Bab 8
TUBUH Payed hampir terkulai di depan pintu bilik Luth. Kalau tak diingatkan di mana dia berada, mahu aje dia tendang pintu ni. Biar pecah. Senang dia nak keluar masuk. Tak ada apa yang mampu menghalang.
Tangannya masih gagah mengetuk pintu bilik Luth. Sementara tak ramai orang ni, dia tak akan putus asa. Tak ada apa yang mahu dia katakan. Dia nak minta maaf. Dia sedar dia tersilap. Tak patut dia begitu tadi tapi dia hilang kawalan. Dia sentiasa tewas dengan makhluk yang bergelar hawa tapi memakan masa. Dia akan tunggu si hawa menyerah. Baru dia mulakan langkah. Dia akui, dia salah. Mana boleh dia layan Luth sepertimana melayan perempuan yang sentiasa kalah dengan dia.
Tapi hawa yang seorang ni tak pandang dia langsung. Sakit hati dia. Lepas tu boleh pula pergi dengan Palee. Biarpun kerana kerja, tak tahu kenapa... dia rasa terpukul teruk. Rasa bagai diejek oleh Palee sesungguh hati.
Tak boleh!
Aku silap. Aku silap, Luth! Hati Payed menjerit kuat. Memang silap.
"Fiya... Buka pintu ni..."
Suara itu terus merayu hingga membuatkan Luth terpaksa menutup telinga, memejamkan mata. Dia mahu halau suara Payed jauh-jauh. Dia nak campak peristiwa menjijikkan tadi jauh-jauh.
Dia benci! Sejak dulu, dia diperlekeh dan dipandang jijik malah sekarang dipandang hina hingga sanggup Payed buat dia macam tu. Andai lif tak sampai ke tingkat 21 tadi, pastilah bibir Payed dah singgah pada mulutnya.
Pasti!
Langkah Palee terhenti seketika. Dia kerutkan wajah melihatkan Payed yang tak sudah-sudah memanggil nama Luth. Dah kenapa pula Payed ni. Jangan cakap... langkahnya diteruskan.
"Yed..." Palee menyentuh bahu Payed. Sejak tadi nampak lain macam aje ketuk bilik Luth. "Dia solat kut..." sela Palee. Malas nak fikir bukan-bukan sebenarnya.
"Eh, kau Lee?" Sepantas kilat Payed kalih dan berdeham kecil. Dia meraup wajah. Dia melingas beberapa kali. Palee aje yang ada.
Dia menghela nafas berat. Makin sempit dada dia mengingati yang dia hampir menyentuh bibir merah basah itu. Luth bukan Julia. Bukan juga Nadia. Jauh sekali Jeslina. Tidak juga Nita.
Itu Luthfiya. Gadis yang sejak awal macam air batu aje.
"Luth solat kut? Kau cari dia kenapa? Pasal jawatan dia?" tanya Palee serius.
Dia tahu Payed datang ke bahagian dia ni sebab tu. Dahlah pagi tadi tak nampak batang hidung. Datang aje terus cari Luth.
"Kalau betul pasal tu, kau cakap dengan aku aje. Aku bos dia sekarang. Lagipun, offer letter dia dah keluar. Abah dah sign. Dia kerja dengan aku," jelas Palee sambil menunjukkan sampul surat warna coklat cerah itu kepada Payed yang baru saja dia ambil daripada HR.
Dia melangkah ke bilik diikuti Payed.
"Kau patut cakap dekat aku dulu, Lee..." Sebaik saja pintu dirapatkan, Payed bersuara. Jelas, nada tak puas hati.
"Aku tahu tapi memang dia dah tersalah jawatan, kan? Sampai bila kau nak simpan dia jadi PA kau sedangkan dia bukan datang sini untuk tu? Kau kena faham tu," pujuk Palee profesional. Bukan apa, Payed yang salah percaturan, bertumbuk juga dua beradik ni karang.
"Memang..." Payed hempas duduk di atas kerusi. "Aku pun tak sangka Si Anis tu boleh tersalah hantar orang. Tapi, sebab dia dah seminggu kerja dengan aku, kau kenalah tanya aku dulu..."
"Yeddd..." Panjang Palee memanggil nama abangnya. "Kau pun kena faham aku juga. Aku lagi banyak kerja daripada kau. Aku lagi perlukan dia. Lagipun, dia memang datang sini nak jadi akauntan..."
"Dah tu, kau aturlah interview dulu!" sergah Payed marah. Menjawab aje Palee ni.
"Tak payah interview dah. Practically pun aku dah tengok, Yed..." Payed tak tahu, terkejut bukan main Palee bahana melihat Luth menyemak akaun syarikat.
"Habis tu, aku?"
