Bab 13
"Bungkuskan mak cik roti canai telur dua dan roti sardin satu, ya?" Hajah Faridah senyum mesra.
"Mak cik duduklah dulu. Nanti dah siap, saya bagi tahu," ujar Sara seraya menebar roti canai.
"Eh, tak apa! Tak apa! Mak cik memang suka tengok kau tebar roti ni. Jarang anak muda nak bekerja macam ni. Tak glamour katanya."
Sara sekadar senyum mengambil hati.
"Siapa nama kau? Dah lama mak cik teringin nak tahu."
"Sara, mak cik."
Hajah Faridah mengangguk-angguk. "Mak ayah kau kerja apa?"
Sara menggeleng. "Saya yatim piatu, mak cik."
"Allah, kesiannya! Patutlah kau tak sambung belajar. Orang lain umur macam kau ni, sibuk belajar dekat universiti. Hidup sekarang ni memang payah. Itu sebab perempuan macam kau ni, kena menikah awal. Kau dah ada kekasih?"
Sara segan. "Tak ada, mak cik."
"Jadi menantu mak cik nak? Mak cik dah jatuh hati kat kau. Terkejut masa mula-mula mak cik tengok tukang tebar roti canai perempuan. Setiap kali mak cik pandang kau ni, mak cik dah dapat agak. Kaulah calon yang paling sesuai dengan anak mak cik."
Sara terperanjat. Sehingga roti canai yang ditebarnya ke udara, tercampak dan mendarat di atas kepala Hajah Faridah.
"Eh, mak cik! Allah!" Kalut Sara dengan rasa bersalah.
"Allah, Sara!" Pak Him yang melihat kejadian tersebut lekas-lekas mendekati.
Hajah Faridah menggeleng dengan senyuman masih di bibirnya. Roti canai di atas kepalanya diambil.
"Tak apa, tak apa! Him, aku berkenan nak bermenantukan pekerja kau ni."
"Eh, apa yang ditanya aku pula? Yang nak menikah tu dia. Patut kau tanya sendiri dengan Sara," balas Pak Him.
Sara menggigit bibir seraya mengambil roti canai dari tangan wanita itu.
"Maafkan saya, mak cik. Saya terperanjat."
Hajah Faridah tergelak.
"Sara, Hajah ni pelanggan tetap warung Pak Him yang satu lagi tu. Sejak zaman dia anak dara lagi memang hari-hari menapak kat kedai tu."
"Errr... Saya belum sedia nak kahwin, mak cik."
"Kita ni kalau tunggu bersedia, entah bila nak bersedia. Tak apa. Kau fikir dulu. Mak cik tak paksa tapi mengharap jugalah kau sudi jadi menantu mak cik. Untungnya, kau dapat tumpang kasih mak cik sebagai mentua. Sebagai ibu. Kau tak nak?" Hajah Faridah memujuk.
Sara mengepal penumbuknya apabila teringatkan kisah lamaran daripada wanita yang bernama Hajah Faridah itu tidak lama dahulu. Terasa sungguh menyesal menikahi anak kepada si wanita itu. Manisnya seperti menanam tebu di bibir mulut.
"Kak, cepatlah!" gesa Fitri tidak sabar.
"Mak cik ni... Dia hari-hari datang ke kedai. Katanya, dia terkejut tengok akak kerja tebar roti canai. Sedangkan masa orang lain umur 18 tahun macam akak masa tu, semua pakat berebut masuk universiti. Sambung belajar."
"Kita sebayalah masa tu." Fitri menjelirkan lidah.
"Hah, macam umur kau sekarang inilah." Pak Him mengeyakan.
Sara mula menebar roti canai kosong untuk diletakkan di dalam bekas kedap udara. Fitri akui, setiap kali dia melihat Sara menebar, perasaan untuk turut menebar berkobar-kobar.
"Kak pendekkan cerita sebab kedai dah nak buka dah ni."
"Cepatlah, kak! Nanti kalau ada pelanggan datang tak sempat habis."
Pak Him tergelak kecil. Kalut Fitri seperti Sara sudah berhenti kerja pada hari esok.
"Kak menikah dengan anak dia."
"Fuyooo! Kak mengurat mak dia, sekali dapat anak?"
Sara menjongket bahu. "Mak dia berkenan akak ni sebagai menantu. Tapi mak cik tu sebenarnya sembunyikan akak ni kerja sebagai penebar roti canai."
"Lol! Bukannya haram kerja macam ni!"
"Kau ni asyik menyampuk aje... Bila kak nak habis cerita?"
"Okey-okey! Aku diam."
