Bab 4
SEEKOR anak patung beruang yang menyarungi baju bergaris melintang merah putih diunjuk kepada Nani, si kecil yang berusia dalam lingkungan 3 tahun. Anak kecil itu menjadi penghuni paling muda di Rumah An-Nur. Malah penghuni lain menggelar Nani dengan panggilan 'adik'.
"Pandai beruang pakai baju." Nurul Ain mengerling ke arah Badri yang sudah bersimpul senyumnya.
"Ini untuk Nani." Tumpuannya kini beralih penuh kepada Nani. Si kecil itu kelihatan riang mendakap anak patung beruang bersaiz sederhana. Cukup-cukup untuk dibawa ke dalam pelukannya.
Melihat telatah Nani, wajahnya berbunga mekar. Nani meletakkan anak patung tadi di atas sebuah kereta kecil. Lalu kereta itu ditolak perlahan-lahan bersama sisipan bunyi enjin yang kedengaran sungguh comel.
Nani, anak kecil itu sudah kematian kedua-dua orang tuanya ekoran kemalangan yang menimpa keluarganya. Dia tidak punya sesiapa. Tiada adik-beradik lain, tidak ada saudara-mara. Mujur ada tangan yang datang menghulur bantuan. Puan Hajah Imani dan Tuan Haji Rosdi yang merupakan pengasas Rumah An-Nur berbesar hati mengambil Nani dan dijadikan salah seorang daripada 25 orang anak angkat mereka, yang terdiri daripaa pelbagai latar belakang dan usia.
"Seronok Nani dapat mainan baru." Tidak lekang pandangan Badri mengamati olah Nani. Ternyata anak kecil itu sudah hilang ditelan dunia imaginasi penuh kegembiraan. Daripada seekor anak patung duduk di dalam kereta tanpa bumbung, kini bertambah 2 ekor pula.
Nurul Ain mengangguk bersetuju. Leret mata menjamah segenap pelosok rumah sederhana besar yang telah dikongsi bersama anak-anak kurang bernasib baik.
"Tentu banyak pahala yang umi dan walid dapat. Yalah, jaga anak-anak yatim piatu macam mereka." Sorot mata melepasi pintu utama. Di hujung sana kelihatan kelibat Puan Hajah Imani berlegar-legar melayani beberapa orang anak angkatnya.
Begitulah aktiviti hujung minggu ahli-ahli di dalam kediaman ini. Yang kecil, dibiar bermain sesama mereka. Sampai waktu, diajak bersolat. Sampai ketika, diajar mengaji. Yang sudah bersekolah, disuruh menyiapkan tugasan sekolah masing-masing. Setelah itu, baik lelaki atau perempuan, masing-masing tahu hendak membantu Puan Hajah Imani dan Tuan Haji Rosdi. Yang lelaki, ringan tulang membersihkan kawasan rumah. Yang perempuan rajin memasak di dapur bersama ibu angkat mereka.
"Insya-Allah, anak-anak itu juga yang akan mendoakan mereka nanti," lanjut Badri.
Nurul Ain mengangguk bersetuju. Andai dia diberi kesempatan, diberi kesihatan yang baik dan rezeki yang melimpah ruah, sebahagian kemudahan itu akan disalurkan ke tempat-tempat kebajikan seperti ini. Sekurang-kurangnya habuan amal jariah berpanjangan meski nyawa sudah bercerai dari badan.
"Macam mana keadaan ayah Badri?"
Lambat-lambat Badri melepaskan helaan nafas. Roman wajah tenangnya mulai berkocak namun tidak disedari oleh Nurul Ain.
"Kakak Ain, jom main kat luar." Seorang budak perempuan bertubuh sedikit gempal tiba-tiba muncul dengan senyuman menghiasi muka bulat itu.
Tumpuan kedua-dua mereka terganggu serta-merta. Malah pertanyaan khabar daripada Nurul Ain seolah-olah hilang dihanyutkan udara.
Nurul Ain terdorong untuk bangun.
"Abang Bad sekali." Budak perempuan tadi menarik Badri pula.
Mendengar nama panggilan itu, Nurul Ain sembunyi tawa. Dia melirik ke sisi. Sambil atur kaki kekal mengekor Una dari belakang.
"What?" Badri menyoal hairan.
"Abang Bad?"
Badri mengherotkan bibir. "Abang Bad tu untuk Badang. Saya ni... Selain nama penuh Badri, Badang pun ya juga." Dia berseloroh sehingga membuatkan Nurul Ain tergelak besar.
