Truyen3h.Co

Hati Perempuan

Bab 4

karyaseni2u

"ANIS, kenapa ni?" Nizam menegur. Yuhanis hanya diam walaupun dia banyak bercakap sejak mereka duduk berbincang di bilik mesyuarat. Gadis itu seolah-olah tidak berminat untuk membincangkan kerjanya dan hanya mengangguk-angguk pada kata-kata Nizam. Yuhanis tersenyum.

"Tak ada apa." Wajah Nizam dipandang. Nizam juga menjadi bahan gosip pekerja lain di bangunan itu. Mungkin kerana wajahnya yang menyenangkan hati mereka yang memandang dan sikapnya yang tidak banyak cakap. Nizam terlalu baik dan Yuhanis mengakuinya. Nizam ialah salah satu sebab mengapa Yuhanis memilih untuk terus bekerja di Izzu & Co. Architecture.

Yuhanis pernah terfikir yang dia menyukai Nizam dalam diam namun semuanya nampak tidak patut kerana Nizam bukanlah lelaki yang sesuai untuknya. Kekurangan bukan terletak pada Nizam, namun Yuhanis yang mencipta jurang. Bila memikirkan tentang Daniel, hatinya terlalu sukar untuk menerima insan lain. Cinta cuma akan menyakitkan pada akhirnya.

"Kenapa pandang aku macam tu?" Nizam meraba wajahnya dengan tangan kanan. Mencari kalau ada sesuatu yang tidak kena.

Yuhanis menggeleng. "Tak ada apa-apa."

"Tak ada apa-apa aje yang kau tahu cakap? Kau nampak macam tak ada mood hari ni. Kita bincang lain kalilah. Aku pun bukan suka nak bercakap banyak, tapi tak ada feedback. Macam bercakap dengan tunggul." Nizam menggulung kertas pelannya. Barang-barang lain juga dikemaskan. Yuhanis memegang lengannya, menghalang.

"Kau marah?"

"Mana ada!" Nizam ketawa kecil. Tidak ada sebab dia mahu marahkan Yuhanis. Sentuhan di lengannya dibiarkan. Dia senang bila Yuhanis menunjukkan perhatian padanya. Sudah lama bekerja bersama, mereka selesa antara satu sama lain. Namun, Yuhanis tidak pernah melihat niat dan perhatian Nizam. Yuhanis cuma memikirkan Nizam bergurau dengannya bila Nizam bercakap soal hati.

"Baguslah kalau tak." Yuhanis melarikan tangannya dan mengemas fail dan alat tulis berserta kertas pelan.

"Aku ingat kau dah okey sebab pagi tadi Sara ada kata yang kau tak berapa sihat. Aku terserempak dia di lobi. Dia mintak aku tolong jaga kau. Macamlah aku ni doktor." Nizam tersenyum ketika teringat kata-kata Maisara padanya pagi tadi.

"Ah, that girl! Aku tak sangka Sara masih ada masa nak sibuk pasal aku. Aku ingat dia dah lupa sebab terlalu angau dengan Saiful," cebik Yuhanis.

"Diakan best friend kau. Tak baik. Jom, kita keluar kejap pergi minum." Nizam bangun. Dia membawa barangnya dan barang Yuhanis sekali.

Yuhanis angguk. Nizam is gentleman of the year. Layanannya akan membuat sesiapa sahaja merasa disayangi.

"Eh, jap." Yuhanis berhenti melangkah sebaik mereka keluar dari bilik mesyuarat. Dia menoleh memandang sekeliling. Ada beberapa staf yang memandang mereka sambil tersenyum-senyum mengusik. Tak ada kerja lain!

"Kenapa?" Nizam menoleh pada Yuhanis, terpinga-pinga.

"Sekarangkan waktu pejabat. Aku tak mahu Tuan Izzuddin nampak kita keluar masa bekerja. Lain kalilah." Yuhanis berpaling.

"Tak adalah. Tuan Izzudin mana kesah pun, asalkan kerja kita dah siap. Macamlah kau tak biasa keluar masa office hour." Nizam diterpa kehairanan.

"Bukan macam tu."

"Jadi macam mana pulak? Kau ni macam-macam alasanlah. Tak ada. Aku letakkan barang di meja aku dulu, kau tunggu di sini kejap." Nizam ketawa kecil. Selama ini tidak pula Yuhanis kesah pandangan Tuan Izzudin tentang mereka.

Nizam masuk ke dalam pejabatnya sebelum Yuhanis sempat menghalang. Beberapa saat kemudian, Nizam muncul kembali dan menarik Yuhanis mengikut langkahnya.

NIZAM meletakkan cawan minumannya di atas meja. Dipandang Yuhanis yang sedang memegang Tabnya. Apakah yang berlaku pada Yuhanis semalam hingga Maisara kelihatan amat risau padanya? Nizam terlalu ingin tahu hingga dia tidak boleh berhenti memikirkan soal itu. Namun apabila dia bertanya pada Maisara, gadis itu hanya tersenyum dan tidak memberitahunya sedikit pun. Adakah Yuhanis sakit?

