Bab 4
Sambil duduk di dalam perut LRT, dia menyemak semua kerja-kerja yang perlu dia buat untuk seminggu. Argh, Cahaya. Semalam sahaja dia bertegang urat dengan Shukri kerana dia membantah beberapa idea daripada Shukri mengenai pemilihan warna yang akan menjadi tema di dalam projek 'Diraja'.
"Kuning?"
"Ya, kuning."
Cahaya gumam bibir. Garu kening dan pandang Shukri yang baru sahaja dia kenali selama dua hari.
"Klise."
"Warna dirajalah, Puan Cahaya."
"Ya. Memang warna diraja. Takkan kita nak alas semua objek seperti tengkolok, keris dan rantai juga pakaian dengan warna kuning juga? Dari dulu lagi kita guna warna kuning untuk diraja. Kita boleh tukarkan dengan warna yang banyak lagi selain daripada warna kuning."
"Tahulah baru balik dari New York. Tak payahlah nak berlagak sangat!"
"Hei, cakap elok sikit, boleh tak?" Cahaya pandang Shukri dengan pandangan marahnya. Ikutkan hati, mahu saja dia cilikan budak hingusan baru dua tahun bekerja di sini.
"Sabarlah. Shuk, sebagai kurator bebas yang syarikat lantik, Puan Cahaya berhak beri pandangan. Bagilah dia beritahu sampai habis dulu." Jamilah hembuskan nafas dan memerhati Shukri yang memang sentiasa akan mencari salah orang lain.
Shukri mendengus. Membiarkan Cahaya meneruskan, berkongsi ilhamnya untuk semua kurator dan pekerja yang terbabit dalam projek berkenaan.
"Kuning sebagai asas. Saya tak kata saya nak tolak kuning seratus peratus. Dengar dulu ya, Encik Shukri. Kita gabungkan dengan warna lain yang sesuai seperti merah dan hijau. Tiga warna cukup untuk memeriahkan mata. Kalau mahukan hanya warna kuning sahaja, terserah. Saya cuma beri pendapat saja."
Semua mata terarah kepada Cahaya dan dia tahu, walaupun dia sangat baru bekerja dalam kalangan 'orang Malaysia' amnya, dia perlu lebih banyak berdiplomasi. Yalah, dia pun baru beberapa hari menyertai projek berkenaan dan turun menyertai mesyuarat. Takkan Cahaya nak duduk dan dengar sahaja.
Tren terus bergerak dari satu destinasi ke satu destinasi. Beberapa minit terus berlalu. Penumpang di dalam tren makin berkurangan. Kawasan tempat yang sedang dia dan Fifi duduk, makin lengang. Cahaya mula menyusun jadual. Minggu depan barulah dia dan Fifi senang sikit kerana kereta yang sangat dia idamkam akan menjadi miliknya.
"Mama, mama... Tu... Uncle yang kita jumpa kat airport, kan?" Fifi melambai-lambai mesra seseorang.
Cahaya terus menyorot wajah berkenaan.
Siapa nama dia ya? Soalan melekat-lekat di cepu kepala. Ya Allah, kenapalah dunia ni kecil sangat? Kenapalah boleh bertemu lagi di sini?
Dia dari gerabak sana, perlahan-lahan menghala ke arah Fifi.
"Sorry Fifi, kejap lagi uncle nak turun dah. Uncle berdiri aje, boleh?" Dia lebih dahulu memesrai Fifi.
"Berdiri aje ke? Nanti uncle penat tau," jawab Fifi dengan senyuman lebarnya.
Dia jongketkan kening. Sepasang mata singgah menyeluruhi wajah cik troli di sebelah anaknya. Senyum berbalas.
"Marilah duduk dengan Fifi, uncle." Fifi mempelawa.
Cahaya gigit bibir bawah. Eee... Fifi ni, tak malu betul.
Cahaya panggung kepala. Renungan dan senyuman berbalas. Si dia duduk di sebelah Fifi. Haruman minyak wangi yang dipakai menyegarkan suasana yang nampak sedikit janggal.
"Uncle handsome-handsome macam ni nak pergi mana?" tanya Fifi.
"Pergi kerja. Tapi uncle lambat sikit. Kereta uncle rosak."
Cahaya tarik nafas. Cuba bertenang. Mengawal rasa gemuruh dan malu. Kenapalah dunia ni kecil sangat? Kenapalah kita boleh terserempak lagi kat dalam LRT ni, kan?
"Oh, kesiannya uncle. Kalau uncle nak tahu kan, mama dah beli kereta baru. Kalau kereta uncle rosak, boleh tumpang dengan mama. Kan mama, kan?" Fifi makin riang bercerita.
"Tak sangka dapat jumpa lagi dengan Fifi dan mama Fifi hari ni. Kita boleh 'ter'jumpa lagi, kan? Tak sangka betullah." Ah, sangatlah tak sangkanya, kan. Si dia menjeling cik troli.
"Sebab uncle baik hati. Sebab tu kita boleh jumpa lagi."
Cahaya pejamkan mata. Eee, Fifi ni. Jangan ramah-tamah sangat, boleh tak? Malulah mama.
"Nampak gaya macam Fifi dan mama Fifi kena belanja uncle makan sebab tolong tolak troli. Kan cik troli, kan?" Si dia tersengih-sengih.
"Yalah, mama. Kita kan dah janji dengan uncle untuk belanja uncle makan."
"Oh, Fifi ada janji ke?" Cahaya terus memerhatikan Fifi dan si dia yang tekun menanti jawapannya.
