Truyen3h.Co

Hingga Akhir Nafasku

Bab 14

karyaseni2u

SUFIAH yang baru sahaja muncul di ruang itu memandang hairan ke arah Nurul Ain.

"Ain?" Sufiah meletak beberapa buah fail di atas meja.

Nurul Ain tersentak. Nyaris terlepas jambangan bunga di tangannya. Matanya sahaja terkebil-kebil membalas renungan Sufiah.

"Buat apa depan pintu ni? Masuklah. Macam tak biasa." Sufiah melepas senyuman selepas itu. Bibirnya termuncung-muncung menghala ke arah pintu bilik Awang Kader yang tertutup rapat.

Liur ditelan lambat-lambat. Ada debar sedang giat mengasak dada. Dia gementar sebenarnya. Seolah-olah memahami perasaan Nurul Ain, Sufiah segera menghampiri. Bahu gadis muda itu disentuh lembut.

"Datuk tak makan orang. Jangan risau." Senyuman Sufiah mekar tetapi itu tidak menjamin kegusaran Nurul Ain meminggir. Bahkan kian kencang debaran yang menyinggah saat tangannya sudah pun memulas tombol pintu.

"Go..." Sufiah menggesa.

Nurul Ain mengangguk. Pintu ditolak perlahan.

"Assalamualaikum..." Kepala menjenguk ke dalam ruang serba dingin itu. Indera penglihatan ditala ke satu arah sahaja. Kering darahnya apabila sepasang mata di hadapan sana sudah siap-siap menyambut kunjungannya.

"Waalaikumussalam." Wajah itu beku tanpa sebarang emosi.

"Datuk." Nurul Ain menegur seraya menghulur senyum. Langkah diatur dengan berhati-hati mendekati hartawan berkenaan. Setelah mendapat keizinan barulah pasu kaca yang sudah tidak berpenyeri itu diambil dan dia lekas bergegas menuju ke bilik air yang terletak di sebalik dinding yang memisahkan ruang pejabat Awang Kader.

Setelah memasukkan beberapa tangkai bunga segar ke dalam pasu kaca tadi, Nurul Ain kembali meletakkan pasu berkenaan di tempat asalnya. Menyedari segala tindak-tanduknya menjadi perhatian Awang Kader, dia berusaha untuk tampil tenang walhal jantungnya terasa hendak melompat keluar.

"Saya keluar dulu, Datuk," pamitnya berserta senyuman sebelum langkahnya panjang meninggalkan ruang besar itu.

Ketika hendak melepasi pintu, nama Nurul Ain diseru perlahan. Maka kepalanya tertoleh ke belakang. Kedua-dua mereka saling bertatapan dan kali ini ada sedikit senyuman teroles di balik bibir orang kaya berkenaan.

"Terima kasih. Cantik bunga-bunga yang awak bawa setiap hari." Awang Kader tidak lepas merenungi seraut wajah polos yang kekal menganyam senyum di hadapannya.

Nurul Ain mengangguk seraya memohon mengundurkan diri.

"NURUL AIN!" Irfan mengangkat tinggi tangannya.

Nurul Ain mengangkat muka. Kemudian raut wajahnya kian ditaburi kuntum-kuntum bunga senyum yang nyata cukup membelasah runut jantung Irfan sehingga membuatkan nafasnya sedikit sukar.

"Balik?" Irfan menyoal ringkas. Sempat dia menyelit di tengah-tengah manusia yang agak padat di dalam lif berkenaan bersama Nurul Ain. Sebenarnya Irfan enggan ketinggalan di belakang. Dia tidak mahu melepaskan Nurul Ain turun bersendirian.

"Dinner... Nak?" Irfan mempelawa.

Nurul Ain mengerling jam. Dahinya berkerut.

"Masih awal ni, Encik Irfan."

"Eh... Sedang eloklah ni. Jam-jam macam ni orang pun dah serve makan malam tau."

"Lain kali... Boleh tak, Encik Irfan?" Kedua-dua belah tapak tangan Nurul Ain bersatu, lantas diangkat mengenai hujung hidung sambil otot muka terus-terusan membentur ke atas.

