Truyen3h.Co

DIA BUKAN SYURGA

Bab 6

karyaseni2u

Hujung minggu itu Tajul pulang ke rumah orang tuanya. Nuha juga turut diangkutnya bersama untuk diperkenalkan kepada kedua-dua ibu bapanya. Sejak dari dalam kereta Nuha sudah gelisah semacam. Tajul yang sedang memandu di sebelah buat-buat tidak nampak. Biasalah, siapa yang tidak berdebar mahu berjumpa keluarga bakal mentua buat pertama kalinya.

"Awak, siapa lagi yang ada dekat rumah mak ayah awak tu?"

"Kalau hari-hari biasa cuma tinggal mak, ayah ajelah. Adik lelaki yang bongsu itu tinggal di asrama. Tapi kalau hujung minggu, ada juga kadang-kadang tu abang dan kakak saya balik. Kenapa, takut?"

Sudah gaharu cendana pula, getus hati Nuha. Geram pula melihat wajah Tajul yang asyik tersenyum-senyum. Sengaja mahu mendera perasaan dialah tu.

Minggu lepas, giliran dia membawa pulang Tajul ke rumah kedua-dua orang tuanya di Bangi. Teruk juga Tajul disoal siasat oleh abang-abangnya. Manakala abahnya, Haji Marwan cuma sesekali menyampuk bertanya tentang keluarga Tajul, pekerjaan Tajul dan lain-lain soalan yang berkaitan.

Pulang sahaja Tajul dari lawatan yang bertujuan untuk mengenali keluarga bakal mentuanya, Nuha terus diasak dengan pelbagai soalan yang boleh membuatkan nafasnya terasa sesak. Rimas Nuha apabila menjadi sekuntum bunga di antara tiga ekor kumbang yang ada dalam keluarganya. Semuanya abang-abang nak ambil tahu. Tak ada satu pun yang boleh terlepas.

Malamnya sewaktu mereka sekeluarga berkumpul sambil berbincang tentang hajat Tajul yang mahu meminangnya, bermacam-macamlah komen yang keluar dari mulut masing-masing.

Komen Rushdi, abang sulungnya, Tajul nampak bersungguh-sungguh mahu mengambil Nuha sebagai isterinya yang sah. Adab dan kelakuannya juga nampak baik.Tapi itu tidak boleh dijadikan sebagai ukuran. Tajul itu baru kali pertama datang berkunjung ke rumah mereka, baru kali pertama bertemu, pastilah perangai yang elok-elok sahaja yang dipertontonkan olehnya.

Kata Norman, abangnya yang kedua pula. Rupa ada, pekerjaan pun boleh tahan. Tapi dia terasa seolah-olah ada sesuatu yang dia kurang berkenan dengan Tajul. Tajul nampak tidak sukakan budak-budak. Apabila ditanyakan bukti, kata Abang Norman, waktu Dina, anaknya yang baru masuk tadika tahun ini datang dekat, kononnya mahu menunjukkan Tajul anak patung yang baru dibeli ibunya petang semalam, mata Tajul bukan main tajam memandang anak itu. Siap disuruhnya pergi main jauh-jauh. Berdesing juga telinga Norman yang kebetulan mendengarnya.

Nuha pantas membela. Katanya Tajul itu memang tidak biasa dengan budak-budak. Adiknya sendiri sudah berada di tingkatan lima. Anak-anak saudara cuma dua orang. Itu pun jarang-jarang bertemu. Jadi tidak hairanlah kalau Tajul tidak tahu cara untuk melayan budak-budak. Bila dah berkahwin, dah bergaul dengan anak-anak saudaranya yang seramai enam orang itu, tentu Tajul akan berubah. Apatah lagi apabila mereka sudah berkahwin dan mempunyai anak sendiri kelak. Haji Marwan mengangguk-anggukkan kepalanya. Masuk akal juga penjelasan yang diberikan Nuha.

