Truyen3h.Co

HATIKU UNTUK DIA

BAB 4

karyaseni2u

DENTINGAN loceng bertalu-talu menyentakkan Reza dari tidurnya. Terangkat sedikit kepalanya dari bantal dengan mata masih separuh pejam. Tangan teraba-raba mencari telefon bimbit yang sengaja disetkan dalam flight mode. Melihat jam pada skrin. Baru pukul 9.10 pagi.

Reza melempar telefon bimbit ke tepi dan memejamkan semula matanya. Setelah sepanjang minggu dia tidur lewat kerana dihambat beberapa deadline, dia ingin tidur secukupnya sebelum keluar ke destinasi biasa tengah hari nanti. Tapi bunyi loceng di bawah sana begitu memaksa Reza bangun.

Arrghhh! Siapa pula yang datang pagi-pagi buta macam ni?! sungut Reza.

"Hoi, Reza! Bangunlah!"

Laungan itu diikuti dengan bunyi besi digoncang, menyebabkan Reza menganjal bangun. Duduk tercatuk di atas katil dengan muka bingung. Selepas mengusap muka berkali-kali, Reza turun dari katil. Berjalan terhuyung-hayang menuju ke tingkap. Sebelah tangan menyebak langsir, sebelah lagi mengucekkan mata. Bila pandangannya mulai jelas, Reza menjenguk ke bawah. Nampak Toyota Vellfire warna putih milik Akid, melintang depan pagar. Tapi kelibat Akid tak kelihatan.

Bunyi grille digoncang membuatkan Reza menghembus nafas geram. Sah, Akid sudah memanjat pagar dan sekarang ada depan pintu. Mahu tak mahu, Reza bergegas turun.

Bila daun pintu dikuak, terpacul wajah Akid.

"Kau tidur mati ke apa? Aku call tak dapat, goncang pagar tak dengar... Nak kena aku ceroboh sini baru kau bangun?" omel Akid. Geleng kepala dia melihat Reza masih dengan seluar tidur, tidak berbaju, tangan tergaru-garu kepala, mengusutkan lagi rambutnya.

Reza mendengus sebal. "Siapa suruh kau tak bagi notis awal-awal kata nak datang?"

Ketika Reza membukakan kunci grille, Akid mengamati wajah Reza yang nampak agak pucat. Lingkaran gelap bawah mata jelas kelihatan tanda sahabatnya itu memang tidak cukup tidur.

"Kau dah mandi ke belum ni?" soal Akid sambil melangkah masuk.

"Gosok gigi pun belum!" jawab Reza sebelum memutar tubuh, melangkah gontai mendekati sofa. Tubuhnya dihenyakkan di situ.

"Pergi mandi dululah. Aku ada hal penting nak bincang dengan kau ni."

"Hal rasmi kerajaan ke sampai aku kena mandi dulu? Tak boleh ke kau datang lain kali? Aku mengantuk gila ni. Nak qada tidur sekejap. Tengah hari nanti aku nak keluar..." Reza menyandarkan kepala ke belakang dengan sebelah tangan menekup mata. Serius, rasa nak terlelap di sini juga.

"Melibatkan hidup mati kau. So, kau kena mandi dulu, bagi badan dan otak kau segar dan boleh hadam apa yang aku nak cakap."

Reza tegakkan badan dan menyepetkan matanya. Rasa curiga mencanak-canak bila melihat air muka Akid seperti sedang menyembunyikan sesuatu. Tapi oleh kerana otaknya masih belum secerah lampu LED, Reza menurut perintah tanpa banyak bicara lagi.

"Aku sediakan breakfast dulu."

Langkah Reza terhenti sebelum kakinya cecah anak tangga. Dengan dahi berlipat kerut, dia berpaling memandang Akid yang sedang berjalan menuju ke dapur.

"Lain macamlah kau punya baik ni..."

Akid menyeringai. "Ah, bukan selalu aku datang sini. Bincang sambil breakfast complete dengan Nescafe panas, baru otak dan mulut kau synchronized..."

"Dapur aku tengah kering. Setakat kau nak buat Nescafe makan dengan roti kosong, bolehlah," kata Reza sambil mengatup mulut dengan tangan, menahan kuap. Rasa mengantuknya makin menjadi-jadi.

"Tak apa. Aku ada beli breakfast. Ada kat dalam MPV. Pergilah mandi!" desak Akid.

Makin curiga Reza dibuatnya tapi tak kuasa mahu bersuara. Nampak gayanya, hajat nak tidur sampai tengah hari tak kesampaian. Kacau daun betullah Si Akid ni...

"Kau jangan sambung tidur pula kat atas tu!" Akid memperingatkan.

Reza tidak menyahut, sekadar mengibaskan tangannya dan memanjat anak tangga dengan gaya malas.

HAMPIR sejam, baru Reza turun semula dengan penampilan lebih segar. Reza mengenakan t-shirt hitam lengan pendek dengan seluar jean. Baru separuh tangga, mata Reza mencerun ke arah ruang tamu. Kelihatan Akid sedang berbual dengan dua orang remaja. Kedua-duanya duduk membelakangi tangga, tempat Reza sedang berdiri. Seorang lelaki dan seorang perempuan dengan rambut hitam lebat, berpilin-pilin melepasi bahu.

Tiba-tiba Reza merasakan wilayahnya terjajah oleh tamu tidak diundang. "Apa hal kau bawa budak-budak tu masuk? Bagi duit dahlah," tegurnya dari arah tangga. Dia mahu membelok ke dapur ketika suara Akid menahannya.

"Za! Dia orang bukan budak minta sedekah. Ini Uwais dengan Qaira..."

Otot tubuh Reza mendadak jadi kaku ketika mendengar nama itu. Terlalu familiar tapi otaknya gagal menggali ingatan. Perlahan-lahan, Reza memutar tubuh dan bersama perasaan ingin tahu, dia menapak mendekati. Semakin hampir, denyutan jantungnya terpicu semakin laju. Berdebar tidak ketahuan hala.

Akid terdiam melihat Reza berjalan perlahan dengan kepala sendeng, riak wajah bagaikan orang takut mahu melihat sesuatu yang tidak ingin dilihatnya.

Demi melihat wajah Qaira dan Uwais, Reza terus tegak dengan mata terbelalak. Wajah kedua-duanya begitu mirip! Yang membezakan mereka cuma panjang rambut.

Malah, Reza tergamam melihat wajah mereka berdua agak mirip dengan wajahnya ketika remaja!

Uwais yang duduk membongkok dengan dua tangan bertaut atas lutut itu memandang Reza dengan wajah tidak beriak. Dan Reza bagaikan melihat bayangan Alfan yang remaja!

"Abang Reza... Apa khabar?" sapa Uwais seraya bangun, menghulur tangan mahu berjabat dengan Reza.

Tapi Reza tetap tegak macam orang kena sumpah jadi tiang bendera.

Perlahan-lahan Uwais menarik kembali tangannya dengan wajah hampa bila salamnya tidak disambut Reza. Qaira pantas menarik Uwais supaya duduk semula di sisinya. Dan bola mata Reza berputar mengikut pergerakan Uwais.

"Reza... Uwais dengan Qaira ni kembar. Dan dia orang adik-adik kau..."

Fikiran Reza tiba-tiba jadi kosong.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co