BAB 6
"ENCIK ni main-main pula, kan?" getusnya geram. Farhaini berpeluk tubuh apabila Adam masih ketawa di sebelahnya.
"Apa pula main-main? Saya serius ni. Kita on the way ke rumah saya." Apabila tawanya reda barulah Adam bersuara.
"Nak buat apa pergi rumah Encik Adam? Encik Adam jangan nak macam-macam. Saya ada black belt tae kwan do."
Sekali lagi lelaki itu ketawa kuat.
"Saya ada silat gayung. Bengkung hijau," jawab Adam selamba.
Farhaini memandang wajah lelaki itu dengan rasa tidak percaya. Menjawab!
"Saya bagi amaran awal-awal. Kalau Encik Adam nak buat benda jahat dekat saya, saya tendang tut tut Encik Adam." Kali ini Farhaini bersuara keras.
Adam terus menoleh ke sebelah kiri dengan mata membulat. Terkejut mendengar amaran dari mulut gadis genit di sebelahnya ini. Beberapa saat kemudian dia ketawa lagi. Rasa kelakar bila Farhaini cakap begitu.
"Saya serius ni." Farhaini memberi amaran lagi.
"Yalah... Yalah..." Adam mengangguk. Jarinya menekan signal untuk membelok ke kanan.
Farhaini mengerling ke arah kawasan kondominium yang dimasuki mereka. Bangunan tinggi ini kelihatan cantik pada pandangan Farhaini. Dia hanya diam sewaktu Adam memarkir kereta di bahagian atas.
"Don't worry. Saya bukan nak buat apa-apa pun. Awak ingat awak sorang aje ke yang basah? Tengok baju saya ni. Takkan saya nak masuk kerja dengan baju basah macam ni?"
Adam menjelaskan saat enjin kereta sudah dimatikan. Dia tahu kerisauan gadis itu. Dia nampak yang Farhaini agak takut dan gelisah dari tadi.
"Betul?"
"Ya. Saya ni nampak macam orang jahat ke?" soal Adam sekadar nak menghiburkan. Lambat-lambat Farhaini senyum.
"Adalah sikit," jawabnya bergurau. Mereka sama-sama ketawa.
"Jom. Pukul 2.30 nanti saya nak kena masuk pejabat semula."
Farhaini mengikut Adam dari belakang. Mereka berdua tidak banyak bercakap sepanjang berada dalam lif. Adam membuka pintu rumahnya dan dia menjemput Farhaini masuk.
"Lawa rumah," komen Farhaini tanpa sedar. Cepat-cepat dia menutup mulut apabila perasankan lirikan mata lelaki itu.
"Rumah orang bujang." Adam senyum.
Lelaki itu menghilang masuk ke dalam sebuah bilik. Farhaini masih kaku berdiri di ruang tamu. Tak tahu nak duduk atau berdiri saja. Tingkahnya terasa kekok.
"Tuala untuk awak."
Adam muncul dan menyerahkan sehelai kain tuala, T-shirt lengan panjang dan seluar panjang warna hitam. Farhaini mengambilnya sambil memandang wajah Adam.
"Ni baju dan seluar baru. Saya tak pernah pakai lagi."
"Hmmm... Terima kasih, Encik Adam."
"Pergilah bersihkan diri dan tukar baju. Nanti demam pula. Awak boleh guna bilik yang itu. Bilik air yang sebelah kiri ni." Adam tunjuk ke arah yang dimaksudkan.
Farhaini mengangguk dan berjalan ke arah bilik yang ditunjuk lelaki itu. Adam juga masuk ke biliknya semula. Farhaini membersihkan diri dan menyalin pakaian.
"Baik juga Encik Adam ni." Farhaini duduk di birai katil sambil mengelap rambutnya. Baju kurung yang dipakai tadi disangkut pada penyangkut baju. Harap kering bila dia mahu pulang nanti.
Dia menilik diri sendiri. Baju lengan panjang dan seluar lelaki itu agak besar untuk dirinya. Dia ketawa kecil. Pelik memikirkan apa yang baru berlaku hari ini. Dia pergi temu duga kerja, rasa kecewa sebab harapan nak dapat kerja itu tipis, motornya rosak dan hujan lebat.
Selepas itu muncul pula lelaki yang baru dikenalinya ini. Dan sekarang dia sedang berada di rumah lelaki itu, memakai pakaian lelaki itu. Farhaini cepat-cepat menggeleng. Mukanya rasa berbahang pula. Entah kenapa dia termalu sendiri.