"Hmmm... Kami nikah. Masa sanding tu, kak dapat tahu sebenarnya laki kak tu, bekas la sekarang ni, rupa-rupanya dah ada pilihan sendiri. Awek dia datang sambil nangis-nangis. Tapi kau tahulah lelaki yang jenis angguk aje semua kata mak, memang akan ikut apa yang mak dia kata. Dia kahwin juga dengan kak kau ni." Sara meletakkan doh yang sudah dibentuk dalam bentuk bulat itu di atas kuali leper.
Fitri membalikkan roti yang sudah masak di sebelah bawah.
"Malam tu dan malam-malam lepas tu, dia tak usik langsung akak. Macam akak ni tunggul kayu dalam bilik dia. Kau pernah tengok drama Melayu? Hah, macam itulah juga dia suruh kak tidur atas lantai beralaskan tikar getah rumah dia tu."
"Kejam punya jantan!" Fitri bengang.
"Hah, tahu pun kau bengang. Kak ni yang rasa. Sebulan nikah, kak still tak pregnant lagi. Masuk bulan kedua, mak dia suruh kak minum susu nak naikkan badan sebab katanya kak ni cekeding sangat sebab itulah susah nak mengandung."
"Apa pasal kak tak bagi tahu aje yang laki kak tu tak... Tak tergamaklah nak sebut."
Pak Him bangun dan bergerak ke kaunter.
"Kejap, kak. Aku nak pergi tarik bidai tu supaya orang tahu kedai dah buka." Berlari Fitri melakukan pekerjaannya sebelum kembali mendapatkan Sara.
Seorang demi seorang pelanggan melangkah masuk. Fitri menarik muncung. Sara dan Pak Him tergelak memandang Fitri yang tampak kecewa tidak dapat mendengar keseluruhan cerita Sara.
"Nanti kau sambung, kak. Aku nak pi ambil oder."
Airiz duduk bersila di atas kerusi. Mulutnya mengunyah lobak merah dengan penuh selera. Mai yang memotong daging, sejak tadi sepi tanpa suara.
"Aishhh, aku penatlah tengok kau ni moody tak kira masa. Relakslah, Faiz aje pun!"
Tajam mata Mai menjeling ke arah Airiz.
"Kau jangan sebut nama dia depan aku!"
"Huh, sebut marah! Duk terfikir jantan tak guna tu apa ada hal?"
Mai mengangkat pisau pemotong daging itu dan menghempaskannya kuat di atas papan pemotong. Kus semangat Airiz melihat.
"Hati-hatilah! Terpotong jari, karang OKU kau!"
Mai mengeluh. Bibirnya diherot-herot.
"Kalau boleh, aku nak potong-potong mamat tu macam aku potong daging ni. Isy, geram tahu tak?" Mai menggigit bibir bawahnya.
"Auch, so sexy!" Airiz menyakat.
"Gila!" Mai menjuihkan bibir yang disapu lipstik merah jambu berkilat itu.
"Kalau Faiz tu tengok kau macam ni, dia boleh gila talak, kau tahu?"
Mai berhenti memotong. Dia mengangkat muka memandang Airiz.
"Dia dah macam stalker! Asyik call dan WhatsApp aku tak berhenti. Apa pasal? Awek dia dah cabut lari?"
Airiz menggigit lobak merah yang masih berbaki di tangannya.
"Faiz tu dah tak bersama kau. Jadi, kenapa sekarang dia stalk kau pula? Kau pun kurus masa kau mula-mula nikah dengan dia. Tak timbul isu bila kau dah kurus balik dan kau expected dia akan kembali pada kau?"
"Tapi dia macam terkejut aku boleh kurus. Dia..."
"Dahlah, Mai. Jangan pandang ke belakang lagi. Kau dah jalan jauh ke depan. Kenapa nak toleh-toleh lagi?"
"Aku bukan nak sangat toleh tapi, aku terganggu bila dia duk ganggu aku."
"Kau boleh block call dan WhatsApp dia, kan?"
Mai membawa daging yang sudah siap dipotong ke singki.
"Kau tak nak balas dendam ke?"
"Dendam tu memakan diri. Allah tu Maha Adil. Biar Allah yang balas."
"Tapi kalau bukan sebab jantan tu, aku tak jadi macam ni!"
"Kau tengok aku ni. Aku ni masih lagi bernyawa. Masih lagi bernafas. Masih lagi normal. Sebab tu aku berani cakap yang kau akan berjaya sembuhkan penyakit kau tu. Lupakan Faiz. Lupakan mak dia. Lupakan dendam. Hayat kita ni tak lama. Nikmati aje hidup ni selagi Allah bagi kau peluang untuk bernafas." Airiz meletakkan hujung lobak yang masih belum terusik. Jujur, dia hilang selera. Kakinya diturunkan ke bawah.
Airiz bangun.
"Kau nak ke mana? Tak nak teman aku masak?"
"Aku nak cuba tidur. Dah siap masak, kejutkan aku."
"Yalah, tuan puteri. Nanti aku kejutkan kau."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co