Bab 7
"Awak, saya minta maaf." Lebih setengah jam Nuha mendiamkan diri, membiarkan Tajul mengomel marah sendirian, akhirnya lelaki itu meminta maaf kepada Nuha.
Nuha diam sahaja. Kalau menjawab, bimbang entah apa pula bakal disimbah Tajul kepadanya. Nasib tidak baik, dia pula jadi pengganti stereng yang ditampar Tajul tadi.
"Awak... Dengar tak ni? Saya betul-betul minta maaf. Saya memang tak dapat tahan bila tengok awak bercakap, tersenyum dan melayan lelaki lain. Saya cemburu, awak... Sakit sangat dalam dada saya ni bila awak layan lelaki lain tau. Saya tahu saya agak melampau tadi. Tapi percayalah, tindakan saya tadi tu didorong oleh rasa sayang saya pada awak. Kalau tak sayang, saya tak buat macam tu."
Agak melampau? Nuha tertanya-tanya sendiri. Bukankah perkataan keterlaluan adalah lebih sesuai untuk merujuk atas apa yang sudah dilakukan Tajul terhadapnya tadi? Habis sebotol air mineral disimbahnya ke muka aku untuk menyedarkan aku katanya. Dan perbuatan itu dia cuma kategorikan sebagai agak melampau. Huh! Langsung tak masuk akal! Hati Nuha mendongkol geram.
"Nuha sayang, janganlah macam ni. Pasangan mana yang tak pernah bergaduh? Itu kan adat dalam mana-mana perhubungan. Sayang pernah tak terdengar atau terbaca di mana-mana, mengikut kajian, pasangan yang paling bahagia ialah pasangan yang selalu bertekak, selalu berselisih faham. Jadi bukanlah satu perkara yang pelik atau salah pun kalau kita bergaduh. Itu kan rencah dalam mana-mana hubungan. Mana ada hubungan yang langsung tidak pernah berkocak." Suara Tajul semakin lunak. Salah-salah dengar, mungkin orang akan menyangka Tajul itu juruhebah radio yang bertugas membaca kisah cinta yang dikirimkan pendengar pada waktu lewat malam.
"Saya rasa terhina dengan perbuatan awak tu, tau tak? Awak nak cemburu pun, berpada-padalah. Bukannya saya kenal pun lelaki tu. Saya cuma terlanggar dia, then minta maaf dan dia tolong saya kutip barang-barang yang dah bertabur atas lantai tu. Itu sahaja. Itu pun awak nak cemburu macam ni? Sampai simbah muka saya dengan air? Besar sangat ke salah saya tu?" Nuha meluahkan rasa hati yang terbuku.
"Okey, okey, okey. Saya salah. Saya janji, lain kali saya tak buat lagi. Kalau saya buat, awak nak tarik telinga saya sampai tercabut pun tak apa. Kalau awak nak pukul saya pun saya rela. Tapi janganlah buat muka masam macam tu. Saya susah hati bila awak diam aje tak mahu bercakap dengan saya. Kita dahlah nak pergi jumpa mak ayah saya ni. Nanti apa pula kata mereka bila tengok bakal menantu mereka ni masam aje mukanya. Nanti mereka ingat saya yang paksa awak supaya kahwin dengan saya. Maafkan saya ya, awak..." Suara Tajul mula meleret. Suara mohon simpati kata orang.
Nuha diam. Hatinya masih lagi terasa dengan perbuatan Tajul tadi.
"Awak dah tak sayang pada saya ke? Saya susah-susah pergi jumpa family awak, minta izin nak jadikan awak sebagai isteri saya. Bila sampai giliran saya nak perkenalkan awak pada family saya, macam ni pula jadinya. Tak apalah kalau awak tak mahu maafkan saya. Nak saya patah balik ke? Nanti saya beritahulah pada keluarga saya, yang saya dah sakitkan hati awak. Jadi hari ni awak tak dapat datang jumpa mereka seperti yang dah kita rancang. Kasihan mak saya dah bersusah payah memasak, mengemas rumah demi nak sambut bakal menantu dia ni." Tajul semakin hebat mengarang ayat.
