Truyen3h.Co

Hati Perempuan

Bab 2

karyaseni2u

Yuhanis mengerutkan dahi. Tidak faham maksud Maisara. Dia baru sahaja turun dari biliknya selepas membersihkan diri. Maisara awal lagi sudah berada di rumah. Selalunya gadis itu memang awal balik, maklumlah berambil dan berhantar. Maisara sudah bertunang dan akan berkahwin tidak lama lagi. Meninggalkan rumah yang sudah lebih tiga tahun didiami dan mengikut jejak Diana melangkah ke alam rumah tangga. Meninggalkan Yuhanis yang masih tidak punya aura-ura bakal berkahwin dalam masa setahun ini. Teman lelaki pun dia tidak punya, kahwin apanya! Yuhanis tahu dia akan berasa sunyi bersendirian di rumah ini nanti.

"Kau tengoklah cover majalah ni muka siapa," ujar Maisara.

Yuhanis membelek juga gambar muka hadapan majalah antarabangsa itu. Tambah berkerut dahinya. Siapa ni? Macam orang Melayu, tetapi bukan antara orang yang dia kenali. Tidak dapat dinafikan, wajah pemuda bersut hitam sambil menongkat dagu itu memang bernilai komersial. Pose yang memperlihatkan jelas jam mahal yang dipakainya. Jenama antarabangsa yang tidak reti Yuhanis menyebut dengan lancar. Audemars Piguet. Model jam tangan?

"Siapa ni? Aku tak kenal pun. Model baru agaknya."

"Aduh! Kau ni bijak memang bijak, tapi info semasa kau tak tahu. Ini Tengku Zaril, lah. Kau tak kenal ke?"

Yuhanis geleng. Maisara memandangnya sambil menggeleng dan berkerut dahi. Penting ke?

"Anak jutawan kat Malaysia. Dia ni publisiti mengalahkan artis popular. Dengan kebijakan dan ketampanan yang dia ada, semua gadis kat Malaysia ni nakkan dia. Walaupun dia tak kenal kau, at least kau mesti kenal dia..." jelas Maisara dengan lagak seperti seorang jurucakap buat lelaki dalam gambar depan majalah itu.

Yuhanis angguk faham. Tidak faham kenapa Maisara stres tentang dia yang tidak kenal dengan pemuda itu.

"Dia ni memang keturunan kacak-kacak belaka, daripada bapak dia sampai dia dan adik-adik dia semua superb. Otak pun mantap."

Bersungguh-sungguh benar! Yuhanis mengerutkan dahinya memandang Maisara. Selama ini dia hanya tahu yang Maisara begitu suka dengan drama-drama Korea yang rata-rata pelakonnya handsome dan cantik. Gadis itu sanggup berhabis duit membeli DVD dan tiket konsert artis Korea. Yuhanis juga mengagumi negara itu tetapi bukan dari sudut hiburan tetapi dari sudut seni bina bangunan-bangunannya yang moden dan mempunyai keunikan tersendiri. Malah, ekonomi Korea juga berkembang dengan sungguh baik sekali dalam tempoh sepuluh tahun ini.

"Anis, kau fikir apa tu? Cakap aku kau tak dengar." Bahu Yuhanis ditepuk kuat membuat dia terkejut. Maisara memuncungkan mulutnya. Yuhanis senyum.

"Kalau macam tu, kau harus tukar kata-kata kau. Semua gadis jadi sesetengah gadis. Sebab aku tak berminat dengan mamat ni. Hei... apa kaitan mamat ni dengan kita. Aku malaslah nak jadi peminat. I'am not interested. Aku nak makan kat luar ni, nak ikut?" katanya. Masih banyak hal yang dia perlu ambil tahu daripada mengambil kesah tentang hal yang tidak penting.

Maisara mengeluh. Hampeh!

"Eh, cerita kau bercinta dengan Nizam heboh tau! Sampai unit kewangan. Kau serius dengan Nizam tu?"

Soalan Maisara membuat Yuhanis yang baru memulas tombol pintu rumah menoleh padanya.

"Nizam? Mana ada bercinta. Kami kawan aje. Macam mana boleh timbul cerita tak betul tu? Heran." Dia ketawa kecil. Orang di pejabat itu tidak ada hal lain selain menyebar cerita tidak betul agaknya.

Maisara tersenyum. "Kalau betul pun, apa salahnya. Nizam bujang, kau bujang. Kan mak kau kat kampung tu nakkan menantu baru daripada kau. Lagipun, Nizam tu handsomekan. Cool pulak tu. Padanlah dengan kau yang unik ni."

