Truyen3h.Co

HATI YANG TERSAKITI

BAB 5

karyaseni2u

FARHAINI melompat gembira. Hampir dia menjerit kerana terlalu suka. E-mel panggilan temu duga yang baru diterimanya membuatkan harapannya semakin cerah. Dia perlu mencari kerja dan mencari duit sendiri. Selepas itu barulah dia boleh keluar untuk menyewa rumah di luar.

Sejak dari perbualan tempoh hari, Abang Idham dan Kak Ami tidak lagi membangkitkan isu itu. Tapi Farhaini tahu yang Kak Ami masih mengharapkan yang dia faham keadaan mereka.

"Yes! Harap sangat aku dapat kerja ni." Farhaini duduk bersila di atas katil.

Tangannya laju menekan ikon Google Chrome. Dia menaip nama syarikat yang memanggilnya untuk temu duga itu. Mencari tahu serba sedikit mengenai latar belakang syarikat yang dipohon adalah salah satu cara untuk seseorang itu bersedia.

"Izzad Daniel bin Izhar Yong." Perlahan dia membaca maklumat organisasi syarikat berkenaan.

"Muda lagi CEO syarikat ni. Kacak pula tu." Farhaini tersenyum sendiri. Dia mencari tahu lagi segala maklumat tambahan yang ada. Dia perlu bersedia untuk buat yang terbaik.

Farhaini bangun dan almari pakaian dibuka. Dia menyelongkar beberapa pasang baju kurung yang sedang tergantung kemas. Satu per satu diambil dan digayakan di tubuhnya.

"Warna merah ni macam terang sangat," komennya ringkas. Dia mencapai lagi baju kurung yang lain. Lama matanya memerhati diri dalam biasan cermin panjang.

"Yang ni cantik. Cun." Dia senyum. Puas hati dengan baju kurung warna coklat cair berbunga kecil itu.

"Anny? Dah tidur ke?"

Pintu biliknya tiba-tiba diketuk. Farhaini berpaling ke arah pintu. Itu suara Abang Idham.

"Ada apa?" soalnya sebaik saja pintu dikuak lebar. Abang Idham sedang tersenyum manis memandangnya.

"Temu duga Anny tu esok, kan?"

"Hmmm..."

"Abang gembira untuk Anny."

Abang Idham mahu menggosok kepala Farhaini tetapi tingkahnya terhenti separuh jalan. Baru teringat yang mereka punya batas. Waktu kecil dulu tak apalah dia sering menggosok kepala Farhaini. Sekarang adik angkatnya itu sudah dewasa.

Farhaini tersenyum kelat. Dia nampak tangan abangnya yang kelihatan kekok. Dalam hatinya tergores dengan keadaan itu kerana dia sedar yang hubungan mereka bukan lagi seperti dulu.

"Kalau dah tak ada apa-apa, Anny masuk dulu. Nak tidur awal." Nada suaranya dingin. Abang Idham mengangguk perlahan.

"Selamat malam. Abang doakan semoga Anny berjaya."

"Okey. Selamat malam."

Farhaini menutup pintu biliknya. Dia berdiri kaku sambil bersandar lemah. Hatinya merintih sedih. Dia terluka dengan sikap abangnya. Dia rindukan hubungan mereka sewaktu kecil. Kini semuanya sudah berubah dan jarak antara mereka sudah terlalu jauh.

"Anny sayang Abang Idham." Akhirnya kata itu terluah jua. Rasa yang sudah bertahun-tahun dia pendamkan.

Sebaik dia mengerti mengenai hubungan mereka dia sudah menyimpan perasaan itu. Mereka bukan adik-beradik kandung, tapi mereka boleh jadi pasangan suami isteri. Itu perkara yang dia impikan dari dulu.

"ABANG nak kahwin!"

Farhaini masih ingat waktu itu. Waktu yang membuatkan jiwanya retak seribu dan seharian dia berendam dengan air mata. Abang Idham tiba-tiba mengatakan yang dia mahu berkahwin dengan gadis pilihan hatinya. Arwah ibu dan ayah pun tidak membantah. Dan tidak lama selepas itu perkahwinan dilangsungkan.

