Truyen3h.Co

HAI CINTA, DENGARKANLAH!

Bab 5

karyaseni2u

"Dia takut kita nak ambil Si Fifi tu. Kan Cah, kan?" Datin Suriani melepaskan pandangannya untuk si menantu.

"Eh, bukan macam tu, ma. Cah banyak sangat kerja nak buat. Sampai saja Malaysia, terus ada kerja, pergi ke sana ke mari. Sampaikan terpaksa bawa Fifi sekali."

"Haaa, sebab itulah mama suruh letak Fifi kat sini sementara nak tunggu sekolah Fifi buka. Nasib baiklah sekarang ni cuti sekolah. Kamu tu pun, lepas ni kalau dah kerja tetap, tak bolehlah nak biarkan Fifi sorang diri kat rumah lepas habis sekolah." Datin Suriani pantas menjawab.

"Hantar Fifi sini, ya?" tambah Datuk Rahim.

Ah, kusutnya kepala. Cahaya hanya tersengih-sengih sambil memerhatikan anaknya yang sedang bermain dengan Najwa di luar rumah.

"Bukan Cah tak nak hantar sini. Takut susahkan semua. Lagipun Fifi ni kadang-kadang nak itulah, nak inilah." Cahaya cuba berdiplomasi dengan mentuanya.

"Mama dan papa ada aje kat rumah. Bukan susah sangat pun kami semua nak layan Si Fifi tu. Najwa anak Abang Nizar kan ada. Boleh jadi kawan. Wahida pun ada kat rumah. Dia mesti lagi suka sebab ramai anak-anak buah dia ada kat sini."

Cahaya garu kepala. Selepas ini, dia akan mendengar pula bebelan emak mentuanya.

"Dah dua minggu pun kamu berdua balik sini, Cah. Baru hari ni kami tahu, yang kamu berdua dah balik ke Malaysia. Patutlah mama tengok Facebook senyap sunyi. Instagram pun tak kemas kini apa-apa. Wahidalah yang kompelin kat mama, kenapa Kak Cah diam, senyap sunyi tanpa berita. Tak diberitahunya kita yang dia balik Malaysia, jadinya memang patutlah mama marah. Fifi ni kan cucu mama, rindu sangat mama dengan dia. Hei, lain kali jangan dibuat perangai sebegini, Cah. Kalaulah mama tahu, mama dan papa boleh aje datang dan ambil kau orang berdua kat lapangan terbang sana."

Susah betul kalau mak mentua dan adik ipar jadi kawan kau kat Facebook dan follow segala aktiviti kau di Instagram. Cahaya gigit bibir sambil melantunkan entah apa rasa dalam hatinya.

Mama nampak betul marahnya.

"Dahlah tu, emaknya. Cahaya ni datang pun, dah syukur, alhamdulillah." Datuk Rahim menyelamatkan keadaan. "Mestilah Cah banyak benda nak buat lepas balik dari sana. Uruskan pendaftaran anak kat Kementerian Pendidikan. Dengan kerja dia kena pergi sana sini. Jomlah kita makan. Saya lapar sangat dah ni." Datuk Rahim ayunkan kaki ke pintu rumah.

Datin Suriani hanya memerhatikan sahaja Cahaya yang menyertai Wahida. Wahida pula tiba-tiba terpacul dan berdiri di anak tangga ruang tamu.

"Ala mama ni, relakslah, ma. Kak Cah bukan tak nak datang sini. Dia sibuk dengan kerja dialah, mama. Nasib baik dia nak datang rumah kita hari ni. Kan Kak Cah, kan?" Wahida tersengih-sengih. Dari atas lagi, dia sudah mendengar mama membebelkan kakak iparnya. Kesian betul!

Adib memeluk tubuh. Dia pandang seluruh bangunan di hadapannya. Melalui tingkap, dia dapat melihat dengan jelas pemandangan di sekitar bandar Sarawak. Fikiran jauh menyorot entah ke mana.

Hari ini, tiba-tiba dia rasa sangat lapang.

Tenang.

Kenapa?

Selalunya dia akan sentiasa menangisi nasib diri. Termenung jauh teringatkan Nazzila. Kemudian untuk meredakan segala kesedihan, dia akan bekerja dengan tekun, mengorak langkah dan yakin dengan setiap perkara yang dia buat. Dia berharap dengan apa yang dia buat selama satu hari, dia akan lupakan semuanya. Hanya itu sahaja caranya.

Ajaibnya, hari ini dia berjaya melenyapkan segala perasaan lama itu pergi.

Kenapa? Soalnya sendiri dalam hati. Berkali-kali.

Tiga kali. Dia senyum. Seawal pagi ketika bergegas masuk ke dalam LRT, dia terjumpa lagi dengan si dia yang berani merenungnya di dalam kapal terbang, lewat beberapa minggu nan lalu.

Dua. Dia bertemu lagi dengan si cik troli di lobi. Kenapa dia mengejar dan mencari aku? Kenapa? Hatinya terus tertanya-tanya.

Tiga. Dia bertemu lagi dengan si dia dan anaknya yang sangat petah bercakap itu di dalam LRT. Dia perlu bergegas pula turun di Bandar Tasik Selatan untuk mendapatkan Grab dan terus bergegas cepat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Damn it!

Masa pula sangat mencemburui dia. Perbualan yang sangat singkat. Terlalu pendek dan kenapa dia bodoh sangat tak minta saja nombor telefon si empunya diri?

Entah-entah dia dah kahwin? Yalah, Fifi tu anak dia. Mesti dia dah kahwin.

Okey, fine. Memanglah dah kahwin. Habis Fifi tu datang dari mana? Adib pejamkan mata. Cuba kembali mengingati perbualannya dengan si kecil.

"Oh, Fifi memang balik berdua aje dengan mama, ya?"

"Ya. Dengan mama. Berdua."

Dia senyum. Kembali membuka mata dan mencebik.

"Dengan mama, berdua." Dia mengejek suara Fifi.

Suara Fifi tiba-tiba terngiang-ngiang di cuping telinga, "kita kan dah janji dengan uncle untuk belanja uncle makan."

Haaa... Belanja makan. Dia senyum. Tapi bila? Bagaimana lagi untuk dia ketemu dengan si cik troli dan Fifi?

Adib tiba-tiba tersenyum. Sekali lagi dia macam tidak percaya yang dia kini boleh memikirkan orang lain di dalam kepalanya. Ajaib.

Bukan Nazzila. Bukan lagi Nazzila yang selalu dia dambakan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co