Truyen3h.Co

Dia... Cinta Yang Kucari

Bab 6

karyaseni2u

MELIHATKAN Luth makan, Payed tak ada selera pula. Bukan tak cukup cantik tapi rasa bersalah tentang hal tadi. Balik nanti, satu hal dia kena terangkan dekat mummy dan abahnya. Lepas tu nak pergi bersihkan tanggapan hitam Palee kepada Luth.

Dia tak sengaja sebenarnya. Memang niat dia nak buka kemeja tu bagi Luth basuh dan lepas tu dia nak sarung baju singlet dan pakai kot dekat luar sementara tunggu kemeja itu kering.

"You marah I?"

Luth angkat wajah. Tisu dibawa ke tepi bibir dan dilap perlahan. Mata Payed jatuh pada bibir Luth yang nampak merah kebasahan. Terus dicapai jus tembikai dan diteguknya rakus tanpa menghiraukan straw yang berdiri tegak.

"Kenapa mesti nak marah?" soal Luth kembali.

Payed letak gelas tersebut di atas meja. "Hal tadi tu... Hal Palee..."

"Dia salah faham aje tu..." Sedaya upaya Luth tenangkan diri. Janganlah nak ungkit lagi. Dia dah nak lupakan ni.

"You tak marah sungguh ni?"

Luth angguk. "Benda tak betul nak marah buat apa? Kalau kata betul sekalipun, lagilah tak layak saya nak marah. Allah Maha Tahu, Encik Payed. Dahlah, abaikan. Makanlah..."

Ketenangan Luth benar-benar mencabar hati lelaki Payed. Dia rasa nak tampar aje pipi Palee. Biar tahu hormat abang sikit. Tak reti tengok orang betullah.

"Kalau gitu, I pun minta maaf..."

"Saya maafkan..." Kelopak mata Luth berkedip sekali dan kali ini, kudrat pada tangan Payed bagaikan hilang. Tak mampu dia nak angkat gelasnya.

"Luthfiya?"

"Erm..."

"Itu nama awak, kan?"

Luth angguk. Payed dah sedia maklum itu semua.

"Dari mana awak datang sebenarnya?"

Dahi Luth berkerut lebat. "Bumi. Bukan lain-lain planet." Dia dah mula meraba pipi kirinya. Takut yang terselindung terkesan. Boleh jadi sebab itu kut Payed nampak dia bagaikan alien.

Jawapan Luth buat Payed gelak. Dalam muka serius tu, ayat lawak boleh tahan. "I tahu you orang bumi... tapi kenapa tiba-tiba you boleh tercampak depan I, datang temu duga dan jadi staf I?" Wajah Payed penuh tanda tanya.

Luth hela nafas lega. Hampir. Takut dia. Takut kena buang kerja sebab keadaan diri yang tak sempurna. Mata mereka bertentangan. Payed dah tak senang duduk.

"Takdir Allah menghantar saya depan Encik Payed. Boleh terima tak jawapan tu?"

Gulp... Payed telan liur satu persatu. Dia masih belum mampu cerna, takdir yang dimaksudkan oleh Luth.

Di rumah – beranda.

Di pejabat – pembantu peribadi.

Di rumah – takdir yang Luth cakap tu, takdir untuk hidup berdua ke? Eh, merepek aku ni. Payed tampar pipi sendiri. Bagi sedar diri sikit. Sejak bila pandai berangan ni? Berangan tak dapat apa. Kalau boleh nak laksanakan terus. Setakat peluk bayang, tak mendatangkan nikmat!

"Errr... Ni I nak tanya you ni..." Air disisip seketika. "Kenapa you pakai tudung sampai ke depan? Kadang-kadang I tengok macam nak tertutup muka you. Nak tengok muka pun tak boleh," bebel Payed bersama cebikan.

Memang pun. Nak tengok wajah Luth, terpaksa dia intai dengan gigih. Apalah yang bertutup sangat? Tak rimas ke berbungkus?

Soalan itu buat Luth ketap bibir lantas tertunduk. Payed tak tahu. Semua orang tak tahu melainkan Fina, mama dan ayah aje yang tahu. Tapi, elok begini. Lagipun dia menutup aurat. Apa masalahnya?

"Kenapa?" Luth angkat wajah. Tepat memandang anak mata hitam Payed. "Penampilan saya ni menyakitkan mata Encik Payed ke?" Sinis. Sedikit keras.

Kening Payed terangkat dan mencebik. Memang Luth bukan calang-calang wanita. Dia dekatkan wajah dia di depan Luth.

"Mana ada menyakitkan mata. You nampak cantik apa?" Payed memuji tapi Luth bukan jenis mudah terbeli dengan pujian apabila sepanjang hidupnya hanya herdikan dan hinaan yang singgah pada pelupuk telinga.

Tiada kata lagi yang mampu diluahkan melainkan senyuman semata-mata. Saki-baki makanan terus disua ke dalam mulut. Biarlah bicara mereka tergantung sebab rasanya, dia tak akan lama kerja dengan Payed kalau beginilah sikap majikannya. Tak boleh dia bertahan begitu.