PINTU kembali ditutup rapat. Kerut-kerut kasar kian menduduki dahi. Sesudah itu dia bergegas turun ke tingkat bawah. Mata kekal melikas liar, tercari-cari kelibat seseorang yang tidak terlihat seawal pagi tadi.
"Awak cari apa tu?" Panjang leher Awang Kader melepasi kerusi. Hairan melihat gelagat sang isteri.
"Abang nampak Hanif?" Sabrina menyoal.
"Lah!" Awang Kader menepuk dahi. "Ingatkan cari apa tadi." Tumpuannya beralih semula ke arah buku ilmiah dalam pegangan. Ayat-ayat yang tercetak kemas dibaca dengan penuh khusyuk.
"Mana budak tu pergi? Awal pagi dah hilang." Rakus jari-jemari Sabrina mendail nombor telefon Tengku Hanif. Apabila panggilannya dibiar tidak bersambut, dia jadi marah. Bebelannya berpanjangan sehingga memutikkan rasa geli hati Awang Kader.
Ekor mata mencuri lihat ke arah isterinya. Senyum meleret di hujung bibir. "Sudah-sudahlah tu, Na. Hanif tu dah besar panjang. Lelaki pula tu. Hujung minggu macam ni mestilah dia keluar dengan kawan-kawan. Takkanlah nak terperuk dalam rumah sepanjang hari? Bila budak tu tak panjang langkah, awak tanya. Ni... Bila tak nampak batang hidung, awak cari."
Sabrina mendengus geram. Sememangnya Awang Kader akan sentiasa berpihak kepada Tengku Hanif. Dalam segala hal, suaminya akan sentiasa berada di belakang anak muda itu dan menjadi penyokong paling tegar.
Punggung berlabuh bersebelahan suaminya. Dia bersandar tubuh. Hati yang tadi hangat beransur sejuk.
"Saya bukan apa, bang. Ingat nak makan sama dengan Hanif tu. Hujung minggu macam inilah kita kena duduk berkumpul satu keluarga."
"Bukan selalu pun Hanif keluar dengan kawan-kawan dia. Sesekali apa salahnya."
"Memanglah... Tapi hari ni terasa nak makan sama-sama," terang Sabrina.
Spontan kening Awang Kader terjongket tinggi. "Kathy sekali?"
Lekas dia menjaring paras si suami. Bulat matanya merenungi riak yang beralun tanpa perasaan itu.
"Kathy tu memang sebahagian daripada keluarga kita, kan?"
Buku ilmiah ditutup. Kemudian ia diletakkan kembali di atas meja. Helaan nafas beralun perlahan.
"Keluarga jauh. Saudara jauh yang dah tiga empat pupu." Awang Kader menegaskan.
Sabrina mencebik. "Keluarga juga. Sepuluh pupu sekalipun, tetap saudara."
Meleret panjang otot muka Awang Kader.
"Tapi takkanlah sampai nak kahwinkan budak berdua tu?"
"Tak boleh ke?"
Kali ini nafas yang menderu keluar itu menghinggapi corong pendengaran Sabrina.
"Na, saya rasa Hanif tak setuju nak kahwin dengan Kathy tu. Usah dipaksa-paksa."
"Alah..." Cemberut muka Sabrina. "Hanif tu yang jual mahal sangat. Kathy tu, apa yang kurang? Semua ada. Manis, sopan dan hormatkan orang tua. Nak suruh saya senaraikan panjang-panjang pun boleh." Terkumat-kamit bibir Sabrina membela bakal menantu pilihan hati.
Lantunan tawa meletus kuat. "Celah mana sopannya Kathy tu? Baju yang dipakai macam tak cukup kain. Terdedah sana, terbuka sini. Tu belum yang singkat-singkat. Sakit mata saya tengok, apatah lagi Hanif tu."
Membulat mata Sabrina. "Eh, abang ni! Dia pula yang lebih-lebih."
Tawa Awang Kader berpanjangan. Melihat kesungguhan Sabrina dipandang sebelah mata sahaja oleh Tengku Hanif, membuatkan hatinya kegelian digeletek.
"Sudahlah, Na. Jodoh tu rahsia Allah. Aturan yang dah tertulis sejak azali lagi. Sampai masa, kahwinlah Hanif tu. Kalau pun masa tu memang Kathy jodoh Hanif, saya pun terima dengan berlapang dada." Awang Kader cuba mengendurkan suasana tegang sebentar tadi. Dia tahu isterinya menggumpal amarah yang berbukit-bukit apabila calon menantu dikritik hebat.
"Sebelum saya terlupa, petang ni Alisa datang singgah sini. Katanya ambil Maisarah dekat asrama." Jam dinding dikerling sekilas.