Irfan memasamkan muka dengan niat mengusik gadis itu. Apalah sangat hendak bawa hati sedangkan beberapa hari lepas, makan tengah harinya juga sudah bertemankan Nurul Ain walau tidak disengajakan.

"Tak sudi, ya?" usiknya.

Laju Nurul Ain menggeleng kepala. "Bukan! Encik Irfan jangan salah anggap. Bukan tak sudi tapi..."

"I know... I know..." Leret senyum sudah nyaris memenuhi muka. Kemudian Irfan ketawa kuat. Beberapa orang kakitangan syarikat tertoleh-toleh ke arah Irfan dan Nurul Ain. Masing-masing memuntahkan bicara yang berbeza-beza di dalam kepala.

"Next time... Boleh, kan?" Irfan menagih janji.

Nurul Ain mengangguk tanda bersetuju.

Senyuman Irfan melipat lagi.

"Safe drive, Ain."

Sepeninggalan Irfan, Nurul Ain lekas memacu langkah keluar dari bangunan lapan tingkat itu. Atur kaki tergesa-gesa hendak sampai ke tempat parkir kereta yang terletak berhampiran kawasan lapang yang dinaungi pokok-pokok merimbun lebat daunnya memayungi lantai bumi.

Ketika pandangan terhala ke hadapan, mata disapa dengan susuk tubuh tinggi lampai milik Irfan. Sejak kebelakangan ini, Irfan sering muncul tanpa diduga. Paling mengejutkan, kemunculan lelaki itu di hospital sewaktu Suriani ditimpa kecelakaan. Mereka tidak bersahabat bahkan tidak kenal sesama mereka. Pada telahannya, lelaki itu memiliki sesuatu yang sukar hendak diterjemahkan olehnya.

SEKEPING surat berwarna hijau muda berbalut plastik lut sinar sedikit keras diunjuk kepada Tengku Hanif.

"Dia masih membawa nama yang sama. Hanya panggilan Nurul Ain itu diberi oleh arwah suami saya untuk dia," jelas Suriani.

Unjukan itu bersambut. Setiap satu perkataan yang tertulis di atas kertas hijau itu dibaca dengan penuh ketelitian. Sijil kelahiran itu jelas membuktikan siapa keluarga kandung Nurul Ain.

"Kami tak akan dipisahkan... Kan?" Suriani menutur pertanyaan itu lambat-lambat.

Sorot mata Tengku Hanif mencari Suriani. Selajur ada senyuman kecil berputik di pinggir bibir.

"Itu tak mungkin berlaku, Puan Suriani. Puan tetap ibunya... Yang telah menjaga dia, mendidik dia. Untuk itu... Saya sangat berterima kasih bagi pihak keluarga saya. Budi puan dan arwah suami tak mampu kami bayar dengan apa nilai sekalipun." Tengku Hanif meletak sijil kelahiran milik Nurul Ain di atas meja. Tanpa pengesahan itu pun, sudah terbukti secara saintifik tentang kesahihan latar belakang gadis itu.

"Dalam masa terdekat, saya nak bawa Nurul Ain berjumpa ayahnya." Pandangan Tengku Hanif mengitari roman tenang Suriani.

"Boleh?" lanjutnya lagi dengan soalan yang menagih keizinan wanita itu.

Suriani mengangguk meski jauh di sudut hati dia seakan-akan tidak merelakan. Namun sampai bila dia harus menyimpan sendiri Nurul Ain? Ia hak bagi keluarga hartawan itu. Begitu juga Nurul Ain. Bahkan dia tidak pernah menyembunyikan kebenaran itu daripada anak sulungnya itu.

Melihat anggukan halus itu, Tengku Hanif tersenyum lebar.

"Encik..." Suriani menolak gelas minuman hampir kepada Tengku Hanif.

"Jemput minum." Wanita itu mempelawa.

LAMA dia memerhatikan sepasang kasut coklat gelap yang tersadai di atas lantai.

"Assalamualaikum... Ibu!" Oktaf suara terlontar seperti kelaziman.

Mukanya berkerut.

"Ibu ada tetamu?" Dia tertanya-tanya dengan suara kecil berbisik di telinga.

"Insya-Allah... Mak cik tak apa-apa."

