Bab 3
NURUL AIN terundur beberapa langkah ke belakang.
"Mata letak mana?!" Tiba-tiba perempuan itu menjerkah garang. Mukanya berkerut-kerut seumpama sedang menahan sakit yang teramat sangat. Selang beberapa saat kemudian, muncul pula seorang wanita yang anggun berbaju kurung pesak gantung yang teradun warna lembut dan berbunga meleret penuh namun tidak nampak berserabut. Cantik sahaja dipandang mata.
"Lain kali, mata tu jangan tinggal dekat kepala lutut." Jerkahan kali kedua tidak segarang tadi. Suaranya mendatar sebagai tanda amarah sang dewi belum pun surut.
"Sudahlah tu, Kathy. Tak sengaja tu." Sabrina cuba memujuk.
"Tengoklah ni, Auntie Na. Sakit lengan I kena langgar. Dia ingat I ni kayu balak agaknya." Kathy membega-begakan muka. Kemudian menyalurkan satu rintihan agar terpancing rasa simpati wanita itu. Namun ternyata, sifat budiman lelaki pujaannya diwarisi daripada induk yang cukup santun menjaga bicara.
"Maaf." Nurul Ain tertunduk-tunduk.
Sabrina lekas menyentuh bahu gadis itu. Dia tersenyum kemudiannya. "Tak apa, bukan sengaja."
Selanjutnya, sorot mata beralih kepada Kathy pula. "Kalau teruk sakit lengan tu, auntie bawa Kathy jumpa doktor. Ya?"
Apalah daya hendak memuntahkan amarah yang telah pun terjirus sejuk. Lalu Kathy mengangguk tanda bersetuju namun sempat juga mengerling Nurul Ain. Tetapi tidaklah pula seperti hendak ajak bergomol kasar.
"Auntie..."
Langkah mereka serta-merta berayun perlahan.
Jari-jari runcing Kathy bersulam sesama sendiri. Hendak diluah terasa panas muka. Jika dipendam lama-lama, tidak pula tertahan menampung beban. Sekalipun berkali-kali disua ke anak telinga bahawa dialah pilihan tunggal Sabrina sebagai bakal menantu, cakap-cakap sedemikian tentulah membuatkan diri berasa tidak aman kerana jelas Tengku Hanif seakan-akan menolak dirinya selaku bakal isteri.
"Betul ke auntie nak I jadi isteri Hanif?" Ragu-ragu dia menyuarakan persoalan. Sabrina tertawa kecil. Lengan Kathy dielus lembut. Pandangan anak mata sempat meneliti paras si cantik yang diberi nama cukup indah - Siti Khadijah.
Zahirnya, Kathy menyarung bayang-bayang fesyen orang barat. Pakaian itu jika tidak singkat di kaki, pasti hilang kain pada lengan seperti ketika ini. Busana yang dikenakan cukup mempamer setiap lekuk tubuh Kathy, lantas membuka peluang kepada mata-mata nakal yang melihat untuk mendapatkan dosa tanpa mereka sedar.
Namun jauh di sudut hati dia percaya, zahir Kathy boleh dibentuk. Fizikal yang terpampang sekarang mampu menyarungi peribadi seorang gadis timur yang penuh dengan kesantunan. Dan dia yakin, Tengku Hanif ialah Si Adam yang ditakdirkan untuk membentuk peribadi Kathy.
"Ya... Tak ada orang lain selain Kathy." Dia meyakinkan.
Menara Group merupakan sebuah syarikat anak tempatan yang begitu berjaya dalam arena hartanah. Firma hartanah ini adalah legasi keluarga Tan Sri Awang Khir yang mana kemudiannya diwarisi oleh anak lelakinya, Datuk Awang Kader. Kecekapan Datuk Awang Kader menguruskan Menara Group telah mengukuhkan lagi kedudukan syarikat itu di dalam negara ini, yang juga mula menerokai pasaran luar negara termasuk Singapura dan Thailand.
Legasi keluarga itu kini bakal diwarisi oleh satu-satunya anak lelaki Datuk Awang Kader dan isteri iaitu Tengku Hanif. Beliau seorang yang sangat komited di dalam kerjaya sehingga mendapat kepercayaan bapa tirinya untuk memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Menara Group – Majalah Arena.
