepalanya beberapa kali. Bagaimanalah dia boleh cuai macam ni sekali? Bukankah Nuha sudah beritahu kepadanya sebelum ini yang minggu ini Nuha akan pulang ke kampung? Ini semua Faizal punya fasal! Kalaulah dia tidak mengadu tentang ternampak Nuha yang menyiram pokok bunga petang semalam, tentu dia tidak akan marah sebegini. Tajul meraup wajahnya beberapa kali. Jantungnya mula berdetak kencang. Bimbang memikirkan yang perbualannya dengan abang tunangannya itu tidak akan habis di situ sahaja.
"Abah, saya rasa kita perlu berbincang." Haji Marwan yang sedang menggunting batang pokok bunga kertas yang mula menjulur naik berpaling. Memandang Norman yang sedang berpeluk tubuh sambil memandang ke arahnya.
"Hal apa pula? Tiba-tiba sahaja kamu ni." Haji Marwan menegakkan badan lalu berjalan menghampiri anak keduanya itu. Norman memerhatikan sahaja langkah abahnya yang kemudiannya melabuhkan punggung di atas kerusi batu di halaman rumah batu dua tingkat itu. Gunting yang digunakan buat menggunting batang pokok bunga tadi diletakkan di atas meja.
"Tentang Nuha."
"Tentang Nuha? Ada apa pula dengan Nuha? Ada masalah ke berkenaan dengan majlis perkahwinan adik kamu tu? Kanopinya sudah ditempah bukan? Katering?" Haji Marwan sudah mula berfikir yang bukan-bukan. Majlis Nuha itu sudah tidak berapa lama lagi langsungnya. Memang sejak awal Haji Marwan tidak mahu anak gadisnya itu diikat dalam ikatan pertunangan yang terlalu lama. Terlalu banyak dugaannya. Lebih baik jika pernikahan mereka dilangsungkan segera.
"Bukan tentang itu. Ini tentang Tajul."
"Tajul? Tadi kamu kata nak berbincang tentang Nuha. Ini tiba-tiba terkait dengan nama Tajul pula ni kenapa?"
"Yalah abah. Tentang Nuha, tentang Tajul. Saya nak bincang tentang mereka berdua tu."
"Kenapa pula dengan mereka? Nuha ada mengadu apa-apa ke dengan kamu?" Hati Haji Marwan sudah berdegup kencang. Hanya satu yang tergambar dalam fikirannya. Perkara yang paling dibimbangi dan ditakutinya. Jangan-jangan anak gadisnya itu sudah melakukan perkara yang dilarang agama. Dada Haji Marwan tidak semena-mena terasa sendat.
"Sebab Nuha tidak mengadu apa-apa itulah yang jadi masalahnya. Tajul tu saya rasa bukan jodoh yang sesuai buat Nuha." Haji Marwan cuba bertenang walaupun ayat yang dituturkan Norman itu membuatkan hatinya terasa tidak enak.
"Kenapa kamu kata macam tu? Apa yang Tajul tu dah buat?"
"Macam ni, abah..." Norman terus menceritakan perbualan secara tidak sengajanya dengan Tajul tadi. Berkerut-kerut dahi Haji Marwan mendengarnya. Dia mengeluh panjang setelah selesai mendengar Norman bercerita. Hatinya sedikit lega kerana bukan perkara yang dibimbanginya yang berlaku. Alhamdulillah. Haji Marwan mengucap syukur dalam hati.
"Kamu ada tanyakan pada Nuha tentang perkara ni?" Norman menggeleng.
"Abah fikir Nuha akan beritahu cerita yang sebenarnya kalau ditanya? Kita pun kenal Nuha itu bagaimana orangnya, abah. Selagi boleh disorok, pasti akan disembunyikannya."
"Abang dengan adik kamu dah sampai?" Kata Rushdi, dia mungkin akan sampai lewat sedikit. Haikal pula rancangnya akan bertolak dari Johor Bahru selepas asar. Ada kenduri akikah anak kawan satu tempat kerja katanya.
"Belum. Sebelum maghrib nanti sampailah agaknya along dan Haikal tu." Haji Marwan menganggukkan kepalanya.
"Macam inilah. Malam ini kita berkumpul anak-beranak. Kita tanya sendiri pada Nuha. Lepas kita dengar penerangan daripada Nuha, barulah kita buat keputusan," putus Haji Marwan. Dia tidak mahu menjatuhkan hukuman hanya semata-mata bersandarkan kepada apa yang disampaikan oleh Norman. Penjelasan Nuha juga perlu didengar sebelum sebarang tindakan bakal diambil.
Nuha merenung hujung meja kopi yang beralaskan kain berwarna coklat tua dihiasi reben berwarna merah pada setiap penjurunya. Terasa seolah-olah dirinya persis seorang pesalah apabila kesemua mata sedang tertumpu ke arahnya.
"Nuha, cuba cakap betul-betul, Tajul tu memang selalu ke cakap macam tu dengan Nuha? Umi tak suka tau anak umi dicaci, disumpah macam tu. Umi yang melahirkan Nuha pun tak pernah cakap macam tu baik pada Nuha ataupun pada abang-abang Nuha." Hajah Fatim pula mengambil alih tugas sebagai penyoal siasat. Sejak tadi Nuha hanya berdiam diri. Tidak mahu menjawab soalan yang ditanyakan oleh abang-abangnya. Mungkin Nuha takut mahu berterus terang, teka Hajah Fatim.
"Bukanlah selalu dia macam tu, umi... Kadang-kadang sahaja waktu dia tengah marah. Tajul tu baik sebenarnya." Nuha masih mahu membela tunangannya itu.
