Bab 7
MATA Encik Luthfi jatuh merenung mata bundar anak bongsunya yang nampak berkaca-kaca. Helaan nafas Luth nampak berat. Surat khabar dilipat kemas. Kakinya menapak mendekati Luth yang sedang duduk di kerusi besi berwarna putih di depan pintu gelangsar yang ternganga lebar. Dekat dengan ruang tamu.
"Luth tak sihat ke?"
Luth kalih. Dia angkat wajah dan terus memegang tangan ayahnya yang singgah pada bahu. Dia menarik tangan tua itu agar duduk di depannya. Tersenyum dia menyembunyikan resah.
"Eh, sihat aje, yah. Kenapa ayah tanya gitu pula?"
"Dari lepas isyak tadi, Luth tak makan malam sama. Lepas tu berkurung. Ayah turun tengok Luth duduk dekat sini sorang-sorang. Risau juga takut tak sihat. Ke sebab kerja baru tu?" soal Encik Luthfi lembut.
Sesekali, Encik Luthfi membetulkan helaian rambut Luth yang lepas bebas mengurai itu daripada menutup wajah. Apabila terpandang wajah itu, hati dia tersiat. Tak terluah akan kepedihannya.
Wajah ini benar-benar ikut dia. Dua-dua anaknya ikut wajah dia. Malah hampir nampak macam kembar apabila sekali pandang.
"Tak ada apa, yah. Tapi, boleh jadi pasal kerja. Tempat baru, kan? Luth banyak nak kena belajar lagi. Tiga empat hari ni, tak ada apa lagi yang Luth belajar. Bos cuma minta review senarai pelanggan, perunding..." Bahu Luth terjongket dengan sendiri. Teman dia makan dan basuh kemeja dia. Luth menyambung tapi sekadar dalam hati.
"Laaa... Baguslah tu. Nanti kalau dah busy, akan busy sungguh. Sementara boleh relaks sikit ni, relaks aje dulu. Kerja jaga akaun kompeni ni, besar tanggungjawab dia, Luth. Nanti kalau dah betul-betul banyak kerja, tengok-tengok nak balik tidur pun tak sempat..." Encik Luthfi ketawa lepas.
Lucu pula dengan anak dia seorang ni. Dah dapat kerja tapi sedih sebab tak ada kerja sangat. Yang seorang lagi, apabila sekali tak lepas temu duga, terus tak nak pergi temu duga dah. Nak duduk aje di rumah tunggu mama dan ayahnya suap makan. Bilalah nak matang Luthfina ni?
"Kakak Luth tu tak okey sampai sekarang," cerita Encik Luthfi.
Barulah Luth teringat yang Fina tak lepas temu duga. Dia tak pernah rasa nak tanya kat mana Fina temu duga biarpun dia hanya tahu Fina lulusan Pengurusan Pejabat. Lepas tahu Fina tak berjaya dapatkan jawatan tu, lagilah dia malas nak masuk campur. Nak-nak apabila mamanya pun tak cerita kepada dia.
Baru hari ni ayahnya buka cerita.
"Macam mana dia boleh tak lepas, yah?"
Bibir Encik Luthfi mencebik. "Manalah ayah tahu, Luth. Adalah tu yang tak berkenan di mata orang tu," putus Encik Luthfi mudah.
Memanglah. Hendak dibandingkan Fina dan Luth, tak terbanding. Luth memang ada aura. Pandangan mata yang merayu kasih. Pandangan yang mendambakan diri disayangi, bukan dihina dimaki.
"Biarlah dia, Luth. Janji Luth kerja rajin-rajin, pandai jaga diri. Ayah dah senang hati. Apa pun jadi, Luth anak ayah yang tersayang." Pipi itu dielus lembut dan saat ini birai mata Encik Luthfi bergenang.
"Ayah naik atas dulu..." Laju dia turunkan tangan dan bangkit. Air mata tuanya gugur mengenangkan nasib anaknya yang seorang ini.
