Bab 1
Prolog
SUARA ceria kanak-kanak lelaki dan perempuan yang sedang bermain di hamparan luas padang rumput seolah-olah satu irama indah buatnya. Bukan harta mahupun nama yang membahagiakan manusia, bukan juga kejayaan menjulang dan kekayaan yang bergunung untuk membeli kegembiraan. Apa yang penting ialah reda dan rahmat Ilahi bersama restu ibu dan bapa. Dia tidak ingin tamak untuk mencari apakah sebenarnya menjadi manusia yang paling bahagia di dunia. Kerana kebahagiaan di dunia ini adalah bila seseorang manusia itu tahu bersyukur dan hidup apa adanya. Dia punya segalanya saat ini. Keluarga, rahmat dan reda Ilahi malah restu keluarga. Apa lagi yang dia mahukan?
Tercicir seketika teman kebahagiaannya! Satu lagi anugerah Ilahi padanya. Matanya dialihkan pada lelaki yang berkemeja-T kelabu dan seluar coklat tua serta bertopi. Topi yang sama dengan kanak-kanak lelaki yang sedang memegang alat kawalan jauh kereta. Doanya setiap kali melakukan solat antaranya adalah agar rahmat Allah sentiasa bersama lelaki itu dan agar kasih sayang mereka terus kekal hingga ke akhir hayat. Tengku Zaril bin Tengku Hazimi, suami dan daddy kepada dua orang cahaya matanya.
Siapa sangka lelaki itu boleh menjadi suaminya. Lelaki yang Yuhanis kenali melalui majalah yang ditunjukkan sahabatnya Maisara. Mungkin dianggap kebetulan atau bertuah dan mungkin juga takdir yang menentukan mereka bertemu di alam perniagaan. Angkuh dan sinis sikap Tengku Zaril cukup menjengkelkan dan Yuhanis cukup rasa 'terpaksa' bekerja dengannya hanya kerana mahukan sesuap nasi. Dengan kemahuan dan kerelaan, mereka disatukan dalam ikatan perkahwinan. Alasan Tengku Zaril, kerana mereka saling memerlukan. Biarpun cara lamaran Tengku Zaril cukup tidak beradab, Yuhanis menerima. Kerana apa? Tidak pasti. Mungkin juga 'takdir'.
Cinta bukanlah segalanya kerana manusia perlu hidup! Prinsip Yuhanis cukup pendek. Prinsipnya menjadikan Yuhanis perempuan yang tidak menerima cinta atau mempercayai cinta seperti orang lain. Dia mencinta dan menyayangi dengan rasional bukan emosi lantas menjadi wanita yang cukup kekok dengan luahan kasih sayang daripada seorang lelaki. Pengalaman membuatnya menjadi orang yang tidak tahu menerima cinta dan menunjukkan isi hatinya. Dia terlalu berhati-hati membuatkan orang lain sukar memahami. Syukurlah, dia bertemu dengan lelaki yang penyabar.
Bab 1
ALUNAN muzik dari corong radio dalam keretanya diperlahankan sedikit. Dia bukanlah minat sangat dengan seni penciptaan lagu, berbeza daripada bidangnya - seni bina. Tetapi kalau difikirkan secara mendalam, ada juga persamaannya.... SENI! Yuhanis ketawa sendiri.
Dia memberhentikan keretanya di persimpangan lampu isyarat. Lampu merah, takkan hendak langgar saja.... Perempuan, memang selalunya jadi pemandu yang berhemah. Kadang-kadang kerana terlalu berhati-hati, lain pula yang jadi. Kereta termasuk dalam longkanglah, terlanggar kereta di hadapan atau terlupa menarik brek tangan menyebabkan kereta bergerak sendiri. Kerana terlalu berhati-hati, perempuan jadi kelam-kabut. Kedengaran pelik, tetapi itu yang sebenarnya berlaku. Perempuan juga amat tabah sifatnya. Mungkin kerana sifat azali perempuan yang lebih sabar dan boleh bertolak ansur. Betulkah semua perempuan sabar? Dia tidak pasti, tetapi perempuan yang berada di sekelilingnya menunjukkan sikap mulia itu.
Mak di kampung, sentiasa sabar dalam usaha membesarkan mereka adik-beradik yang ramai tanpa bantuan daripada seorang lelaki bernama suami. Bukan seorang dua... tetapi Yuhanis ada lima orang adik-beradik, dan dia anak yang keempat. Walaupun kehidupan mereka sekeluarga tidaklah sedaif "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang" kerana duit peninggalan arwah abahnya yang bekerja sebagai tentera masih ada, tetapi Yuhanis tahu maknya tersenyum dalam derita. Apalah sangat duit pencen ayahnya untuk menampung hidup mereka lima beradik.