Abang ketiganya, Haikal pula memberikan ulasan yang selari dengan Abang Norman. Cuma ada sedikit tambahan, Tajul itu agak berat mulut orangnya. Memanglah, itu memang Nuha tidak dapat nafikan. Tajul memang payah sikit mahu memulakan perbualan. Lebih suka mendengar dan memerhatikan orang yang sedang berbual. Jika diajak, barulah dia akan menyampuk.

Akhirnya, tiba masanya Haji Marwan pula membuat kesimpulan. Jika itu pilihan Nuha, dia dan Hajah Fatim bersetuju sahaja. Nuha yang lebih mengenali Tajul, Nuha yang mahu hidup bersama Tajul. Cuma pinta Haji Marwan, jika Tajul itu benar-benar berhajat, biarlah semuanya dibuat mengikut adat dan syarak. Kalau boleh, Haji Marwan mahu menyegerakan segala urusan walimatul urus kedua-duanya. Hatinya bimbang memikirkan Tajul dan Nuha yang berjumpa hampir saban hari. Risau jikalau iblis mampu meniupkan bisikannya kepada kedua-dua umat yang sedang asyik dilamun cinta.

"Berangan apa tersenyum-senyum seorang diri tu?" Suara Tajul tiba-tiba membawa Nuha kembali ke alam realiti.

Nuha tersenyum malu. Jauh benar dia melamun sehinggakan tidak sedar mereka sudah semakin hampir dengan destinasi yang dituju.

"Tak ada apa. Cuma teringatkan sesuatu aje."

"Teringatkan sesuatu tak apa. Jangan teringatkan lelaki lain, sudah! Siaplah awak kalau saya dapat tahu." Menyangka yang kata-kata Tajul itu sebagai satu gurauan, Nuha ketawa kecil. Bahagia kerana Tajul cemburu. Bukankah cemburu itu tandanya sayang?

"Alah, awak ni. Itu pun nak cemburu. Manalah saya teringatkan orang lain. Awak dah cukup bagi saya," balas Nuha lembut. Tajul mengerling sekilas. Hatinya yang baru mahu panas terasa sejuk semula mendengar kata-kata Nuha.

"Awak, minyak macam dah nak habislah. Tengok, meternya dah berkelip-kelip." Tajul memandang ke arah meter minyak yang dikatakan Nuha tadi. Tiba-tiba dia menepuk dahi.

"Kenapa awak?" Hairan Nuha, tidak semena-mena Tajul menepuk dahi. Ada nyamuk ke yang hinggap di dahi bakal suaminya itu atau mungkinkah Tajul terlupa akan sesuatu?

"Saya terlupa nak isi minyak tadi. Saya ingatkan sebelum ambil awak, nak singgah isi minyak dulu. Tapi pagi tadi terlewat bangun pula. Terkocoh-kocoh takut terlewat jemput awak dekat rumah, itu yang langsung terlupa." Aduh! Tajul rasa mahu sahaja dia menghentak stereng sekuat hatinya. Terlupa macam orang tua nyanyuk! Dia mengutuk dirinya sendiri. Dadanya mula berdebar. Bimbang kalau-kalau minyak yang sedia ada di dalam tangki tidak mampu untuk menampung hingga mereka sampai ke stesen minyak yang terdekat.

"Tak apa. Saya rasa cukup lagi tu. Dalam sepuluh kilometer lagi ada hentian rehat dan rawat. Kita berhentilah isi minyak."

"Ini awak punya fasal! Cuba kalau awak kejutkan saya pagi tadi. Kalau awak tolong kejutkan, tak adalah saya terlewat bangun. Bila saya tak terlewat bangun, maka saya tidaklah tergesa-gesa nak pergi jemput awak sampai lupa semuanya. Ini macam mana nak buat ni kalau minyak habis tengah jalan? Awak nak tolong tolak kereta ni ke? Lain kali tak payah tunggu saya beritahu atau pesan. Dah tahu kita ada urusan pagi ni, tolonglah kejutkan saya. Telefon ke, WhatsApp ke, mesej ke. Itu pun nak kena aku ajar!" Nuha terkebil-kebil memandang Tajul yang tiba-tiba sahaja naik angin.

