BAB 15
TELEFON bimbit ditenung lama. Sekejap-sekejap Farhaini menekan butang home. Tiada langsung panggilan daripada Adam seperti malam-malam sebelum ini. Sudah dua hari lelaki itu senyap tanpa khabar berita.
"Biar dialah kalau nak merajuk. Aku dengan dia bukan ada apa-apa hubungan pun." Farhaini menangkan hati sendiri.
"Kau yang bersalah dalam hal ni. Memang patut pun Adam marah." Pendapat lain pula menerjah fikirannya.
Farhaini memegang kepala. Tidak tahu tindakan apa yang harus dilakukan sekarang. Dia mengerling lagi di skrin telefon. Satu notifikasi tertera. Bukan daripada Adam.
"Nabilah!" jeritnya gembira. Tepat pada masanya.
Cepat-cepat Farhaini mencari nombor sahabat baiknya itu. Sudah lama mereka tidak bertanya khabar.
"Helo, Bell," sapa Farhaini.
"Anny! Aku rindu sangat nak berbual dengan kau. Kau sihat?" Suara Nabilah juga kedengaran riang.
"Sihat, alhamdulillah. Kau apa khabar, Bell? Best tak dekat sana?"
"Alhamdulillah. Buat masa ni semua berjalan lancar. Aku pun tengah biasakan diri dengan keadaan dekat sini. Kau kalau datang Sabah beritahu aku tau. Aku nak bawa jalan-jalan." Seronok Nabilah bercerita. Nabilah merupakan seorang guru. Dia baru ditukarkan ke sekolah pedalaman di Sabah.
"Entah bila aku nak sampai ke sana. Duit pun tak ada."
"Insya-Allah, Anny. Rezeki Allah tu luas. Kalau bukan sekarang, mungkin tak lama lagi. Mana tahu Allah nak bagi rezeki yang lagi besar dekat kau. Sabar aje," pujuk Nabilah lembut. Farhaini menarik senyuman kecil.
"Ha, macam mana reunion hari tu? Kesian kau sebab pergi sorang. Aku rindu gila nak jumpa kau dan geng-geng lain."
"Serius bosan sebab kau orang tak ada. Masa reunion tu ramai senior kita yang datang. And guess what? Aku jumpa Kak Haiza." Mulalah Farhaini bersemangat nak bercerita.
Sebelum ini Nabilah agak sibuk dengan urusan kerjanya. Jarang-jarang sekali mereka dapat berbual begini. Itu yang Farhaini tidak mahu melepaskan peluang yang ada ini.
"Seriuslah? Kau dengan dia bergaduh lagi tak?" Terdengar Nabilah ketawa.
"Okey sikitlah kalau nak dibandingkan masa sekolah dulu." Farhaini turut ketawa. Teringat pula kepada Adam saat ini. Itulah kali pertama dia bercakap dengan lelaki itu.
"Aku nak tanya kau sesuatu boleh?" Farhaini berdeham sekejap.
"Nak tanya apa?"
"Macam ni. Ada mamat ni dia tiba-tiba aje marah bila aku pergunakan dia. Tapi bukan pergunakan untuk buat benda jahat."
"Wait a minute. Pergunakan? Kau buat apa dekat dia?" Nada suara Nabilah kedengaran terkejut.
"Hmmm... Aku minta tolong dia untuk berlakon jadi kekasih aku. Sebabnya aku nak lari dari kena keluar dengan mamat lagi sorang ni. Bila mamat yang aku minta tolong tu tahu, dia terus diam dan tak bercakap langsung."
"Anny... Anny... Mestilah dia marah. Nak-nak kalau dia sebenarnya ada hati dengan kau. Lagilah sentap."
Farhaini menggaru dagunya. Ibarat ada sepinggan besar piza yang ditepek ke mukanya. Dia teringatkan kata-kata Adam yang lelaki itu mahu mengenali dirinya. Dan lelaki itu sudah mula sukakannya. Sebenarnya Farhaini masih ragu-ragu dengan perkara yang satu itu. Tak akanlah baru kenal dah boleh suka?
"Entahlah. Lagipun kau sendiri pun tahu kan? Aku dah ada orang yang aku suka."
"Kau masih tak boleh move on ke, Anny? Sudah-sudahlah tu. Abang Idham tak akan jadi suami kau."
