Truyen3h.Co

HATI YANG TERSAKITI

BAB 2

karyaseni2u

FARHAINI bergerak pantas. Jarinya mengesat tubir mata dan pipi yang sudah dibasahi dengan air mata. Hatinya sakit dan kecewa. Kaki melangkah laju tanpa memandang kiri dan kanan. Dia sendiri tidak tahu ke mana dia mahu pergi. Yang penting dia mahu keluar dari rumah dan mengambil udara segar.

"Sorry." Dia terlanggar seseorang. Farhaini mengangkat muka untuk memandang susuk tubuh di hadapannya. Seorang lelaki sedang tersenyum.

"It's okay."

Farhaini hanya diam sebelum dia mengangguk. Hatinya masih sedih untuk membalas senyuman lelaki yang tidak dikenalinya ini. Dia berpaling dan terus beredar dari situ. Telefon bimbitnya yang berbunyi tidak diendahkan. Farhaini terus melangkah sehingga kakinya berasa penat.

"Ayah... Ibu..." Dia terduduk di tepi jalan. Air mata diseka kasar. Dia tidak kesah melihat mata-mata yang sedang memandangnya dengan penuh kepelikan.

"Anny sedih. Sedih sangat," sambungnya. Entah kepada siapa dia mahu mengadu.

"Errr... Excuse me. Cik tak apa-apa ke?" tegur seorang wanita.

Farhaini menggeleng dan terus bangun lalu beredar dari situ. Dia berjalan pantas menuju ke arah motosikalnya. Sekali lagi telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Abang Idham di skrin.

"Helo."

"Ya Allah... Kenapa baru angkat? Anny pergi mana? Kenapa keluar tak beritahu abang atau Kak Ami?" Bertubi-tubi soalan yang diajukan oleh pemanggil.

Farhaini menarik nafas sedalam mungkin. Dia berdeham sedikit sebelum menjawab pertanyaan abangnya.

"Anny keluar beli barang. Dah nak balik ni," jawabnya perlahan. Terdengar keluhan lega dari corong sebelah sana.

"Yalah. Hati-hati bawa motor tu..."

Farhaini terus mematikan talian tanpa sempat abangnya menghabiskan bicara. Dia masih sedih mengingatkan perbualan di antara Abang Idham dan Kak Ami ketika di rumah tadi. Terngiang-ngiang perbualan mereka yang membuatkan dia sedih dan berkecil hati.

"Sampai bila Anny nak duduk dengan kita? Dia tu dah besar. Dah grad dah pun." Kak Ami berpeluk tubuh.

Farhaini yang ketika itu mahu turun ke dapur tidak jadi melangkah. Dia berdiri kaku di sebalik dinding berhadapan tangga. Terdengar keluhan dari mulut Abang Idham.

"Dia tanggungjawab abang."

"Anny tu cuma adik angkat abang. Bukan adik kandung," ujar Kak Ami kurang senang.

Farhaini masih diam memasang telinga. Dia tahu tentang kebenaran yang satu itu. Dia bukan adik kandung Abang Idham. Bukan perkara itu yang membuatnya sedih.

"Ekonomi sekarang tak berapa baik. Semua benda dah naik harga. Duit gaji abang nak buat bayar rumah, bayar kereta, belanja anak-anak. Dan tak lama lagi kita akan bertambah ahli keluarga. Lagi banyak tanggungan abang." Kak Ami mengusap perut yang sedikit menonjol.

"Abang tahu. Tapi selama ni kita tak ada masalah pun. Tak ada pula kita tak cukup makan ke apa? Insya-Allah, duit gaji abang cukup untuk tanggung keluarga kita dan Anny."

Farhaini lihat kakak iparnya itu sudah berpeluk tubuh. Bibirnya diketap rapat. Abang Idham pula dilihat cuba menenangkan Kak Ami.

"Isy! Abang ni tak fahamlah. Kalau dulu bolehlah kita tanggung Anny. Sebab masa tu dia masih belajar. Sekarang ni dia dah grad. Sepatutnya dia dah pergi cari kerja, cari duit sendiri. Bukan masih nak mengharapkan duit gaji abang. Duit simpanan arwah ayah dan ibu abang pun dah habis untuk tanggung belajar dia dulu."

Kali ini bebelan Kak Ami semakin panjang. Farhaini merasakan hatinya pedih. Dia memegang dada.

"Belum rezeki dia nak dapat kerja. Awak juga yang cakap ekonomi sekarang tak berapa baik. Orang buang pekerja lagi adalah."

"Abang ni asyik nak menangkan Si Anny tu. Apa yang saya cakap ni untuk kebaikan keluarga kita juga. Saya kasihankan abang."

"Ya, saya tahu." Abang Idham mencapai tangan Kak Ami. Pasangan suami isteri itu saling berpandangan.

