BAB 14
JARUM jam terus berdetik. Azan maghrib juga baru sahaja dilaungkan memenuhi ruang angkasa. Mendamaikan sesiapa yang mendengar. Seruan mengajak semua Muslimin dan Muslimat untuk bangun dan menjalankan tugas yang wajib dilaksanakan. Farhaini menyarung telekung dan menghampar tikar sejadah. Dia duduk berteleku seketika.
"Farhaini! Farhaini!"
Pintu biliknya diketuk kuat. Farhaini terus bangun untuk membuka pintu. Puan Gee sedang berdiri sambil memegang sehelai pakaian.
"Gosok baju ni sekarang. I nak pakai sekejap lagi."
"Lepas solat saya gosok ya, puan."
"Gosok baju I dulu. I nak kena bersiap sekarang. Sekejap lagi kawan I sampai." Puan Gee masih berpeluk tubuh. Matanya memandang Farhaini atas dan bawah.
"Errr... Tapi azan dah nak habis ni, puan. Saya solat sekejap aje."
Puan Gee menggeleng laju.
"Gosok baju I pun sekejap aje, kan? Lepas tu you solatlah. I dah lambat ni." Gesa Puan Gee sambil melihat jam di dinding.
"Pergi gosok sekarang. Lagi lima minit I turun ambil."
Wanita itu beredar dari situ. Farhaini mengeluh kecil. Dia masuk ke dalam dan memanaskan seterika. Dengan secepat mungkin dia menggosok pakaian itu. Baju digantung pada penyangkut.
"Dah siap?" Puan Gee muncul tidak lama kemudian. Farhaini menghulurkan pakaian tersebut dan kembali ke dalam bilik untuk bersolat.
Sedang dia membaca doa sekali lagi pintu bilik diketuk. Farhaini mengaminkan bacaan doanya dan bergerak ke pintu.
"Ada apa, Qayyum?" soalnya.
"You balik pukul berapa?" Qayyum menyoal sambil tersengih-sengih.
"Hmmm... Sekejap lagi."
"Tak sabar I nak jumpa kekasih you."
Farhaini menjeling Qayyum. Tidak tahu kenapa Qayyum beria-ria sangat mahu berjumpa dengan 'kekasih olok-oloknya.'
"Nanti dia sampai you tengoklah dia puas-puas." Suara Farhaini separuh menyindir. Qayyum ketawa.
"Jangan tak jadi datang pula, ya?" Qayyum mengenyit mata kanannya dan berlalu.
"Apa masalah dia sebenarnya ni?" Farhaini hanya mampu menggeleng. Benar-benar tidak faham akan gelagat lelaki berambut coklat gelap itu.
PUAN GEE sudah keluar bersama rakan-rakannya. Farhaini masih di situ. Menunggu ketibaan Adam yang tidak kunjung tiba. Jam sudah menginjak ke pukul 8.30 malam.
"Lambatnya you balik hari ni." Encik Farouk menegur saat lelaki itu melangkah ke dapur untuk mengambil minuman.
"Saya tunggu orang."
"Oh, patutlah."
"Encik nak air?" Farhaini soal sambil mencapai gelas. Encik Farouk mengangguk.
"Air kosong aje." Encik Farouk menarik kerusi dan duduk.
"I gembira sebab you sudi kerja dekat sini." Tiba-tiba Encik Farouk cakap begini. Farhaini tersengih.
"Saya pun seronok dapat majikan yang baik macam encik."
"Sebenarnya I serba salah dengan you."
"Kenapa pula, encik? Encik tak ada buat apa-apa pun."
"I serba salah bila tengok isteri I layan you macam tu. In fact, dengan pembantu sebelum ni pun dia layan macam ni juga. Itu yang buatkan I tak selesa," luah Encik Farouk perlahan. Dia meneguk sedikit air kosong di depannya.
"Bukan salah encik pun."
"Terima kasih sebab you cakap macam ni. Walaupun I tahu I yang bersalah sebab tak pandai jaga dan kawal isteri I."
Entah kenapa malam ini Encik Farouk kelihatan lain benar dari biasa. Nampak seperti ada masalah.
"Saya pun tak pandai nak nasihatkan dalam hal-hal perkahwinan ni. Lagipun saya tak ada hak untuk masuk campur. Tapi saya nak encik tahu yang encik seorang bapa yang baik," pujuk Farhaini. Nampak senyuman di bibir Encik Farouk.
"I tak nak anak-anak I jadi macam I bila mereka besar nanti. Dan I juga tak nak mereka jadi macam mama mereka. Kadangkala I terfikir yang I ni seorang suami yang dayus. Mengikut aje cakap isteri."
Ini memang lain macam betul. Sudah jauh pula perbualan mereka. Farhaini diam. Dalam hati dia berharap supaya Adam cepat sampai. Bila berada dalam situasi yang janggal ini dia jadi terkaku. Tak tahu nak cakap apa.