Pap! Nuha terkejut. Bergegar stereng kereta ditampar Tajul. Mulutnya mendesit menahan marah. Nuha memeluk beg tangan yang berada di atas ribanya erat-erat. Hatinya mula bimbang dengan perubahan sikap Tajul yang tiba-tiba sahaja naik angin tidak semena-mena.

Sambil mulut Tajul tidak henti-henti membebel tidak tahu hujung pangkal, mulut Nuha juga tidak berhenti-henti berzikir. Berharap agar kemarahan Tajul cepat-cepat pergi. Jauh lagi perjalanan yang perlu mereka tempuhi. Jika sepanjang perjalanan beginilah emosi Tajul, panaslah punggung Nuha yang duduk di sebelah jawabnya.

Mujurlah tidak lama kemudian, mereka akhirnya tiba di hentian rehat yang terdekat. Tajul menarik nafas lega. Barulah mukanya kelihatan cerah semula.

"Awak, saya nak ke tandas sekejap, boleh tak?" pinta Nuha. Sejak tadi dia terasa mahu membuang air kecil. Berdebar mahu berjumpa dengan keluarga Tajul dan ketakutan dengan sikap Tajul di dalam kereta tadi.

"Hurm, pergilah. Hati-hati." Sempat Tajul berpesan. Nuha yang sedikit kecil hati dengan kemarahan yang dihamburkan Tajul kepadanya tadi mula rasa terpujuk.

Cepat-cepat Nuha berjalan ke arah tandas yang berada di bahagian belakang stesen minyak itu. Ada beberapa orang wanita yang sedang menunggu giliran untuk memasuki bilik air yang cuma tiga buah itu. Mahu tidak mahu, Nuha pun turut beratur sama.

Selesai urusan di bilik air, Nuha singgah sebentar di dalam kedai serbaneka yang terdapat di stesen minyak tersebut. Mahu membeli gula-gula dan minuman sebagai bekalan. Lama duduk di dalam kereta membuatkan tekaknya terasa dahaga pula.

Selesai mengambil sepeket gula-gula Hacks dan dua botol air mineral, Nuha cepat-cepat berjalan ke arah Tajul yang sudah pun selesai mengisi minyak dan sedang berada di dalam kereta menunggunya di luar.

"Eh, maaf! Saya tak nampak." Dek kelam-kabut mahu cepat, Nuha sampai tidak nampak pemuda yang baru melepasi pintu masuk serbaneka itu. Bertaburan barang-barang yang dibelinya tadi di atas lantai. Pemuda yang dilanggar Nuha cepat-cepat menolong mengutip kembali gula-gula dan air yang dibelinya tadi. Diunjuknya barang-barang yang sudah dikutipnya kepada Nuha yang turut sama mengutip.

"Terima kasih. Minta maaf sangat, ya." Pemuda itu hanya tersenyum. Sudah dua kali ucapan itu didengarnya daripada Nuha.

"Tak mengapa. Salah saya juga." Nuha senyum sejuring sebelum cepat-cepat menuju ke arah Tajul yang sedang memandangnya dari dalam kereta.

Pintu kereta di sebelah tempat duduk pemandu dibuka Nuha. Punggungnya dilabuhkan. Pintu kereta ditutupnya kembali.

"Saya ada belikan air dan gula-gula untuk awak. Boleh buat hilang mengantuk," beritahu Nuha.

Tajul diam sahaja. Terus sahaja memandu keluar dari kawasan itu. Nuha yang sibuk membuka penutup botol air mineral itu langsung tidak menyedari riak wajah Tajul yang sudah berubah sejak tadi.

