Truyen3h.Co

HATIKU UNTUK DIA

BAB 5

karyaseni2u

QAIRA dan Uwais...

Ya, Reza sudah ingat. Dulu... Lama dulu, selepas mama meninggal dunia, Alfan selalu sebut-sebut nama budak berdua itu dan memujuk Reza supaya bertemu mereka. Anak kembar papa dari perkahwinan barunya.

Tapi bila Reza marah, Alfan tidak memaksa lagi dan dia tidak lagi mendengar tentang mereka dari mulut Alfan. Dia cuma sedar selepas mama meninggal dunia, Alfan semakin kerap menghabiskan masa dengan keluarga baru papa.

Tinggallah Reza seorang diri di rumah meratap kesunyian. Hatinya keras tidak mahu berkenalan dengan mereka.

"Sejak bila?" tanya Reza tiba-tiba dengan mata tajam menatap Akid.

"Sejak bila apa?" Akid menyoal, tidak memahami maksud Reza.

"Sejak bila kau jalinkan ukhuwah dengan dia orang, tanpa pengetahuan aku?" Nada suara Reza begitu monotone.

Akid menelan liur. Emosi Reza sukar ditebak lagi bila dia pasang muka serius begitu. Macam gunung berapi aktif yang siap meledak bila-bila waktu saja.

Qaira dan Uwais berpandangan sesama sendiri. Ukhuwah? Okay, fine... Itu bunyinya agak Islamik namun entah mengapa, mereka berdua sepakat menyimpul senyum. Rasa lucu mendengarnya dari mulut Reza. Tapi bila pandangan tajam Reza melibas ke arah mereka, Qaira dan Uwais serentak memadamkan senyum dari bibir.

"Dah enam bulan..."

"What?!" Reza tertegak dengan mata terpelotot. "Dah lama macam tu, baru sekarang kau nak bagi tahu aku?"

"Ikutkan dah lama aku nak bagi tahu kau. Tapi aku rasa tak sedia lagi..." Akid berjeda, menanti reaksi Reza.

"Apa maksud kau tak sedia?" Mata Reza mencerlang garang. "Kau fikir, bila beritahu sekarang, selepas enam bulan, aku sedia terima semua ni? Kau nak bagi aku sakit jantung ke?"

"Aku tak tahu pula kau ada penyakit tu?" sindir Akid.

"Cut the bullshit!" Terlepas sumpahan dari mulut Reza. "Sekarang kau nak aku buat apa dengan budak-budak ni?" Dia tidak peduli lagi pada tatapan Qaira dan Uwais padanya.

"Jaga dia orang!"

Demi mendengar permintaan Akid, mata Reza terbelalak dan mulut ternganga selama beberapa minit. Mata Reza kemudiannya beralih kepada Uwais dan Qaira.

Reza ingin meminta Akid mengulangi apa yang baru saja diucapkannya, takut kalau dia sudah salah dengar. Tapi tatapan Qaira dan Uwais yang kelihatan tenang dan bersahaja, membuat Reza sedar kalau mental mereka sudah bersedia dengan semua ini.

"Argh! Kau memang sengaja, Kid!" geram Reza lalu bergegas keluar dari ruang tamu.

"Abang Akid, dia memang tak suka kita oranglah," kata Uwais sebaik sahaja kelibat Reza menghilang ke luar rumah.

"Sabar. Dia tengah terkejut tu. Jangan risau, tahulah abang pujuk dia," ujar Akid cuba menenteramkan kembar berdua itu.

"Kau orang tunggu sini." Sambil menghela nafas, Akid bangun dan keluar mendapatkan Reza. Dilihatnya Reza duduk bertenggek atas superbike. Mata Reza bukan main menjeling tidak suka padanya.

"Aku tak nak jaga budak-budak tu. Aku tak kenal mereka." Reza berkata datar. Susah payah Reza cuba mengawal kemarahan yang masih menyelimuti hatinya.

"In fact aku, One dan Wa'ie yang rasa dah tak kenal kau lagi." Akid bagi ayat makan dalam.

Tanpa ekspresi, Reza berpaling merenung tajam pada Akid yang berdiri tersandar pada tiang porch.

Akid menghembuskan nafas sebelum berkata perlahan, tahu kalau Reza tidak mengerti maksudnya.

"Kita orang tak tahu apa masalah kau. Lepas Alfan tinggalkan kita, kau minta band kita bubar. Habis study, kau tenggelam timbul dalam hidup kita orang. Sekejap muncul, sekejap hilang... Kau buat hal sendiri macam tak percaya lagi kat kita orang. Padahal kita pernah tidur satu dorm, susah senang sama-sama, pernah makan nasi sebungkus kongsi lima orang."