Eh, macam menghina pun ada. Yuhanis mengecilkan matanya memandang Maisara.

"Boleh tak jangan berangan nak tengok aku bercinta? Malaslah nak fikir semua ni. Nizam tu kawan baik aku macam kau jugak. Kau jangan cerita hal ni depan Nizam, memalukan aku aje." Kelihatan Nizam sedikit pun tidak menganggapnya seperti seorang perempuan yang disukai. Mungkin rakan sekerjanya itu sudah punya buah hati pun.

Dia melangkah keluar dari rumah, ringkas dengan blaus paras lutut merah jambu lembut, seluar jean dan bertudung putih. Maisara lebih ringkas dengan jean dan kemeja-T lengan panjang. Sesuai dengan wataknya yang lebih lasak dan aktif.

"Anis, kau rasa isteri macam mana yang Tengku Zaril nak? Yang cantik dan anak orang kaya macam dia jugak atau nak yang bijak macam dia?" Di dalam kereta, Maisara bersuara lagi. Masih mahu berbicara soal lelaki idamannya. Yuhanis ketawa.

"Aku tak tahulah. Bukannya aku ni PA dia. Mengikut logik, mestilah dia nakkan yang sama macam dia. Yang cantik dan kaya, boleh jamin masa depan perniagaan dia." Itu adalah lazim bagi pewaris-pewaris harta yang bernilai jutaan ringgit. Paradigma Group ditubuhkan sejak puluhan tahun dan bermula dengan industri perladangan getah sejak zaman British menjajah Tanah Melayu. Kini setelah lebih lima puluh tahun Malaysia merdeka, Paradigma rancak mengembangkan rangkaian bidangnya kepada perdagangan, automobil, perladangan, pengangkutan, pendidikan dan kini yang terbaharu dalam bidang perubatan. Perolehan bersih kumpulan itu hanya membuat orang macam Yuhanis mencekik leher sendiri. Yuhanis kenal logo dan menara Paradigma tetapi dia tidak ambil tahu siapa pemiliknya.

"Kesian gadis-gadis macam aku ni, kan Anis. Melopong la nampaknya. Orang kaya mesti kahwin dengan orang kaya, yang miskin dengan yang miskin." Keluh Maisara, sekadar berkata-kata. Dia sudah ada lelaki yang mahu berjanji hidup bersama iaitu Saiful, tunangnya. Niatnya ingin menarik perhatian Yuhanis tadi, tetapi gadis itu jelas tidak berminat. Peliklah minah ni!

"Tak semestinya macam tu. Jodoh pertemuan semua di tangan Allah Subhanahuwataala. Kalau dah namanya jodoh, kaya atau miskin bersatu jugak. Sama macam kisah Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam dengan isterinya, Saidatina Khadijah radiallahuanha. Rasulullah dengan Khadijah bukan aje berbeza dari segi harta, malah jugak umur. Tapi, jodoh baginda dengan Khadijah dah tertulis. Perbezaan itukan saling melengkapi," ujar Yuhanis.

Maisara angguk setuju dengan hujah pendek sahabatnya.

"Kalaupun aku tak dapat jadi isteri VVIP, dapat jadi kawan isteri VVIP pun jadilah. Seronok jugak kalau kau dapat kahwin dengan Tengku Zaril," cebik Maisara.

Yuhanis menjegilkan mata memandang temannya. Ya Allah, tak habis lagi rupanya! Masih nak berangan Maisara ni. Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba Tengku Zaril mahu berkahwin dengan dia pula? Mengarut Sara ni!

"Eh, kita nak ke mana ni? Dah lama aku duduk dalam kereta kau ni, tapi tak sampai-sampai..." tanya Maisara setelah suasana bisu menjadi tembok antara mereka. Suzuki Swift Yuhanis masih berada di atas jalan raya yang tidak berapa lengang.

"Makanlah."

"Aku tahulah makan, tapi kat mana?" suara Maisara geram, seolah-olah Yuhanis mempermainkannya.

Mereka masuk ke kawasan perumahan mewah. Bertambah tertanya-tanya Maisara. 'Aku tak biasa dengan area ni!' detik hatinya.

"Relaks la, Sara. Jangan marah."

"Aku tak marah, geram aje. Marah dengan orang macam kau ni buang masa aku, tahu tak. Kita pergi makan kat mana ni, Anis?" tukasnya lagi, tidak puas hati.

