Truyen3h.Co

HANYA AKU

Bab 14

karyaseni2u

"Auntie dah cakap, kan? Nombor ni dah lama auntie pakai. Dah lima tahun! Lima tahun!"

Luke mengetuk-ngetuk meja komputernya. Macam mana boleh jadi macam ni?

"Sorry ya, auntie. Maaf mengganggu."

"Okey. Tak apa. Bye!" Talian terputus.

Luke bangun dan bergerak ke katil. Dia merebahkan badannya di atas tilam. Telefonnya ditenung lama.

"Kau tipu abang ke, Airiz?" Tangan Luke mendarat di atas dahi. Fikirannya menerawang.

"Adik kan perempuan. Jadi, adiklah yang jadi princess." Ijat memakaikan mahkota di atas kepala Airiz.

"Along dan angah jadi apa?" Jae membetulkan gaun pada badan adik perempuannya itu.

"Along jadi king. Jadi ayah. Angah pula jadi bodyguard adiklah. Barulah orang jahat tak culik adik."

Ijat menayang muka tidak puas hati. "Unfair! Along jadi raja. Angah jadi bodyguard?"

Luke ketawa terkekeh-kekeh. "Airiz jadi princess, biar Abang Luke jadi prince."

"Banyak cantik muka kau? Adik, biar angah jadi prince. Angah lagi handsomelah daripada Luke ni!"

Jae menggerakkan jari telunjuknya ke kiri dan ke kanan.

"Adik, biar along yang jadi prince. Angah dan Abang Luke ni jadi orang jahat. Cun tak?"

Jae mengangkat kelima-lima jarinya dan membuat high 5 dengan Airiz.

"Memandangkan Abang Luke yang paling handsome antara kami jejaka bertiga, Abang Lukelah yang layak jadi prince." Luke tidak mahu mengalah.

"Ah, sudah! Semua nak jadi prince. Princess mana boleh kahwin dengan tiga prince? Adik tak nak jadi princess la. Adik nak jadi cef. Along, angah dan Abang Luke jadi customer."

"Orait, along setuju."

"Angah nak jadi cef juga!"

"Tak nak mainlah. Airiz mana reti masak. Nanti, Abang Luke sakit perut. Lagipun, Airiz ni cengeng. Sikit-sikit nak nangis. Manja! Rambut pendek tak sikat. Hitam! Gigi tak gosok. Princess semua lawa-lawa. Tak cantik macam ni, mana boleh jadi princess? Baik Abang Luke ajak along ni baca buku. Tahun depan kami dah UPSR." Luke menanggalkan cermin mata dan menampakkan matanya yang sepet.

Muka Airiz sudah mencebik ada tanda-tanda mahu menangis.

"Abang... Abang Luke buli adik! Huwaaa!"

"Luke!" Bergegar ruang rumah dengan jeritan Jae dan Ijat.

Luke mula angkat kaki dan cabut lari balik ke rumah. Dia tersengih mendengar raungan kanak-kanak yang berusia tujuh tahun itu.

Getar telefon menandakan masuknya azan maghrib mengembalikan Luke dari kenangan masa lalu.

Seronoknya kalau semuanya tak berubah dan masih macam dulu. Luke segera bangun dan mencapai tuala. Dia mahu membersihkan diri. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co