"Tak payah nak buat throwback sendu sangatlah. Bukannya kau tak tahu mana rumah aku selama ni!" tingkah Reza, tapi matanya mengelak dari berpandangan dengan Akid kerana hati dia yang tiba-tiba rasa sendu mendengarnya. Kenangan lama masih membuat hatinya terasa remuk.

"Memanglah aku tahu. Tapi kau tu pun bukan selalu ada kat rumah. Selalu sangat hilang. Payah kita orang nak jumpa!"

Tidak mengendahkan rungutan Akid, Reza menyemburkan arahan keras.

"Sekarang ni... Aku nak kau bawa budak-budak tu pergi dari rumah ni!"

"Za! Dia orang tu adik-adik kau!" tegas Akid.

"Masalahnya, apa hal kau memandai buat arahan suruh aku jaga budak-budak tu?! Eh, selama ni aku kenal mereka pun tak, tiba-tiba kau nak suruh budak-budak tu duduk dengan aku? No!" Mata Reza mencerlang.

"Za! Kau ni..." Akid mendesis sebelum hela nafas panjang. "Payahlah kau ni..."

"Aku memang payah. Bear that in your mind, please!"

"Bro! Dia orang berdua tu lagi payah, tahu tak? Rumah dah kena jual sebab nak ubatkan penyakit mak dia orang. Tapi tetap tak boleh selamatkan dan dia orang dah jadi anak yatim! Cukup tak alasan tu untuk buat hati kau lembut sikit dan belajar terima dia orang?" ucap Akid tegas.

Detik berikutnya dia melihat Reza terkaku atas tempat duduk superbike dan menatapnya penuh kebingungan, kening berkerut-kerut, dengan bibir sekejap terkemam sekejap mengerucut.

Akid kenal sangat ekspresi wajah Reza itu. Ekspresi yang hanya Reza pamerkan kalau dia mahu mengatakan sesuatu tapi kehilangan kata dan tidak tahu bagaimana mahu meluahkannya.

Sudahnya, Reza meloncat turun dari superbike. Kedua-dua belah tangan diangkat, menjalin jemarinya di belakang kepala sambil mundar-mandir di hadapan Akid.

Akid sabar menunggu sehingga ais dalam hati Reza cair.

"Aku tak boleh jaga mereka!" putus Reza akhirnya.

Jawapan Reza itu cukup mengejutkan Akid kerana baru sekejap tadi dia merasa telah berjaya mencuit hati Reza dengan status Qaira dan Uwais sebagai anak yatim.

"Ya Allah! Why you are so stubborn, Reza?!" Terlepas teriakan dari mulut Akid. Apa yang mahu dilakukan oleh Akid adalah memaki Reza sepuasnya kerana terlalu marah. Tapi bila menyedari Qaira dan Uwais terpacul di muka pintu, dia menarik nafas mengap-mengap, cuba menenangkan diri.

"Qaira dan Uwais tu darah daging kau!" Sekali lagi Akid menegaskan kenyataan itu. Namun reaksi Reza yang beku menghadap laman, bikin hati Akid tambah meruap panas.

"Abang Kid, tak apalah." Uwais memberanikan diri mencelah. "Kalau abang Reza tak sudi jaga kita orang, abang Kid hantar aje kita orang ke rumah anak-anak yatim. Taklah kami ni menyusahkan sesiapa."

Perghhh... Ayat budak ni, bukan main lagi menyentap jiwa. Sontak, Reza memutar tubuh menghadap Uwais sambil bercekak pinggang. "Eh! Siapa ajar kau menyampuk bila orang tua bercakap?" sela Reza.

Uwais terus tertunduk sambil menarik tangan Qaira, mahu meminjam kekuatan.

"Okay, fine!" Akid pantas memotong. "Kalau kau tak nak jaga dia orang, aku dengan bini aku sanggup jaga daripada biarkan dia orang terbuang ke rumah anak yatim. Biar aku dengan bini aku yang dapat pahala berganda sebab jaga anak yatim!"

Reza langsung tidak terkesan mendengar sindiran Akid.

"Tapi kau jangan mengamuk pula nanti bila keluar berita dalam media sosial, bekas drummer I, Bandel yang pernah popular suatu ketika dulu, tergamak abaikan adik-adik sendiri!"

Ugutan Akid itu berjaya memancing perhatian Reza. Terkerut keningnya menatap Akid. "Apa maksud kau?"

"Untuk pengetahuan kau, Encik Alfareza, adik-adik kau ni bakal jadi artis duo baru syarikat aku."

"What?!" Suara Reza naik beberapa oktaf. Matanya terjegil dan mulut menganga tidak percaya.