Syukur berkat rahmat Allah SWT, kepayahan emaknya selama berpuluh tahun terbalas kerana anak-anaknya kini sudah mempunyai kerjaya yang menjamin hidup lebih baik. Abang sulungnya, Muhammad Yazid bekerja sebagai doktor pakar bedah jantung di salah sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur. Muhammad Umar, abang keduanya sebagai jurutera. Manakala kakaknya Umairah, bekerja sebagai seorang pensyarah di universiti awam yang terletak di utara tanah air. Yuhanis pula, dalam bidang yang dia cintai, arkitek. Adik bongsunya Yuniza, masih menuntut di universiti seberang laut dalam bidang perubatan.
Bangga? Memang Yuhanis bangga menjadi salah seorang adik-beradik yang berasal dari kampung tetapi mampu berjaya seperti itu.
Ponnn!!!
Bunyi nyaring mengejutkan Yuhanis. Alamak! Rupanya lampu hijau telah beberapa saat menyala. Dia pantas menggerakkan keretanya menuju ke destinasi. Ah, tak boleh sabar sikit ke? Baru kejap saja dah tekan hon. Hurm... apa-apa ajelah korang, janji aku bahagia.
Jam di dashboard menunjukkan tepat sebelas lima minit pagi. Dia terlambat untuk mesyuarat hari ini. Memang padanlah mukanya kalau Tuan Izzudin, bosnya mengamuk. Hadap sahajalah muka orang tua itu, tidak rugi apa-apa. Dia tersenyum lagi....
"Yuhanis, baru sampai?" Wajah Tuan Izzudin yang pertama dia lihat sebaik masuk ke bahagian pentadbiran utama firma itu.
'Wah, aku dah dinanti oleh bos. Matilah aku hari ni.' Yuhanis tunduk hormat sebentar sebelum tersenyum.
"Maaf, tuan. Saya memang baru sampai. Tuan tak masuk meeting room? Rasanya waktu ni mesyuarat masih berjalan." Yuhanis berbasi-basi. Wajah majikannya dipandang juga. Tuan Izzudin angguk dan tersengih sinis.
"Tahu pulak awak hari ni ada mesyuarat. Jangan kata jalan jammed. Tu... alasan skema. Anak saya yang sepuluh tahun tu pun tahu bagi alasan sama kalau balik lewat."
"Bukan pasal jammed tuan, tapi ada masalah sikit di site kat Seremban. Lepas solat subuh site supevisor call saya, so saya terpaksa ke Seremban. Ni pun lepas selesaikan masalah kat sana, saya terus rush balik sebab ada mesyuarat. Maaflah tuan, saya lambat sikit," ujarnya. Wajah tegang majikannya mengendur. Mungkin menyedari alasan Yuhanis munasabah.
"Kenapa tak call setiausaha awak maklumkan hal ni? Awak tak perlulah datang mesyuarat kalau ada hal-hal macam ni!" tempelak lelaki lima puluhan itu. Tetapi dalam nada yang mendatar.
Yuhanis senyum. 'Ya tak ya jugak.... Apasal aku tak terfikir macam tu?'
"Tak apalah, tuan. Dah terlanjur dah nak balik sini."
"Hurm... saya pun baru sampai. Meeting postpone lepas makan tengah hari. Awak berehatlah dulu. Enjoy your lunch." Dengan selambanya lelaki itu berlalu.
Yuhanis terpinga-pinga sebentar. Baru sampai? 'Laaa... rupanya bos pun sama jugak. Aku panik buat membazir aje.'
"Anis, mana kertas pelan yang aku bagi kau last week? Mintak balik. Aku nak tengok la. Kepala otak aku black-out sekarang ni. Aku perlukan bahan rujukan untuk rekaan terbaru." Nizam bersuara dari ruang pejabatnya yang bersebelahan dengan ruang pejabat Yuhanis semasa gadis itu melintasi bilik itu.
Yuhanis berhenti melangkah dan menjengulkan muka ke dalam bilik yang pintunya terbuka luas.
"Black-out? Otak kau boleh jadi macam tu ke? Almaklumlah, graduan dari Yale University," usik Yuhanis. Nizam memandangnya sekilas sambil mencebikkan bibir.
"Aku masuk sana sebab rasuah dekan dia, alasan baik punya?" cebik Nizam.
Yuhanis ketawa kecil. Dia masuk ke ruangannya, meletakkan beg tangannya lantas mengambil gulungan kertas pelan yang tersusun di atas kabinet sebelum kembali ke ruangan Nizam. Kertas pelan yang dimaksudkan, diletakkan di hadapan lelaki berkaca mata itu.