"Nif!"
Terpaan mengejut itu menggegarkan separuh ketenteraman yang sedang dinikmati di ruang berkeluasan 18 kaki persegi. Lekas pancaindera meragut batang tubuh Suhaimi yang bergegas menghampirinya. Sejurus dia mengamati muka berkerut itu dengan pandangan hairan.
"Kenapa?" Dia berdiri.
Nafas Suhaimi tercungap-cungap. Lelaki itu berusaha menghirup udara yang terasa menyempit di ruang dada.
"Kenapa dengan kau ni?" Tengku Hanif merapati sahabatnya.
Suhaimi memegang dada. Roman wajah berkerut seumpama sedang menahan kesakitan yang tiada tertanggung. Sehingga tubuhnya terbongkok-bongkok.
"Hei, kenapa ni?" Tubuh kurus Suhaimi dipapah menuju ke kerusi yang terletak di tengah pejabat.
"Dada aku ni..." Sarut-sarut suara Suhaimi menembusi corong pendengaran.
"Kau sakit?" Tengku Hanif terus membidik soalan. Tangan ikut sama merasa detak dada Suhaimi. Degupnya aman. Air muka sahabat baiknya diraih kembali sementelah buraian tawa gamat memenuhi telinga.
"Dah pernah makan pakai paip?" Suaranya mendatar. Suhaimi dikerling sekali imbas sahaja.
Suhaimi mencicip saki-baki gelak tawanya. Kemudian melabuh punggung tanpa dipelawa. "Alah, nak bergurau pun tak boleh."
"Bukan dengan cara ni nak bergurau, Mi. Aku ingat kau betul-betul sakit jantung tadi." Tengku Hanif kembali membelek helaian majalah yang mencetak kemas tentang kejayaan legasi Awang Khir dalam bentuk rangkai ayat, disulami beberapa foto lama dan baru keluarga mereka serta bangunan tujuh tingkat yang menjadi kebanggaan seluruh legasi Awang Khir. Awang Khir, lelaki itulah tunjang kukuh dalam membentuk satu legasi yang kini kian rancak menempa nama di dalam dan di luar negara.
"Tu... Lufiya yang buat aku jadi macam ni." Tiba-tiba keluhan itu muncul bersama riak muka bersadur kelelahan. Suhaimi tunduk menekur lantai.
Tengku Hanif tersenyum lebar. Sudah sedia diketahui bahawasanya hati sahabatnya itu terikat pada Lufiya. Terikat yang sudah tidak boleh diputuskan lagi. Bertahun Suhaimi memendam perasaan. Katanya cinta pandang pertama. Sekali menampar pandangan, kekal terpahat sehingga ke saat ini. Begitu dahsyat sekali urusan hati yang berkalung di pundak Suhaimi.
"Kau betul-betul berkenan, kenapa tak cuba ambil hati dia? Ataupun pergi saja usulkan pada keluarga Lufiya."
Sorot mata Suhaimi lekas menerkam raut bersahaja Tengku Hanif.
"Aku ni bukan muka tembok sangat. Lagipun seganlah aku. Dibuatnya kena tolak, macam mana?" Keluhannya berpanjangan.
"Aku ni pun cuma mampu nak cakap hai aje, bagi salam. Nak lebih-lebih jual minyak, macam kena tampar aje nanti."
"Kau tak cuba, mana nak tahu? Entah-entah betul dapat hati Lufiya tu."
Tangan memanggung kepala. Suhaimi tersengih-sengih. "Aku ni pemalu."
Nyaris pecah berderai tawa Tengku Hanif. Dalam pada itu, dia sedar Suhaimi sedang berusaha menawan hati Lufiya tetapi dengan caranya yang tersendiri. Lagipula, Suhaimi bukanlah sejenis bangsa lelaki yang gemar menjual manisnya bicara. Manisnya Suhaimi pada sikap prihatin dan senyuman yang tertempa berbeza dari kelaziman tatkala kedua-dua mereka saling bertembung mata.
"Alahai cinta..." Suhaimi tersenyum lagi. Walhal yang beroleng-oleng dalam fikiran sekadar bayangan wajah Lufiya tetapi lagaknya seperti tuan badan terpacak di depan mata.