Akid mendekati Reza.

"Sebenarnya, aku discovered bakat dia orang dari YouTube. Dia orang ada channel sendiri, QA-IS. Tapi setiap kali buat cover lagu, dia orang tak tunjuk muka sangat. Sipi-sipi aje. Bila aku dengan One contact ajak jumpa, kita orang terkejut sebab tengok muka dia orang agak mirip kau dan Alfan. Masa tu baru tahu yang Qaira dengan Uwais ni kembar dan dia orang adalah adik kau, hasil perkahwinan kedua papa kau."

Penjelasan Akid bagaikan tamparan kepada Reza. Kenyataan 'hasil perkahwinan kedua papa' itu cukup nyeri buatnya.

"Jadi, selama enam bulan ni, kau dengan One, bersubahat?" Reza mengacungkan jari ke arah Akid bersama air muka bengang.

"Wa'ie pun sama," Akid menambah fakta.

Reza mendengus. "Kau dah tahu aku tak nak terlibat lagi dengan dunia artis, kan? Kenapa kau suruh aku jaga budak-budak ni?" Muka Reza sudah seperti orang mahu menangis.

"Okey, aku mengaku... Aku salah sebab sembunyikan semua ni dari kau. Tapi kesihatan Puan Suraya waktu tu tak mengizinkan. Dah tahu hubungan kau dengan dia tak baik, so aku tak nak keruhkan lagi keadaan."

"Hah, kata nak pahala, kenapa kau tak teruskan jaga budak-budak tu? Apa kes baru sekarang cari aku dan claim aku ni abang mereka?" Nada suara Reza begitu sarkastik.

"Sebab sebelum meninggal dunia, Puan Suraya dah buat surat lawyer, serahkan legal custody pada kau."

"What?!" Reza tergamam sejenak sambil pandang Akid dengan mata membulat, tidak percaya. Namun bila Akid mengangguk, Reza terus balik tubuh.

"Arghhh!" Reza meraung geram dengan dua tangan bersilang di puncak kepala. Tak guna punya mak tiri! Dia tunggu mati baru berani lepaskan anak-anak dia pada aku, supaya aku tak ada peluang marah dan menolak wasiat dia? Huh! Dari waktu goda papa, sampai dah nak mati pun masih licik! Reza terus-terusan mengumpat dalam hati.

Tapi Reza sedar, dia tidak mampu mengelak lagi. Lalu Reza berpaling ke arah Akid. "Kalau aku jaga budak-budak ni, mereka tak boleh jadi artis!"

Akid terkejut. "Eh? Jangan macam tu Za, dia orang berbakat. Aku dengan One nak gilap bakat dia orang ikut jalan yang betul."

"Apa yang betulnya kalau dah jadi artis?" bentak Reza lalu menghentak tangan ke tiang porch. Kemudian dia mengalihkan pandangan pada Qaira dan Uwais. "Berapa umur kau orang?"

"Errr, 15..." Ragu-ragu Uwais menjawab. Qaira sudah mempamerkan muka kecut sambil memeluk lengan Uwais.

"15?!" Mata Reza melebar. "Umur baru putik jagung, dah berangan nak jadi artis?! Eh, patutnya kau orang belajar dulu bagi habis sekolah!"

"Reza! Kau dulu main muzik umur berapa?" Akid meningkah.

Reza menghujam pandangan paling tajam pada Akid. Namun dia tidak berminat untuk menjawab pertanyaan Akid.

"Kau start main dram pun dari sekolah rendah lagi. So, kau jangan nak bisinglah kalau dia orang pun menurun suka muzik waktu masih sekolah!" bidas Akid, mengungkit sejarah lama. "Kita tubuhkan band masa form five. Orang sibuk study, kita curi-curi join gigs. Elok aje sampai sekarang kita jadi orang, kan? Masing-masing berjaya dapat degree. Kau dengan Wa'ie siap lulus dengan first class. Takkan kau lupa semua tu?"

"Aku dah tak nak ingat!"

"Belajar terima hakikat, Reza! Sampai bila kau nak hidup mengasingkan diri, yang kita orang tak tahu apa puncanya."

Dada Reza rasa semakin sesak.

"Bagi aku, Uwais dengan Qaira ni betul-betul resemble kau dengan Alfan. Aku pun rindu Alfan. Sumpah... Bukan kau sorang aje rindu dia... One... Wa'ie pun. Tapi kita orang lebih rindukan kau, sebab kau yang masih ada depan mata kita orang."

Lagi-lagi ayat Akid terasa menghentak hati Reza. Aku tengah marah, dia karang ayat touching pula! Erghhh! Reza diam sambil pusing tubuh, membelakangkan mereka semua. Reza merengus lalu sendengkan badan ke tiang dengan tangan dilipat ke dada.