Menyedari ayahnya sedang bersedih, Luth hanya tunduk mula menyalahkan diri tapi tiada siapa yang salah dalam perkara ini. Dah terjadi. Tak akan kembali seperti sedia kala. Lantas dia bangkit hendak naik ke bilik.
Baru hendak masuk ke dalam bilik, Fina muncul dengan wajah penuh sinis dan rambut yang disanggul tinggi sambil mengelus wajah sendiri. Sebuah senyuman terukir tapi cukup sinis.
"Aku peliklah, Luth..." Fina bersandar pada dinding di depan bilik Luth.
"Pelik apanya?"
"Macam mana orang tu boleh ambil kau kerja dengan dia, hah?" Mata Fina liar memandang Luth dari atas ke bawah. Penuh sindiran.
Bagi Luth... Biarlah tak cantik luaran tapi dia akan pastikan hati dan jiwa dia cantik untuk pandangan Allah Taala. "Sebab aku memang berkelayakan, Fina. Lagi satu, sebab dah tertulis dalam takdir Allah, itu rezeki aku. Siapa pun tak dapat nak nafikan!"
Dia senyum senget kepada Fina dan terus masuk ke dalam bilik lantas menutup pintu rapat biarpun Fina cuba menahan. Dia terdengar jeritan Fina di luar tapi Luth dah letih nak melayan kerenah kakaknya. Rasanya, dah sampai masa dia keluar dari rumah ni dan hidup sendiri. Dia dah mampu. Dah berkerjaya. Cuma perlukan keizinan ayah dan mamanya aje.
HASRAT dinyatakan. Si ayah berat hati. Si mama hanya diam tak berkata apa-apa. Luth tahu, andai dia keluar dari rumah ni, pasti semua akan menjadi tenang. Luth juga tahu mamanya tak sudi nak izinkan dia keluar dari rumah tapi demi keluarga, mamanya perlu izinkan.
Luth janji hujung bulan ni, lepas dapat gaji pertama. Sekarang ni, biarpun ayahnya mampu carikan rumah sewa baharu, dia tak nak bantuan ayah dan mamanya. Dah tiba waktu dia berdikari. Cukuplah ayahnya tanggung perbelanjaan dia dan Fina. Isi rumah lagi. Dia dah cukup senang biarpun tak mewah.
Setelah dipujuk, akhirnya Encik Luthfi bersetuju dengan pandangan sayu Luth. Ayahnya perlu tahu, Luth lakukan semua ini demi keluarga. Tinggal berasingan, tak bererti Luth tak akan kembali. Itu janji Luth hinggakan Encik Luthfi, jatuhkan kepala – bersetuju.
"Termenung?" Wajah Anis muncul di depan mata.
"Tak pun..." Luth menafikan. "Kenapa ya?"
Anis sengih lebar. "Bos dah datang?" Kening dia naik. Luth geleng. "Great..."
"Kenapa pula?" Terus dahi Luth berkerut.
"Encik Palee panggil you kejap. Dia nak minta tolong," beritahu Anis separuh berbisik.
Luth pandang jam Elle di pergelangan tangan. Nampak macam lambat aje Payed ni. Dah lebih setengah jam waktu masuk kerja ni. Tak apalah. Tolong adik dia juga. Luth sedapkan hati. Lagipun, dah berapa hari dia masuk kerja tapi dia rasa macam makan gaji buta pula. Kalau kata Palee suruh kemas bilik pun, bolehlah daripada duduk melangut macam ni.
"Coming..." Tubuh diangkat dan Luth terus berjalan menuju ke bilik Palee. Sekali diketuk, pintu bilik terkuak. Palee berdiri tegak menanti Luth datang.
"Sorry if I'm bothering you," ucap Palee lalu dia duduk di atas sofa. Menghadap meja kopi yang kembali semak. "I need help..." Wajah Luth dipandang.