"Kau dari mana?"
"Seremban." Jawab Yuhanis pendek. Nizam mendongak memandangnya yang berdiri di hadapan meja.
"Jumpa mak mentua?"
"Lucunya." Yuhanis mencebik. Lelaki itu memang tidak bijak bergurau. Tidak ada bakat langsung.
Nizam tertawa melihat wajah cemberut Yuhanis. Dia tergeleng.
"Apa yang lucunya ni? Aku pergi site. Ada masalah kat sana yang perlukan aku." Yuhanis menjelaskan kemudian. Dia tidak suka melihat senyuman sinis Nizam.
"Ooo..." Nizam angguk faham. Dia memandang wajah Yuhanis yang tidak bermekap. Cukup cantik walau tidak dicalit alat mekap mahal jenama antarabangsa. Perwatakan bersahaja gadis itu membuat dia disenangi sesiapa sahaja yang baru mengenalinya. Walaupun tidak mendedahkan aurat, personaliti sofistikated gadis itu tetap menyerlah. Cantik? Kecantikan dalaman yang ada pada Yuhanis sebenarnya yang membuat luarannya begitu menyerlah.
Hampir tiga tahun bekerja sebumbung dengannya, Nizam amat arif tentang sikap Yuhanis. Lembut, tidak pernah meninggikan suara, penyabar dan amat menghormati orang lain. Yuhanis gemar tersenyum sebelum berkata atau bertanya sesuatu. Sikapnya itu membuat sesiapa yang berurusan dengannya merasa selesa dan tidak kekok walaupun baru mengenalinya. Istimewanya, dengan Nizam, Yuhanis boleh bergurau dan bercerita tentang hidupnya. Mungkin kerana Nizam juga seorang yang gemar berkongsi masalahnya dengan gadis bermata coklat itu.
"What's wrong? Kenapa pandang aku macam tu? Ada apa-apa yang pelik ke kat muka aku ni lepas balik dari Seremban?" soal Yuhanis. Nizam tersenyum.
"Nothing. Kau free tak hujung minggu ni? Aku ingat nak mintak kau teman aku jumpa klien. Mana tahu kau boleh sumbang idea kau sikit. Lagipun, kan sebelum ni aku selalu teman kau, kali ni kau pulak yang teman aku." Kata Nizam. Yuhanis angguk.
"Okey, tak ada masalah. Tapi, kau belanja." Dia senyum lebar.
Nizam mengangguk. Jika Yuhanis memahaminya sedikit, mungkin gadis itu boleh memahami setiap tindak-tanduk Nizam. Namun, sukar untuk membuat Yuhanis melihatnya dari sudut berbeza selain sebagai sahabat dan rakan sekerja. Nizam melayannya bersahaja membuat Yuhanis sukar mencari kemungkinan Nizam mempunyai niat lain.
"Setakat belanja kau yang kecik ni, tak kopak pun harta aku." Cebiknya, membuat Yuhanis membeliakkan matanya.
"Amboi, suka ria kau kata aku kecik. Kata mintak tolong. Aku bawak satu lori suku sakat aku, baru kau tahu!" tempelaknya.
Nizam tergelak. Wajah Yuhanis yang marah langsung tidak menakutkan dia. Marah atau suka, riak gadis itu sama sahaja. Kalau marah pun, akhirnya dia akan tersenyum.
"Aku masuk pejabat aku la. Malas nak layan kau. Aku nak siapkan kerja yang tinggal. Eh, lupa pulak... kan sekarang waktu makan tengah hari. Patut pejabat sunyi. Kau tak nak makan?" Yuhanis yang mahu berpaling keluar memandang kembali pada Nizam.
"Aku baru nak pergi. Jom!" ajak Nizam.
Yuhanis menurut. Dia masuk ke ruangan pejabatnya untuk mengambil beg tangan sebelum beriringan dengan Nizam masuk ke dalam lif.
"Aku lapar ni, pagi tadi tak sempat sarapan. Sara mana pandai masak. Aku pun nak cepat." Sempat menyelitkan nama Maisara, rakan serumahnya yang juga merangkap sahabatnya sejak sekolah menengah lagi. Taraf dia dengan Maisara sama saja kut!
Nizam hanya mendengar. Rakan-rakan sepejabat memandang mereka. Pasti mahu tahu sejauh mana hubungan Nizam dan Yuhanis. Kaki-kaki gosip sentiasa mahukan cerita sensasi. Hakikatnya, mereka cuma sahabat.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co