"Abang fikirlah apa yang saya cakap ni. Kita tak boleh selamanya nak tinggal dengan Anny. Dah tak sesuai lagi sebab dia orang luar. Dia tak ada pertalian darah dengan abang. Memang betul abang rasa bertanggungjawab ke atas dia. Tapi sekarang dia dah 25 tahun. Dia boleh berfikir sendiri dan belajar untuk hidup berdikari."

"Eh, tak baik awak cakap macam tu. Kalau Anny dengar, kecil hati dia." Abang Idham cepat-cepat memintas namun segala kata-kata itu sudah selamat ke telinga Farhaini.

Kerana perbualan itulah dia berada di luar sekarang sambil menangis seorang diri. Sekali lagi tangannya menyeka air mata. Tajam segala kata-kata yang keluar dari mulut Kak Ami. Dia teresak lagi kerana merindui arwah ayah dan ibunya. Walaupun mereka hanyalah ibu bapa angkat, Farhaini tetap menyayangi mereka seperti ibu bapa kandung kerana pasangan itu sudah menjaganya sejak dia berumur tiga tahun.

"Calm down, Anny." Farhaini menarik nafas sambil kepala mendongak ke atas.

"Tak ada gunanya kalau kau menangis macam ni. Semua tu tak akan mengubah hakikat yang kau adalah orang luar. Kau hanyalah beban kepada Abang Idham."

Farhaini bercakap kepada diri sendiri. Tangannya menyarung helmet ke kepala. Hatinya menanam satu tekad. Mulai hari ini dia perlu bergantung kepada diri sendiri. Kenyataan pahit perlu ditelan walaupun perit. Orang luar tetap orang luar. Dia tiada hak untuk terus menyusahkan keluarga abangnya.

Enjin motor dihidupkan dan perlahan-lahan dia memandu pulang. Pulang ke rumah yang telah menjadi tempat tinggalnya sejak arwah ayah dan ibu angkatnya meninggal dunia lima tahun lepas.

Setibanya di rumah, Farhaini terus masuk ke dalam bilik. Esok sajalah dia beradu pandangan dengan Abang Idham. Malam ini dia sudah terlalu penat.

ADAM membetulkan tali lehernya di hadapan cermin panjang. Sambil itu matanya memandang biasan diri sendiri. Dia tersenyum senget.

"Kau ni tak kacak ke?" Dia menghalakan jari telunjuk ke arah cermin.

"Aku rasa kau ni terlalu kacak sebab itulah ramai awek takut nak jalinkan hubungan dengan kau," sambungnya sambil tersenyum bangga. Beberapa saat kemudian dia ketawa sendiri. Gila bercakap dengan cermin! Dia bersiap dan melangkah keluar dari rumah.

"Good morning, Encik Adam," tegur seorang wanita ketika Adam sedang menunggu lif untuk turun ke bawah. Adam tersenyum.

"Good morning. Cik Haiza tak kerja ke hari ni?" Adam memandang wanita itu yang santai berpakaian sukan. Jirannya itu ketawa kecil.

"Saya cuti. Hmmm... Boleh saya tanya Encik Adam sesuatu?"

Adam mengangguk sambil itu matanya mengerling skrin LED di atas pintu lif. Masih jauh nak sampai ke tingkatnya.

"Hujung minggu ni Encik Adam free tak?" Berhati-hati Cik Haiza menyoal. Apabila Adam menoleh ke arahnya dengan pandangan pelik cepat-cepat dia menerangkan.

"Hujung minggu ni saya ada reunion dengan kawan-kawan sekolah. Errr... Sebenarnya saya takut nak pergi seorang diri. Housemate saya kebetulan pula ada hal penting hujung minggu ni. Itu yang kalau boleh saya nak minta tolong Encik Adam temankan saya."

Adam terdiam sebentar. Sedang mengira-ngira untuk pergi atau tidak. Matanya mengerling Cik Haiza yang kelihatan penuh mengharap. Lambat-lambat dia mengangguk.

"Okey. Nanti Cik Haiza beritahulah pukul berapa nak saya bersiap."

"Really? Encik Adam boleh temankan saya? Thank you so much." Lebar senyuman di bibir Cik Haiza. Adam turut ketawa kecil.

Pintu lif terbuka di hadapan mereka. Waktu itu perut lif sudah agak penuh. Kedua-duanya melangkah masuk dan berdiri di hadapan sekali sehingga menuruni ke tingkat meletak kereta.

"Nanti saya mesej Encik Adam berkenaan reunion tu," ujar Cik Haiza ketika mereka beriringan untuk ke kereta.

"Baik, Cik Haiza. Saya gerak pergi ofis dulu, ya?" Adam meminta diri dan melangkah ke haluan bertentangan.