Semua orang gembira dan menerima Kak Ami sebagai ahli keluarga baru dengan sangat baik. Tapi tidak seorang pun yang nampak luka dalam hatinya. Kebahagiaan Abang Idham adalah satu kekecewaan buat dirinya yang ketika itu baru berusia 18 tahun.

Sejak Kak Ami membangkitkan isu yang dia dan Abang Idham adalah orang asing, luka yang dahulu sudah hampir sembuh kini berdarah kembali. Kini luka itu lebih parah dan tak mungkin boleh diubati lagi.

"Kenapa Abang Idham tak nampak yang Anny sangat sayangkan abang? Kenapa?"

Dia tunduk memeluk lutut sendiri. Biarlah dia menangis malam ini. Esok apabila dia sudah mendapat kerja dia akan memulakan hidup yang baru. Dia akan berpindah dari sini dan tak akan sakit hati lagi jika melihat kemesraan di antara Abang Idham dan Kak Ami.

SEAWAL jam 7.00 pagi Farhaini sudah keluar dari rumah. Dia tidak mahu bersarapan kerana takut moodnya akan bercelaru nanti bila berhadapan dengan abang dan kakak iparnya itu. Motornya dipandu perlahan menyelusuri kesesakan lalu lintas di bandar Kuala Lumpur itu.

Dia meletakkan motornya di bahagian yang sudah disediakan. Sempat Farhaini membetulkan ikatan rambutnya yang sudah agak senget kerana memakai helmet tadi. Dia tersenyum puas dengan penampilan dirinya. Kaki melangkah yakin masuk ke dalam bangunan syarikat yang tinggi tersergam di depan mata.

Farhaini berlari anak apabila melihat pintu lif yang sudah terbuka dan orang ramai sudah melangkah masuk ke dalamnya.

"Maaf... Maaf," ujarnya sebaik masuk ke dalam lif. Nasib baik sempat menahan pintu lif dari tertutup rapat.

Farhaini berdiri tegak betul-betul di hadapan pintu lif kerana dia orang terakhir yang masuk. Dia mengelap peluh di dahi dengan hujung lengan baju. Awal-awal sudah kelam-kabut begini. Tanpa dia sedari ada seseorang yang sedang memerhati sambil menyimpul senyum.

NAMANYA dipanggil. Farhaini bangun dengan penuh yakin. Nafas ditarik dua tiga kali. Cermin matanya yang hampir melurut jatuh dibetulkan.

"Aja, aja, fighting!" Dia cakap kepada diri sendiri. Perlahan suaranya tetapi ada juga dua tiga orang yang pandang.

"Silakan masuk, cik." Seorang wanita membawanya ke arah sebuah bilik.

Pintu bilik itu dibuka lebar. Farhaini mengangguk sambil mengucapkan terima kasih.

Dia masuk dan berdiri di hadapan tiga orang penemu duga. Semuanya lelaki. Dia memandang seorang demi seorang dan pandangannya mati pada penemu duga yang duduk di atas kerusi tengah. Lelaki itu tersenyum memandangnya.

"Have a sit," ujar penemu duga yang duduk di kerusi pertama sebelah kanan.

Farhaini senyum sambil menghulurkan fail yang dibawanya.

"Boleh perkenalkan diri anda?" Lelaki yang sama menyoal.

Farhaini membetulkan duduk.

"Assalamualaikum dan selamat pagi. Nama saya Saidatul Farhaini binti Mohd Akbar. Berasal dari Kuala Lumpur. Saya berumur 25 tahun. Baru menamatkan pengajian pada bulan November tahun lepas."

Semua di situ mengangguk. Sekali lagi Farhaini beradu pandangan dengan lelaki paling tengah itu. Adam! Ya, dia ingat dengan jelas wajah lelaki yang dijumpainya ketika majlis reunion tempoh hari. Lelaki itu pula dari tadi asyik merenungnya.

Kenapa dia ada dekat sini pula? Hati Farhaini berdetik sendiri. Dia kembali fokus kepada dua lagi penemu duga yang lain. Tak berani nak beradu pandang dengan Adam.