"Aku tak nak sia-siakan bakat Uwais dengan Qaira. Aku nak dia orang maju, sebab tu aku nak kau sebagai abang, jaga dia orang... Sebab kau dah lebih dulu makan garam dunia muzik. Please, Reza... Jangan ego sangat. Jangan hidup macam laut mati. Tak ada hidupan yang sanggup hidup dalam laut mati. Hidup kita ni cuma sekali, jangan kau kesalkan sangat apa yang dah jadi... Kalau kau nak jauhkan rasa sakit, jangan biarkan diri kau terus ingat benda-benda yang buat kau rasa sakit."

"Kau bukan hidup sendiri, kau masih ada aku, One dan Wa'ie sebagai kawan... Sekarang aku bawa Qaira dan Uwais. Tuhan tu tak pernah lupa bagi kita cahaya. Siang, Dia bagi matahari, malam, Dia bagi bulan... Takkan kau masih nak hidup bergelap sendiri?"

Makan dalam ayat Akid itu. Dengan mata terpejam, sebelah tangan diangkat mengepal udara, Reza menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembusnya keras-keras. Dia harus tetap berfikir jernih dalam menangani kejutan yang dibawa Akid.

"Rajin-rajinkan diri baca surah al-Mulk, Reza..."

Terkejut bukan kepalang Reza mendengar saranan Akid. Mata terbuka lebar dan dia menoleh memandang Akid. "Suruh aku baca, kau sendiri ada baca ke?" soal Reza dengan riak wajah sinis.

Tanpa bertangguh, Akid membaca sepotong ayat dari surah tersebut, membuat mata Reza terpelotot. "Aku baca tadi tu ayat kedua maksudnya, Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)." Dengan senyum, Akid berkata.

Reza melongo. Sumpah, dia tidak percaya. Sejak bila Akid yang dulunya terkenal dengan sifat cheeky, tahu hafal surah? Banyak betul kejutan yang dibawa Akid. Rasa tidak berdaya berdiri lama-lama, Reza mencangkung pula. Melengung hadap rumput dengan perasaan bagai ditakik-takik oleh bacaan Akid sebentar tadi.

"Abang Kid, tak payahlah paksa abang Reza lagi. Kami tak nak menyusahkan dia. Kalau dia jaga tapi tak ikhlas, susah juga nanti." Qaira bersuara dari balik tubuh Uwais.

Masih dalam posisi mencangkung, Reza putar kepala dengan mata mencerun ke arah Qaira. Buru-buru, Qaira sembunyikan muka di belakang kepala Uwais.

Sambil mendengus, Reza angkat tubuh, dibawanya berdiri. Dengan muka tak beriak, dia berkata pada Akid.

"Mereka boleh tinggal sini."

Akid nyaris melompat bintang sebelum Reza menghabiskan kata-katanya.

"Tapi... Pandai-pandailah bawa diri! Aku tak nak campur urusan hidup kau berdua!"

Mati serta-merta senyum di bibir Akid. "Reza, tak baiklah kau buat macam tu..."

"Buat apa? Aku tak ada masa nak uruskan mereka. Pandai-pandailah mereka uruskan diri sendiri. Aku pun bukannya ada kereta nak usung mereka ke sana sini."

"So, kau kena beli kereta."

"Lancar betul kau bagi arahan?"

"Yalah, dari zaman motorcross, kau tukar superbike. Kalau ada kereta, kan senang? Tak payah tunggu bawah flyover setiap kali hari hujan."

Ayat itu terdengar cukup meremehkan tapi Reza malas ambil hati. Itu namanya cakap anak jutawan. Nak guna kereta baru, ambil sahaja dari showroom orang tua. Bosan dengan kereta sama setiap hari, switch sahaja dengan kereta yang bersusun dalam garaj.

"Aku hidup bujang, seorang diri, tak perlu bawa sesiapa, jadi aku tak perlukan kereta."

"You have to have a car. Sebab lepas ni kau tak hidup seorang diri lagi."

"Oh?" Reza melongo seketika pandang Akid. "Maknanya kau nak aku jadi pak supir budak-budak tu pula? Sorry and no in advanced!" Reza palingkan muka.

Terkeluh panjang Akid dibuatnya. Akid memandang simpati ke arah Qaira dan Uwais. "Macam mana? Kau orang sanggup duduk sini? Kalau tak sanggup, cakap awal-awal." Akid menyoal.

Qaira dan Uwais berpandangan sesama sendiri, berkomunikasi melalui mata sebelum serentak menatap Akid.