Tergeleng-geleng kepala Tengku Hanif melihat olah sahabatnya.
Love at the first sight? Hati sendiri tiba-tiba sahaja melontar pertanyaan.
Dia tunduk.
Sekelip mata, muncul paras seorang perempuan yang bertudung litup menyembunyikan kecantikannya dari pandangan sesiapa pun. Sekadar terlihat sepasang mata yang terlindung di sebalik niqab yang dipakai.
"Kau akan menemuiku."
Suara perempuan itu kedengaran lembut dan sungguh mengamankan deria pendengaran.
"Hai, sayang!"
Tengku Hanif dan Suhaimi menoleh hampir serentak. Di pihak Tengku Hanif, buaian suara lembut yang menjengah sekali sekala di dalam relung mimpi langsung ghaib.
"YOU terkejut tengok I?" Kathy duduk tanpa dipelawa. Ruang sederhana besar diamati sekali imbas. Boleh dibilang dengan jari berapa kerap dia muncul di sini. Andai mengikut hati, sekerap mungkin tubuhnya menyibuk di ruang kerja Tengku Hanif. Biarlah orang mengata, dia tidak kesah asalkan wajah redup lelaki itu tertempa di mata.
"Jom kita lunch." Dia mempelawa lembut berserta kuluman bibir yang kian melebar. Ternyata hati kembang kuncup mengeluarkan letusan warna-warna yang meriah, yang tidak terlihat oleh mata kasar.
"Sorry Kathy, I lunch dengan Suhaimi."
"Great! Macam tu, kita lunch sekali. Your mom pun ada. Boleh kita makan sama-sama. With your dad too." Daripada duduk, kini Kathy sudah tegak berdiri. Ternanti-nanti jawapan yang bakal menggembirakan hatinya. Namun dia hampa.
Bibirnya muncung tanda protes. Kerut halus juga merayapi dahi mulusnya. Penolakan Tengku Hanif telah menghancurkan angan-angan yang bersusun dalam kepala sejak dia keluar rumah seawal jam sepuluh pagi bersama Sabrina.
"Lain kali. Okey? Nanti I cakap dengan mama I. Lagipun I lunch dengan klien juga." Tengku Hanif membungkus rasa rimas sejauh mungkin. Tidak akan sesekali dia menjatuhkan air muka sesiapa meski hanya mereka berdua sahaja di dalam bilik itu. Kathy dilayan sedaya mampu meski seluruh jiwa langsung tidak punya keikhlasan.
"Lain kali tu... Bila?" Meski kecewa, janji kosong yang diluah lelaki itu hendak dituntut juga.
Segumpal nafas dilepaskan perlahan. Ia cukup memberati pundak. Sebenarnya sudah lama dia lelah melayani olah Kathy. Saat ini dia terlalu berharap mereka boleh kembali ke relung masa dahulu lantas menemui seorang Khaty yang begitu memahami dan tidak terlalu menuntut orang sekeliling mengikut kemahuannya. Kathy yang berdiri di sisinya sebagai seorang sahabat, selaku seorang adik dan hubungan yang terbina tidak lebih daripada itu. Sayangnya, Kathy yang diharap-harapkan telah 'mati' ditelan waktu.
"Hanif..." Kathy berwajah sedih lekas mendatangi Tengku Hanif. Lengan lelaki itu dipaut kuat seolah-olah enggan dilepaskan.
"I miss you."
Dahi Tengku Hanif berlapis-lapis. Ternyata Kathy tersasar dalam memanah perasaan tersebut. Tersalah orang.
Dia... Bukan sesiapa.
Dia... Bukan lelaki yang layak buat Kathy.
"I rindu you, Hanif." Ucapan itu diulangi sekali lagi. Kali ini dia menagih sedikit ihsan agar hati yang sedia diketahui sukar ditembusi, punya ruang untuk dia menyelinap di celah-celahnya.
Kathy menggigit bibir. Perasaannya mendadak bercampur-baur.
"RINDU gila dekat kau." Corong telinga disua dengan rengekan Anisa. Gadis seusianya seumpama enggan melepaskan pelukan erat tersebut sehingga memaksa dia menolak kuat tubuh yang tidak mahu merenggang walau seinci. Sudahnya dia membiarkan sahaja Anisa berkeadaan begitu.