Apabila mengingati pandangan Palee yang sinis kepadanya, dia tertanya-tanya entah bila dia mampu betulkan keadaan walaupun sebenarnya pandangan sinis Palee itu tak memberi kesan pun kepada dirinya. Dia hanya mementingkan pandangan Allah, juga mama dan ayahnya.

Payed juga diam. Tak tahulah nak bagi ayat apa lagi hendak menarik Luth bersuara. Payah sungguh. Macam ada emas di dalam mulut tu. Dia sekadar melemparkan pandangan ke luar restoran. Nak makan dah kurang selera.

"Encik Palee tu memang betul adik Encik Payed ke?" Luth akhirnya bertanya memecahkan sepi antara mereka biarpun ruang di dalam restoran ini agak bising dengan gelak tawa dan pinggan berlaga dengan sudu.

"Memang betullah tu. Kan I dah kenalkan nama dia. Kenapa you tanya? Nampak kami beza ke apa?"

"Nothing..." Luth geleng kepala dua tiga kali. Dia angkat kelopak mata dan merenung Payed buat sesaat dua. "Just wondering."

Payed ukir senyuman kelat. Tahu apa yang Luth fikirkan. Sebenarnya semua orang fikir macam tu. Dia dan Palee biarpun seibu dan sebapa tapi tak pernah rapat. Cuma mereka tak pernah bergaduh melainkan saling menyindir.

"Nama pun dah lain, Luth. Mana boleh nak sama..."

Memang. Luth jawab tapi dalam hati. Hidangan di depan mata masih berbaki tapi perutnya dah kenyang. Macam tak sangka pula bos ajak makan hari ni. Okeylah, rezeki. Rezeki Anis juga biarpun Anis dan kawan-kawan yang lain duduk dekat meja sana.

"Tapi, bukan ke Encik Payed dengan dia sedarah sedaging?" Luth masih kurang mengerti tentang perkara yang satu ni.

Aduh... Nak tepuk dahi boleh tak? Payed rasa memang kalah kalau berbahas dengan Luth. Ada saja soalan. Tapi, dia pun mana boleh kalah.

"Sedarah sedaging pun, you dan masyarakat tak boleh nak samakan I dengan dia..."

"Ya... Saya tahu," cantas Luth. Sekali lagi mata mereka bertentangan. Luth tarik tudung dia sedikit. "Iman memang tak dapat diwarisi, Encik Payed. Saya tahu tu..."

Payed telan liur yang dirasakan berpasir. Ikut hati dia... Kalau ikut hati dia, dia nak buat perempuan beku di depan dia ni rebah di atas ribaannya.

"You nak cakap I jahat?"

Perlahan, Luth menggeleng. Senyuman hambar terukir tapi tak lama. Payed dah salah faham ni. Dia tak maksudkan macam tu pun.

"Saya tak kenal Encik Payed dengan baik. Kalau kata saya kenal pun, saya tetap tak ada hak untuk judge Encik Payed jahat ke apa. Encik Payed seluruhnya milik Allah. Hanya Allah boleh nilai Encik Payed. Saya ni..." Luth menggeleng. "Tak layak saya..."

Kali ini Payed benar-benar terpukul. Rahang diketap kuat. Penumbuk digenggam kemas. Sabar dia menipis. Pertama kali disinis oleh seorang gadis, buat dia rasa benar-benar tercabar.

Kalau tak difikirkan amaran keras Luth agar tak memegang lengan gadis itu lagi, dah lama dia heret Luth ikut suka hati dia. Biar Luth tahu jangan dicabar darah seorang lelaki muda yang mudah mendidih.

Tapi, Payed tetap berdiri tegak. Dia dah sedia nak berlalu. Tak betah dah dia nak berdepan dengan Luth buat masa ni.

"Anis..." Langkahnya mati apabila melintasi meja Anis dan beberapa orang staf lagi yang sedang makan. Diletakkan sekeping kad warna krom di depan Anis. "Bayar makanan ni semua... Nanti pulang kad tu dekat I," pesan Payed.

Tanpa menanti Anis bersuara, Payed ayun langkah kaki. Tangan diseluk ke dalam saku seluar. Butang kot dibiarkan terbuka dan membiarkan tubuhnya sekadar terdedah dibaluti singlet putih. Dada dia terasa sesak. Hati dia sakit.

Hati Luth dicekam rasa bersalah. Dia dah terlanjur kata. Tak sedar diri tu siapa. Luth bingkas bangun. Dia mendekati Anis. Disentuh bahu Anis dan menghadiahkan yang lain sebuah senyuman tipis.

"Saya gerak dulu. Petang ni ada meeting..." Itu alasan yang konkrit. Ini mesyuarat pertama dia. Mesyuarat pertama dengan bos besar.

"Okay. See you then..." Anis melambai diikuti yang lain juga. Luth terus bergegas keluar. Dari jauh, nampak Payed menapak laju menuju ke arah menara.

Langkah kaki dilajukan dan ada masanya, Luth bagai berlari-lari anak mengejar langkah Payed yang panjang. "Encik Payed... Wait." Luth mengah. Rasa tak lepas nak hela nafas sebaik saja dia menapak di sebelah Payed.