"Sorry?" Kerut kening Luth tanda tak mengerti. Bukan nak suruh dia mengemas ke?
Palee sengih. Kelihatan gigi putih Palee tersusun kemas. Dia mengisyaratkan agar Luth duduk di depannya. "I nak minta tolong you sort-out report ni. I nak hantar dekat abah sebelum petang ni. Banyak lagi tak siap ni..."
Luth duduk dan tarik sehelai kertas. "This is P&L (profit and loss) statement dan BS (balance sheet)?" Luth pandang Palee lama. "Dah settle ke semua ni, Encik Palee?"
Palee dekat nak jatuh rahang. Dia pun bukannya kelulusan akaun sebab tu dia perlukan akauntan. Dia cuma belajar benda ni apabila masuk kerja dan masih kurang cekap. Dulu ada akauntan tapi dah pergi sambung belajar.
"You tahu semua ni?"
Luth angguk. "Kerja saya semua ni..."
Palee tersandar pada belakang sofa. Tak terkata dia. Di dalam kepala dah syak macam-macam. Apabila dia pejamkan mata ingat balik, orang yang datang temu duga hari tu rasanya ada sebut tentang kelulusan sebagai pembantu peribadi dan terus dia tolak. Lepas tu dia tak ambil peduli langsung. Tak ingat pula dia yang Payed pun buat temu duga juga.
Tapi... Dia masih tak puas hati. Keraguan ini harus dihentikan. Payed membongkok ke depan. Memandang Luth yang sedang merenung setiap helai kertas kerja di depan mata.
"Encik Palee tahu, kan? P&L tu kita buat untuk tengok sale ataupun income syarikat? Boleh juga untuk tahu untung rugi syarikat?"
Palee diam. Luth meneruskan kata-kata. Dia nampak macam pelik aje laporan ni. Sebenarnya dah okey tapi macam kurang lengkap nak-nak apabila dia belek laporan BS di depan mata ni.
"Balance sheet ni memang tak balance dari awal ke apa?"
Palee angguk. Masih memerhati.
"Kalau kata tak balance, maknanya ada lagi aset dan hutang syarikat yang Encik Palee tak masukkan ni. Boleh jadi, kereta syarikat, bon daripada bank, bayaran kepada syarikat lain yang masih tak jelas. Kita buat balance sheet ni untuk tahu semua tu, Encik Palee..."
Barulah Palee mengangguk. Yakinlah dia sekarang. Semuanya tak betul dari awal dan rasanya, semua harus dibetulkan. Senyuman tenang Palee terukir. Helaan nafas lega dihembus.
"Have you sign your offer letter?"
Luth geleng. Semalam pun dia ke HR tapi tak siap lagi. Macam ramai sangat masuk kerja sampai berhari-hari tak siap lagi surat tawaran dia.
"You tahu apa kerja you dengan Payed tu?"
"Akauntan?" duga Luth. Risau juga takut lain yang dipohon lain yang dapat. Sebab itulah kerja pelik aje memanjang. Selain jawab telefon dan tengok jadual Payed, tak buat apa pun.
"Yep. But wrong boss, wrong place of work..." Palee seluk poket sleknya. Telefon dicapai. Nombor HR dihubungi. Malas dia nak bangkit pakai interkom.
"Erm... You dah buat offer letter Cik Luthfiya?" soal Palee sedangkan Luth sekadar memerhati. "Good tapi tukar jawatan dia. Buat jawatan dan gaji seperti yang I offer untuk akauntan. Get it done by today. Sebelum petang, I sendiri turun ambil," arah Palee tegas.
Talian dimatikan. Dia sekali lagi ketawa dan terus ketawa. Bikin hati Luth kacau.
"Encik Palee?"
"Luthfiya?"
Luth angguk.
"Lepas ni, you keluar kemas meja dan barang you, tukar tempat. Masuk bilik yang depan bilik I ni. Bilik tu kosong dan memang khas untuk you," suruh Palee.