"Mana kau tahu? Kot-kot satu hari nanti dia terbuka hati untuk anggap aku seorang wanita. Bukannya seorang adik."
"Bila? Dah berbelas tahun kau simpan perasaan sorang-sorang. Abang Idham pun dah ada keluarga sendiri. Dan dia sayang kau macam seorang abang sayangkan adiknya."
"Aku boleh jadi isteri nombor dua. Aku sanggup." Entah angin gila mana yang merasuk Farhaini sehingga dia mengeluarkan ayat ini. Nabilah diam.
"Astaghfirullahalazim. Kau sedar tak apa yang kau cakap ni, Anny? Kau sendiri tengok kakak ipar kau dan anak-anak saudara kau. Sanggup ke kau nak rampas kebahagiaan tu? Mana ada perempuan sanggup bermadu, Anny."
Farhaini menelan liur. Sekali lagi mukanya ibarat dilempar dengan sepinggan piza. Kali ini ditambah juga dengan sebotol air dituang di atas kepala. Sejuk dan menyedarkan.
"Aku tahu, Bell..." Nadanya menurun. Dia tahu ini semua memang salahnya. Apa yang Nabilah katakan semuanya benar.
"Buka hati kau untuk terima lelaki lain. Ramai lagi lelaki yang baik dalam dunia ni. Mamat yang kau cerita tadi pun boleh."
"Tak naklah. Kalau aku terima mamat yang aku cakap tu, nanti pergaduhan dengan Kak Haiza tak akan habis. Sebab Kak Haiza minat gila dekat mamat ni."
"Oh my God. Kau ni memang banyak cerita sensasi. Apa nama mamat tu?"
"Adam."
"Adam aje?"
"Manalah aku tahu. Bukan aku kenal rapat dengan dia. Aku pun jumpa dia masa reunion hari tu. Dia temankan Kak Haiza."
"Hmmm... Hubungan kau dengan Kak Haiza memang dah ditakdirkan ada kena-mengena dengan lelaki, kan?" canda Nabilah. Mereka berdua ketawa.
"Itulah. Aku pun pening kepala nak fikir."
"Tapi pasal hal yang kau cakap tu memang kau bersalah. Kau patut minta maaf dengan dia sebab kau dah pergunakan dia."
"Okey. Nanti aku minta maaf."
"Good. Okeylah aku nak tidur dulu. Pagi esok ada aktiviti dekat sekolah. Kau take care ya, Anny. Apa-apa jangan lupa mesej."
"Kau pun jaga diri. Aku sayang kau, Bell. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam."
Talian dimatikan. Farhaini menggeliat kecil. Hilang rindu dapat berbual dengan sahabatnya itu. Dia bangun dan menutup lampu bilik. Tubuhnya dibaringkan ke atas tilam.
"Adam..." Nama itu meniti di bibir. Kurang pasti bila masa yang sesuai untuk dia meminta maaf.
"ANNY, duduk dekat sini sekejap."
Langkah Farhaini yang baru menuruni tangga mati. Dia menoleh ke arah Abang Idham dan Kak Ami yang sedang duduk di ruang tamu. Kakinya diangkat untuk mendekati. Dia duduk di atas kerusi kosong berdepan dengan Abang Idham.
"Dah dua kali abang perasan ada orang hantar Anny balik. Siapa dia?" Abang Idham meletakkan cawan teh di atas meja. Mata menikam tajam wajah Farhaini.
"Erm, kawan Anny."
"Lelaki, kan?"
Lambat-lambat Farhaini mengangguk. Kak Ami hanya diam memerhati. Sesekali dia mengusap perut yang sudah semakin membesar. Tidak selesa.
"Abang bukannya apa. Abang cuma risau kalau-kalau lelaki tu hanya nak mempermainkan Anny."
"Apa yang abang cakap ni? Dia kawan Anny ajelah. Bukannya ada apa-apa hubungan pun." Farhaini menyandarkan badan ke kerusi. Tidak suka apabila Abang Idham menuduh begini. Macamlah dia budak jahat yang tak pandai nak jaga diri.
"Abang cuma risau."
"Tak payah nak risaukan Anny. Anny dah besar. Anny berhak nak kawan dengan sesiapa pun."
"Abang tahu..." Abang Idham juga sudah menyandarkan badannya.
"Bawa kawan Anny tu jumpa abang."