"I tak paksa you berlari kejar I pun." Sinis. Luth terkedu seketika. Makin sesak nafas dia. "Lagipun, kenapa tak habiskan makan dan naik sama dengan dia orang?"

"Errr... Kita ada meeting petang ni, kan?"

Payed geleng. "Batal. Palee SMS I tadi..." Mendatar suara Payed. Semakin laju dia melangkah masuk ke dalam menara. Mahu membiarkan Luth sendiri menapak mengejarnya.

"Encik Payed, please..." Pintu lif ditahan dengan tangan. Tersepit tapi terbuka kembali. Wajah Luth menyeringai. Wajah Payed cuak dan spontan, dia tarik Luth masuk ke dalam lif lalu tangan mulus itu dibelek penuh risau.

"Are you hurt?"

Ternyata, Luth yang gamam tak terkata apa-apa.

"Sakit tak?"

Geleng.

"Betul ni?"

Angguk.

"Don't you ever do such a stupid thing again. Kalau luka tadi macam mana?" sergah Payed di luar sedar.

Perlahan-lahan Luth tarik tangan dia dari genggaman Payed. "Maaf, Encik Payed. Saya tak sengaja."

"Tak sengaja apa? You sengaja letak tangan you tadi..."

Salah faham tu. Luth maksudkan hal lain. Dia tak sengaja kata macam tu tadi dekat restoran tapi itulah hakikatnya. Boleh jadi Payed rasa disindir sebab itu bos dia tu berlalu dalam keadaan marah. Sampai makanan pun tak luak.

"Saya minta maaf cakap macam tu kepada Encik Payed tadi," pinta Luth sekali lagi.

Payed terdiam. Dia menggeleng sambil meraup wajah. Kata-kata Luth terdengar lagi. Suara sinis Luth. Wajah seorang gadis di beranda rumahnya menerjah ingatan. Dia masih tak mahu beritahu Luth tentang tu. Dia nak simpan jadi rahsia dia. Lagipun, dia tak pasti sama ada betul atau tidak Luth ini dengan Luthfiya yang itu orang yang sama.

"Tak apalah." Payed terus menapak keluar apabila pintu lif terkuak lebar di tingkat 21.

Kaki Luth beku nak melangkah. Dia hanya berdiri di depan pintu lif yang telah tertutup rapat. Hinggalah satu suara menegur, barulah Luth tersedar.

"Buat apa kat sini?" Palee menyoal tenang.

"Erk..." Luth lap birai matanya. "Saya baru balik makan tengah hari," jawab Luth.

Palee senyum. "Dengan Payed?"

Angguk.

"Yang pagi tadi tu..." Tak habis ayat Palee. Macam tak sanggup pula nak menyoal. Tadi tu dia sedar silap dia terlanjur kata. Bukan nak marah dekat Luth tapi dekat Payed.

Palee menyambung kata. "I tahu salah faham. I terlanjur cakap sebenarnya. Tak ada niat. Sungguh. I tahu you bukan antara koleksi girlfriend dia." Bibir Palee terukir senyuman tawar. "By the way, I tak marah you. I marah Payed. Perangai tak berubah. Bilalah dia nak rasa perempuan ni untuk dilindungi, bukan untuk dipakai buang?" bebel Palee seraya menggeleng lalu dia melangkah menuju ke pintu kaca.

Kad pekerja dilayang pada interkom dan pintu terbuka. Belum sempat pintu tertutup, Palee menahan dan sempat dia memandang Luth. "Are you coming?"

Bagai tersedar daripada lamunan, Luth melangkah laju melepasi pintu. Palee senyum dan merapatkan semula pintu kaca itu.

"Thanks..."

"Don't bother. Anyway, lepas kerja petang ni, you buat apa?"

"Hah?" Spontan, Luth tayang riak terkejut. Buat Palee tergelak kecil dengan riak wajah itu.

"Kalau tak keberatan, petang ni I nak belanja you minum sebagai tanda minta maaf atas ayat kasar I tadi. My bad," ujar Palee berterus-terang. "Dan bukan berdua pun..." Bagai mengerti akan pandangan Luth yang jelas ragu-ragu, Palee menyambung.

Luth gamam. Menggeleng tidak, mengangguk jauh sekali apatah lagi matanya terpandang tepat di lorong sebelah kiri. Nampak tenang tapi Luth boleh rasa bahang yang sedang bergelojak di dalam dada itu.

"Luth, come here..." Arahan tegas bergema.

Palee kalih merenung Payed.

"We got a lot of work to do!"

Luth menapak tanpa memberi jawapan kepada Palee. Saat Luth berdiri tepat di sisinya, lengan Luth dipaut sedikit kasar.

"What is your answer?" soal Payed bergumam.

Pantas Luth berpaling. Dia menggeleng. Payed hela nafas lega. Perlahan-lahan, bibirnya koyak dengan senyuman. Senyuman manis yang tak pernah dia hadiahkan kepada mana-mana gadis.


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co