"Errr..." Luth mahu bertanya tapi Palee cepat menyambung.
"You dah salah interview hari tu. I yang nak pakai akauntan. Payed needs a secretary. Please move in, here," pinta Palee.
Luth hela nafas berat. Aduh, sakit kepala dia. Sungguh ke ni? Mulalah dia terfikir bukan-bukan. Ke Fina...
"By the way, I baru teringat... Muka you dekat nak sama dengan orang yang datang interview dengan I hari tu. Tak silap I, dia lulusan Office Management. Nama dia I dah lupa. Perhaps..."
Luth ketap bibir. Sungguhlah. Sah itu Fina. Mati dia kalau Fina dapat tahu. Apa pun, biarlah hal ini kekal menjadi rahsia dan Fina tak tahu. Dia pun rasa lega apabila semuanya dah dibetulkan. Apa puncanya, malas nak cari.
Yang pasti, bos dia yang sebetulnya ini tak adalah buat dia resah memanjang. Biarpun sedarah sedaging, Luth yakin Palee dan Payed berbeza. Senyuman lega terukir lebar. Sangat lebar. Jalan hidup dia kian mudah.
"Boleh saya pindah sekarang?"
Palee nampak keterujaan dalam diri Luth. Nampak sangat tak selesa kerja dengan Payed. Tapi, Palee menggeleng. "Sit. Tolong I buat ni sikit lepas tu kita kena bincang pasal budget pula. Better buat sekarang. Nanti bos dah minta, senang kita..."
Luth angguk laju. Allah... Leganya. Kalau tak, sampai ke sudah sesak nafas dia dengan Payed tu.
Tapi, lega Luth tak lama apabila kepalanya mencerna kembali senyuman Payed beberapa hari lepas.
"LUTH, wait!" Payed cuba menyaingi langkah Luth yang hendak masuk ke dalam lif. Tapi, Luth buat tak tahu.
"Lufhfiya!" Keras suara dia kali ni.
Pintu lif hampir tertutup rapat dan tanpa berfikir panjang, Payed terus menghulurkan tangannya bagi menghadang pintu lif sepertimana yang Luth lakukan tempoh hari.
Sakit!
Wajah Luth kelihatan tenang. Hari ini, Luth dah jadi orang lain langsung. Lepas Payed tahu cerita sebenar daripada Anis, rasa nak ditampar Anis laju-laju. Apatah lagi apabila dia lihatkan meja Luth dah kosong. Nampak pula Palee dan Luth sedang gigih bekerja di dalam bilik kaca di depan bilik Palee.
Apa semua ni? Mana kata-kata Luth yang takdir hantar gadis itu kepada dia? Tak pun sekarang kalau dia tanya, Luth nak jawab takdir dah bawa Luth pergi daripada dia macam tu aje?
Pintu lif kini tertutup rapat. Nafas Payed sesak. Dia longgarkan tali leher dan membuka satu butang kemejanya.
"You tak dengar I panggil you?" soal Payed sinis.
"Maaf, Encik Payed. Saya nak cepat ni..." Alasan. Luth tahu alasan dia bodoh.
"Kenapa? Kalau kata you naik lif ni sorang, you akan cepat macam cahaya? Kalau I naik sama you akan jadi lembab? Gitu? Macamlah I nak singgah tiap-tiap floor, padahal you dengan I share floor sama aje," bidas Payed tak puas hati.
Giginya diketap rapat. Luth hanya memaklumkan tentang perkara itu kepadanya melalui SMS. Terus dia bergegas ke tempat kerja. Salah dia juga sebab lambat. Apabila tidur bukan di rumah sendiri, macam inilah jadinya. Tak sedar.
Luth pandang rambut Payed yang nampak berserabai. Kemeja juga nampak berkedut. "Encik Payed tak balik rumah ke semalam?" duga Luth sedangkan dia dah tahu. Palee dah cakap Payed akan lambat kalau dia tak balik tidur dekat rumah. "Encik Payed tidur mana?"