"Sorry I buat you tak selesa pula." Macam tahu-tahu saja yang dia tengah tak selesa. Encik Farouk bangun.
"Thank you for your hard work. Jumpa esok." Encik Farouk senyum dan berlalu pergi.
Farhaini memandang belakang tubuh lelaki itu. Nampak sugul dan tidak bertenaga seperti selalu. Matanya terpandang pula Qayyum yang sedang tersengih-sengih menghampirinya.
"You berbual apa dengan abang ipar I?"
"Tak ada apa. Encik Farouk cuma minum air."
Qayyum mengangguk. Bibir lelaki itu masih lagi tersengih yang menyakitkan hati.
"Jaga-jaga sikit. Kalau kakak I tahu yang you duduk berdua dengan suami dia, mesti you kena marah."
Farhaini menjeling.
"Kami bukan buat apa-apa pun. Awak jangan nak buat cerita pula, ya?"
Qayyum ketawa.
"I ingatkan aje. Kakak I tu garangnya memang lain macam. Nak-nak kalau perempuan cantik macam you rapat dengan suami dia. Kalau rapat dengan I tak apalah. Tak ada yang marah."
Tekaknya rasa loya mendengar bicara Qayyum. Nampak sangat ayat nak mengayat. Tapi tak kena tempat.
"Mana kekasih you? Tak jadi datang ke?" Mulalah lelaki ini membuka topik yang satu ini.
"Dia dalam perjalanan."
"On the way ke tak jadi datang? You sebenarnya tak ada sesiapa pun, kan?"
"Apa maksud awak?" Farhaini berdebar. Dah kantoi ke yang dia sebenarnya tidak punya kekasih hati lagi? Tapi macam mana lelaki ini tahu?
"You pura-pura yang you dah ada kekasih hati, kan? Sebab you tak nak keluar dengan I," tebak Qayyum.
Farhaini merasakan belakang lehernya basah. Risau. Adakah rancangannya gagal?
"Mana ada."
"Kalau betul mana kekasih you tu? Kenapa tak sampai-sampai lagi?"
Farhaini ketap bibir. Dia mengeluarkan telefon bimbit. Berharap ada panggilan ataupun mesej daripada Adam. Namun dia hampa. Satu apa pun tak ada.
"Mana Adam ni? Semalam janji nak tolong," gumamnya perlahan.
"Mana ke..." Belum habis Qayyum menyoal tiba-tiba telefon bimbit Farhaini berbunyi. Tertera nama Adam. Buat pertama kalinya Farhaini merasakan sangat-sangat gembira menerima panggilan lelaki itu.
"Helo." Cepat-cepat Farhaini menjawab. Hujung matanya melirik ke arah Qayyum. Tiada lagi senyuman di bibir lelaki itu.
"Awak dah sampai? Okey saya keluar sekarang." Talian dimatikan. Farhaini pandang Qayyum.
"Dia dah sampai. Awak cakap nak jumpa dia, kan?"
"Errr... Okey."
Dengan senyuman di bibir, Farhaini mencapai begnya dan melangkah keluar. Sempat dia meminta diri daripada Encik Farouk yang sedang menonton televisyen. Qayyum mengikutinya dari belakang.
Adam sedang bersandar pada pintu keretanya dengan kedua-dua belah tangan dimasukkan ke dalam poket. Farhaini mengakui hari ini Adam nampak benar-benar kacak di matanya. Penyelamatlah katakan.
"Hai," sapa Adam lembut. Nampak yang mereka seperti pasangan kekasih. Farhaini tersenyum dan berdiri di sisi Adam.
"Qayyum, saya kenalkan ini Adam. Adam, ni Qayyum." Farhaini memperkenalkan kedua-dua lelaki ini.
Adam menghulur tangan. Qayyum menyambutnya dengan segaris senyuman. Lama dua lelaki ini berjabat tangan.
"Qayyum ni adik ipar Encik Farouk," beritahu Farhaini. Adam mengangguk.
"Jom kita gerak. Dah lewat ni," ajak Adam. Farhaini terus melangkah ke arah pintu sebelah pemandu.
"Nice to meet you, Qayyum." Adam senyum.
"Nice to meet you too." Dan Qayyum membalasnya juga dengan senyuman pendek. Tanpa membuang masa Farhaini terus masuk ke dalam kereta. Tak nak berlama-lama dalam situasi itu.
"Dia ke penyebab awak suruh saya menyamar jadi kekasih olok-olok awak?"
Bila kereta dah mula bergerak, Adam menyoalnya. Tiada lagi senyuman di bibir lelaki itu. Farhaini menelan liur. Tahu yang dia bersalah kerana mempergunakan Adam.
"Hmmm..."