"Ya, kita orang sanggup duduk sini. Walau apa pun, Abang Reza tetap abang kita orang."

Reza mendengus bila mendengar perkataan 'abang kita orang' itu.

"Tapi kalau dalam masa sebulan, abang Akid tengok kita orang kurus kering, tolonglah selamatkan kita orang dengan kadar segera." Uwais berlawak, membuatkan Akid tergelak lucu.

Tapi tidak Reza. Macam anak panah terlepas dari busur, jelingannya tertancap tepat ke muka Uwais. "Buat loyar buruk pula budak ni. Aku dera betul-betul nanti, baru betul kau berdua meraung minta Akid tolong!"

Automatik Uwais tertunduk.

"Pergi angkut barang-barang sebelum aku berubah fikiran! Cepat!" perintah Reza berbaur ugutan dan mula menghitung. "Satu... Dua..."

Kibang-kibut Qaira dan Uwais berlarian menuju Toyota Vellfire milik Akid. Akid nyaris tergelak bila melihat gaya Reza cekak pinggang dan aksi kalut dua kembar dekat MPVnya itu. Masing-masing mengheret keluar satu bagasi besar dan menggalas beg gitar. Mereka bergegas mendapatkan semula Reza dan Akid di bawah porch. Tidak ubah macam pelatih melapor diri pada ketua di kem latihan tentera.

"Ikut aku!" Reza balik tubuh dan masuk ke dalam rumah.

Terkocoh-kocoh Qaira dan Uwais mengekori. Sementara Akid berjalan santai di belakang mereka. Baru sampai depan tangga, Reza tiba-tiba memusingkan tubuh sehingga Qaira dan Uwais nyaris melanggar dadanya.

"Eh, sorry, Abang Reza!" ucap Qaira sambil mengambil langkah pantas, mundur beberapa tapak ke belakang.

Reza merendahkan kepala supaya pandangannya searas dengan Qaira dan Uwais.

"Kalau nak duduk dalam rumah ni, ada syarat. Satu..." Reza mengangkat tangan, menaikkan jari telunjuk. "Jangan sesekali cuba buka bilik hujung sana." Reza mengarahkan matanya ke arah bilik bersebelahan ruang tamu.

Akid ikut menoleh ke arah yang ditunjukkan Reza. Seketika dahinya berkerut kerana teringatkan sesuatu. "Eh? Bilik tu bukan ke..."

"Kau diam!" getus Reza sebelum Akid sempat menghabiskan soalannya. Kemudian jari hantu Reza pula yang naik. "Dua, jangan curi masuk bilik tidur aku. Tiga..." Jari manis pula menyusul. "Jangan sepahkan barang, jangan kotorkan rumah. Pendek kata, kau berdua kena ingat, ini rumah aku, jadi kau kena dengar cakap aku. Faham?" Bola mata Reza berputar menatap wajah Qaira dan Uwais silih berganti.

Macam burung belatuk, Qaira dan Uwais mengangguk. "Faham, Abang Reza."

"Ada tiga bilik kosong dalam rumah. Satu dekat dapur, dua lagi di atas. Tapi satu bilik aje yang ada katil dan almari. Pandai-pandailah kau orang buat pilihan. Nak lat ta li lat ke osom ke..."

Terkemut-kemut mulut Qaira dan Uwais menahan senyum tatkala mendengar cadangan Reza. Garang tapi macam kelakar!

"Dah, pergi naik!" Reza memberi laluan pada Qaira dan Uwais.

Bila Qaira dan Uwais naik ke atas, Reza berlalu ke ruang tamu, tidak menghiraukan Akid yang menatapnya dengan wajah risau.

"Jangan keras sangat dengan budak-budak tu." Akid menegur seraya duduk bertentangan dengan Reza.

"My house, my rules!" tegas Reza sambil menuang Nescafe yang disediakan oleh Akid.

"Suka hati kaulah..." Akid angkat tangan tanda mengalah. Dia ikut duduk.

"Ini semua dokumen penting yang aku nak kau pegang." Akid menyodorkan sebuah kotak fail plastik saiz A4 ke hadapan Reza. Sahabatnya itu hanya menjeling melalui ekor mata sambil meneguk minuman.

"Dalam ni ada surat lawyer, surat beranak, buku bank dan kad ATM arwah Puan Suraya. Adalah duit belanja sikit yang arwah Puan Suraya tinggalkan. Tapi budak-budak tu ada akaun bank dan kad ATM masing-masing. So, aku akan masukkan elaun bulanan dia orang ke situ."

