Truyen3h.Co

DIA BUKAN SYURGA

Bab 5

karyaseni2u

"Jadi Nuha kata nak bawa balik kawannya hujung minggu nanti?" Suara Haji Marwan yang sedikit kuat menyapa cuping telinga isterinya. Hajah Fatim yang sedang menatang dulang berisi air kopi dan sepiring cucur udang memandang ke arah suaminya yang sedang mengambil angin di beranda luar halaman rumah mereka. Disarungnya selipar sebelum berjalan menghampiri suami yang sudah lebih tiga puluh lima tahun berkongsi hidup dengannya.

"Katanya macam itulah. Tapi nak tunggu kawannya tu balik dari Langkawi dulu. Ada urusan kerja di sana selama empat hari," balas Hajah Fatim sambil meletakkan dulang yang dibawanya di atas kerusi batu dengan berhati-hati.

"Sebelum ni ada dia cerita apa-apa tentang kawan dia tu pada awak?"

"Tak ada pula. Itu yang saya terkejut bila tiba-tiba aje dia telefon beritahu nak bawa balik kawannya tu untuk diperkenalkan kepada kita."

"Dah berapa lama dia kenal dengan budak lelaki tu? Ada dia beritahu awak?"

"Dah dua tahun katanya," beritahu Hajah Fatim tenang. Tahu tentang keresahan yang bermain dalam hati suaminya itu. Anak gadis jauh dari mata, ibu bapa manalah yang tidak bimbang? Tambah-tambah lagi apabila tahu rupa-rupanya Nuha sudah lama berkawan dengan seseorang. Makin tidak senang duduklah Haji Marwan dibuatnya. Bimbang kalau-kalau hubungan anaknya itu akan melampaui batasan.

"Janganlah awak risau. Insya-Allah, Nuha tu tahu menjaga dirinya. Kita dah bekalkan dia cukup dengan ilmu agama. Doakanlah yang anak kita tu tidak tersasar dari landasan."

"Bimbang saya ni, Fatim... Sudahlah dia tu anak dara, jauh pula dari kita. Nak kita tengok-tengok dan pantau selalu, masakan sama seperti dia tinggal bersama kita. Haish, risau saya ni!" Haji Marwan meluahkan rasa hatinya. Bukankah syaitan sudah berjanji akan berusaha menyesatkan anak-anak Adam hingga ke hari kiamat?

"Saya faham tu. Tapi Nuha pun nak menikmati hidup macam anak gadis yang lain. Kita pun pernah muda, bang... Saya yakin Nuha tak akan khianati kebebasan yang kita beri pada dia."

"Harap-harap macam itulah. Awak jangan lupa, kalau budak lelaki tu jadi nak datang, suruh Rushdi, Norman dan Haikal balik. Biar dia kenal dengan abang-abang Nuha. Dan biar juga anak-anak kita kenal dengan lelaki yang dah dipilih oleh adik mereka tu."

"Hurm... Yalah. Nanti saya telefon budak-budak bertiga tu. Mesti terkejut masing-masing kalau tahu tentang berita ni." Hajah Fatim sudah ketawa kecil. Abang-abang Nuha memang selalu melindungi Nuha. Apa sahaja permintaan Nuha, jarang sangat tidak ditunaikan. Hajah Fatim sudah dapat membayangkan, pasti bermacam-macam soalan bakal anak-anaknya tanyakan kepada teman lelaki Nuha nanti. Biarlah, mereka pun pasti mahukan yang terbaik buat satu-satunya adik perempuan mereka.

"Apa mak? Tajul nak kahwin?" Suara Liza sudah sedikit tinggi. Sedikit terkejut mendengar khabar daripada emaknya.

"Ya. Macam itulah katanya. Dah yang kamu macam terkejut sangat ni kenapa?"

"Terkejutlah, sebab ada juga perempuan yang mahukan dia. Boleh ke perempuan tu bertahan dengan perangai panas baran dia tu? Jangan nanti mula-mula aje kata nak, bila dah dekat dengan hari langsungnya, pengantin perempuan lari sebab tak sanggup nak hadap perangai kepala angin anak mak tu. Malu keluarga kita ni nanti mak."