Kedengaran sayup-sayup suara Suriani.

"Terima kasih, puan."

Ketika itu, kening Nurul Ain sudah naik tinggi. Aneh... Seperti sudah terbiasa mendengar lantunan suara garau yang sedang bercakap-cakap dengan ibunya.

"Ibu." Kasut lekas ditanggalkan. Nurul Ain memecut masuk ke dalam rumah. Belum pun sempat dia mendapatkan Suriani, tubuh tinggi Tengku Hanif terlebih dahulu menyambar pandangan.

"Nurul Ain." Tengku Hanif menyapa mesra namun sapaannya dipandang hairan oleh Nurul Ain. Gadis itu mengerutkan muka.

"Tengku?" Nurul Ain terkebil-kebil. Sejenak dia terpaku melihat kewujudan Tengku Hanif di kediaman keluarganya.

Tengku Hanif tersenyum sahaja memandang wajah Nurul Ain. Hatinya berbunga-bunga entah kenapa.

NURUL AIN berpeluk tubuh. Pandangan terlontar jauh ke hadapan. Leret mata sesekali menjaring paras ibunya yang kelihatan sangat leka menonton televisyen.

"Ibu..." Suara Nurul Ain meleret perlahan. Fikirannya penuh dengan pelbagai tanda tanya berkenaan keberadaan Tengku Hanif di kediaman mereka.

Suriani menoleh sekilas. "Kenapa?" soalnya.

Nurul Ain merapati Suriani. Punggung berlabuh berhampiran wanita itu. Sesekali dia turut melepaskan jaring mata ke arah televisyen yang memaparkan slot drama komedi Friends lakonan Jennifer Aniston.

"Tadi tu... Anak majikan..."

"Tengku Hanif?" Suriani lekas membutirkan nama pemuda tadi tanpa sempat Nurul Ain menyudahkan bicaranya.

"Anak majikan tempat Ain kerja, kan?" Bibir Suriani mengoles senyuman kecil.

Lambat-lambat Nurul Ain mengangguk.

Muk di atas meja diambil. Hirupan kopi panas yang menelusuri tekak terasa sungguh payau sehingga cecair hitam itu hendak melonjak keluar dari saluran trakea. Ekor mata melirik tanpa disedari Nurul Ain.

"Datuk tu... Macam mana orangnya?" Suriani curi-curi hela nafas. Dadanya berdetak kencang seumpama dilanggar gulungan ribut taufan.

"Datuk Awang Kader?" Nama lelaki hartawan itu disebut laju. "Kenapa ibu tanya?"

Suriani tersenyum lagi.

"Saja ibu nak tahu. Tengku Hanif tu... Tengok orangnya... Baik. Jadi, ayahnya juga begitu, kan?"

Semakin dalam lohong-lohong tanda tanya muncul dalam fikiran. Sejak membuka mulut tentang Tengku Hanif, putaran bicara ibunya terpusing-pusing di lokasi yang sama, menemukan nama Tengku Hanif dan Awang Kader.

"Bu, kenapa Tengku Hanif datang sini?" soalnya tanpa bertangguh-tangguh.

Suriani mengulum bicara sejenak.

"Dia datang cari Ain."

Jawapan itu mengundang lebih banyak tanda tanya berbanding penjelasan yang ditagih olehnya. Cari dia atas dasar apa? Bukankah lebih mudah pencarian itu dilakukan di tempat kerja berbanding mengerah tenaga dan masa lelaki itu mencarinya di rumah?

"Dia nak jumpa Ain." Suriani lekas bangkit dalam kepayahan. Kaki yang belum pulih sepenuhnya membataskan sedikit pergerakan. Dalam langkah terhincut-hincut, dia berlalu ke perut dapur. Apabila menghampiri ambang dapur, Suriani pegun. Dia menoleh ke belakang. Nurul Ain dilihatnya sedang berfikir sesuatu. Muka anak perempuannya berkerut-kerut.

Tidakkah Nurul Ain menyedari keanehan yang sedang bermaharajalela? Awang Kader... Nama itu jelas sama dengan abjad-abjad yang tertulis selepas nama penuh anak perempuannya.

Nafas terlepas dalam sekali hela. Berat. Ia kedengaran sungguh berat.

