Truyen3h.Co

DIA BUKAN SYURGA

Bab 4

karyaseni2u

Lemau sahaja Nuha rasa hari ini. Sejak semalam langsung Tajul tidak menelefonnya. Sudah beberapa kali dia merenung skrin telefon yang memaparkan paparan yang sama. No new message. Nuha mengeluh. Sudah puas dia mendail nombor telefon Tajul, sudah kebas jarinya menaip mesej memohon maaf kepada lelaki itu, namun Tajul tetap membisu. Besar benarkah salah yang dilakukannya semalam?

Nuha bertambah runsing. Perkara berkaitan lamaran Tajul sudah pun dia khabarkan kepada umi dan abahnya. Jika Tajul tiba-tiba mahu membatalkan hasrat itu, apa pula alasan yang mahu direkanya? Aduh, sakitnya kepala! Nuha memicit-micit dahi yang sudah datang denyutnya.

Telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. Menandakan ada mesej yang masuk. Nuha tersenyum lebar sebaik sahaja melihat kiriman mesej daripada orang yang ditunggu-tunggu khabar beritanya. Tapi dalam masa yang sama, hatinya berdebar memikirkan isi kandungan mesej yang dikirim Tajul itu.

Saya dah sampai Langkawi.

Aik! Panjang berjela aku mesej, itu aje yang Tajul balas? Nuha mencebikkan bibir. Laju tangannya menaip balasan buat mesej yang dihantar Tajul.

Awak marah pada saya lagi ke? Saya betul-betul minta maaf awak...

Lantas butang Send ditekannya. Sabar menunggu balasan daripada Tajul. Tiba-tiba telefon yang dipegangnya berdering. Hampir menjerit Nuha dibuatnya. Mujurlah sekarang waktu rehat. Rata-rata pekerja semuanya sudah keluar makan tengah hari. Tinggal Nuha dan beberapa orang pekerja sahaja yang berada di bahagian sumber manusia ini. Nuha memang tiada selera mahu makan selagi urusannya dengan Tajul masih belum selesai.

Nuha berdehem beberapa kali. Mahu memastikan suaranya nanti dapat melembutkan hati Tajul di hujung talian sana.

"Assalamualaikum awak."

"Waalaikumussalam." Suara Tajul kedengaran biasa-biasa sahaja. Tak ada langsung nada marah ataupun dingin.

"Sampai hati awak. Dah sampai Langkawi baru nak beritahu saya." Nuha buat-buat suara minta kasihan. Moga-moga rajuk Tajul semalam tidak berlarutan.

"Saya sibuk sikit. Balik semalam terus packing baju. Kemudian pagi-pagi dah keluar ke airport. Langsung tak sempat nak beritahu awak. Tapi sekarang kan saya dah telefon awak."

"Awak marah saya lagi ke? Saya minta maaf, ya."

"Tak. Saya dah tak marah. Lain kali awak janganlah buat perangai macam tu. Saya ni sudahlah cepat cemburu. Awak pula dok melayan lelaki lain depan saya. Macam manalah saya tak marah? Tambah-tambah awak tu bakal isteri saya. Lagilah saya nak awak jaga diri awak tu, cuma untuk saya sahaja."

"Ya, ya. Saya tahu. Maafkan saya ya, awak."

"Saya dah beritahu emak saya tentang awak. Lepas saya balik dari Langkawi nanti, kita teruskan rancangan kita ya." Hati Nuha sudah berbunga. Nampaknya Tajul tidak berubah fikiran. Lega...

"Saya pun dah beritahu umi dan abah saya. Mereka pun tak sabar nak berkenalan dengan awak," beritahu Nuha pula.

"Nanti bila saya dah balik kita bincang semula ya. Saya kalau boleh nak cepat-cepat nikah dengan awak. Dah tak larat nak cemburu, nak marah-marah bila ada lelaki lain cuba rapat dengan awak. Bila awak dah jadi isteri saya, barulah hati saya tenang." Nuha ketawa kecil. Hatinya dijentik rasa bahagia. Tajul memang mudah marah dan cepat cemburu. Tapi Tajul jugalah juara dalam memujuk. Mudah sahaja hatinya cair mendengar kata-kata Tajul.

"Yalah awak. Awak jaga diri baik-baik. Jangan nakal-nakal dekat sana tu ya."

"Awak pun sama. Ingat, mata-mata saya ramai yang memerhatikan awak walaupun saya tak ada dekat sana tu." Tajul memberikan amaran. Bukan main-main ataupun sekadar mahu mengusik. Dia benar-benar maksudkannya.

Nuha menelan liur. Dari nada suara Tajul, dia tahu yang Tajul memang serius. Jika ada yang menyampaikan, memang masaklah dia sekembalinya Tajul dari Langkawi nanti.

"Insya-Allah. Saya ingat pesan awak tu." Tiba-tiba Nuha terasa sudah hilang kata-kata untuk meneruskan perbualan. Amaran Tajul tadi membuatkan hatinya sedikit tidak seronok.

"Jangan cakap sahaja, tapi buatnya tidak," balas Tajul bersahaja. Nuha diam. Bimbang mahu menjawab. Silap-silap bergaduh pula mereka dalam telefon ni nanti.

"Yalah awak. Saya nak sambung buat kerja ni. Awak jaga diri baik-baik, ya."

"Awak pun sama. Jaga kelakuan awak tu juga. Ingat, saya tak suka hak saya dikongsi dengan orang lain." Tajul masih belum habis lagi rupa-rupanya. Nuha mengeluh perlahan.

"Mengeluh nampak?" Terdengar pula hembusan nafasnya itu pada pendengaran telinga Tajul. Tajam betul!

"Eh, mana ada? Nuha cuma hembus nafas aje. Tak sangka pula terkuat." Cepat-cepat Nuha menafikan.

"Okeylah kalau macam tu. Nanti saya telefon lagi. Bye awak." Suara Tajul sudah pun hilang, namun pesanan dan amarannya masih bermain dalam fikiran Nuha. Habislah! Nak keluar makan dengan kawan-kawan pun payahlah aku lepas ni, keluh Nuha.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co