"Farhaini." Namanya dilaung bersama ketukan di pintu bilik. Farhaini cepat-cepat bangun dan membuka pintu.
"Ini telekung kalau awak nak guna." Lelaki itu menghulurkan telekung warna putih yang masih kemas dilipat di dalam plastik.
Farhaini menyambutnya. Dia memeluk plastik telekung itu di dada.
"Sejadah ada dekat penyangkut tu. Kiblat pula menghala ke bucu bilik sebelah kanan. Macam ni." Adam tunjuk demonstrasi arah kiblat di depannya.
Farhaini mengangguk.
"Terima kasih, Encik Adam."
"Awak ni asyik cakap maaf dan terima kasih aje dari kita jumpa sampai sekarang." Adam ketawa kecil.
Farhaini menunduk sambil sembunyi senyum.
"Okeylah, saya nak kena balik semula ke pejabat. Kalau awak nak makan boleh panaskan lauk dalam peti ais."
"Errr... Encik Adam tak takut ke?" duga Farhaini.
"Takut? Nak takut apa?"
"Tak takut ke kalau saya curi barang-barang encik nanti?"
Adam memeluk tubuh sambil matanya memandang Farhaini. Dalam hatinya ketawa mendengar soalan gadis itu.
Comel, desisnya dalam hati.
"Saya tak kesah kalau pencurinya cantik macam awak ni," gurau lelaki itu.
Farhaini membulatkan mata. Tak sangka Adam akan jawab macam tu.
"Seriously? Encik tak kesah?"
Meletus juga ketawa Adam apabila melihat wajah cuak gadis itu. Dia menggeleng dan mengangkat tangan.
"Awak ni suka tanya benda yang peliklah. Saya berani bawa awak datang rumah saya ni sebab saya percayakan awak. I know you are a good person."
Farhaini terdiam. Entah kenapa hatinya tersentuh mendengar komen lelaki itu. Dia benar-benar kelu. Senyuman manis Adam menyapa matanya.
"Saya pergi dulu. Nanti kalau awak nak balik rumah bawa sekali kunci pendua dan access card ni."
"Habis tu bila saya nak pulangkan kunci ni dekat encik?"
Adam senyum tanpa menjawab. Dia melangkah ke ruang tamu untuk memakai stoking. Farhaini mengikut dari belakang. Usai menyarung kasut dan mencapai beg kerjanya Adam berpaling.
"Awak boleh pulangkan kunci tu bila awak datang ambil motor di syarikat."
"Ha? Macam mana encik tahu saya bawa motor?"
"Macam-macam lagi saya tahu pasal awak, Farhaini. Awak juga yang hampir tak dapat masuk lif pagi tadi, kan?"
"Encik mengintip saya ke apa ni?"
Adam ketawa lantang. Tangannya membuka pintu rumah dan pintu grill. Sempat tangannya membetulkan tali leher yang sedikit senget.
"Awak lupa ke yang saya kerja dekat situ juga? Saya nampak awak pagi tadi. Jangan lupa kunci pintu ni. Saya pergi dulu."
Adam angkat tangan dan berlalu dari situ. Farhaini masih diam tercegat di muka pintu. Tanpa sedar bibirnya mengulum senyuman lebar. Lain macam perasaan yang muncul dalam hatinya sekarang.
ADAM masuk ke dalam kereta. Bibirnya masih tidak padam dengan senyuman. Segalanya berlaku terlalu pantas. Pagi tadi dia terkejut apabila terpandangkan gadis itu yang baru turun dari motor. Dan tingkah gadis itu yang kelam-kabut ketika menahan pintu lif juga mengundang senyuman di bibirnya.
Dan tanpa dia sangka gadis itu merupakan salah seorang calon yang perlu ditemu duga olehnya. Jika dikira-kira kembali, sudah banyak kali dia bertemu tanpa sengaja dengan gadis bernama Farhaini itu. Ingatkan pertemuan sewaktu reunion dulu adalah pertemuan terakhir mereka.
"Nampaknya dia dah curi hati kau," ujar Adam sambil menepuk dada sendiri.
Ada sesuatu tentang Farhaini yang menarik minatnya. Kalau tidak, tak akanlah dia membawa gadis itu ke rumahnya. Perasaan ini begitu lain ketika dia bersama Rafika dulu. Tidak perlu dipaksa, tidak perlu mencari. Ia datang dengan sendirinya.