"Kat rumah Nizam. Aunty Kalsom ajak aku petang tadi. Makan malam aje, bukan jamuan pun. So, relaks."

Maisara memandang Yuhanis dengan riak curiga. Aik... mesra dengan mak mentua ke? Saspens betul!

"Jangan pandang aku macam tu la. Ni kita sama-sama belum kahwin. Kalau accident macam mana? Aku tak boleh orang perhatikan aku masa buat sesuatu. Terutamanya semasa tengah memandu." Yuhanis membelokkan stereng kereta masuk ke simpang. Jauh benar jalan masuk rumah Nizam ni!

"Kata kawan aje, ni mesra sampai ke mak dia sekali apa hal? Korang nikan, aku tak fahamlah. Kalau suka, cakap terus terang!" tempelak Maisara.

Yuhanis ketawa perlahan.

"Jangan merepeklah. Kitorang kawan aje. Tak ada diselubungi apa-apa misteri. Mama Nizam tukan memang suka masak. Dah masak lebih, apa salahnya jamu orang lain. Ada jugak pahalanya..." ujar Yuhanis. Maisara ni suka buat spekulasi sendiri.

"Anis, orang takkan buat baik kalau tak mahukan sesuatu. Mama Nizam ni nak jadikan kau menantu, sebab tu..."

"Sara, tak baik cakap orang macam tu. Kalau orang ikhlas, kita terima. Tak rugi apa-apa. Kalau tak ikhlas, kita nak buat macam mana, kan. Minta perlindungan dari-Nya daripada niat-niat yang tak baik. Selamatlah kita..." pintas Yuhanis perlahan.

Maisara terdiam. Aduh... dah keluar ceramah dia. Padan muka kau, Sara. Kau umpat mak mentua dia apa hal? Cari penyakit!

SELEPAS makan Puan Kalsom mengajak Yuhanis dan Maisara bersembang di ruang tamu. Encik Ilham, papa Nizam ada bersama. Mereka berbual sambil menonton TV, Berita Bernama. Nizam santai dengan seluar trek kelabu dan kemeja-T hitamnya. Walaupun keluarga itu hidup mewah, tetapi mereka tidak sombong. Itu yang membuat Yuhanis selesa berkawan dengan Nizam.

"Kau dari mana waktu lunch tadi? Aku cari kat pejabat kau, tak ada. Makan dengan siapa?" Nizam mencelah perbualan mamanya membuat semua mata tertumpu padanya.

"Ada temu janji dengan Puan Maria. Dia ajak makan kat Hilton," jawabnya. Nizam diam kemudian terus menumpukan perhatian pada siaran TV.

"Anis dengan Sara, kalau ada masa ikutlah Nizam sesekali makan tengah hari kat rumah ni. Aunty hari-hari masak lebih. Kalau uncle outstation, tinggal Nizam dan Nazri aje dengan mamanya." Encik Ilham bersuara. Lembut caranya, ciri-ciri individu terpelajar.

Yuhanis dan Maisara tersenyum.

"Insya-Allah, uncle. Anis selalu ada appointment dengan klien kalau masa lunch. Kalau Sara, selalu free." Yuhanis merujuk pada sahabatnya.

Maisara tersentak. He'eleh... mak bapak mentua dia, aku pulak yang terkena.

"Abang long, makwe ke?" Adik lelaki Nizam yang baru balik dari luar mengusik abangnya. Nizam membeliakkan mata pada adiknya tanda amaran.

"Adik, apa cakap macam tu depan kakak. Ni, Anis, Sara... kenalkan adik Nizam, Nazrin. Kakak berdua ni kawan sepejabat abang long kamu," jelas Puan Kalsom.

Nazrin sengih memandang kedua-duanya, sebelum duduk di sebelah abangnya.

"Mana satu, long? Takkan dua-dua sekali kut!" bisik Nazrin, tetapi masih mampu didengari oleh yang lain. Bisik-bisik mengusik!

"Shut up," cebik Nizam.

Nazri ketawa. Suka melihat wajah gelabah abangnya yang seorang ini.

"Yang pastinya bukan Kak Sara. Sebab Kak Sara dah bertunang," celah Maisara menghangatkan lagi suasana, lebih-lebih lagi Yuhanis. Dia terkekeh dalam hati, lucu melihat wajah kedua-duanya yang gelabah dan serba salah. Mahu menidakkan, takut satu pihak tersinggung. Mahu mengiakan, lagilah tak boleh!