"Nak buat apa? Hish!" Farhaini memeluk tubuh. Matanya menjeling Abang Idham dan Kak Ami.
"Abang nak juga kenal dengan kawan Anny tu. Boleh abang tahu dia kerja apa, keluarga dia macam mana. Dia sendiri tu pula macam mana. Mestilah abang kena ambil tahu," jelas Abang Idham sambil tersenyum kecil.
"Tak payahlah. Anny cuma berkawan dengan dia. Tak lebih dari itu. Lagipun, lepas ni tak tahulah Anny masih jumpa dia ke tak." Nadanya semakin perlahan.
Dia masih belum meminta maaf kepada lelaki itu. Malam semalam sedang dia terfikirkan Adam, tanpa sedar dia sudah terlelap. Farhaini lihat Kak Ami dan Abang Idham masih tersenyum-senyum.
"Bunyi macam orang berjauh hati aje tu. Anny bergaduh dengan dia ke?" teka Kak Ami. Cepat-cepat Farhaini menggeleng.
"Mana ada!" Raut wajahnya sedikit merah. Tidak sangka pula yang tekaan Kak Ami mengena.
"Abang dan Kak Ami dah lalui fasa macam Anny ni. Dulu akak pun pernah bergaduh dengan abang. Sampai satu saat rasa nak putus aje. Tapi lepas tu abang datang pujuk," cerita Kak Ami. Abang Idham ketawa sambil tangannya memeluk bahu Kak Ami.
Farhaini senyum kecil. Terngiang-ngiang perbualan bersama Nabilah malam tadi. Adakah dia sanggup untuk merosakkan kebahagiaan Abang Idham dan Kak Ami? Hatinya masih berbelah bahagi.
"Nanti ajaklah dia datang rumah. Kenalkan dengan abang dan Kak Ami." Bersungguh Abang Idham meminta.
Farhaini diam. Hubungan dia dan Adam tidaklah sampai ke tahap perlu berjumpa keluarga. Mereka masih baru dan baru hendak mengenali di antara satu sama lain.
Teringat janji yang dibuat bersama Adam. Kekasih selama sebulan. Masih valid lagikah janji itu? Adam pun hanya mendiamkan diri. Farhaini rasa tidak senang. Rasa ada sesuatu yang membelenggu fikirannya.
"Tengoklah macam mana," balasnya ringkas.
Farhaini lihat anak-anak saudaranya yang baru keluar bilik. Masing-masing sedang menggosok mata. Baru bangun. Adlin, anak Abang Idham yang sulung duduk di sisi Farhaini.
"Mak su cuti ke hari ni?" Adlin bertanya. Farhaini mengangguk. Kepala Adlin yang berusia tujuh tahun itu diusap.
"Kenapa? Along nak ajak mak su pergi berjalan ke?"
Adlin mengangguk. Si adiknya, Adlina juga mengangguk sambil bertepuk tangan. Dia duduk di atas riba Farhaini.
"Angah nak ikut juga." Adlina, yang muda setahun daripada Adlin bersuara.
Farhaini tersenyum lebar. Dia sayangkan anak-anak saudaranya ini. Timbul rasa bersalah kerana dia pernah terdetik mahu menjadi ibu tiri kepada Adlin dan Adlina.
"Anny pinjam kereta Kak Ami ya nanti?" Farhaini pandang wajah Kak Ami. Kakak iparnya itu mengangguk sambil tersenyum.
"Boleh. Guna ajelah. Nanti akak nak minta tolong Anny belikan barang-barang dapur sekali, ya? Sebab akak tak larat nak keluar."
"Boleh, kak."
Sekali lagi matanya mengerling satu per satu wajah-wajah di hadapannya. Wajah polos Adlin dan Adlina. Wajah ceria Abang Idham dan wajah berseri Kak Ami. Semuanya nampak bahagia. Sepatutnya dia bersyukur yang dia dapat berada dalam kalangan orang-orang bahagia ini. Tapi selagi namanya manusia, pasti ada yang akan menghasut untuk dia merasa iri hati dan cemburu.
ENJIN kereta dimatikan. Farhaini keluar dan memimpin tangan Adlin dan Adlina. Mereka melangkah masuk ke dalam pasar raya Tesco. Farhaini menghampiri bahagian troli. Tangan kanannya melepaskan pegangan tangan Adlin.