Cik Haiza melihat Adam dari belakang. Bibirnya tersenyum lebar. Berjaya!

FARHAINI tunduk memandang lutut sendiri. Jari kakinya dikuis-kuis pada karpet di atas lantai. Abang Idham berdeham.

"Anny ada nak cakap apa-apa ke?" Abang Idham memulakan perbualan. Kak Ami yang baru muncul dari dapur sekadar mengerling sekilas dua beradik itu.

"Anny nak minta maaf kalau selama ni Anny dah menyusahkan abang dan Kak Ami sekeluarga." Ringkas ayatnya. Abang Idham membuat muka terkejut.

"Kenapa tiba-tiba cakap macam tu?"

"Sebagai orang luar, Anny tahu Anny dah banyak susahkan abang. Mulai hari ni Anny akan cari duit untuk tanggung diri sendiri. Anny tak akan bergantung kepada abang dan Kak Ami lagi."

Kali ini Abang Idham terbangun dari duduknya. Dia berpandangan dengan Kak Ami. Kedua-duanya saling mengerut dahi.

"Errr... Anny terdengar ke apa yang abang dan Kak Ami cakap semalam?" Berhati-hati Abang Idham menyoal. Adiknya itu hanya diam tidak bereaksi. Mengangguk pun tidak. Menggeleng pun tidak.

"Abang minta maaf kalau Anny terdengar dan itu membuatkan Anny kecil hati. Anny tetap adik abang. Walau apa yang terjadi sekalipun, Anny tetap adik kandung abang." Tegas bicara Abang Idham. Dia mahu Farhaini tahu kedudukan yang sebenarnya. Dia tidak pernah menganggap gadis itu sekadar adik angkat.

"Abang sayang Anny sama seperti abang kandung yang lain menyayangi adik mereka. Sebab itu Anny tak pernah menyusahkan abang. Jangan sesekali cakap benda mengarut macam tu."

Farhaini merenung mata abangnya. Kata-kata Abang Idham terus menusuk ke dalam hatinya dan muncul satu rasa yang kurang enak. Adik kandung! Kenapa perkataan itu membuatkan dia bertambah sedih? Dia menoleh pula untuk memandang Kak Ami.

"Akak pun nak minta maaf kalau Anny marah dengan apa yang akak cakap semalam. Akak cuma nak Anny belajar berdikari di luar sana. Sebab tak selamanya Abang Idham boleh tanggung kita semua." Kak Ami menghampiri dan duduk di sebelah Farhaini. Tangan adik iparnya itu digenggam perlahan.

Abang Idham seperti mahu berkata sesuatu tetapi Kak Ami cepat-cepat memintas.

"Akak bukan nak persoalkan tentang perasaan adik-beradik di antara Abang Idham dan Anny. Akak cuma rasa bertanggungjawab untuk cakap perkara ni. Hubungan Abang Idham dan Anny tetap bukan mahram. Boleh berkahwin dan ada batas-batas pergaulan yang boleh dan tidak boleh."

Kak Ami diam sebentar. Matanya memandang Abang Idham dan Farhaini silih berganti.

"Dulu akak tak usulkan perkara ni sebab Anny banyak habiskan masa di kolej. Anny jarang-jarang balik ke sini. Tapi memandangkan sekarang Anny dah habis belajar, itu yang akak kena cakap juga. Akak bukan nak menghalau Anny dari rumah ni. Akak cuma nak mencegah sesuatu yang buruk daripada berlaku. Akak harap Anny faham apa yang akak cuba nak sampaikan ni."

"Ami..." Abang Idham memanggil dengan nada kurang senang.

Farhaini menarik nafas perlahan. Entah kenapa air matanya setitik pun tidak mengalir. Agaknya air matanya sudah kering akibat menangis semalaman. Dia cuba menarik senyuman walaupun pahit.

"Anny faham apa yang Kak Ami cuba sampaikan. Kak Ami dan Abang Idham jangan risau. Lepas Anny dapat kerja, Anny akan cari rumah sewa di luar."

Kak Ami terus menarik Farhaini ke dalam pelukan. Kepala gadis itu digosok perlahan.

"Anny tetap ahli keluarga kami. Bila-bila masa Anny boleh datang sini."

Ajakan Kak Ami itu ibarat angin lalu yang masuk ke telinga Farhaini. Dia tidak dapat mendengar apa-apa sekarang. Fikirannya seakan-akan kosong. Mulutnya kata setuju tapi jauh dalam sudut hatinya dia terluka. Entah kenapa rasa sakit itu semakin mencengkam pula.

Dia memandang Kak Ami dan Abang Idham silih berganti. Tidak bolehkah dia menjadi sebahagian daripada mereka? Satu rasa yang sudah lama dia pendam ibarat mengetuk-ngetuk minta dikeluarkan. Haruskah dia membuka pintu rasa itu?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co