Yuhanis pura-pura meneguk air sirap yang terhidang untuk menyembunyikan wajahnya yang kalut.

"That's mean Kak Anis la ni..." tembak Nazrin.

Uhukkk! Yuhanis tersedak. Nasiblah tidak tersembur keluar. Dia terbatuk-batuk hingga mukanya yang putih bertukar merah.

Nizam pantas menepuk-nepuk belakang tubuh Yuhanis kerana dia paling dekat dengan gadis itu. Wajahnya panik.

Puan Kalsom memandang anak bongsunya tajam, namun akhirnya dia tersenyum.

"Dah okey? Nak minum lagi?" soal Nizam kalut. Simpati melihat wajah memerah itu.

Yuhanis geleng. Dia mengesat bibirnya dengan tisu.

"Nak minum air kosong? Aku ambikkan kat dapur." Nizam bertanya lagi bila Yuhanis masih berdeham.

"Tak usahlah. Aku dah okey." Tekaknya perit. Dia malu!

"Kak Anis, minumlah sikit, baru elok tekak. Nazrin tak sengaja cakap direct. Sorry, kak." Nazrin muncul dengan sebotol air mineral. Entah bila dia meninggalkan ruang tamu untuk ke dapur. Botol yang dihulur, disambut juga oleh Yuhanis atas dasar kesopanan.

"Thanks and never mind." Yuhanis senyum pada Nazrin. Remaja awal dua puluhan itu tersengih. Takut usik lebih-lebih, nanti kena pelangkung dengan abangnya pula. Sempat menjongket-jongket kening pada abangnya yang cukup berbulu melihat usikan Nazrin.

"Kau jangan bagi muka sangat kat budak ni, Anis. Nanti kau dibulinya. Kalau dengan dia, kau kena ubah cara. Jadi keras sikit," cebik Nizam sambil memandang pada adiknya tajam. Nazrin mencebikkan bibir.

"Ala abang long ni. Kak Anis jangan percaya sangat pada abang long. Dia ni luar nampak cool, tapi dalam hati lain. Orang macam ni lagi bahaya tau!" Nazrin membalas kata-kata abangnya. Yang lain hanya tertawa mendengar kata-kata pemuda itu.

"Dah, jangan lebih-lebih usik orang. Adik ni balik dari luar, dah makan?" mamanya mencelah.

"Dah, mama. Adik makan kat rumah Alex. Sedap bibik dia masak tempe sambal tumis," jawab Nazrin. Kawan-kawannya terdiri daripada pelbagai bangsa. Kumar, Alex Chong, Amar dan Linda Ng. Semangat satu Malaysialah konon.

"Mentang-mentang adik free sekarang ni, merayap ajelah kerja. Keputusan STPM tak lama lagi keluar. Fikir-fikir nak ke mana lepas ni. Kalau nak ke overseas bagi tau abang long. Nanti abang long uruskan," ujar Nizam pada adiknya. Dia memang mahukan adiknya itu merantau jauh untuk belajar berdikari. Tidaklah asyik duduk bawah ketiak papa dan mamanya.

"Memanglah adik fikir. Tapi, takkanlah nak tiap masa fikir. Kalau macam tu, boleh gila adik ni."

"Papa rasa elok kalau hantar adik ke Rusia, tempat angah belajar. Ada jugak orang yang tengok-tengokkan adik." Encik Ilham bersuara setelah lama menjadi pendengar dan pemerhati.

"Alah papa, angah tu susah sikitlah. Ini tak boleh, itu tak boleh. Nantilah adik fikir lagi nak ke mana. Kalau ada kawan-kawan sama, best jugak." Dia lebih rela belajar di Malaysia sahaja kalau papa mahu menghantarnya ke Rusia. Lagipun, universiti di Malaysia ini bagus juga.

Yuhanis tersenyum mendengar perbualan santai itu. Teringat kenangan semasa dia belajar di luar negara dulu. Kali pertama sampai, memang rasa asing. Tidak ada seorang pun yang dia kenali. Berjumpa dengan sesama rakyat Malaysia bagaikan berjumpa saudara sendiri. Rasa lebih selamat kalau bergaul dengan rakan senegara.

Kenangan sepanjang empat tahun di United Kingdom mempunyai pelbagai versi. Ada yang gembira, ada yang duka. Kenangan perit juga tertulis sepanjang dia menuntut di negara orang. Walaupun perit, Yuhanis masih mengingatinya sebagai kenangan yang berharga dalam diari hidupnya. Kerana pengalaman mengajar manusia erti hidup.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co