"Awak nak air?" tanya Nuha. Tajul tidak menjawab, tetapi hanya menghulurkan tangannya sahaja.

Nuha memberikan botol air yang sudah dibuka penutupnya kepada Tajul. Tajul mengambilnya.

Splash!

Nuha yang baru mahu membuka plastik peket gula-gula yang dibelinya tadi tergamam. Matanya memandang sebahagian baju kurung yang dipakainya yang sudah pun dibasahi air. Dia meraba pula tudung yang berada di atas kepalanya. Basah!

Tajul melemparkan botol air yang sudah kosong ke tempat duduk belakang. Dia terus memandu dengan wajah tanpa perasaan. Matanya langsung tidak memandang ke arah Nuha sebaliknya terus memandang ke arah lebuh raya yang tidak begitu sibuk hari ini.

Nuha yang masih dalam keadaan terkejut memandang wajah Tajul dengan pandangan tidak percaya. Mulutnya sedikit terbuka.

"Kenapa? Terharu kena simbah dengan air hari ni?" Sinis soalan Tajul. Tiba-tiba dia menarik senyum. Mengejek. Dia mengerling ke arah Nuha di sebelah.

"Air itu untuk menyedarkan awak supaya jangan jadi perempuan murahan. Awak ingat saya ni tunggul aje nak melihat segala perbuatan awak? Dah puas saya pesan, awak kena jaga diri awak tu baik-baik. Maruah awak tu jangan nak dijaja merata-rata. Awak tu milik saya, bukan milik orang ramai. Saya tak suka hak milik saya dikongsi dengan orang lain."

"Awak..." Nuha cuba untuk membela diri.

"Saya tak suka bila saya bercakap, awak pun bercakap! Bila saya bercakap, awak kena diam. Faham?" Belum pun sempat Nuha menghabiskan ayatnya, Tajul terus memotong. Pantang betul apabila dia sedang bercakap, Nuha juga mahu bercakap.

"Awak dengar sini baik-baik. Saya tak suka awak tersenyum, bercakap atau melayan lelaki lain. Lebih-lebih lagi di depan saya. Macam perempuan tak ada maruah!"

"Awak cakap apa ni? Mana ada saya buat macam tu pun."

"Awak tu! Awak ingat saya tak nampak apa yang berlaku dekat stesen minyak tadi tu? Bukan main kau tersenyum, tersengih... Sempat pula kau bercakap dengan lelaki tadi tu. Jangan-jangan siap bertukar-tukar nombor telefon! Kau ingat aku ni apa? Tunggul? Tengok aje segala perbuatan kau?" Keras sekali suara Tajul. Nuha menarik nafas. Nampaknya Tajul sudah salah faham. Bukan itu sebenarnya yang berlaku. Nuha rasa dia perlu menerangkan kepada Tajul tentang cerita yang sebenarnya.

"Tadi saya terlanggar dia masa nak keluar dari kedai stesen minyak tu. Dah langgar orang, jadi saya pun minta maaflah dan lepas tu, dia tolong saya kutip barang-barang yang saya beli tadi tu semula. Itu aje. Bukannya saya..."

"Aku kata diam! Aku nampak semuanya. Kau tak payahlah nak membela diri kau. Nak menegakkan benang yang basah. Ini yang aku nampak. Yang aku tak nampak? Kerja sudahlah dekat tempat ramai jantan macam tu." Mulut Tajul terus membebel tidak tahu hujung pangkal. Nuha menarik nafas panjang. Terus menyandarkan tubuhnya di kusyen kereta. Putus asa rasanya untuk memahamkan Tajul tentang situasi yang sebenar. Lelah apabila Tajul langsung tidak mahu mendengar penjelasan yang dia berikan.

Bukan ini yang diharapkannya sepanjang perjalanan mereka ke rumah orang tua Tajul. Tiba-tiba dia mula rasa sangsi dengan keputusan yang telah dibuatnya. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co