BAB 3
SEPERTI yang telah dijanjikan, esok Adam akan menemani Cik Haiza ke majlis reunion bersama rakan-rakan sekolah gadis itu. Adam menjeling jam di dinding yang sudah menginjak ke angka 11.30 malam.
Pelan lukisan hiasan dalaman untuk kafenya dipandang lama. Ini cita-cita dan impian yang sudah lama dia idamkan. Membuka sebuah kafe yang dapat menarik minat semua golongan terutamanya buat pencinta kucing kerana kafe ini disertakan sekali dengan studio kucing. Adam tersenyum sendiri. Tidak sabar mahu melihat hasilnya nanti.
Ting! Ting!
Telefonnya berbunyi perlahan. Adam mengerling sekilas skrin tanpa membukanya.
"Tak tidur lagi Cik Haiza ni," komennya. Sebenarnya dia malas mahu membuka aplikasi WhatsApp dan membaca mesej yang dihantar gadis itu. Dia tidak mahu memberi harapan yang berlebihan.
Dari lenggok tubuh dan perlakuan gadis itu, dia tahu yang Cik Haiza meminatinya sejak mereka hidup berjiran tiga tahun lalu. Bukan gadis itu tidak cantik tetapi hatinya yang tidak pernah terusik. Dia hanya boleh menganggap gadis itu sebagai kenalannya. Dan kerana itulah dia rasa bersalah sekarang kerana bersetuju mahu menemani gadis itu ke reunion esok hari.
"Aku dah bagi dia harapan ke?" Adam mengetuk jari di atas meja. Masih berkira-kira mahu membalas mesej itu ataupun tidak.
Sekali lagi satu mesej tertera di skrin.
Cik Haiza: Good night, Encik Adam. See you tomorrow. Sweet dreams.
Adam menaip perlahan.
Encik Adam: Good night. See you tomorrow.
Ringkas saja mesej yang dibalasnya. Adam mengemas kertas kerja yang bersepah di atas meja dan melangkah ke katil. Esok dia akan melalui hari yang memenatkan.
MEREKA beriringan masuk ke dalam bangunan hotel. Adam membetulkan tali leher yang sedikit senget. Sebenarnya nak menutup rasa nervous kerana Cik Haiza berjalan anggun di sebelahnya. Sesekali dia mengerling ke sebelah untuk melihat gadis yang memakai baju kebaya warna merah itu. Jalannya nampak yakin dan penuh gaya. Terserlah kecantikan gadis itu.
"Errr... Cik Haiza masuklah dulu. Saya nak ke tandas." Adam menghentikan langkah. Bibir Cik Haiza yang dicalit gincu warna merah cili itu melakar senyum.
"Saya tunggu Encik Adam. Kita masuk dewan sama-sama nanti."
"Eh, tak apa. Cik Haiza masuklah dulu. I'll see you there."
Lambat-lambat Cik Haiza mengangguk dan kembali melangkah ke arah dewan. Adam masih berdiri di situ memerhatikan keadaan sekeliling. Dari jauh dia melihat papan tanda yang menunjukkan arah tandas. Kakinya diangkat perlahan mengikut arah yang ditunjukkan.
"Apa aku buat dekat sini?"
Langkah Adam terhenti. Dia melihat seorang gadis sedang bersandar pada dinding di sebelah tandas wanita dan gadis itu sedang bercakap seorang diri.
"Kenapalah aku setuju nak datang sini? Aish." Gadis itu masih berbicara sendiri.
Nak tak nak Adam terpaksa melalui tempat gadis itu berdiri. Gadis itu sedang menunduk dan kakinya dikuis pada lantai. Tanpa sedar Adam tertawa kecil. Entah macam mana bicara gadis itu sama pula dengan apa yang sedang difikirnya sekarang. Kenapa dia berada di majlis reunion ini? Walhal dia tidak ada kaitan langsung. Lucu!
"Kenapa awak ketawa?"
Tawa Adam mati. Matanya beradu pandang dengan mata si gadis. Nampak jelas kerutan di dahi gadis yang berkaca mata itu. Wait a minute... Adam cuba mengingati di mana dia pernah melihat sepasang mata bundar itu.
"Excuse me. Kenapa awak ketawa tadi? Ketawakan saya?" Si gadis sudah berpeluk tubuh. Riaknya jelas tidak puas hati. Cepat-cepat Adam menggeleng.
"No! Jangan salah faham." Bicara Adam mati apabila seorang lelaki keluar dari tandas dan lalu di hadapan mereka.
"Saya tengah fikirkan sesuatu yang lucu tadi. Itu yang ketawa," sambung Adam seraya tersengih sumbing.
"Lain kali jangan ketawa tak tentu pasal macam ni. Nanti orang ingat awak tu gila." Gadis itu terus beredar sebaik melafaz kata-kata. Adam mengangkat kening. Sekali lagi dia ketawa.
"Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Dia tak perasan agaknya yang dia tu pun orang boleh anggap gila. Sebab bercakap sorang-sorang."
Adam masuk ke tandas bersama tawa yang masih bersisa. Terhibur betul dia dengan drama tak berbayar beberapa minit tadi. Sekali lagi dia cuba mengingati di mana dia pernah bertemu gadis itu.