"Haaa..." Palee bangkit. Dia capai fail kuning yang diminta daripada Anis tadi. Salinan biodata bekas calon yang sepatutnya ditemuduga oleh Payed. "Kau tengok ni..." Fail tersebut ditolak ke depan Payed. "Jangan terkejut pula tengok calon secretary kau yang sebenarnya..."
Terus fail tersebut dibelek oleh Payed dan saat terpandang gambar dan biodata tersebut, rahang dia rasa nak terpenggal. "Luthfina?" soal Payed lebih kepada diri sendiri. Dia angkat mata merenung Palee. Tak mengerti.
"Siblings," ujar Palee sepatah.
"Really?"
Dahi Payed kerut. Seksi. Free hair. Manis. Nampak seiras dengan Luth tapi apabila dia amati, mata Luth lagi cantik. Hidung Luth lagi mancung dan bibir Luth tipis sedikit.
"True. Aku pun terkejut bila Luth mengaku. Kalau kau nak, panggillah balik dia temu duga. Aku berani kerat kuku, dia ni taste kau," sela Palee sedikit sinis.
Kenalah tu dengan Payed. Namun, apabila Payed menggeleng, Palee pula kerut dahi. "Memang taste aku kat luar sana tapi dalam pejabat ni, aku nak yang macam Luth..."
"Itu pun Luth apa..."
"Fiya, Lee. Bukan Fina," bidas Payed tapi dia tahu, dia dah kalah.
Luth milik Palee sekarang. Surat dah keluar. Dia tak mampu buat apa-apa. Kalau berani nak kena marah dengan abahnya, bolehlah dia nak minta macam-macam. Hal tak balik semalam pun abah dan mummynya tak bambu dia lagi. Tengoklah dia balik petang nanti macam mana.
Tanpa berkata apa-apa, Payed bangkit hendak berlalu. Saat dia melalui bilik Luth, hati dia paksa kakinya berhenti. Dada dia berdebar. Tak tahu kenapa. Mengingatkan peristiwa di dalam lif tadi, jiwa dia bergelojak.
Rasa ingin memiliki Luth semakin menebal. Tak dapat hati, jasad pun jadilah. Hati jahatnya berbisik.
Hujung bibirnya terukir senyuman sinis. Lantas dia berlalu.
TUBUH dihempaskan di atas sofa. Butang baju ditanggalkan satu. Rimas. Nak bernafas pun tak boleh. Tangan naik ke dahi. Keluhan tipis keluar. Mata dipejamkan. Nafas berat cuba diatur agar lebih ringan helaannya.
Tak tahu kenapa, bayangan koleksi gadis yang ada menjauh tak nak hinggap langsung dalam fikirannya. Dia berusaha tolak rasa bersalah kepada Luth tapi rasa itu tak nak menjauh walaupun sesaat. Payed tak tahu nak buat apa dah. Mengiring ke kiri, nampak lagi perbuatan dia kepada Luth. Mengiring ke kanan pun sama. Meniarap juga masih terbayang dirinya yang hampir menyentuh Luth. Apabila kembali merenung siling, lagilah. Tak ubah bagai projektor yang memancarkan perkara itu. Macam tayangan perdana percuma.
Kepalanya mula terasa berat. Sungguh ni. Sakit kepala. Kalaulah abah dan mummynya tahu perangai dia, kena halau agaknya. Dia bukan tak boleh dihalau tapi pada dia yang jahat ini pun, dia sentiasa dahagakan restu dan kasih orang tua.
Lama dia termenung sendiri memikirkan kesan perbuatannya itu. Entah macam mana dia nak berdepan dengan Luth. Itu tak kesah sangat sebab dia tahu dia jenis muka tembok tapi Luth tu... Macam mana?
Payed buka mata apabila terdengar pintu ditolak dari luar. Dia malas nak pandang ke pintu. Paling tidak pun, Si Anis. Memang nahas nak kena marah. Buat kerja cuai nak mati. Tak pun setiausaha abah, Encik Borhan.
Bosan!
Dia buat-buat tidur. Malas nak layan. Letih ni, tahu tak?! Derap tapak kaki kian mendekati. Makin dekat dan Payed yakin, tubuh itu berdiri tepat di sisinya.
"Encik Payed?"
Matanya diangkat biarpun masih terasa berat. Dipaksa juga untuk mendengarkan panggilan manja itu menerobos masuk ke dalam telinga. Dahi Payed berkerut. Dia memisatkan matanya berkali-kali dan apabila matanya benar-benar membulat, susuk tubuh langsing itu berdiri tepat di depan dia.
Dekat!
"Fiya..." Keterujaan Payed tak mampu disorok lagi. Lantas dipaut tangan Luth kemas. Tanpa menanti, tubuh itu dipaut kemas ke dalam pelukan.