"Betul lain kali awak tak buat lagi? Janji?" Nuha meminta kepastian. Tajul tersenyum. Akhirnya berjaya juga dia melembutkan hati Nuha. Ah, hati perempuan. Kerak nasi pun lagi keras kalau nak dibandingkan dengan hati perempuan ni. Pujuk sikit, guna ayat-ayat manis bergula untuk beli jiwa, lembutlah dia. Bukannya susah sangat pun nak pegang hati perempuan ni. Tajul berasa bangga pula dengan kehebatannya dalam soal pujuk-memujuk.
"Ya, saya janji! Dah, tak mahu masam-masam muka. Macam mana nak kahwin ni kalau kata-kata bakal suami pun tak mahu percaya?" Nuha mencebik. Tajul memang bijak dalam soal memujuk. Lagipun, mungkin tadi Tajul tersilap. Siapalah dia untuk menghukum Tajul lama-lama? Ini baru dugaan macam ini. Nanti kalau dah bertunang, dah berkahwin, tentu lagi hebat dugaannya. Bersabar dan belajarlah untuk memaafkan wahai Cik Nuha, bisik Nuha.
Kereta yang dipandu Tajul akhirnya berhenti di hadapan sebuah rumah batu setingkat yang dicat dengan warna hijau lembut. Masuk sahaja simpang menuju ke rumahnya, Tajul sudah siap-siap berpesan, Nuha jangan terlalu ramah dengan ahli keluarganya. Tajul tidak suka. Hairan juga Nuha dibuatnya. Tapi mahu bertanya, dia bimbang mood Tajul bakal berubah pula.
Beberapa batang pokok rambutan yang baru belajar berputik menarik perhatian Nuha. Maklumlah, di rumah kedua-dua orang tuanya, walaupun terletak di kawasan kampung, tapi tidaklah seperti suasana di kampung Tajul. Rumah banglo dua tingkat atas tanah lot, besar mana sangatlah halamannya.
"Kita dah sampai. Jom! Tak sabar saya nak perkenalkan awak pada keluarga saya."
Tali pinggang keledar yang dipakai segera dilonggarkan. Dia membelek-belek tudungnya, mahu memastikan penampilannya nampak kemas dan nampak manis pada pandangan keluarga Tajul. Mujurlah tudungnya yang basah disimbah air tadi sudah pun kering. Sudah tidak nampak kesan tompokan air. Nuha menarik nafas dalam-dalam. Hatinya mula berdebar. Entah bagaimanalah agaknya penerimaan keluarga Tajul nanti.
"Ha, dah sampai pun." Seorang wanita yang wajahnya kelihatan lebih muda sedikit jika mahu dibandingkan dengan Hajah Fatim keluar menyambut mereka. Nuha segera menghulurkan tangan untuk bersalaman.
"Oh, inilah orangnya yang disebut-sebut Tajul tu, ya. Marilah kita masuk ke dalam dulu. Panas di luar ni." Wanita itu begitu ramah menyambut kedatangan Nuha. Nuha memandang Tajul. Tajul membalas dengan senyum sejuring.
"Emak saya," beritahu Tajul tanpa dipinta. Nuha mengangguk.
"Marilah masuk. Rumah saya tidaklah sebesar rumah awak. Rumah kampung aje." Tajul merendah diri.
Nuha tidak menjawab. Hatinya yang sedang berdebar kencang tidak mampu untuk menghadam kata-kata Tajul tadi. Kepalanya sibuk memikirkan penerimaan keluarga Tajul terhadapnya. Tidak lupa, turut diingatnya semula jawapan-jawapan yang sudah disediakan untuk soalan yang dia ramalkan bakal ditanya oleh keluarga bakal mentuanya ini.
"Duduklah, Nuha. Buatlah macam rumah sendiri. Rumah ni bersepah sikit. Maklumlah, kakaknya Si Tajul ni balik. Anak-anak buah Si Tajul ni tengah lasak. Tak sempat nak berkemas mak cik." Puan Mona ramah bercerita. Nuha tetaplah seperti tadi. Hanya mampu menarik senyum.
