Truyen3h.Co

Hingga Akhir Nafasku

Bab 13

karyaseni2u

Kampung Sungai Sayong

"ALHAMDULILLAH... Dia sihat." Zakaria membantu wanita tua itu untuk duduk di atas pangkin kayu yang terletak di bawah sebatang pohon rendang dengan daunnya merimbun kehijauan. Suasana itu membuatkan sesiapa pun merasa cukup tenang tatkala menumpang teduh di bawahnya.

Panjang senyuman Mak Wok. Wajahnya kelihatan berseri-seri tatkala menerima perkhabaran tersebut.

"Aku... Aku nak jumpa dia." Mak Wok meluah rasa.

"Mak Wok nak jumpa budak tu? Boleh... Saya bawakan nanti. Besar dah budak tu, Mak Wok. Macam Damia besarnya."

Mak Wok tersenyum tawar. Ya... Melihat sahaja Damia pasti dia teringat-ingat akan seorang bayi berusia enam bulan yang begitu pulas tidur di dalam pelukannya. Nafas dihela berat. Terasa rengkungan berubah padat.

Zakaria melepas pandang ke hadapan.

"Dulu... Budak tu, mana Mak Wok jumpa dia?"

Mak Wok lama mendiamkan diri. Bahkan sebenarnya dia tidak berniat pun hendak menjawab pertanyaan Zakaria. Biarlah dia sahaja yang memendam segala alur perjalanan kehidupan anak kecil yang kini sudah meningkat dewasa. Terbayang-bayang di mata, bagaimana rupa anak kecil itu. Adakah memiliki roman manis sebagaimana ibunya?

"Mak kau apa khabar, Zakaria?" Kaki menguis daun kering di atas tanah berpasir.

"Macam itu jugalah, Mak Wok. Sekejap demam, sekejap sihat." Zakaria kelihatan bergundah-gulana. Dalam pada itu, dia sedar Mak Wok seakan-akan mengelak daripada memberikan jawapan kepada pertanyaannya.

Bagaimana bayi kecil itu boleh berada dalam pelukan Mak Wok dan kenapa tergesa-gesa mencari keluarga angkat buat si kecil itu?

Teringat akan rayuan Mak Wok sehingga terlepas bicara andai anak kecil itu tidak dibawa jauh dari keluarga asalnya, dia akan kehilangan nyawa. Apa yang disembunyikan orang tua itu?

Malah ada seorang lelaki bernama Aidil menemuinya dan memperkenalkan diri sebagai penyiasat persendirian yang diupah oleh keluarga kandung Dayang Nur Aishah. Keluarga itu sedang berusaha mencari kembali anak kecil mereka yang telah terpisah lama. Namun apabila Aidil menyatakan hasrat hendak bertemu Mak Wok, dia pantas menegah. Dia tahu, Mak Wok tidak akan buka mulut. Tenaga dan masa Aidil pasti terbazir begitu sahaja. Dia yakin Aidil pasti berjaya menemukan pemilik nama Dayang Nur Aishah walau tanpa bantuan Mak Wok.

Senyuman yang terukir sedikit itu mempamer susuk gigi yang bersisa tidak teratur. "Biasalah tu, Zakaria. Orang sudah tua."

Wajah berkedut Mak Wok dijaring kembali. Dia memerhatikan fizikal wanita tua yang sudah kematian suami dan hidup menumpang kasih keluarga yang tidak punya ikatan darah pun dengannya.

"Mak Wok pun kena jaga kesihatan. Tu, kebun getah tu... Apa salahnya upah orang? Mak Wok pun bukan kuat sangat. Umur-umur macam ni sepatutnya dah duduk diam di rumah. Bukan masih menoreh lagi."

"Aku kuat lagi," tegas Mak Wok yang terkenal keras kepala.

"Tak payahlah pak cik suruh mak duduk rumah diam-diam. Dia bukan nak dengar pun." Damia mencelah seraya tersenyum-senyum. Dulang berisi teko dan cawan diletak santun di hadapan Mak Wok dan Zakaria.

"Jemput minum, pak cik." Secangkir kopi panas diunjuk kepada Zakaria.

Zakaria menyambut unjukan tersebut. Bibirnya menyentuh hujung cawan itu lalu airnya yang masih berasap dihirup dengan berhati-hati.

"Mak ni jenis keras kepala. Macamlah pak cik tak kenal." Damia mengerling ke arah Mak Wok. Wanita tua itu menjegilkan mata sehingga membuatkan Damia ketawa kesukaan.