"Baik apa kalau dia boleh keluarkan perkataan bodoh tu pada Nuha?! Berasap aje telinga abang ni masa dengar dia panggil Nuha dengan panggilan hei, perempuan tu tau! Langsung tak ada adab. Ini belum berkahwin, Nuha belum jadi milik dia. Kalau dah berkahwin, entah macam manalah agaknya dia layan Nuha." Haji Marwan merenung wajah Nuha yang kelihatan serba salah ditembak Norman.
"Itu kan dia tengah marah. Biasalah kalau orang tengah marah, mana sedar apa yang dia cakapkan tu," balas Nuha perlahan.
"Oh, kalau marah, bolehlah cakap sesuka hati. Bolehlah kalau nak menyumpah, mencarut, memaki hamun macam tu? Nuha tahu tak, lelaki yang baik, lelaki yang matang adalah lelaki yang boleh mengawal perasaan marahnya. Ini asal marah menyumpah, asal marah mencarut, apa jenis lelaki macam tu?" Rushdi pula menyampuk. Sejak tadi dibiarkan sahaja Norman yang menguasai perbincangan. Dia yang sampai ketika azan maghrib berkumandang bukan main terkejut mendengar cerita Norman.
"Kenapa dia marah Nuha macam tu sekali? Apa yang Nuha dah buat? Nuha curang di belakang dia?" Haikal cuba mengorek cerita. Sejak tadi dia hanya menjadi pendengar. Sesekali menyoal siasat, seronok juga rupanya.
"Mana ada. Tajul itulah satu-satunya lelaki yang Nuha pernah rapat. Dah jadi tunang pun. Tak pernah Nuha terfikir nak buat hubungan gelap dengan mana-mana lelaki lain. Abang Haikal ni suka nak tuduh-tuduh Nuha tau!" Bengang juga Nuha dibuatnya. Yang tidak-tidak sahaja dituduhnya.
"Habis tu apa yang dia marah sangat dengan Nuha?" Nuha memandang wajah abahnya. Teragak-agak Nuha mahu menjawab.
"Dia marah sebab kawan dia nampak Nuha siram pokok bunga dekat depan halaman rumah sewa petang kelmarin."
"Hah?" Bulat mata setiap orang di ruang tamu itu. Terkejut dengan punca kemarahan Tajul yang beria-ia itu. Rupa-rupanya hanya itu sebabnya.
"Kenapa pula yang dia nak marah Nuha siram pokok bunga tu?"
"Dia cemburu."
"Ya, ampun!" Rushdi menepuk dahi. Norman sudah menggelengkan kepalanya. Haikal pula menahan senyum. Hajah Fatim dan Haji Marwan pula hanya saling berpandangan.
"Siram pokok bunga pun nak cemburu? Ini bukan cemburu buta lagi, ini cemburu ada mata tapi buta," marah Norman beria-ia. Disebabkan perkara sekecil itu pun Tajul sampai tergamak memaki hamun adiknya. Ini memang betul-betul tidak dapat diterima oleh akal fikirannya.
"Habis tu nanti, kalau dah berkahwin, nampak gayanya keluar rumah pun Nuha tak dibenarkanlah, ya?" sindir Rushdi.
"Tak adalah seteruk macam tu, along."
"Nuha, itu tak mustahil tahu kalau dah macam ini gaya cemburu dan panas barannya. Silap-silap nak balik ke rumah ini pun dia tak izinkan. Apatah lagi Nuha nak keluar bekerja. Entah-entah nanti dia kurung aje Nuha dalam rumah tak keluar-keluar." Rushdi sudah mula dengan andaian demi andaian.
"Abah nak biarkan juga Nuha berkahwin dengan lelaki macam tu? Cemburu tak bertempat! Tak tahu nak mengawal marah. Silap-silap nanti, lembik Nuha ni dia kerjakan. Kita mana tahu, masa tu Nuha dah jadi isteri dia. Kalau dia tak benarkan Nuha jumpa kita pun, kita dah tak boleh buat apa."
Hati Nuha sudah terasa tidak sedap. Adakah kata-kata Abang Norman bermaksud supaya abah memutuskan sahaja ikatan pertunangan antara dia dengan Tajul? Tidak! Semua kawan sudah dijemput. Kad pun sudah habis diedarkan. Kalaulah majlis perkahwinannya dibatalkan, Nuha yakin yang dia tidak akan mampu untuk menunjukkan mukanya lagi.
"Abah, Tajul tu baik. Dia cuma tak dapat kawal diri bila dah marah. Dia jadi macam tu pun sebab terlalu sayangkan Nuha. Kalau dia tak sayang, tentu dia tak cemburu."
"Cemburu itu memang perlu Nuha, tapi harus berpada-pada. Ini kalau sudah cemburunya keterlaluan, ia boleh mendatangkan mudarat. Nuha tak pernah ke baca atau dengar berita yang isteri dibunuh suami, suami diracun isteri kerana cemburu? Itu yang abang risaukan sekarang." Norman terus-terusan menegakkan pendapatnya.
"Tajul tidaklah seteruk itu, abang. Abah..."
"Sudah! Rushdi, kamu tolong telefon Tajul, minta dia datang ke rumah esok atau lusa. Kalau boleh, bawa sekali kedua-dua orang tuanya," suruh Haji Marwan. Mujurlah hari Isnin akan datang jatuh pada cuti umum. Tidaklah keluarga Tajul terkocoh-kocoh datang dari Temerloh ke Bangi. Kasihan juga Haji Marwan kepada bakal besannya.
"Baik, abah," balas Rushdi dengan senang hati. Nuha yang mendengar sudah terasa mahu meraung. Janganlah abah memutuskan hubungan dia dengan Tajul. Sayangnya kepada Tajul bukan sedikit. Dia yakin Tajul akan berubah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co