"Kak Liza ada datang ke, mak? Tak nampak pun kereta Abang Suffian dekat luar." Tajul bertanya. Dalam hatinya sudah merungut. Macamlah tak ada hari lain mahu datang ke rumah emak. Hari ini jugalah yang dipilihnya.
"Ada. Datang dari semalam lagi. Abang Suffian kamu kerja luar daerah seminggu. Kak Liza kamu tak berani nak tinggal di rumah dengan anak-anak aje. Kes pecah rumah semakin menjadi-jadi sekarang. Itu yang Abang Suffian hantar Kak Liza kamu ke sini." Liza tinggal di daerah itu juga. Kawasan perumahan tempat Liza tinggal selang tiga buah kampung dari rumah Puan Mona.
"Habis tu, Kak Liza nak pergi kerja naik apa? Kereta dia tak ada pun di depan tu. Atau dia ambil cuti sepanjang Abang Suffian tak ada ni?"
"Hesy, kamu ni! Yuna tu kan dah bersekolah. Manalah boleh main ikut suka hati aje nak bercuti. Tertinggal budak tu dalam pelajaran nanti. Kereta Kak Liza kamu petang nanti Abang Arham tolong ambilkan di rumahnya. Ayah kamu pun ikut sekali nanti. Kalau tidak, siapa pula yang nak pandu kereta Si Liza tu?"
"Ada balik juga dia? Mana keretanya?" Wajah Tajul sudah sedikit berubah. Arham, abangnya yang sulung. Bekerja sebagai jurutera perunding di salah sebuah syarikat minyak yang berpengkalan di Norway dan mempunyai beberapa anak syarikat di Malaysia termasuklah di Kuantan, Johor Bahru dan juga Pulau Pinang.
"Keluar pergi melihat tanah yang bercadang nak dibelinya tu." Puan Mona yang tidak menyedari perubahan wajah Tajul terus sahaja menjawab. Jawapan yang membuatkan hati Tajul semakin jengkel.
"Nuha, duduklah dulu ya. Sekejap lagi, pak cik dan Abang Arham balik, kita makan tengah hari sama-sama." Puan Mona terus mengambil tempat duduk bertentangan dengan Nuha. Tapak tangan Nuha mula terasa sejuk apabila mata Puan Mona asyik memandang ke arahnya.
"Tak payahlah tunggu dia orang tu. Kita makan ajelah dulu. Entah pukul berapa balik pun kita tak tahu." Tajul yang sudah masam mukanya turut mengambil tempat bersebelahan dengan Nuha.
Nuha yang perasan dengan perubahan air muka Tajul tidak berani mahu bersuara. Dia tidak tahu apa-apa, lebih elok kalau dia diam sahaja.
"Eh, kamu ni... Tunggulah sekejap lagi. Abang kamu beritahu tadi tak lama. Cuma nak pergi tengok kawasan tu aje. Yalah, takut terkena kawasan yang berpaya atau tanah rendah, tak fasal-fasal pula abang kamu kena keluarkan duit untuk menambak tanah."
"Dia kan banyak duit. Setakat nak keluarkan duit untuk menambak tanah, tak luak gaji sebulan dia tu." Sinis sahaja kedengaran suara Tajul. Puan Mona buat-buat tidak faham. Anak-anaknya memang dari kecil hinggalah ke besar, jarang benar mahu serasi antara satu sama lain. Ada sahaja yang mahu mereka tengkarkan.
"Tunggulah sekejap... Nuha boleh sabar, kan? Atau Nuha dah lapar?" Nuha tersenyum lagi sambil menggelengkan kepalanya.
Puan Mona merenung gadis yang mahu dijadikan sebagai menantunya. Sejak tadi, sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulut teman wanita Tajul ini. Naik hairan Puan Mona dibuatnya. Bisu ke budak ni? Puan Mona tertanya-tanya sendiri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co