BUNYI loceng ditekan membuatkan Farhaini yang baru duduk di atas sofa terbangun semula. Dia tersenyum kecil menyangkakan yang Adam mungkin tertinggal sesuatu. Tanpa membuang masa dia terus membuka pintu. Senyumnya mati.
"What are you doing here?" Suara Cik Haiza memecah suasana. Keras dan kuat. Farhaini kaget.
"Errr..."
"Buka pintu ni sekarang!" Nada suara Cik Haiza semakin mengeras. Wanita itu memeluk tubuh dengan muka yang agak merah.
Farhaini meramas tangan sendiri. Berpeluh. Dia terlupa yang Adam ada kena-mengena dengan Cik Haiza. Tangannya mencapai kunci dan membuka pintu grill. Cik Haiza terus menolak tubuh Farhaini dan merempuh masuk ke dalam rumah.
"Mana Adam?" soalnya sambil merenung tajam. Farhaini sekadar menggeleng.
"Encik Adam ada di pejabat. Saya tumpang sekejap di rumah ni sebab hujan lebat," jelas Farhaini.
Tanpa pamitan, Cik Haiza mengangkat tinggi tangannya dan menampar pipi Farhaini. Suasana hening. Farhaini memegang pipi kiri yang terasa kebas. Hatinya menjadi hangat.
"Kenapa Kak Haiza tampar saya?" soalnya marah. Dia bukan gadis yang senang-senang boleh dipukul.
"Kau dari dulu perangai sama aje. Perampas!"
"Kak Haiza jangan nak tuduh saya yang bukan-bukan. Saya ada dekat sini sebab tumpang keringkan pakaian. Lagipun, saya seorang diri. Encik Adam tak ada dalam rumah ni dengan saya."
"Aku bagi amaran. Aku tak nak tengok lagi kau dekat dengan Adam. Kalau betul kau bukan perampas, kau jauhkan diri dari dia."
"Encik Adam dan saya tak ada apa-apa hubungan langsung. Kak Haiza ni yang cemburu tak tentu pasal," bidas Farhaini selamba. Dia tak kesah jika Cik Haiza nak mengamuk ke apa. Janji dia dah menjelaskan duduk perkara sebenar.
"Aku susah nak percaya cakap kau. Kalau betul apa yang kau cakap tu buktikan sekarang. Kau keluar dari rumah ni. Right now! Aku tak suka tengok perempuan lain ada dalam rumah teman lelaki aku."
Penuh lagaknya Cik Haiza menghalau. Farhaini mengetap bibir dan terus melangkah masuk ke bilik. Baju kurungnya diambil kasar dan dilipat masuk ke dalam beg galas.
"Balik pakai baju ni ajelah. Nanti aku pulangkan." Farhaini membebel seorang diri. Sempat matanya menjeling ke luar tingkap. Hari masih hujan tapi tidak selebat tadi. Dengan perasaan geram dia keluar ke ruang tamu.
"Mana kunci rumah ni?" Cik Haiza hulur tangan.
"Encik Adam amanahkan saya untuk pegang kunci ni. Saya tak boleh bagi dekat sesiapa."
Jawapan Farhaini membuatkan kulit muka Cik Haiza berubah warna. Dia nak menjawab tetapi Farhaini cepat-cepat memotong.
"Tadi Kak Haiza suruh saya balik, kan? Cepatlah keluar. Saya nak kunci pintu ni."
Memang niat Farhaini nak buatkan Cik Haiza sakit hati. Tadi bukan main wanita itu menghalaunya. Sekarang nak buat lambat-lambat pula. Farhaini menunggu Cik Haiza di luar pintu. Dia buat muka selamba.
"Ingat ya, Farhaini. Aku tak nak tengok kau dekat dengan Adam lagi. Sudah-sudahlah kau mengganggu teman lelaki orang lain." Cik Haiza memberi amaran dan berlalu dari situ.
Farhaini ketawa sinis. Dia menggeleng kepala mengenangkan sikap Cik Haiza tadi. Kemudian, fikirannya teringatkan Adam.
"Encik Adam ni pun satu. Dah tahu ada teman wanita, pergi bawa aku datang rumah ni buat apa? Dah tak pasal-pasal aku kena tampar dengan Kak Haiza."
Perasaannya berbuku geram. Dia membetulkan beg galas sebelum memulakan langkah beredar dari bangunan tinggi itu. Ini kali pertama dan terakhir dia menjejaki kakinya di sini. Hari ini memang penuh dengan dugaan buat diri Farhaini. Nak tak nak dia perlu pulang ke rumah dan berehat. Mindanya terlalu penat.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co