Melihat Reza diam, Akid menyambung kata. "Sebenarnya setiap artis baru aku, ada PA. Tapi buat masa ni, semua PA dah full dengan artis masing-masing. So, aku harap kau boleh jadi PA dia orang. Senang sikit, abang sendiri jadi PA budak-budak tu."

Pergerakan rahang Reza begitu ketara. Cawan dihentak ke atas meja. "Kau ni..." Reza berdecit sebelum menghenyak badan ke belakang. "Memandai aturkan hidup aku, apa hal? Celah mana yang kau masih tak faham bila aku kata dah tak nak terlibat dengan dunia artis lagi?"

"Bro, jadi PA aje pun... Bukan jadi artis."

"I said no! Stop forcing me!"

"Okay... Okay! Aku carikan PA baru untuk dia orang."

"Yeah, right! Tahu pun kau!" Bibir Reza terjongket, senyum sinis. "Bila jadi big boss entertainment company, jangan kedekut sangat jaga kebajikan artis. Belajar dari apa yang kita pernah kena dulu. Jangan repeat benda sama. Itu pun kalau kau nak resident artists kau setia dengan company kau sampai bersara!"

Tercengang Akid mendengar saranan Reza. Ingatkan dia dah lupa kisah lalu... Rupa-rupanya ada lagi terselit dalam otak dia tu!

"Kalau pasal tu, aku akan usahakan yang terbaik. Insya-Allah... Sebelum debut dan lepas debut pun, aku akan pastikan kebajikan adik-adik Reza terjaga."

Reza mengerling tajam. Tahu kalau Akid sengaja menekan perkataan adik-adik Reza itu. Namun dia malas mahu ambil pusing.

Bila melihat Qaira dan Uwais turun semula, Akid segera bangun. "Aku gerak dulu..."

Tapi Reza masih beku dalam duduknya, membiarkan Akid bergerak ke pintu diiringi oleh Qaira dan Uwais.

"Qai, Is... Jaga diri tahu?" Akid memegang bahu Qaira dan Uwais. "Kalau ada apa-apa, terus call abang atau Abang One, okey?"

Qaira dan Uwais mengangguk patuh. Terkebil-kebil melihat Akid menarik keluar dua keping duit warna ungu dari dompetnya.

"Ini duit belanja. Kalau habis, jangan malu minta dengan Abang Reza, tahu? Ingat, jangan sesekali kau orang menyusahkan Abang Reza. Kalau ada masalah tapi Abang Reza sibuk, kau orang terus bagi tahu abang."

Reza yang mendengar, menghembus nafas kasar. Akid ni, main sindir halus pula! Tak tahan dengan mainan Akid, Reza melonjak bangun. Fail yang ditinggalkan Akid, ditarik sama.

Langsung tidak mengendahkan pandangan tiga manusia depan pintu itu, Reza panjat tangga menuju ke biliknya. Mahu bersiap untuk keluar!

SUDAH masuk pukul 9.00 malam, tapi Reza tidak muncul-muncul selepas keluar rumah sejak tengah hari tadi. Meninggalkan Qaira dan Uwais mati akal di rumah. TV pula, harapkan saiz saja besar 46 inci tapi jangankan Astro, HyppTV pun tidak ada. Bermakna rumah Reza tiada talian Internet WiFi!

"Biar betul, wei?! Abang Reza duduk dalam gua ke apa? Dia tak tahu ke zaman sekarang ni Internet adalah keperluan, bukan lagi kehendak! Data Internet handphone dah habis ni. Macam mana nak balas komen peminat? Isy!" Uwais merungut geram lalu menutup laptop. Perutnya pula mula berkeroncong.

Keluar bilik, dia terus masuk ke bilik Qaira. Kembarnya itu sedang sibuk menyusun pakaian ke dalam almari.

"Qai, aku laparlah." Uwais menepuk perutnya.

"Nak pergi makan ke?"

Uwais menggeleng. "Tak payahlah. Tengah hari tadi kita dah makan kat luar. Kena jimat sikitlah..."

"Habis tu, nak makan apa?"

"Jom tengok apa ada kat dapur?" ajak Uwais.

"Uish! Rumah orang ni, tak naklah..." Qaira geleng kepala laju-laju.

"Ala... Jomlah, sebelum dia balik." Uwais bangun, menarik tangan Qaira.

Qaira bangun tapi masih risau memikirkan kemungkinan buruk. "Kalau dia tiba-tiba balik masa kita tengah makan, macam mana?"

"Hujung minggu macam ni, takkan dia balik awal. Entah-entah dia pergi disko, mabuk-mabuk. Mesti subuh nanti baru dia balik. Tak pun dia tidur rumah awek ke..." Uwais membuat andaian rambang.