"Along pegang tangan angah," arah Farhaini mengingatkan. Dua beradik itu berjalan beriringan sambil berpegangan tangan. Farhaini menolak troli di sisi mereka.
"Mak su, along nak biskut tu." Hujung baju Farhaini ditarik.
"Pergilah ambil. Mak su tunggu dekat sini."
Adlin dan Adlina berlari ke arah rak biskut yang ditunjukkan. Sambil menunggu anak-anak saudaranya, Farhaini melihat senarai barang dapur yang ditulis Kak Ami.
"Ni along punya." Adlin muncul bersama sekotak biskut di tangan. Kotak biskut itu diletakkan di dalam troli. Mata Farhaini memandang sekeliling.
"Angah mana?" soalnya risau. Adlin juga memusingkan kepala ke kiri dan kanan. Wajahnya cuak.
"Angah cakap nak jalan pergi dekat mak su dulu," jawabnya dengan mata yang dikelip beberapa kali. Cara orang buat salah.
"Jom cari angah." Farhaini terus menolak troli masuk ke kawasan rak-rak makanan. Adlin berlari-lari kecil mengikuti langkah mak sunya.
"Angah!" Suara Adlin memanggil saat matanya terpandang si adik yang sedang berdiri di rak bahagian coklat. Farhaini menghela nafas lega.
"Angah buat mak su risau tahu tak?" Farhaini terus menghampiri. Langkahnya tiba-tiba mati apabila terpandangkan lelaki yang sedang berdiri di sisi Adlina.
"Adam? Awak buat apa dekat sini?" Langkahnya dibawa hampir kepada lelaki itu. Adam juga kelihatan terkejut.
"Saya beli barang dapur." Adam jawab sambil tunjuk barang di dalam trolinya.
"Abang ni tolong angah ambil coklat." Cerita Adlina. Adam tersenyum sambil tangannya menggosok kepala Adlina.
"Adik-adik awak ke?" soal Adam.
"Eh, bukan. Ni anak saudara saya. Adlin dan Adlina."
"Oh..."
"Abang kenal mak su kami ke?" Adlina mendongak memandang Adam. Adam mengangguk.
"Kenal. Abang kawan mak su." Selamba Adam memberitahu. Farhaini hanya melihat gelagat lelaki itu. Nampak biasa saja. Tiada tanda-tanda orang yang masih marah.
"Kami minta diri dulu, ya? Nak cari barang." Farhaini menghulurkan tangan kepada Adlina. Anak saudaranya itu mencapai dan menggenggam erat tangannya. Tapi kepala masih tertoleh memandang Adam.
Adlin juga masih berdiri keras di hadapan Adam. Farhaini mengerling.
"Along, jom!" ajaknya. Adlin tersengih sambil melambaikan tangan kepada Adam.
"Jumpa lagi nanti." Adam turut melambai kepada Adlin dan Adlina. Farhaini terus menolak troli menjauhi lelaki itu.
Mereka menuju ke arah ruangan barang-barang yang dipesan Kak Ami. Selesai mengambil semuanya, mereka melangkah ke kaunter. Terpaksa beratur kerana orang yang agak ramai.
"Mak su, kaki angah sakit," adu Adlina tiba-tiba. Farhaini lihat Adlin juga sudah menyandar di tubuhnya. Kepenatan.
"Along dan angah pergi duduk dekat kerusi sana." Farhaini tunjuk ke arah kerusi kayu tidak jauh dari kaunter tempatnya berdiri. Dua beradik itu mengangguk dan pergi ke sana.
Dari jauh Farhaini memerhatikan dua beradik itu yang sudah selamat duduk di atas kerusi. Dia memandang pula beberapa orang yang sedang beratur di depannya. Masing-masing troli dipenuhi dengan barang.
"Lambat lagilah ni," ujarnya perlahan. Farhaini mengeluarkan telefon bimbit. Ada panggilan daripada Adam. Dia mengerut dahi.
"Helo," jawabnya waswas.
"Saya bawa Adlin dan Adlina pergi KFC dulu boleh?"
Soalan lelaki itu membuatkan Farhaini terus mengangkat wajah. Adam sedang berdiri di tepi kerusi yang Adlin dan Adlina duduki. Dua beradik itu pula bukan main tersengih lebar.