Sempat dia mengelak sebelum cubitan berbisa Mak Wok singgah di paha.

Melihat keakraban hubungan yang terbina antara Mak Wok dan Damia mengundang rasa senang dalam hati Zakaria.

"Untung Mak Wok ada Damia," ulasnya.

Mak Wok menguntum senyum. Ketika itu Damia sudah beransur naik ke rumah.

"Alhamdulillah... Keluarga Damia ni aku anggap macam keluarga sendiri. Macam anak cucu sendiri. Kalau tak ada keluarga Kibak Hasan, tak tahulah mana aku nak pergi, Zakaria." Perasaan sebak dan pilu bergayutan di tembok hati namun segera dibendung kukuh. Meski berstatus adik ipar, namun hubungan yang terbina seumpama tidak ada hijab yang memagari.

Damia yang mengintai di sebalik tingkap kayu kekal memusatkan renungannya kepada Mak Wok. Senyum dan tawa wanita tua itu mengundang pelbagai perasaan di dalam dada. Dia tahu, Mak Wok tidak sebahagia itu. Mak Wok tidak sekuat sepertimana mata-mata melihat. Malah di depan sesiapapun, Mak Wok menjadi wanita yang paling tabah. Namun dia menyedari satu hakikat bahawa jiwa Mak Wok terlalu memendam beban yang dia tidak tahu apakah ia.

"ATOK dah makan?" Lekas dicapai sehelai tuala kecil yang disangkut berhampiran tingkap. Tangan yang bersisa air paip tadi dilap sehingga kering.

"Dah. Lepas tu Mia teman mak sekejap," beritahu Damia. Tupperware merah jambu diletak di atas meja.

"Mia makan sekali dengan atuk tak?" Sanium menghampiri anak daranya yang kelihatan sedang bermenung panjang.

"Mia?" Sanium menegur. Bahu itu dicuit-cuit.

Damia tersentak. "Kenapa, umi?" soalnya.

Sanium mengerutkan dahi.

"Mia berangan apa tu?" Soalan juga yang dilontar buat anaknya.

Spontan Damia menghela nafas panjang. Seolah-olah melepaskan satu hembusan udara yang menyempitkan dada.

"Umi kenal siapa Dayang Nur Aishah?"

"Siapa?" Sanium mengerutkan muka.

"Dayang Nur Aishah. Mak selalu cerita pada Mia."

Wanita itu berfikir sejenak. Dia cuba menelusuri ingatan sendiri, mana tahu ada terselit nama itu di celah-celah memori lama.

"Mia kenal?" Sanium beransur ke singki. Ligat mencuci Tupperware tiga tingkat tadi dengan buih sabun.

Damia menggeleng. "Tak. Mia tak kenal tapi mak selalu cerita. Ke pemilik nama tu saudara-mara dia?" Damia memandang ibunya. Dia mahukan penjelasan lebih terperinci.

"Entahlah, Mia. Seingat umi, atuk Mia tu tak ada sesiapa. Kahwin dengan arwah suami dia pun tak ada rezeki anak. Saudara-mara pun tak ada. Bukan apa, atuk tu dulu anak yatim. Hidup sebatang kara," jelas Sanium.

Wajah dikerutkan. "Tapi kalau dengar cerita mak, Dayang Nur Aishah tu macam ada hubungan istimewa dengan dia. Macam orang yang paling rapat dengan dia."

"Atuk ada cakap apa-apa lagi?"

Damia menggeleng lagi.

Sanium berfikir kembali.

"Mungkin adalah tu orang yang dia kenal agaknya."

Damia mendiamkan diri. Dia lebih selesa begitu. Berfikir dan terus berfikir. Padanya Dayang Nur Aishah itu terlalu disayangi Mak Wok sehingga kewujudannya seakan-akan ada di sisi wanita tua itu.

"YA ALLAH..." Mak Wok mengurut kepala lutut yang terasa sungguh lenguh. Sejak dua menjak ini, bahagian kaki terasa sakit benar tatkala menguruskan rumah yang tidak seberapa luasnya dan menoreh getah di kebun sekangkang kera. Mungkin ada benar kata Zakaria, dia perlu berehat. Urusan kebun itu harus diupah kepada orang lain untuk mengerjakannya.

"Pandai Bang Amin mengurut." Dengung suara sendiri merempuh ingatan. Disertai bibit-bibit manis antara dia dan suami ketika hayat sang suami masih ada.