"Hesy... Muka kakkoii macam Abang Reza tu, tak ada gaya kaki disko langsung! Garang macam dia tu, siapa sanggup jadi awek? Mesti makan hati!"

"Ah, tak kesahlah ada gaya ke tak. Jom selongkar dapur sebelum dia balik, sebelum aku kena gastrik." Uwais terus mengheret Qaira ke dapur.

Bila buka peti ais, Uwais berkeluh hampa. Cuma ada beberapa botol air mineral, setin krimer manis dan beberapa biji telur.

"Dapur dia betul-betul dapur bujanglah, Is. Aku jumpa Maggi dengan sardin aje ni," rungut Qaira, menayangkan paket mi segera perisa kari dan setin sardin cap ayam saiz sederhana.

Uwais tercenung sejenak. "Hmmm... Tak apalah. Kau buatkan aku Maggi goreng. Boleh?"

"Okey, kau duduk dulu."

Uwais bawa diri duduk di meja menghadap Qaira yang mula mengeluarkan kuali dari tempat persembunyiannya. Qaira yang memegang status kakak, beberapa minit tua darinya, tidak pernah jemu melayan kerenahnya.

Sekejap kemudian, Qaira datang membawa semangkuk Maggi goreng ke depan Uwais.

"Aku buat dua bungkus ni, cukup tak?"

"Cukuplah. Kau?"

"Tak apalah, kau makanlah. Aku makan pisang ni pun dah kenyang." Qaira mencapai sebiji pisang yang sedia ada di atas meja.

"Makanlah sikit," pujuk Uwais sambil menggulung Maggi dengan garpu sebelum disuakan ke mulut Qaira.

"Satu suap aje." Qaira menerima suapan Uwais.

Sambil mengunyah, mata Qaira melihat suasana dapur. Memang tidak menampakkan ciri dapur orang bujang.

"Abang Reza ni pembersih, kan? Ingatkan tukang sepah macam kau..."

Uwais buat muka jengkel bila dia dibandingkan.

"Hmmm... Memanglah, tapi garang sangat!" sahut Uwais dengan mulut penuh.

"Is, kau betul ke sanggup nak duduk dengan dia?"

"Aku bagi tempoh sebulan aje. Kalau dia terus stonecold dengan kita, kita blah duduk rumah anak yatim. Okey?"

Qaira manggut-manggut mendengar ucapan Uwais. Tapi air mukanya berubah bila terdengar bunyi enjin superbike Reza memasuki pekarangan rumah.

"Is! Dia dah balik! Macam mana ni?" Qaira mula panik.

"Wat lek wat peace aje. Jangan pandang muka dia!" Uwais tunduk seolah-olah mahu memasukkan muka ke dalam mangkuk. Sementara Qaira pura-pura sibuk membelek telefon bimbit.

Telinga masing-masing menangkap bunyi plastik, menandakan Reza makin hampir.

"Lapar sangat ke?"

Suara serak Reza menerjah pendengaran memaksa Qaira dan Uwais serentak angkat muka.

"Errr... Sorry, Abang Reza. Qai ambik Maggi abang untuk Is. Nanti Qai ganti balik."

Qai... Reza menyebut semula nama itu dalam hati. Manja bunyinya, ditambah gaya Qaira yang takut-takut memandangnya.

Tidak menyahut, Reza sebaliknya meletakkan satu bungkusan plastik berisi dua bekas makanan di hadapan mereka.

"Aku tak tahu kau orang suka apa, tapi makanlah ni," kata Reza sebelum berlalu bersama satu lagi bungkusan plastik.

Qaira dan Uwais tercengang beberapa detik. Tidak menyangka Reza akan membawa pulang makanan untuk mereka. Maknanya dia bukan pergi disko atau tidur di rumah awek seperti prasangka Uwais!

"Errr... Abang Reza dah makan ke belum?" tanya Qaira ragu-ragu.

"Dah," balas Reza sepatah.

Jawapan itu langsung tidak dapat menjelaskan kepada Qaira dan Uwais, ke mana hilangnya Reza sepanjang hari.

Perlahan-lahan Uwais menarik salah satu bekas makanan. Waktu melihat isinya, Uwais menatap Qaira dengan riak teruja.

"Qai! Macam mana dia tahu aku suka nasi goreng USA?" Uwais merasakan tona suaranya cukup rendah.

Tapi Reza yang berdiri depan kabinet, terkesima mendengarnya. Tidak menduga kalau makanan itu merupakan kegemaran Uwais.

"Dia ada sixth sense kut?" tebak Qaira.

Bungkusan Milo, dua tin krimer manis, roti dan sardin dikeluarkan dari plastik. Sambil tangan melakukan kerja, fikiran Reza melayang.