"Rindu tau tak?" Anisa menggulung air mata yang nyaris tumpah.
Nurul Ain sembunyi senyum.
"Kalau ada depan mata, asyik nak bercekau saja."
Pelukan erat tadi beransur longgar. Garis-garis halus mengitari dahi Anisa. "Nama pun macam adik-beradik. Kalau tak gaduh, mana sah. Macam kau dengan Shikin." Suaranya kedengaran mendatar seolah-olah menggambarkan pelantunnya sedang berjauh hati.
Buraian tawa Nurul Ain meledak kuat.
"Sensitif sangat." Dia mencebik.
Muncung Anisa kian memanjang. Sekiranya hendak digantung baldi sekalipun boleh!
NASI goreng disumbat ke dalam mulut. Dia mengunyah nasi itu bersama cebisan ayam goreng dan sedikit sambal belacan dengan begitu berselera sekali. Apatah lagi, hidangan makan tengah hari kali ini tidak memerlukan dia mengeluarkan wang sesen pun.
"Ada orang rindu kau."
Kunyahan terhenti sejenak. "Siapa?"
Anisa tersengih.
"Kau rasa?" Soalan dilontar sebagaimana Nurul Ain.
"Kak Mala?" Dia menduga.
Terburai gelak tawa Anisa dalam anggukan yang jelas laju.
"Banyak kali terbabas jerit nama kau. Bila dah kantoi, aku pula kena marah." Dalam pada geli hati, Anisa cemberut geram.
Memori itu terimbas kembali dalam fikirannya...
"Dia sakit, kak. Bukan main-main." Dia berterusan membela Nurul Ain.
Mencerlung tajam kerlingan Nirmala. Seumpama sedang menujah busur bermuncung tirus yang bakal mencantas apa sahaja yang menghalangi laluannya. Anisa gugup namun begitu dia akan tetap teguh menegakkan keadilan buat sahabatnya. Nurul Ain tidak bertindak di luar batas seorang pekerja. Sepanjang tempoh tiga bulan berkhidmat, sekali sahaja kad kedatangan mencetak dakwat merah, lebih 5 saat berbanding waktu yang ditetapkan. Selebihnya mencatatkan rekod terbaik.
"Kenapa tak inform pada aku kalau betul sakit? Dengan kau boleh pula." Nirmala menjegilkan mata.
"Alasan!" Dengusannya kedengaran kasar.
"Aku tahulah dia tu ada kelulusan apa tu... Jurutera apa entah. Tapi jangan nak besar kepala pula. Dekat sini, apa yang kau ada tak bernilai pun. Kalau dah nama kuli tu buat cara kuli!" Melengking tinggi suara Nirmala menghambur kemarahannya.
"Mulai hari ni, aku pecat dia."
Belum pun sempat Anisa menyimpul bicara, kata-kata akhir Nirmala membuatkan dia tersentak. Jantung terasa gugur ke bumi. Tindakan muktamad Nirmala seolah-olah memunculkan satu hukuman mati atau penggal kepala.
Hanya kerana cemburu, Nirmala tegar memanipulasi hal pekerjaan Nurul Ain.
"Dasar kuat cemburu, macam itulah." Anisa mengomel lagi. Fikirannya kembali ke dunia nyata.
"Sudahlah. Nama pun perempuan."
"Nirmala tu buta barangkali. Imran tu dah pangkat pak cik. Bukannya tiap-tiap hari Imran datang tegur kita. Oleh sebab dia tahu hari tu Imran kasi makanan dekat kau, terus angin singa perempuan tu. Bukan ke masa tu aku cuti? Dah sahlah kau aje yang dia belanja." Omelan Anisa tidak terhenti di situ. Bibirnya bergerak-gerak hendak memuntahkan suara lagi.
"Imran baik dengan semua orang. Dengan kau, dengan aku. Bukannya kau ada skandal dengan Imran tu pun sampai perempuan tu naik gila. Entah apa-apa perangai." Dengusan itu berakhir dengan hempasan nafas yang kedengaran keras.
