Bab 3
ANGIN petang bertiup perlahan menghasilkan udara yang menggesel halus wajahnya. Peluh yang membasahi mukanya dibiarkan. Kakinya menghentak dan menolak permukaan simen dengan konsisten dan lariannya juga sederhana. Yuhanis berlari tanpa berhenti sejak lima belas minit lalu atas trek pejalan kaki di sekeliling kawasan perumahan miliknya. Walaupun nafasnya semakin menderu, peluh yang keluar dari tubuhnya mengeluarkan banyak air dan menggunakan tenaganya pada tahap maksimum, Yuhanis masih berlari tanpa mengendahkan waktu yang berlalu dan dia hanya ingin berlari sejauh mungkin.
Entah kenapa sejak akhir-akhir ini Yuhanis dihantui oleh kenangan lalunya. Kenangan yang dia anggap sebagai mimpi yang tidak ingin diingati. Kehidupan masa lalunya yang amat Yuhanis benci untuk diputarkan semula sebagai memori. Namun, semakin Yuhanis benci semakin kuat ingatannya pada insan itu. Semakin kuat dia berusaha untuk melupakan lelaki bernama Daniel itu, semakin kuat perasaannya buat Daniel. Pada zahirnya, Yuhanis berlari dan semakin jauh di hadapan namun hakikatnya, dia tidak pernah berganjak dari tempat permulaan. Langkahnya yang cuba meninggalkan kenangan itu semakin laju namun Yuhanis tidak ke mana-mana sedangkan dia semakin penat.
Mana mungkin dia melupakan Daniel sedangkan lelaki itu adalah cinta pertamanya. Daniel yang mengajarnya erti percintaan dan mainan perasaan. Daniel yang mencorak kehidupan remajanya menjadi berwarna-warni. Lelaki itu mengajarnya erti berani dan berdiri dengan pendirian yang kukuh walaupun bersendiri. Kisah hidupnya juga terasa bermula hanya selepas menemui Daniel.
Yuhanis bahagia. Kali pertama dia terasa mahu menyayangi seorang lelaki yang begitu istimewa di matanya. Walau apa pun yang datang menghalang rencana kehidupannya, dia tetap mahu mempertahankan hubungan itu. Dia tidak mahu beralah. Dugaan yang mengganggu hubungan mereka mengeratkan lagi perasaan Yuhanis buat Daniel dan dia yakin bahawa lelaki itulah jodoh buatnya.
Akhirnya, Daniel juga yang membawa Yuhanis ke dunia penuh kelukaan. Kebahagiaan yang selama itu ditunjukkan pada Yuhanis hilang dan pudar sekelip mata. Harta dan kedudukan menjadi lurah dalam yang memisahkan mereka. Kehidupan yang mereka rancangkan untuk masa hadapan punah tanpa bekas.
Lebih empat tahun selepas Yuhanis ditinggalkan tanpa kata putus, dia menjadi perempuan yang berbeza daripada sebelumnya. Dari seorang yang gemar melancong dan berjalan serta berkenalan dengan ramai orang, Yuhanis lebih gemar bersendiri. Kawan-kawannya sekarang hanyalah kawan yang dikenali sejak berada di universiti dan di tempat kerja seperti Nizam, Diana dan Maisara. Masanya setiap hari dipenuhkan dengan kerja-kerja yang sengaja dijadikan alasan untuknya mengelak. Yuhanis mengelak untuk apa? Apa yang dia peroleh dengan menunjukkan protes pada hidupnya sendiri, dia tidak tahu. Sedangkan Daniel mungkin hidup bahagia dan Yuhanis tidak ada langsung dalam hatinya.
"Cik tak apa-apa?" Suara yang terasa dekat di pendengarannya mengembalikan Yuhanis ke dunia sebenar. Dia sudah tertiarap di atas tanah tanpa dia sedari. Nafasnya yang tercungap-cungap menderu seiring dengan degupan jantungnya yang laju. Wanita yang mungkin sebaya dengannya membantu Yuhanis untuk bangun.
"Auch!" Telapak tangannya terasa kebas. Kulit telapak tangan Yuhanis tercalar dan berdarah walaupun tidak teruk. Wajahnya berkerut apabila cuba meneruskan lariannya. Lutut Yuhanis juga tergeser di atas simen menyebabkan lututnya mungkin lebam atau mungkin juga terluka.
"Saya rasa cik patut balik. Sapu antiseptik dan balut luka di tangan dan lulut cik ni, takut nanti masuk kuman." Wanita yang membantunya memandang Yuhanis dengan riak risau.