Sixth sense... Dulu, kalau dengan Alfan, dia selalu ada rasa itu. Boleh baca hati masing-masing. Tapi kalau dengan budak-budak itu Reza tidak pasti. Siang tadi dia keluar tanpa meninggalkan pesan buat mereka. Pergi ke tempat biasa di mana dia selalu menghabiskan waktunya.

Sebelum balik, dia singgah di kedai makan. Ketika pelayan mengambil oder, dia sempat bingung seketika kerana tidak tahu mahu bungkus apa untuk Qaira dan Uwais. Yang terlintas dalam fikiran, Alfan suka makan nasi goreng USA kerana banyak lauk katanya. Jadi, Reza rasa sebagai budak lelaki yang sedang membesar, Uwais mungkin kuat makan. Dan Reza menganggap Qaira sebagai anak dara sunti, tidak suka pedas, lalu dibelikannya nasi goreng Cina.

"Makan cepat! Lepas tu tidur!" Suara tegas Reza membuat Qaira dan Uwais serentak menikus.

Qaira dan Uwais terus tunduk, makan dengan senyap. Bila Reza mendekati dan meletakkan dua muk berisi Milo panas, Qaira dan Uwais terkedu.

"Lepas makan, kemas. Aku tak suka tengok dapur kotor dan bersepah," pesan Reza sebelum berlalu meninggalkan mereka berdua.

Uwais merenung Milo yang masih berasap dalam muk. Kemudian dia menatap wajah Qaira.

"Qai, kenapa aku rasa touching?" tanya Uwais sambil memerhati asap nipis yang naik dari permukaan muk.

"Aku pun! Tiba-tiba rasa Abang Reza tu actually sweet dalam diam..."

Uwais mencebik. "Huh, dia baru bagi Milo, kau dah rasa dia sweet?"

"Eleh, kau pun sama. Dia baru buatkan Milo, kau dah touching? Kalau dia ajak kau jamming?"

"Aku nangis tujuh tempayan!"

Dari tingkat atas, Reza dengar sayup-sayup suara gelak adik-adiknya itu. Nampak sangat dia orang berdua rapat macam belangkas. Tak ubah macam dia dengan Alfan...

UWAIS baru hendak merebahkan badan ke atas lantai ketika pintu biliknya diketuk. Dengan kadar segera, Uwais bangun membuka pintu. Demi memandang manusia di hadapannya, Uwais tergamam. Apatah lagi bila melihat Reza menjinjing beg toto dan mengelek sebiji bantal.

"Errr... Abang Reza, ada apa?" Dengan agak gugup Uwais bertanya. Reza yang lebih tinggi daripadanya, buat dia rasa seperti mengadap guru disiplin di sekolah.

Tidak segera menjawab, Reza menyendengkan kepala, menjenguk ke dalam bilik. Nampak sehelai kain pelekat terhampar di atas lantai bersama sebiji bantal. Hmmm... Gentleman juga dia ni... Mengalah dan tak pentingkan keselesaan diri sendiri, biarkan Qaira ambil bilik yang ada katil dan almari.

Kemudian mata Reza menatap wajah Uwais.

"Kau gunalah dulu toto dengan bantal ni," kata Reza dengan ekspresi tak terbaca oleh Uwais. "Ini kunci rumah dan remote pagar. Jangan hilangkan..." Reza meletakkan segugus kunci ke atas toto.

Sambil menelan liur berkali-kali dan hati dicuit rasa terharu melihat sikap Reza yang agak melunak, walaupun wajah Reza tetap datar tanpa riak, Uwais menyambutnya.

Sebaik sahaja barang-barang itu bertukar tangan, Reza berpaling. Tapi belum sempat kakinya buka langkah, suara Uwais menyapa telinganya.

"Abang Reza... Terima kasih."

Sangka Reza, Uwais berterima kasih kerana toto dan bantal itu. Namun ayat seterusnya, bikin hatinya libang-libu.

"Terima kasih sebab sudi terima kita orang, walaupun abang tak pernah kenal kita orang sebelum ni."

Reza mengeras beberapa detik dengan kedua-dua belah tangan terkepal erat. Saat berpaling, Uwais sudah pun menutup pintu.

"Za... Qaira dan Uwais mungkin tak kenal kau macam dia orang kenal aku. Tapi aku harap suatu hari nanti... Kau boleh terima Qaira dan Uwais. Ingat, dia orang bukan adik tiri. Dia orang anak papa kita. Jadi, walau apapun yang jadi, kita kena bersatu sebagai anak-anak papa..."

Pesanan Alfan itulah yang membuat Reza memujuk hati menerima kehadiran Qaira dan Uwais... Kerana pesanan Alfan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co