"Ain."

Anak mata Nurul Ain terangkat tinggi, tertusuk tepat ke wajah Suriani. Kedua-dua belah kening yang menabiri sepasang mata bundar miliknya kian merapat.

"Nanti tolong ibu pergi kedai sekejap. Belikan kelapa parut. Ibu ingat nak buat kuih puteri mandi untuk sarapan kita esok," kata Suriani dalam senyumannya yang lebar. Sejurus dia berlalu ke dapur bersama kegalauan hati yang enggan meminggir.

Langkah perlahan ibunya diperhati sehingga hilang ditelan tabir dinding pemisah ruang dapur. Pelbagai andaian merusuh di dalam kepala. Suriani sedang berteka-teki dengannya. Jawapan yang ditagih langsung tidak menemukan sebarang penjelasan sewajarnya.

KAKI diinjak ke lantai bumi bersama helaan nafas panjang. Pada saat mata menyoroti jam di pergelangan tangan, dia menggetus perlahan seraya menguak anak rambut sampai ke ubun-ubun.

"Hanif!"

Panggilan itu membuatkan dia berkalih ke belakang.

"You dari mana?" Kathy lekas memaut lengan lelaki pemilik hatinya.

"Kathy... Please." Pautan itu segera dileraikan secara paksa. Langkah terundur ke belakang agar ada ruang menghijabi mereka berdua.

Kathy berpeluk tubuh.

"Peluk sikit pun tak boleh," cebiknya.

"I bukan suami you nak peluk-peluk, Kathy." Tengku Hanif bertegas.

Kathy menggigit bibir. Biar hati panas seumpama dipanggang atas bara api, namun melihat wajah Tengku Hanif sudah cukup membuatkan haba membahang tadi bertukar dingin.

"Alah, tak lama lagi you jadi suami I. Apa nak kesah?" Dia mencebik lagi.

"By the way, you dari mana?" Dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki diperhatikan jasad lelaki itu.

"You tanya I... You pula buat apa dekat rumah I petang-petang macam ni?" Tengku Hanif membalas dengan soalan juga. Segera dikemudi kaki ke arah pintu kayu berukir seni halus, yang sedia terbuka luas seolah-olah menyambut kepulangannya.

Kathy terkocoh-kocoh mengejar dari belakang.

"Datang jumpa youlah. Takkan I datang sini nak say hi dekat pokok-pokok ni pula?" selorohnya sambil melebur tawa.

"Lagipun kalau I datang ofis you, buat sempit mata aje, kan. So, better I datang sini. Minum petang dengan bakal ibu mentua." Kathy kelihatan ceria saat menimbulkan isu yang cukup menyempitkan dada Tengku Hanif saat mendengarnya.

"Mama you yang invite I." Kathy menjelaskan lagi.

"Seriously?" Tengku Hanif mengerutkan muka.

"Apa yang serius?" Kali ini wajah manis sang gadis memetakan kerutan halus.

Tengku Hanif menggeleng kepala yang jelas mengundang riak curiga dalam hati kecil Kathy. Lantas gadis itu menghalang laluan Tengku Hanif. Mukanya yang manis meriak kelat.

"Apa? You ingat I terhegeh-hegeh, merangkak datang sini? Please!" cebiknya.

Spontan Tengku Hanif hambur tawa yang bukan sedikit. "Berguling barangkali."

Kian panjang muncung Kathy. Kaki dihentak-hentak sewaktu mengemudi langkah di belakang Tengku Hanif.

"Auntie! Anak auntie dah balik!" Kathy mendahului Tengku Hanif. Badan lelaki itu sengaja dirempuh dengan kasar.

Tengku Hanif tertawa kecil melihat gelagat Kathy. Entah bila agaknya gadis itu akan berhenti menjadi bayang-bayang dirinya. Jujurnya dia rimas. Kalau pun dia bertahan sehingga saat ini hanya kerana perasaan hormat. Kathy seorang perempuan. Tidaklah dia terlalu zalim untuk menolak Kathy sekeras-kerasnya. Paling tidak, dia harus menanamkan kepercayaan kepada Kathy bahawa antara mereka tidak akan pernah wujud cinta.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co