"Hesy, kamu ni... Itu kan adik kamu. Doakanlah yang baik-baik. Ini disebutnya benda yang tidak-tidak sahaja," marah Puan Mona. Tahulah dia yang Tajul dengan Liza itu tidak sebulu, tidak pernah sekata, tetapi sebagai kakak, rasanya tidak patutlah pula Liza nak mendoakan yang bukan-bukan.

"Bukannya Liza doakan yang buruk-buruk. Liza ni bimbang. Emak bukan tak kenal Tajul tu macam mana. Peti sejuk emak pun pernah terbalik ditendangnya. Itu baru sebab marah nasi lambat masak. Kalau sebab lain macam mana pula agaknya? Mahu lunyai anak orang tu dikerjakannya."

"Alah... Ayah kamu pun macam tu juga masa muda-muda dulu. Nanti adik kamu tu berubahlah sikit-sikit.Tambah-tambah bila dah berkahwin, dah ada isteri, dah ada anak. Takkanlah perangai dia selama-lamanya macam tu." Puan Mona cuba untuk mengubah tanggapan buruk Liza terhadap adiknya sendiri.

"Saya cuma cakap aje. Itu pun kalau dia berubah. Kalau sampai bila-bila perangai dia macam tu, ha... Macam mana?"

"Eh, kamu ni... Ini yang Tajul marah sangat dengan kamu ni tau! Mulut tu tak tahu nak jaga. Pandailah isteri dia mengubah Tajul tu nanti." Liza ketawa kecil. Mudah sungguh cara emaknya berfikir.

"Emak, bukan tugas isteri tau nak mendidik suami. Suami tu yang perlu ada ilmu untuk mendidik isteri. Aduh, kasihannya saya pada budak perempuan tu! Dia belum betul-betul kenal Tajul lagi nampak gayanya tu."

"Dahlah! Malaslah emak nak bercakap dengan kamu ni. Buat menyakitkan hati aje." Liza ketawa terkekeh-kekeh mendengar suara emaknya yang sudah kedengaran marah-marah. Emak manalah boleh disentuh tentang Tajul tu. Tajul itu kan anak kesayangan emak.

"Abang Arham dah tahu belum tentang ni, mak?"

"Dah. Emak dah beritahu dia petang tadi."

"Dah tu apa katanya?"

"Nak kata apa lagi? Alhamdulillah sahajalah. Dia bukannya macam kamu, menceceh yang bukan-bukan," tempelak Puan Mona.

"Manalah tahu, dah dua orang adik melangkah bendul. Kalau-kalaulah terbuka hati Abang Arham tu nak mendirikan rumah tangga bila dengar berita tentang Tajul ni."

"Dia langsung tak hairan pun... Puas dah emak risik. Katanya dia tak ada berkawan dengan sesiapa. Tunggu sahajalah, ada jodoh, dia akan berkahwin juga nanti. Mak pun malaslah nak paksa-paksa dia. Nanti lain pula jadinya."

"Jodoh tu kena usaha juga mak. Bukannya main pakai tunggu sahaja turun dari langit," bidas Liza. Arham, abang sulungnya itu sudah menjangkau usia dua puluh sembilan tahun, tapi sehingga kini masih belum ada tanda-tanda mahu mendirikan rumah tangga. Dia yang berusia setahun lebih muda daripada Arham pun sudah ada dua orang anak. Dia dan Suffian berkahwin sewaktu dia berada dalam tahun akhir di universiti. Anak sulungnya pun sudah bersekolah tadika.

"Entahlah. Biarlah abang kamu tu. Emak malas nak masuk campur." Arham bukan suka jika soal jodoh dibangkitkan di depannya. Jadi lebih baik jangan sesiapa pun menyibuk tentang soal jodoh untuk Arham. Pandailah Arham mengatur kehidupannya. Dia bukannya anak kecil lagi. Sudah layak bergelar bapa budak pun.