"Kenapa? Dia ganggu awak ke?" soal Adam lagi. Kali ini nadanya sudah sedikit berubah.
"Nak cakap ganggu tu tak adalah. Tapi dia ajak saya keluar dengan dia malam ni. Saya tolak pelawaan dia tu dengan alasan yang kekasih saya akan datang jemput saya."
Senyap. Farhaini menjeling Adam.
"Jadi, awak pergunakan sayalah sekarang?" Tiba-tiba Adam bersuara. Farhaini menghela nafas.
"Bukan pergunakan. Saya cuma minta tolong awak menyamar."
"Sama ajelah tu."
Farhaini memeluk tubuh. Dia memusingkan badan sedikit ke arah Adam.
"Yang awak nak marah pula kenapa? Awak sendiri yang setuju nak tolong saya, kan? Saya pun dah setuju dengan syarat awak tu," luah Farhaini tidak puas hati.
"Awak anggap semua ni hanya lakonan aje ke?"
"Yalah. Dah memang kita tengah berlakon pun. Kenapa dengan awak ni, Adam?"
"Habis awak setuju dengan syarat saya tu semata-mata sebab lakonan ni aje?" soal Adam lagi.
"Yes. Dah itu syarat awak untuk tolong saya berlakon hari ni. Saya setuju ajelah. Lepas sebulan kita dah tak ada apa-apa hutang."
Farhaini lihat Adam mengetap gigi.
"Adam?"
Lelaki itu tidak bersuara lagi. Farhaini pelik dengan sikap Adam. Tiba-tiba saja angin ribut melanda membuatkan Adam marah.
"Kenapa awak marah sangat ni?" soal Farhaini lagi.
Adam masih diam. Kesudahannya suasana hanya sunyi di sepanjang perjalanan. Farhaini tidak tahu apa salahnya yang membuatkan Adam terlampau marah. Lelaki itu menghentikan kereta di hadapan rumah Abang Idham.
"Adam?" Farhaini mencuba lagi.
"Masuklah. Nanti abang awak risau pula." Hanya itu yang Adam katakan. Farhaini mengangguk dan membuka tali pinggang keledar. Dia pandang ke arah Adam buat kesekian kalinya.
"Terima kasih sebab tolong ambil saya hari ni. Good night."
Farhaini membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Tanpa menunggunya masuk ke dalam pagar rumah, kereta Adam sudah berlalu pergi.
"Marah betul tu." Farhaini bercakap sendiri.
JAMBANGAN bunga dicapai. Lama Adam merenung kuntuman bunga mawar di tangannya. Nafas dihela perlahan. Adam masih berteleku di dalam kereta. Dia terlambat tadi kerana pergi membeli jambangan bunga ini. Tapi malangnya jambangan ini tidak sampai kepada penerimanya.
"Adam?" Tingkap keretanya diketuk. Wajah Cik Haiza yang sedang mengerut dahi menyapa matanya.
Adam keluar dari kereta. Dia tersenyum walaupun sedang sakit hati.
"Baru balik kerja ke?" Cik Haiza menyoal.
"Haah. Cik Haiza dari mana?" Adam mengerling tangan wanita itu yang memegang beberapa beg plastik.
"Baru balik beli barang dapur. Hmmm..." Cik Haiza memandang tangan Adam yang sedang memegang jambangan bunga. Dalam hati sudah bersorak riang.
"Jomlah naik," ajak Cik Haiza gembira. Adam mengangguk.
Mereka beriringan masuk ke dalam lif. Adam hanya diam. Fikirannya masih memikirkan soal Farhaini. Adakah hati Farhaini terlalu keras sehinggakan tidak perasan apa yang dia lakukan? Memang patut dia berasa kecil hati dengan apa yang Farhaini lakukan.
"Adam, kita dah sampai." Suara Cik Haiza memecah suasana. Adam melangkah keluar dari lif dengan perasaan bercampur baur.
"Saya masuk dulu, ya?"
"Errr... Adam?"
Langkah Adam mati. Dia memandang wajah Cik Haiza yang dari tadi merenungnya.
"Kenapa, Cik Haiza?"
Cik Haiza menggeleng.
"Tak ada apalah. Selamat malam."
Dan wanita itu berlalu dengan riak yang sedikit kecewa. Adam mengerut dahi. Yang ini dah kenapa pula?
"Perempuan memang susah nak jangka," omelnya dan masuk ke dalam rumah.
Cik Haiza menghempas pintu rumahnya. Bibir bawah digigit geram. Pada awalnya hatinya berbunga riang melihat jambangan bunga di tangan Adam. Tapi sampai ke sudah lelaki itu tidak menghulurkan jambangan itu kepadanya.
"Kalau bukan untuk aku, untuk siapa bunga tu?" Cik Haiza berpeluk tubuh. Tidak suka memikirkan ada orang lain yang sudah mendapatkan hati lelaki itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co