"Ya!" Fifi dan si dia sama-sama menjawab. Serentak.
Cahaya kecilkan matanya. Hati libang-libu. Cik troli dia panggil aku? Tak ada nama lain ke dia nak panggil?
"Uncle pun tadi jeling-jeling Fifi dan mama Fifi. Ingatkan orang lain tapi betul!"
Fifi semakin teruja.
"Kita dah berapa kali terjumpa?"
"Tiga kali!"
"Wah, tiga kali, ya?"
Si dia tiba-tiba berdiri. Meneliti wajah Fifi dan cik troli. "Eh, stesen uncle dah sampailah, Fifi." Dia senyum.
"Kita jumpa lagi, ya?"
Fifi terus memerhatikan pintu LRT yang kini terbuka. Membawa keluar susuk tubuh yang tadi duduk sekejap di sebelahnya. Sempat dia menjerit kecil, "bye, uncle. Kita jumpa lagi."
Lambaian berbalas.
Aizul geleng-gelengkan kepala. "You tak patut biarkan Fifi bercakap dengan orang yang you tak kenal. Lelaki pula tu."
"Dia baiklah. Of course Fifi boleh tahu. Fifi pun memang tak akan suka-suka hati berbual dengan orang yang dia tak kenal." Cahaya masih mahu menyebelahi anak kesayangannya.
"Senangnya you cakap. You ingat Fifi ada the sixth sense? Boleh tahu siapa yang jujur, baik, jahat, orang yang pemarah dan orang yang begitu begini dengan dia?" Aizul merengus geram. "You tahu kan I akan jealous kalau you pandang lelaki lain," ujarnya ikhlas.
Cahaya hamburkan ketawa. Selalunya dia memang akan begini dengan Aizul. Tak pernah langsung wujud satu perasaan kepada Aizul. Jarang sekali untuk dia mahu jadikan Aizul yang istimewa dalam hati.
"Jangan buat lawaklah, Aizul."
"Tengok. You kata I buat lawak. I seriuslah."
"But I tak pernah serius. If dengan you. No!" Cahaya buat muka. "You dengan I hanya kawan okey. Tak lebih dari tu." Cahaya cepat sahaja memutuskan. Aizul memang sentiasa akan tahu yang dia ini keras kepala. Dan Cahaya ini memang akan sentiasa jual mahal! "I kan dah beritahu you, yang I senang berkawan dengan you tanpa ada apa-apa ikatan."
"Tapi kawan-kawan I dan semua yang kenal kita akan anggap kita lebih dari tu."
Cahaya menjeling Aizul. "Tu dia orang. Sorry, okey! Empat puluh empat tahun dari sekarang, mungkin okey." Mata Cahaya membulat besar.
Aizul menyengih sahaja.
Troli yang sudah penuh dengan stok barang dapur, dia tolak ke kaunter.
Aizul masih sibuk memilih entah apa barang lagi. Dia mahu trolinya penuh hari ini.
"You tak boleh makan Maggi." Cahaya meneliti pilihan yang ada di tangan Aizul.
Dia senyum lebar. "Tengok, fasal I makan apa pun, you sangat teliti. Ya sayang, I tak akan makan Maggi." Bungkusan berkenaan diletak kembali ke atas raknya.
"Macam ni, you kata kita tak lebih dari tu?"
Cahaya gelengkan kepalanya.
Tiba-tiba dia teringatkan perbualannya dengan Aizul. Entah bila, tetapi selalu sangat dia ulangi kepada lelaki berkenaan.
"Kita kawan aje, Aizul."
"Ya, kawan. I faham permintaan you."
"Kalau you dah ada kawan spesial, umi atau keluarga you kenalkan ke, atau ada terjumpa mana-mana gadis yang sesuai, menarik hati dan baik, you kena cepat-cepat buat keputusan. You tak boleh tunggu dan paksa I."
"Setakat ni, belum ada yang istimewa. Only you!" jawab sang lelaki beberapa bulan lepas di New York.
Hatinya berbisik berkali-kali, I ada bermimpi tetapi lelaki tu bukan you. Bukan!
Semasa di kaunter, ketika mahu membayar semua barang di dalam troli, Aizul terus mengusik Cahaya.
"So you sempat tanya nama dia tak?"
Cahaya gelengkan kepala. "Tak. Mana sempat. Dia hanya tahu nama Fifi aje."
"Uiii... Selamat. Kena buat kenduri doa selamat ni." Aizul mengurut dada tanda lega.
"Kalau I terjumpa dia sekali lagi, macam mana? I nak buat apa?" Cahaya mula menyoal Aizul.
"I akan doakan you tak akan jumpa dengan dia lagi. Kalau Fifi dengan mudah boleh jadi rapat, berbual slumber macam tu pun, I dah risau. Hei... Fifi ni! Dia tu senang sangat suka dengan orang, kan?"
Cahaya termenung lagi. Senyumnya itulah yang buat dia tiba-tiba jadi nanar. Tiba-tiba sahaja dengan berani dia memerhatikan lelaki berkenaan di dalam perut kapal terbang. Entah apa ajaibnya, dia boleh terserempak lagi dengan sang lelaki di dalam LRT. Tiga kali bertemu. Sangat ajaib.
"Tapi orang kata, kalau jumpa si dia selalu, rasa bahagia dan tenang aje tengok dia, itu tanda dia jodoh kita. Kan Aizul, kan?"
"Jangan nak merepek boleh tak?" Wajah Aizul terus berubah. Serius.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co