Jelaslah bahawa kemarahan Anisa kekal meluap-luap ekoran kejadian Nurul Ain dipecat tanpa sebab yang wajar.
"Sudahlah tu, Nisa. Kita ni tak duduk tempat dia, mana kita tahu."
"Eh, kau ni... Membela dia pula kenapa?" Kening Anisa nyaris bertemu.
Nurul Ain menyimpul senyum lantas berkata. "Bukan macam tu."
"Habis tu?"
Nafas dihela perlahan. "Aku anggap bukan rezeki aku dekat situ. Tengok, Allah dah ganti apa yang aku hilang dengan sesuatu yang lebih baik."
Anak mata Ansia juling ke atas meski dia bersetuju dengan kenyataan sahabatnya.
"LUNCH dengan buah hati ke?" Lufiya datang dengan senyuman lebar. Kemudian hujung jari telunjuk mencuit-cuit pinggang Nurul Ain sehingga memaksa gadis itu melepas tawa kerana kegelian diperlakukan sedemikian rupa.
"Dengan kawan tempat kerja lama." Punggung berlabuh di atas kerusi. Pandangan kekal menempa paras manis Lufiya.
Kening Lufiya terjongket tinggi seolah-olah menyalurkan wasangka tanpa dipertontonkan secara nyata.
"Sungguh?" ajunya.
Nurul Ain tersenyum-senyum. "Betul, kak."
"Saja Kak Fiya tanya." Wanita itu tertawa pula.
"By the way, next week Ain ikut Tengku masuk meeting, ya?"
"Saya?"
Lufiya mengangguk.
"Kenapa saya?" Nurul Ain kehairanan.
"Tengku nak awak belajar." Mata dikenyit nakal sebelum Lufiya meninggalkan tempat kerja Nurul Ain, yang terpisah beberapa kaki dari ruang kerja sendiri.
"Saya bukan mahu ketepikan awak, Lufiya. But she need to learn something."
Bicara Tengku Hanif lewat beberapa jam lalu membangkitkan rasa geli hati. Sekalipun Nurul Ain hendak dibawa ke mana-mana atas dasar kerja, dia tidak apa-apa. Bahkan bersenang hati sekiranya tugas-tugas tersebut turut didedahkan kepada Nurul Ain.
Namun pertama kali Nurul Ain diperkenalkan sebagai kakitangan yang bakal membantu tugas-tugasnya, dia berkerut aneh. Tidaklah dia membutuhkan seorang pembantu meski kadangkala ketika ada lambakan kerja yang harus diselesaikan, dia terpaksa mencuri waktu untuk bersenang-senang di rumah sejam dua.
ENTAH kenapa rayuan Kathy kali ini mampu melenturkan keengganannya sebentar tadi. Wajah gadis itu kelihatan berseri-seri apabila dia memberi kata persetujuan bagi memenuhi jemputan makan tengah hari seperti yang dikatakan Kathy. Barangkali saat itu dia memikirkan Kathy berdiri selaku seorang adik, maka hari ini tidaklah dia bersungguh menolak ajakan Kathy seperti kelaziman. Namun paling ketara kegembiraan terpancar jelas pada air muka Sabrina, mamanya.
Langkah serta-merta mati tatkala sepasang mata tertumpu ke hadapan, membelah susuk tubuh seorang lelaki yang berketinggian lebih kurang dirinya. Lelaki itu sedang berjalan melewati meja Lufiya. Malah sempat menghulur senyum dan berbicara entah apa kepada wanita yang berasal dari Kelantan itu.
Nafas ditarik dalam-dalam sebelum kembali mengayun kaki. Wajah beralun tenang ketika kedua-dua mereka bertemu mata. Cuma di pihak lelaki berkemeja kelabu itu, bias mesranya tidak pernah wujud.
"Irfan." Suara melantun keluar namun Irfan berkelakuan seolah-olah suara yang memanggil tadi terhasil tanpa bunyi. Derap kaki tidak laju. Pergerakannya bersahaja dan santai.
Tengku Hanif memandang sahaja sehingga bayang lelaki itu menghilang. Kemaafan yang ditagih begitu sukar diperoleh. Irfan memeranginya dalam kedinginan yang amat nyata.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co