Yuhanis senyum.
"Thanks," ucapnya sambil melangkah perlahan menuju ke laluan balik ke rumah. Yuhanis melihat sekelilingnya. Dia berada jauh dari kawasan kejiranannya. Ah, kini dia balik dengan langkah yang perlahan dan sakit-sakit. Yuhanis tertawa kecil sendiri. Dia mencari penyakit dan kesusahan sendiri. Dia ketawa namun matanya bergenang dengan air mata. Langkahnya yang perlahan menjadi semakin laju semula. Sakit di lututnya tidak terasa lagi.
Sampai sahaja di hadapan pintu rumah, Yuhanis terus menjatuhkan dirinya di atas lantai. Dia terduduk di atas lantai hadapan pintu masuk sambil mengesat sisa air matanya. Bodoh! Yuhanis memarahi dirinya sendiri.
"Ya Allah, Anis. Kenapa dengan kau ni?" Maisara terkejut melihat Yuhanis duduk di atas lantai.
"Nothing," jawab Yuhanis pendek.
"Nothing? Kau nampak teruk sangat dengan luka dan seluar yang kotor. Anis, what's going on?" Maisara benar-benar panik. Apalagi tika melihat wajah Yuhanis yang memerah dan sembap. Dibelek telapak tangan gadis itu.
Yuhanis menarik tangannya daripada sentuhan Maisara.
"I said nothing and please don't ask me anything." Yuhanis bangun sambil mendecit. Dia berpaut pada gril pintu untuk berdiri dengan stabil.
"Darah. Anis, lutut kau luka. Hei, apa yang jadi ni?" Maisara terlihat darah yang meresap di seluar trek yang dipakai Yuhanis. Bertambah-tambah risaunya. Apa yang berlaku hingga keadaan Yuhanis begitu teruk dan kusut?
"Kau tak faham ke? Aku tak mahu kau tanya apa-apa. Kalau bahasa Melayu dan English pun kau tak faham, kau nak aku cakap bahasa Cina pulak? Apasal susah sangat orang nak faham apa yang aku cakap. Bukannya aku cakap dengan bahasa isyarat pun!" tengking Yuhanis sambil memandang Maisara tajam.
Maisara tersentak. Pandangan dan nada itu? Sudah lama Maisara tidak melihat Yuhanis dalam keadaan begitu. Sejak tiga tahun lalu, Yuhanis kelihatan seperti sudah melupakan kisah dukanya.
"Anis, jangan takutkan aku. Kau dah okeykan sebelum ni. Takkanlah?" Maisara mengejar langkah Yuhanis yang masuk ke dalam rumah.
"Ya, aku okey."
"But now seems like you're not."
"Aku jatuh. That's it," balasnya.
Maisara menarik lengan Yuhanis. Dia berdiri di hadapan sahabatnya itu. Diperhatikan wajah Yuhanis seketika sebelum Maisara melepaskan keluhan berat.
"Luka tangan dan kaki kau sebab kau jatuh. Aku tahu. Tapi keadaan kau sekarang ni? Dari muka dan cara kau bercakap dengan aku juga aku tahu kenapa, sebab tu aku tak ingin percaya apa yang aku fikirkan sekarang ni. Aku harap sangat yang aku tersalah tafsir."
"Kau fikir aku bodoh? Atau kau fikir aku dah gila? Aku belum gila dan aku tak bodoh. Perempuan jenis apa yang sanggup memperbodohkan diri mengingati kisah silam yang sepatutnya jadi sampah? Daniel tak layak untuk dapat membuat hidup aku sengsara dan aku takkan lupakan apa yang dia buat pada aku. Aku tak tahu bila, tapi sekarang ni aku masih tak dapat maafkan dia. I hate him!"
"Anis, I didn't talk about Daniel. I just thought that there's somebody else hurt you but not that man," pintas Maisara membuatkan Yuhanis tersentak. Dia terdiam serta-merta.
"Jauh lebih teruk daripada apa yang aku sangkakan." Maisara menyambung setelah melihat Yuhanis hanya mendiamkan diri.
"Sara, aku..." Yuhanis mahu menjelaskan dengan panjang lebar namun dia tahu apa yang keluar dari mulutnya ialah alasan dan juga satu pembohongan. Terasa sukar untuk dia meneruskan kata-katanya untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.
"Aku bawak kau pergi klinik."
"Tak apalah. Rumah ni ada first aid kit, kan? Aku naik dulu." Yuhanis pantas melangkah naik tangga menuju ke biliknya, meninggalkan Maisara tercengang-cengang di ruang tamu sendirian.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co