"Abang belajar daripada arwah mak." Paras suaminya melekat kuat lantas menghadirkan rasa rindu yang tidak pernah berkesudahan.

Tangan dibawa mengelus dada secara perlahan-lahan. Perit saat mengenangkan pemergian suaminya dalam keadaan tragis. Apatah lagi kematian itu turut menjemput nyawa isteri bekas majikannya.

Dengan sengaja dia telah dikerah keluar dari rumah besar itu bersama si kecil yang masih belum mengerti apa-apa. Kerana menyelamatkan nyawa si kecil itu merupakan satu kepentingan buat mereka. Tanda cinta agung Nur Aminah dibawa pergi tanpa pengetahuan sesiapa selain mereka.

SABRINA kerut muka. Paras suaminya diperhatikan tanpa berkelip mata.

"Kenapa tiba-tiba abang tanya?" soalnya kehairanan.

Awang Kader menjulang pandangan ke hamparan langit kebiruan diselaputi awan nipis yang memayungi daratan bumi.

"Tiba-tiba saja teringat pada dia," jelas Awang Kader. Sedikit demi sedikit roman wanita itu bergentayangan di kotak fikiran.

"Berat hati masa tu nak biarkan Mak Wok pergi," lanjutnya lagi dalam suara yang kedengaran sarut.

Sabrina sekadar merenungi air muka sang suami tanpa sepatah bicara. Dia tahu siapa Mak Wok dalam keluarga ini. Mak Wok dan suaminya merupakan pasangan suami isteri yang telah lama berkhidmat untuk keluarga Awang Kader. Mak Wok sebagai pembantu rumah manakala suaminya Pak Amin selaku pemandu keluarga berkenaan. Namun jodoh kedua-dua mereka tidak panjang. Pak Amin terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawanya. Tragedi berdarah tersebut turut mengorbankan Nur Aminah.

Pandangan tersorot ke luar jendela. Ketika itu, dia turut terkenangkan paras seorang wanita yang kesedihan ketika menerima berita menyayat hati berkenaan. Kasihan, wanita tua itu tidak punya sesiapa selain suami yang dikasihi. Entah ke mana wanita tua itu pergi membawa diri.

Lembah tidak berdinding

CENGKAMAN itu terlalu kuat untuk dileraikan. Puas dia meronta tetapi lelaki itu terus menarik tubuhnya ke dalam rangkulan yang terasa sungguh melemaskan.

"Lepaskan aku!" Dia menjerkah garang.

"Kau fikir kau siapa, Sabrina?"

Sabrina menggagahkan tenaga sendiri. Kaki diangkat separas pinggang, lalu dihentak ke belakang. Tepat mengenai kepala lutut lelaki itu.

"Celaka!" Lelaki itu menderam marah. Lekas dikejar larian Sabrina yang berkesudahan di hadapan pintu sahaja kerana dia terlebih dahulu melompat menghadangi laluan tersebut.

"Kau iblis!" Sabrina menempik garang. Air mata sudah bergenang mahu jatuh menitik ke pipi. Hatinya bergulat dengan rasa takut.

Tawa garau lelaki itu memenuhi segenap pelosok bilik tersebut.

"Sudah aku kata, jangan sombong dengan aku. Kau fikir kau siapa, Sabrina?"

Tubuhnya kembali dirangkul kuat. Rontaan dan jeritan Sabrina tidak diendahkan. Lelaki itu kelihatan bernafsu seolah-olah hendak diratahnya Sabrina hidup-hidup.

"Binatang!" Sabrina menjerit nyaring.

MATANYA serta-merta terbuka dengan luas. Ulu hati terasa bagai dicekik sehingga Sabrina kesulitan hendak bernafas.

Dia bangkit dari perbaringan. Tubuh longlai tersandar lemah di kepala katil. Mukanya diraup berkali-kali menghapus keringat yang membasahi.

"Kau iblis! Sanggup kau buat macam tu pada aku."

"Kau yang sombong."

Kedua-dua belah telinganya ditekup rapat. Serentak dengan itu, mata kembali terpejam rapat. Dengan segala kudrat yang ada, dia cuba menangkis kisah silam yang beroleng di layar ingatan walau menyedari usahanya adalah sia-sia. Sampai mati, dia tidak akan pernah lupa.

"Allah..." Dia merintih dalam kesunyian malam. Dadanya terasa sungguh perit.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co