"Jawatan yang awak minta ni lain dari jurusan yang awak ambil di universiti. Boleh beritahu saya sebabnya?" Kini Adam pula yang bersuara.

Farhaini berdeham perlahan. Dia sudah menjangkakan soalan itu akan ditanya sewaktu dia mula-mula memohon jawatan ini.

"Saya nak cuba cari pengalaman baru. Lagipun sekarang bukan senang nak dapat kerja. Jadi, apa sahaja pekerjaan yang saya rasa sesuai saya akan cuba mohon jawatan itu."

Adam mengangguk. Bibirnya ada tersungging senyuman kecil. Dua lelaki yang lain turut mengangguk.

"Kalau saya bagi awak jawatan jadi pembancuh kopi pun awak setuju?" Adam angkat kening. Sengaja mahu menduga.

"Kenapa pula tidak? Sebab jadi pembancuh kopi pun satu pekerjaan yang halal. Dan saya juga boleh menimba pengalaman dalam suasana kerja yang baru."

Farhaini merasakan degup jantungnya semakin laju. Perasaan gemuruh sudah semakin menjadi-jadi pula. Dia jadi gugup. Maklumlah ini kali pertama dia datang temu duga. Masih mentah dalam keadaan begini.

"Awak ambil jurusan dalam bidang Sains Komputer, tapi bila mohon kerja awak minta jadi pembantu peribadi. Saya tak berapa yakin untuk bagi awak kerja ni. Dan awak belum pernah ada pengalaman bekerja lagi sebelum ni." Sekali lagi Adam beradu pandang dengan Farhaini.

Temu duga ini merupakan temu duga untuk mencari pembantu peribadi Izzad Daniel yang sekali gus menggantikan Adam yang bakal berhenti kerja hujung bulan ini.

"Encik semua boleh percayakan saya. Tak dapat jadi pembantu peribadi pun tak apalah. Pembancuh kopi pun boleh. Saya seorang yang cepat belajar benda baru."

Separuh merayu suara Farhaini. Dia sangat memerlukan pekerjaan sekarang. Ini saja peluang dan kesempatan untuk dia memulakan hidup baru.

"Saya minta maaf, Cik Saidatul Farhaini. Kalau dalam tempoh seminggu pihak kami tak ada menghantar apa-apa keputusan, maknanya cik tak diterima bekerja di sini. Terima kasih." Adam tutup fail. Menandakan sesi temu duga sudah berakhir. Dia menghulurkan fail berkulit hitam itu kepada Farhaini.

"Saya berharap sangat yang saya dapat kerja ni," luah Farhaini penuh mengharap. Hatinya sudah mahu menangis. Adam dan dua lelaki penemu duga itu hanya tersenyum kecil.

Dengan langkah berat dia keluar meninggalkan bilik temu duga itu. Harapannya seakan-akan musnah. Walaupun dia sudah jangka yang keadaan ini akan berlaku tetapi sekeping hatinya tetap rasa kecewa. Kerana dia meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk jawatan ini.

"Argh!" Dia geram dengan diri sendiri. Farhaini duduk termenung di dalam tandas. Fikirannya bercelaru sekarang.

"Don't give up. Kau boleh cari kerja lain pula. Banyak lagi kerja yang kau boleh buat." Dia menepuk pipinya. Cuba bangkit dari kekecewaan ini.

Selepas mencuci tangan, dia berlalu dari situ. Jam juga sudah melepasi angka 12.00 tengah hari. Farhaini mendongak memandang langit yang agak gelap.

"Macam nak hujan," desisnya.

Perlahan dia menuju ke arah motornya. Helmet disarung ke kepala. Kedudukan kain baju kurung dibetulkan. Tangannya memulas kunci dan cuba menghidupkan enjin motor. Sekali ditekan tak hidup. Dua kali... Tiga kali...

"Ya Allah, masa ni pula dia nak rosak!" Hampir nak menangis Farhaini dibuatnya. Sudahlah bayangan kerja tak nampak, motor pula tak nak hidup.