Tak sangka, lepas apa yang terjadi Luth datang cari dia. Degupan jantung Luth teratur. Jantung Payed yang dah melebihi kelajuan biasa. Helaan nafas Luth juga damai, tapi helaan nafas Payed kalut.
"Encik Payed, saya..." Luth cuba tolak bahu Payed.
"Syh... Don't say even a word." Semakin kemas Payed memeluk. "And don't speak. Let me hug, just a moment," bisik Payed resah.
Tapi, persoalannya, kenapa dia terlalu inginkan Luth? Jawapan tak ada. Biarlah. Dia tak hadap semua jawapan tu. Janji jasad Luth ada di dalam pelukan dia, dia dah rasa menang apabila gadis ini mencari. Atau boleh ke dia katakan Luth menyerah diri?
Syaitan bermaharajalela dalam jiwa. Seorang lagi anak Adam berjaya dirasuk fikirannya. Apabila Luth menolak bahu Payed dan mengukir senyuman tipis, Payed resah tak betah. Gundah-gulana menahan rasa yang bergelojak.
"Why did you come?" soal Payed separuh berbisik.
"You're worried about me? Us?" tanya Luth kembali.
Payed tak lepas pelukan pada pinggang Luth. Dia sekadar menarik Luth mendekati pintu dan menguncinya rapat. Tak mahu gangguan.
"I am so worried," akui Payed lalu telapak tangan Luth dibawa ke bibirnya. "About you..." Dikucup tangan itu sebelum kembali menentang mata bundar gadis itu.
"I'm just fine. No worries..." Luth tarik tangannya dan menyentuh anak rambut Payed yang jatuh ke dahi. Mengelus rambut belakang Payed yang dah lepasi kolar baju.
"Rambut dah panjang ni..." Luth senyum. Payed gelak dan angguk.
"Am I look damn handsome this way? What do you think?"
Tak menjawab, Luth hanya senyum tipis. Payed lega. Luth tak marah dia. Luth tak marah! Itu dah memadai.
Sekali lagi, tubuh langsing itu dipaut. Matanya dipejam rapat. Leganya dia. Hangat pelukan Luth benar-benar mendamaikan. Hilang rasa bersalahnya.
"Yed..." Bahunya ditepuk lembut. "Yed..." Suara mesra itu sedikit keras. "Payed!" Kuat lagi. Barulah dia angkat kelopak mata.
Kelihatan wajah abahnya di depan mata menggeleng. Payed raup wajah lalu duduk bersandar lemah. Mimpi rupa-rupanya. Begitu kuat tarikan Luthfiya kepada dia hingga masuk ke dalam mimpi. Pada siang hari pula tu.
"Tidur apa masa kerja ni?" soal Tuan Ahmad Fuad lantas melabuhkan duduk di depan Payed.
"Abah..." Nafas dia lelah lagi. "Kenapa datang cari Yed?" Dia raup wajahnya lagi, lagi dan lagi.
"Kenapa Yed tanya? Ni haaa, report perunding yang abah minta Yed buat tu, bila nak hantar? Palee dah siap hantar bajet biarpun abah tak minta. Lagi satu..." Tuan Ahmad Fuad teringat pesanan isterinya. "Mummy suruh abah ajak kamu balik sekali hari ni. Dia kata kalau kamu balik sendiri, asyik sesat jalan aje," sinis Tuan Ahmad Fuad berkata.
"Semalam tidur dengan siapa?" soal Tuan Ahmad Fuad telus.
"Tak ada dengan sesiapalah, bah. Yalah, petang ni Yed hantar sebelum balik. Abah baliklah dulu. Yed siapkan kerja dan balik rumah terus. Cakap dekat mummy, masak asam pedas ikan pari," pesan Payed lantas dia bangkit ke meja kerja.
Kacaulah abah ni. Bukan main syok dia mimpi tadi. Haih. Tuan Ahmad Fuad menggeleng. Bilalah anaknya nak berubah? Dia turut bangkit dan mendekati meja Payed.
"Sampai bila Yed nak hidup macam ni?"
Mata mereka bersatu. "Macam ni, macam mana maksud abah?" tanya Payed dengan muka bosan.
"Macam sekarang..."
"Bah..." Tak sempat abahnya tamatkan ayat, Payed dah memotong. "Hidup Yed, Yed tahu tentukan. Lagi satu, abah tak boleh nak samakan Yed dengan Palee. Kami beza, bah..." Dia angin satu badan kalau orang asyik cakap dia dengan Palee lain. Memanglah!
"Erm... Balik awal sikit..." Dia malas nak berkeras sangat. Memujuk, ada cara. Lagipun Payed dah dewasa. Dia harap sangat anak itu berubah. "Abah keluar dulu..."