Smirk! Payed rasa nak gelak besar aje. Luth saja nak kenakan dia lagi. "Why? Is it bothering you?"
Kepala Luth jatuh menunduk. Dia ukir senyuman tipis. Dia tahu Payed bergegas datang lepas tahu dia akan pindah di bawah Palee.
"Sikit."
Terkesima Payed dua saat dengan kata-kata Luth. "Apa maksud sikit tu?" soal Payed tapi Luth tak jawab.
"Saya tahu Encik Payed tak puas hati tapi dari awal sepatutnya saya bukan dengan Encik Payed," ujar Luth tak menghiraukan soalan Payed.
"Habis tu, you hanya layak dengan lelaki baik macam Palee ajelah? Gitu?"
"Ya," jawab Luth tanpa mengerti apa yang Payed maksudkan.
"Luthfiya!" tempik Payed. Bertahan dengan geram kepada Luth dan adik sendiri, nafas Payed kian kasar.
Dia menapak mendekati Luth setapak dan Luth tetap berdiri tak berganjak. Berlagak berani sedangkan jiwa kecut. Dia intai ke atas. Ada CCTV. Apa-apa jadi, dia mesti akan diselamatkan.
"Jangan cabar I, Fiya!" Tangan Luth digenggam kemas. Lantaklah CCTV ke apa. Biarlah satu bangunan nampak apa yang dia buat kepada Luth di dalam lif ni.
Biarkan! Biar Luth rasa sebab sakitkan hati dia! Luth tak terkedu. Terkedu saat nama Fiya diucapkan. Tak pernah ada yang panggil dia Fiya melainkan seseorang. Seseorang yang sangat dia rindu. Seseorang yang tak jemu ayahnya ceritakan.
"Encik Payed..." Suara Luth melarang tapi cukup perlahan. Tangannya naik menyentuh belakang tangan Payed yang kemas mencengkam bahunya. "Tak elok buat macam ni," beritahu Luth, berharap Payed berundur.
Tapi, ego lelaki itu tak rebah mendengarkan suara lembut itu melarang. Payed semakin berani menapak. Semakin dekat dan terus rapat hinggakan Luth terkunci rapat pada bucu dinding lif.
"Encik Payed, tolonglah..." Tangan Luth terkunci rapat. Kata-katanya sekadar berlalu bagai semilir menyapa pelupuk telinga Payed yang jelas sedang tersenyum jahat.
Saat Payed rapatkan wajahnya pada wajah Luth, bunyi lif menandakan telah tiba di tingkat dua puluh satu, menyentak rasa.
Luth tolak Payed ke belakang dan terus saja dia berlalu keluar dari lif. Mujurlah mereka tidak terserempak dengan sesiapa tapi dia yakin, perlakuan Payed tadi dah dirakam oleh CCTV tersebut. Tinggal menjadi bahan bualan aje.
Entah apa yang Payed marah sangat. Dia cuma pergi ke tempat yang sepatutnya dan dengan orang yang sebetulnya. Anggap sajalah dia tersalah. Senang cerita. Ini, sikap Payed buat hati Luth tak tenang. Buat rasa hati berbolak-balik. Rasa menjadi libang-libu.
Sebaik saja dia kunci pintu biliknya, air mata Luth mengalir. Entah apa yang merasuk dirinya, baru saja bekerja, dia sudah rasa nak letak jawatan serta-merta. Sungguh dia rasakan, hidup dia tak mudah juga. Tak mudah sebab ada orang macam Payed.
Apa salah dia?!
"Luth..." Ketukan pada pintu kaca itu dibiarkan sepi. "Fiya... Buka pintu," arah Payed.
Tapi Luth tetap menyepi, cuba bertahan daripada membiarkan jantungnya hampir gugur apabila mendengarkan nama itu diseru.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co