"Aku nampak lebih cantik daripada hari-hari sebelum ni ke? Kau pandang macam nak telan aku hidup-hidup." Yuhanis mengangkat mukanya tiba-tiba membuat Nizam tidak sempat mengelak. Akhirnya dia hanya boleh sengih.

"Kau memang cantik pun. Pandang hari-hari pun tak bosan."

"Stop it! Buat aku malu." Yuhanis ketawa.

Nizam senyum. Sekarang Yuhanis sedang ceria pula. Mana satu yang sebenarnya menggambarkan diri Yuhanis sekarang. Cepat sahaja moodnya berubah-ubah. Macam perempuan mengandung pula. Haish! Aku ni fikir yang bukan-bukan.

"Eleh, orang puji tak nak. Betullah aku cakap. Kau tu banyak peminat dalam pejabat. Tak cukup sebulan nak menghitungnya," usik Nizam.

Yuhanis hanya mencebikkan bibirnya sambil menjeling Nizam.

"Thanks." Yuhanis memintas.

"Macam tu, lah. Orang puji cakap terima kasih. Ini tak. Perempuan memang macam tu, kan? Kalau dipuji marah, kalau diejek lagilah marah. Perempuan ni memang susah nak faham. Kalau suka, cakaplah terus terang. Tak payah nak berkias-kias bagai. Kononnya marah, tapi sebenarnya suka dipuji."

"Yang kau nak membebel pada aku apa hal? Sebab perempuan lain, aku pulak yang kena. Hurm, cakap pasal perempuan, kau dah ada yang boleh dijadikan calon? Macam dah ada aje." Yuhanis membulatkan matanya memandang Nizam. Orang macam Nizam, siapa yang tidak mahu.

"Ada." Nizam mengangguk.

"Siapa? Staf kat Izzu?" Yuhanis hanya bergurau namun jawapan Nizam menjadikan dia lebih serius. Rasa ingin tahunya membuak-buak. Siapakah yang berjaya mencuri hati lelaki pendiam macam Nizam? Agak hebat juga perempuan itu.

"Rahsia."

"Dengan aku pun nak berahsia. Kedekut," cebik Yuhanis.

Nizam senyum dan hanya mengangguk tenang. "Yes, aku memang kedekut." Jawabnya.

Yuhanis tertawa kecil. Selepas itu dia hanya diam. Tidak ada cerita yang mahu dijadikan modal. Minumannya diteguk perlahan sambil memandang ke luar kafeteria. Walaupun cuaca di luar panas, orang ramai tetap berpusu-pusu meneruskan agenda yang dirancang. Itulah rutin manusia. Sejak awal kejadian manusia lagi, Tuhan menentukan manusia perlu keluar dan berusaha untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Anis, apa kata kalau kita bercinta?" Nizam bersuara kemudian setelah suasana menjadi bisu antara mereka.

"Hurm?" Yuhanis mengalihkan pandangannya di luar ke arah Nizam. Dia tidak mendengar dengan jelas. Nizam berdeham. Tidak kuatkah suaranya sedangkan pelanggan di meja sebelah tersenyum-senyum sambil berbisik memandang Nizam.

"Aku kata, macam mana kalau kita bercinta? Kau dengan aku," ulangnya. Yuhanis terdiam seketika. Dia terkejut namun beberapa saat kemudian, dia ketawa.

"Dah gila?"

"Aku tak bergurau."

"Nizam, kau bergurau. I can see."

"Kau tak ada sesiapa yang kau suka. Kita dah lama kenal dan aku jugak selesa dengan kau. Kau nak tunggu siapa lagi, Anis?"

"Aku tak pernah anggap kau lebih dari seorang sahabat. Nizam, hanya sebab tak ada sesiapa yang kita cintai tak bermakna kita harus mencarinya. Kita boleh hidup seperti sekarang. Tak perlukan sesiapa yang boleh dicintai. Kau ada masalah ke? Salah makan ubat?" Yuhanis ketawa sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Tiba-tiba pula ajak bercinta. Macamlah aku ni nampak desperate sangat.

"Kau tunggu siapa? Anis, orang yang dah tinggalkan kau takkan kembali."

"Apa yang kau cakap ni? Nizam, please stop it. Tak lucu langsung, tahu tak!" Yuhanis terasa jantungnya seolah-olah direntap namun dia masih cuba bertenang. Walaupun kata-kata yang Nizam luahkan mengejutkannya, namun Yuhanis tetap cuba bertenang. Jika dia melenting, dia akan kehilangan seorang sahabat yang sangat baik seperti Nizam.

"You're right. This is not funny at all." Nizam melepaskan keluhan sambil ketawa lepas. Yuhanis hanya memandangnya sebagai sahabat. Itu sudah cukup jelas. Nizam juga tahu yang Yuhanis tidak menganggapnya bergurau. Perubahan pada riak wajahnya menggambarkan hatinya yang terusik. Seterusnya, mereka minum sambil berbual seperti biasa. Yuhanis nampak selesa dengan Nizam dan dia tidak ingin merosakkan persahabatan mereka. Untuk menjadi sahabat setelah wujud keadaan janggal antara mereka terlalu payah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co