Payed angguk. Sebaik saja pintu tertutup, dia kembali merenung skrin Asus di depannya. Kerja! Nanti abah tak bagi gaji, nak joli pakai apa?
KEPALA Palee terjengul di muka pintu. Tersenyum senget. Dia memandang Luth yang sedang tekun membelek semua fail yang dia berikan tadi.
"Going home?" tegur Palee.
Luth angkat wajah dan melihat jam di pergelangan tangan. Allah, dah dekat pukul enam dua puluh minit petang. Tak sedar dia. Solat pun belum ni. Nak balik sekarang, mahu lepas maghrib baru sampai.
"Errr... Saya nak solat dululah. Encik Palee nak balik dulu, silalah..."
"Or nak I temankan..."
Laju Luth geleng. Janganlah Palee pun buat perangai. Tak sanggup dia. Cukuplah Payed sorang. Dia tak mampu bertahan.
"Saya okey sendiri. Lepas solat saya terus keluar. Lagipun, dah janji dengan ayah saya. Dia datang jemput..."
Palee jongket bahu. Mengalah. Lagipun, dia nak kena balik dah. Malam Jumaat ni, biasa abahnya ajak pergi masjid, ada tahlil. Tak nak terlepas. Rugi. Yang Payednya, dah cabut awal-awal kut.
"Take care. Lampu depan dah padam. Jumpa esok. Assalamualaikum..." Tangan Palee naik melambai.
"Waalaikumussalam..." Lambaian Palee tak dibalas. Lepas Palee hilang, Luth terfikir sendiri. Kenapalah beza sangat dua beradik ni?
Lantas, dia temui jawapannya. Dia dengan Fina pun beza. Sangat. Setidak-tidaknya, dia tak pernah nampak Payed dan Palee bergaduh sakan. Setakat bertekak tu, perkara biasa. Malah, memaki pun tak ada. Tapi, dia dan Fina... Bernanah juga telinganya apabila Fina memetir.
Huh... Keluhan berat dilepaskan. Teringatkan Fina, berat kaki Luth nak melangkah balik. Luth bangkit menyinsing lengan baju kemudian berjalan keluar menuju ke bilik air. Apabila siap, dia kembali ke biliknya. Sejadah dihampar dan dia sedia berjanji temu dengan Maha Pencipta.
AISEH. Rajin pula kerja hari ni. Payed tak sangka dah lewat sangat ni. Bising pula mummynya waktu ni sebab tak sampai rumah lagi. Sekarang ni dengan alasan kerja, mummynya tak akan terima.
Dia cepat-cepat siapkan diri nak balik. Saat dia mahu merapatkan pintu, bibir terukir senyuman nakal. Kalaulah betul Luth yang ada di dalam pelukan dia tadi... Hai... Tak mampu dia katakan.
Kepala dia tak lepas nak berfikir perkara-perkara tak elok. Di cuba bayangkan apa yang ada di sebalik pakaian labuh itu. Di sebalik tudung itu. Segalanya. Tapi, anganan dia mati apabila melihat lampu di sebelah bahagian Palee masih terang.
Dia intai. Bilik Luth?
Setelah yakin tiada seorang pun berbaki di pejabat, Payed melangkah menuju ke bilik kerja Luth. Hatinya memberontak mengatakan Luth ada di situ. Malah lampu depan semua dah malap.
Kakinya semakin laju melangkah mencari destinasi. Saat dia tiba tepat di depan pintu kaca itu, dadanya kian berdebar. Rusuk dia serasa hendak patah.
Sungguh.
Nafas dia dah sesak. Dilihatnya pintu itu tidak ditutup rapat. Apabila ditolak sedikit, tak berkunci. Bermakna masih ada penghuni. Matanya melilau ke kiri dan ke kanan mengintai kelibat manusia.
Daun pintu ditolak berani. Dengan keluasan dua sentimeter itu, matanya tertangkap kilauan rambut yang panjang. Lepas bebas. Membelakangi dia. Sesekali, jari yang menguak rambut itu membolehkan dia melihat leher yang putih kekuningan itu.
Darah Payed gemuruh. Mengalir laju menongkah arus. Mengepam jantung memaksa jantungnya bekerja lebih kuat daripada biasa. Keringat membasahi belakang dan dahi. Ditolaknya lagi. Kehendak lelakinya bergelora.
Payed pejam mata. Cuba kuasai fikiran sendiri. Mimpinya tadi kembali terlayar dalam memori. Apabila dia buka mata, bibirnya herot dengan senyuman jahat. Nyata, dia kalah lagi. Kakinya menapak selangkah ke dalam bilik Luth dan pintu dikunci rapat.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co