"Ha, mamak! Perempuan yang menangis tu!" jeritnya teruja. Cepat-cepat Adam menoleh ke kiri dan kanan. Nasib baik dalam tandas tak ada orang. Kalau tidak memang dapat title gila.
SEBAIK saja dia melangkah masuk ke dalam dewan, matanya terus terpaku ke arah seseorang. Bukan figura Cik Haiza yang cantik berkebaya merah tetapi pandangannya terarah kepada gadis berbaju kurung moden warna hitam dan berkasut sneakers yang dia jumpa di tandas tadi.
Bibirnya tersenyum lebar kerana tidak menyangka yang dia akan berjumpa lagi dengan gadis itu. Adam beranikan diri untuk menghampiri si gadis yang sedang duduk di meja paling hujung.
"Adam!" Panggilan seseorang mematikan rancangannya. Cik Haiza berdiri tegak dengan wajah yang penuh dengan senyuman.
Adam? Sejak bila panggilan mereka sudah berubah? Rasanya tadi mereka masih menggunakan panggilan cik dan encik. Adam musykil sendiri.
"Mari saya kenalkan awak kepada kawan-kawan saya. Mereka tak sabar nak tengok awak."
"Errr... Cik Haiza." Adam bersuara sekali gus mematikan langkah gadis itu.
"Saya nak minta tolong dengan awak. Jangan panggil saya Cik Haiza dekat sini. Panggil Haiza aje. Boleh?" Cik Haiza kedipkan mata. Kalau orang tengok mesti cakap comel tapi tidak bagi Adam. Dia rasa sedikit keliru di sini.
"Kenapa tiba-tiba?"
"Erm, sebenarnya saya memang nak awak panggil saya macam ni. Dan saya tak nak panggil awak dengan panggilan Encik Adam lagi. Kalau boleh saya nak hubungan kita jadi lebih mesra dari yang sebelum ni."
Adam menghela nafas perlahan. Matanya melirik ke arah beberapa orang yang sedang memandang mereka. Mungkin kawan-kawan yang Cik Haiza maksudkan tadi.
"We need to talk. Later," putus Adam.
"Shall we?" Sekali lagi Cik Haiza menggamit Adam untuk diperkenalkan kepada kawan-kawannya.
Adam hanya senyum, berjabat tangan dan menjawab apa yang perlu. Selepas itu dia meminta diri untuk duduk di meja.
"Bosan?"
Adam yang sedang ralit melihat telefon bimbit mendongak. Terus mood ceria datang menyapanya.
"Saya rasa bukan saya seorang aje yang rasa bosan macam ni. Am I right?"
Gadis itu ketawa. Cantik!
"Can I sit?" Gadis itu menunjuk ke arah kerusi kosong di sebelah Adam.
"Sure. Duduklah."
"Saya Farhaini. Kita ada jumpa dekat tandas tadi." Si gadis berkaca mata ini yang memulakan pengenalan. Adam senyum.
"Adam. Ya, sayalah orang yang awak panggil gila tadi," seloroh Adam selamba. Kedua-duanya ketawa.
"Saya tak tahu pula yang kita satu sekolah." Gadis yang bernama Farhaini itu mengerut dahi. Cepat-cepat Adam menggeleng.
"Saya bukan alumni dari sekolah ni. Saya datang sini sebab temankan kawan."
"Oh... Patutlah tak pernah nampak."
"Awak sama batch dengan Haiza?" Adam menyoal sekadar berbasa-basi. Farhaini menoleh ke arah Cik Haiza yang kebetulan sedang melangkah ke meja mereka.
"Bukan. Saya junior dia masa sekolah. Erm, kawan yang awak temankan tu Kak Haiza ke?"
Adam angguk. Farhaini senyum kecil dan bangun dari duduknya. Dia berbalas senyuman dengan Cik Haiza.
"Apa khabar, Farhaini?" Soalan Cik Haiza membuatkan Adam menoleh ke belakang. Tidak perasan bila gadis itu berdiri di belakangnya. Patutlah Farhaini tiba-tiba bangun.
"Baik, kak. Akak apa khabar?"
"I'm good. Hmmm... Awak datang seorang ke? Mana geng-geng awak masa sekolah dulu?"
"Masing-masing ada hal peribadi. Itu yang tak dapat datang."
Cik Haiza mengangguk sambil melihat jam di pergelangan tangan. Kedua-duanya kekok. Adam yang menjadi pemerhati turut dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena antara dua gadis ini.
Bunyi orang mengetuk mikrofon menyelamatkan suasana. Kini semua mata tertumpu ke hadapan. Cik Haiza memegang kerusi yang diduduki Farhaini tadi sebagai isyarat 'ini kerusi aku!'
"Saya balik ke meja saya dululah." Farhaini meminta diri. Belum sempat Adam bersuara gadis itu sudah menjauh.
Adam menoleh ke sebelah. Cik Haiza juga sedang memandang langkah Farhaini tadi. Ada kisah silam yang tak baik agaknya dua orang ni, desis hatinya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co