"Yalah mak. Nanti kalau dapat balik, saya balik. Nak juga saya berkenalan dengan bakal adik ipar saya tu."

"Kamu jangan pula beritahu Tajul tentang ni. Tajul awal-awal lagi dah pesan pada mak, jangan beritahu kamu atau pun Abang Arham kamu tu. Tak mahu kamu datang dan takutkan bakal isteri dia dengan mulut kamu yang tak bertapis tu. Kalau kamu datang pun, pura-pura macam kamu tak tahu. Buat-buatlah macam kamu terlanjur singgah di rumah emak ni."

"Amboi, sedapnya dia mengata orang! Macamlah perangai dia tu macam malaikat. Tak sedar yang perangai dia tu macam..."

"Sudah! Dalam telefon pun nak mengata kawan tu. Macam manalah Si Tajul tu tak marah?" pintas Puan Mona sebelum sempat Liza menghabiskan ayatnya. Liza mendengus.

"Yalah, yalah. Okeylah mak, saya nak balik dah ni. Nak mengambil budak berdua tu di rumah pengasuh pula lepas ni."

"Hati-hati memandu tu, Liza. Petang-petang ni jalan sibuk. Semua orang balik kerja," pesan Puan Mona. Usai memberikan salam, terus Liza mematikan talian.

"Awak buat apa tu?" Encik Hashim yang masuk ke dalam rumah menegur isterinya. Mengurut dada Puan Mona dibuatnya.

"Terkejut saya! Awak ni, nak saya mati awal agaknya?" marah Puan Mona. Salam tidak, apa pun tidak, tahu-tahu suaranya sahaja yang sudah kedengaran. Manalah tidak terkejut orang dibuatnya.

"Puas saya beri salam. Awak tu yang tak dengar. Awak berbual dengan siapa tadi? Skandal?" Tajam renungan Puan Mona hadiahkan buat suaminya itu.

"Skandal apa tua-tua macam ni? Awak jangan nak buat perangai masa muda-muda dulu. Cemburu buta tak tahu hujung pangkal. Sampai saya nak keluar menjemur baju pun kena awak temankan. Cemburu sangat kalau orang yang lalu-lalang depan rumah kita ni bersiul pada saya. Padahal tak ada orang pun yang nak pandang isteri awak ni." Puan Mona mengungkit kisah dulu-dulu. Encik Hashim tersenyum kecil.

"Itu kan kisah masa kita muda-muda. Suami manalah yang tak sayangkan isteri..."

"Itu yang perangai masa muda awak tu berjangkit pada Si Tajul tu. Panas baran, mudah melenting, cemburu buta. Harap-harap budak perempuan yang dia nak bawa balik untuk diperkenalkan pada kita nanti bersabarlah dengan perangai Tajul tu."

"Hurm... Tajul tu baran sangat! Saya mana ada macam tu," nafi Encik Hashim.

"Hah, yalah tu! Harapkan saya ni sabar aje menghadap perangai awak tu dulu. Kalau tidak, dah lama kita bercerai-berai, Encik Hashim oi!" bidas Puan Mona. Dulu, mahu mengangkat muka pun dia tidak berani. Garangnya Encik Hashim tidak kira masa. Asal datang sahaja angin tidak kena, apa sahaja yang berada di tangan akan dilemparnya. Jika tidak kerana kenangkan anak-anak, sudah lama agaknya Puan Mona itu angkat kaki meninggalkan Encik Hashim terkulat-kulat seorang diri.

"Yalah, awak betul... Tapi awak patut bersyukur juga. Garang-garang saya pun, saya ni setia pada awak seorang. Tak pernah saya duakan awak." Puan Mona mencebik. Kata-kata Encik Hashim memang ada benarnya. Dalam pada panas baran dan cemburu buta, tapi Encik Hashim memang sangat setia orangnya. Untuk itu, markah penuh Puan Mona boleh berikan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co