Dia ketawa sendiri. Rasa kelakar dengan apa yang baru terjadi kepada dirinya. Farhaini turun dari motor dan membuka kembali helmetnya. Beg galasnya juga diambil. Telefon bimbit dikeluarkan. Baru dia nak mendail nombor telefon Abang Idham, skrin telefon ditimpa rintik-rintik hujan. Cepat-cepat Farhaini berlari anak menuju ke bawah kawasan berbumbung.

"Hujan pula..."

Hanya itu yang mampu dia ucapkan. Baju kurungnya sudah sedikit basah terkena tempias hujan yang tiba-tiba menggila lebat. Tangannya sekali lagi mendail nombor Abang Idham. Beberapa minit menunggu panggilannya tidak dijawab. Keluhan berat dilepaskan.

"Oh, great! Motor rosak, hujan lebat. Macam mana aku nak balik sekarang?"

Dia duduk mencangkung di bawah kawasan berbumbung itu yang tidak jauh dari kawasan lobi. Sekejap lagi pasti ramai staf yang akan keluar memandangkan hampir masuk waktu makan tengah hari.

Pon! Pon!

Bunyi hon kereta menarik minatnya. Farhaini mengangkat muka sambil membetulkan cermin mata. Sebuah kereta Honda City warna maroon berhenti betul-betul di depannya. Keadaan hujan yang masih lebat menyukarkan Farhaini untuk mengenali si pemandu.

"Panggil aku ke?" Farhaini menyoal sendiri. Dia pandang sekeliling, tapi tak ada orang lain. Hanya dia seorang yang sedang duduk mencangkung di situ.

Sekali lagi bunyi hon kedengaran. Lambat-lambat Farhaini bangun.

"Dia hon sebab nak halau aku ke? Salah ke aku duduk dekat sini?" Pelbagai andaian bermain dalam fikirannya.

Nak tak nak Farhaini bergerak sedikit ke sebelah kiri. Nak lari masuk ke dalam lobi nanti basah kuyup pula kena meredah hujan. Dia mendongak melihat langit yang sedang memuntahkan airnya.

"Cepatlah berhenti hujan. Ya Allah, bantulah aku nak balik ni."

"Cik Farhaini!"

Tiba-tiba namanya dilaung. Antara dengar dengan tidak. Samar-samar suara yang kedengaran. Farhaini menoleh ke arah kereta Honda City tadi. Matanya membulat.

"Encik Adam?"

Lelaki itu sudah keluar dari kereta dan berdiri sambil memegang sekaki payung. Langkahnya laju menghampiri Farhaini.

"Penat saya tekan hon. Awak tak dengar ke?" Lelaki itu menyoal. Farhaini mengerut dahi.

"Encik panggil saya ke tadi? Manalah saya tahu. Saya ingat encik hon tu sebab nak halau saya dari sini."

Adam ketawa mendengar jawapan Farhaini. Baju lelaki itu juga sudah sedikit basah.

"Saya nak suruh awak masuk dalam kereta saya tadi," jawab Adam selamba. Cepat-cepat Farhaini menutup badannya dengan beg galas. Dia memandang pelik ke arah Adam.

"Encik nak buat apa ni?"

"Eh, jangan salah faham." Sekali lagi lelaki itu ketawa.

"Saya nak hantar awak balik. Sebab hujan tengah lebat ni."

"Apalah encik ni. Ingat bila hon macam tu saya boleh suka-suka pergi dan masuk dalam kereta tu ke? Buatnya encik nak culik saya ke. Tak ke naya?" bebel Farhaini.

"Okeylah. My bad. Jadi, sekarang awak dah tahu tu saya. Bolehlah kita sambung berbual dalam kereta."

"Cup! Cup! Saya tak cakap pun yang saya nak ikut encik." Cepat-cepat Farhaini membetulkan. Tak adanya tiba-tiba dia nak naik kereta orang yang tak dikenali.

"Habis awak nak basah kuyup dekat sini?"

Farhaini diam. Bibir bawahnya digigit sedikit.

"Encik ajak saya naik kereta ni atas niat apa? Kita bukannya kenal pun."

"Saya nak hantar awak balik. Saya kasihan tengok awak duduk mencangkung kena hujan macam ni," jelas Adam separuh menjerit. Nak menyaingi bunyi hujan.