"Hmmm, boleh. Jangan bawa pergi tempat lain pula."
"Okey."
Lelaki itu matikan talian. Farhaini lihat Adam memimpin tangan anak-anak saudaranya itu. Tanpa sedar bibirnya tersenyum. Entah kenapa situasi itu membuatkan dia senang.
Usai selesai pembayaran, Farhaini terus ke Restoran KFC. Troli ditinggalkan di tepi pintu kerana keadaan di dalam KFC agak sesak dengan orang ramai. Nasib baik kedudukan Adam dan anak-anak saudaranya tidak jauh dari pintu. Boleh nampak troli di luar dari meja mereka.
"Mak su! Mak su!" jerit Adlin dan Adlina serentak saat Farhaini merapati mereka. Mulut Farhaini melopong saat terpandangkan makanan yang banyak di atas meja.
"Kenapa along dan angah minta macam-macam ni?" tegurnya kurang senang. Dia menarik kerusi di hadapan Adam. Itu aje kerusi yang kosong kerana Adlin dan Adlina sudah duduk berhadapan sesama mereka.
"It's okay. Saya yang oder semua ni."
"Jangan ikutkan sangat budak-budak ni. Kalau ikut dia orang memang semua nak makan. Tapi nanti bukannya habis," bebel Farhaini tanpa sedar. Dia mengambil tisu dan mengelap mulut Adlin di sebelahnya.
Ketawa kecil yang keluar dari mulut Adam membuatkan Farhaini mendongak. Dia merenung lelaki itu.
"Saya suka tengok awak macam ni," komen Adam selamba. Tangannya mencapai kentang goreng dan dikunyah perlahan.
"Macam apa?"
"Macam mak-mak. Sesuai."
Farhaini menjegilkan mata.
"Eee..."
"You can take it as a compliment." Adam masih tersenyum.
"Mana ada perempuan suka bila kena puji tua." Farhaini menjeling. Makin kuat tawa Adam kedengaran.
"Masa bila saya cakap awak tua? Saya cuma cakap awak macam mak-mak. Penyayang, tak kekok dengan budak-budak. Lelaki suka bila perempuan ada sifat keibuan macam ni."
"Yalah tu. Bukan lelaki suka perempuan yang manja-manja gedik ke? Yang panggil abang sayang..." Spontan Adam tersedak kentang goreng yang sedang dikunyahnya. Merah muka lelaki itu.
Cepat-cepat Farhaini menghulurkan air. Dia tersenyum apabila Adlin dan Adlina memandang dia dan Adam.
"Pak cik ni makan gelojoh sangat. Sebab itu dia tersedak." Farhaini menerangkan kepada Adlin dan Adlina.
"Abanglah bukan pak cik." Adlina ketawa. Dia menayang gigi kecilnya.
"Panggil dia pak cik. Sebab dia dah tua." Farhaini membetulkan. Dia tahu Adam sedang memandangnya dengan mata membulat.
Adlin dan Adlina ketawa mengekek.
"Abang muda lagi, kan?" Adam minta simpati. Entah apa yang Adam dah buat kepada dua beradik ini. Serentak mereka mengangguk. Bersetuju yang Adam masih muda.
"Mak su nampak lagi tua." Adlin ketawa. Dia membuat high five bersama Adam. Farhaini ketawa dengan nada tidak percaya. Mereka baru berjumpa Adam hari ini dan mereka sudah sekepala.
"Mak su nak merajuklah macam ni." Farhaini berpeluk tubuh. Bibirnya dimuncungkan.
Adlin dan Adlina terus menerkam dan memeluk tubuh Farhaini. Tidak sempat dia nak merajuk lama-lama kerana pelukan kecil ini sudah mampu mencairkan hatinya.
"Tangan pegang ayam boleh pula peluk mak su? Kotor la," canda Farhaini sambil menggeletek kedua-duanya. Riuh dengan ilai tawa dua budak kecil ini.
Adam tersenyum lebar. Melihatkan Farhaini dan anak-anak saudaranya membuatkan Adam gembira. Dalam fikirannya sudah terbayang ke masa depan. Waktu dia punya keluarga sendiri. Dan dia berharap Farhaini termasuk dalam masa depannya. Dengan memikirkan yang mereka sudah seperti sebuah keluarga sekarang mampu membuat dia kenyang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co