"Errr..." Farhaini masih ragu-ragu. Tapi bila tengok keadaan hujan yang semakin lebat dicampur pula dengan angin, dia tidak punya pilihan. Bajunya sudah agak basah. Baju lelaki itu juga.

Untuk elakkan keadaan menjadi lebih parah, dia akhirnya mengangguk. Nampak riak lega di wajah Adam. Lelaki itu menyuakan payung ke arahnya. Farhaini memandang Adam yang juga kebetulan sedang memandangnya.

"Saya ada satu payung ni aje. Kita kongsi." Lelaki itu senyum.

Adam membantunya sehingga dia masuk ke dalam kereta. Rasa kekok berkongsi payung dengan lelaki yang baru dikenalinya ini. Farhaini hanya memerhati Adam yang baru masuk. Lelaki itu menutup payung dan diletakkan di bahagian tempat duduk belakang.

"Sorry saya buat kereta encik basah."

Lelaki itu hanya senyum. Stereng kereta dipulas dan minyak ditekan untuk keluar dari kawasan itu.

"Saya pun basah juga." Ringkas jawapan lelaki itu.

Farhaini mengeluarkan tisu dari beg galasnya. Tisu pun dah separuh terkena air. Nasib baik segala dokumennya diletakkan dalam fail kalis air dan bertutup. Selamat.

"Saya ada tisu dekat kerusi belakang." Adam beritahu. Dia perasan yang gadis itu sedang memandangnya.

"Thanks."

Farhaini menoleh untuk mengambil kotak tisu yang dimaksudkan. Tanpa sedar bahunya terkuis sedikit bahu lelaki itu. Masing-masing diam.

"Maaf, tak sengaja." Farhaini pandang ke arah lelaki itu. Dia nak tengok reaksi Adam. Tapi lelaki itu hanya buat selamba dan masih fokus memandu.

"Awak tinggal dekat mana?" Itu yang disoal Adam.

Farhaini mengelap hujung rambutnya dengan tisu. Dia masih berkira-kira untuk menjawab soalan Adam.

"Sebenarnya..." Dia menarik nafas.

"Saya tak nak balik rumah lagi. Encik Adam boleh turunkan saya di mana-mana kedai atau mall."

Jawapan Farhaini membuatkan lelaki itu berpaling sebentar. Dia mengerut dahi.

"Awak nak pergi mana dengan keadaan basah macam ni?" soalnya pelik.

"Adalah. Yang penting saya tak nak balik rumah buat masa sekarang."

Suasana jadi hening. Masing-masing tak mengeluarkan suara.

"Saya tak tahu apa masalah awak, tapi saya tak setuju nak tinggalkan awak dalam keadaan sekarang ni." Setelah agak lama mendiamkan diri Adam akhirnya bersuara.

"Encik Adam tak payah risau. Pandailah saya jaga diri. Saya nak pergi tenangkan fikiran dulu sebelum balik rumah."

"Ni sebab temu duga tadi ke?"

Farhaini tak menyangka yang Adam akan tanya soalan begini. Dia diam. Tak mahu menjawab apa-apa.

"Encik Adam boleh turunkan saya dekat kedai depan tu." Farhaini tukar topik. Dia menunjuk ke arah deretan kedai yang tidak jauh dari situ. Dia sudah bersedia untuk mencabut tali pinggang.

Tiba-tiba Adam menekan pedal minyak dan kereta meluncur laju melepasi deretan kedai yang dimaksudkan. Farhaini cuak.

"Kenapa encik tak berhenti?"

"Saya dah cakap yang saya tak setuju nak tinggalkan awak dalam keadaan basah macam ni."

"Tapi saya juga dah cakap yang saya tak nak balik rumah sekarang," tegas Farhaini. Geram pula apabila Adam tidak mendengar bicaranya tadi.

"Siapa cakap yang saya nak hantar awak balik rumah?"

"Habis tu encik nak bawa saya pergi mana?"

"My house."

Kepala Farhaini terus tertoleh memandang Adam. Matanya membulat. Lelaki itu pula sedang tersenyum sumbing. Farhaini ketap bibir apabila Adam tiba-tiba ketawa. Mukanya tiba-tiba membahang.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co