"Lah, kenapa tak beritahu awal-awal abang ni?"
Awang Kader jongket bahu.
"Dah yang awak tu tak berhenti cakap fasal Kathy, macam mana saya nak mencelah?"
Sabrina mengetap bibir. Ada sahaja jawapannya.
"MASUKLAH, bu." Irfan menghenyak punggung di atas katil dengan sebelah kaki terjuntai membelah udara dingin yang melitupi ruang peraduannya.
"Kenapa tak siap lagi? Ke nak pergi rumah ayah long dengan boxer kotak-kotak tu?" Alisa mencekak pinggang. Irfan diperhati dari hujung rambut ke hujung kaki. Anak lelakinya kelihatan santai, sekadar mengenakan boxer dan singlet merah.
"Malaslah, bu. Lagipun Fan balik nak luang masa dengan ibu, ayah dan Maisarah. Ini nak pergi rumah ayah long, dekat office every weekday jumpa dah. Tak sempat nak rindu pun, bu." Irfan berseloroh seraya melepaskan tawa yang kedengaran amat dangkal.
Daripada duduk, kini Irfan sudah terbaring. Sebuah majalah sukan dibelek tanpa minat. "Nanti ibu kirim salam Fan pada ayah long dan mak long, ya?"
Lambat-lambat terlepas jua keluhan berat meniti di bibir Alisa. Lengan kekar Irfan diusap perlahan. Dia tahu punca Irfan begitu sukar hendak menjejakkan kaki ke rumah Awang Kader dan Sabrina. Bukan kerana pasangan suami isteri itu, tetapi jurang yang ada hanya terbina antara Irfan dan Tengku Hanif.
"Irfan... Sampai bila Fan nak macam ni?" Lembut suara itu bertutur.
Irfan berpura-pura ralit mendengar lagu nyanyian kumpulan Coldplay.
"Lisa!" Doktor Ishak memekik lantang. Memanggil sang isteri yang masih berkurung di tingkat atas.
Ekor mata melirik jam di tangan. "Dah lewat ni yang oi. Nanti ada budak menangis dekat pintu pagar sekolah," laungnya lagi.
"Tak apalah kalau Fan tak mahu ikut. Ibu pergi dulu. Ayah dah terpekik kalah Tarzan tu," pamit Alisa. Sempat mengelus kepala Irfan dengan pelbagai perasaan bercampur-aduk.
Irfan tersenyum kecil. Pemergian ibunya dihantar menerusi ekor mata sahaja. Sebaik deruan enjin kereta kian menghilang dari pendengaran, Irfan bangkit lantas meninggalkan kamar perbaringan. Kaki dibawa melangkah menghampiri sebuah meja sederhana kecil bersebelahan almari baju. Laci pertama ditarik. Sebuah kotak diambil lantas dibuka perlahan.
Sesuatu yang berkilauan mengabui mata. Lantas menjebak fikiran dia untuk menelusuri ingatan lalu.
"Gia." Berdesir nama itu menyentuh cuping telinga dan tenggelam dalam lautan kenangan.
"DAH besar dah Maisarah tu. Rasanya macam baru semalam abang peluk cium dia." Lontaran mata tepat membidik Maisarah yang begitu asyik mendengar sesuatu yang dibicarakan Sabrina. Sesekali Sabrina menunjukkan salah satu bunga bonsai yang menjadi koleksi kesayangannya.
Alisa turut sama menoleh. Suaminya juga ada di sisi Maisarah. Sama-sama tekun membelek koleksi bunga bonsai kepunyaan si kakak ipar.
"Bang..." Jeda sejenak. "Bila tengok Kak Na, teringat arwah Kak Aminah."
"Mereka bukan orang lain. Darah yang mengalir dalam tubuh mereka tu sama, Alisa."
Alisa mencari wajah Awang Kader.
"Darah sama tak bermakna luhur hati pun serupa. Tapi Kak Na macam jelmaan Kak Aminah," rumus Alisa lagi.
Awang Kader sekadar tersenyum. Kelat. Tatkala nama Aminah disebut-sebut, hatinya tiba-tiba terusik. Dalam pada itu, dia bersyukur kerana Tuhan telah meminjamkan kepadanya wanita-wanita yang luhur jiwa menjadi pendamping diri. Biar yang pertama tidak terganti dengan apa pun, namun yang kedua kekal dalam hati.
Tiba-tiba sahaja wajah seseorang beroleng-oleng melintasi fikiran. Imbasan yang memusnahkan bayangan Aminah.
"Nurul Ain."
Seakan-akan ada satu suara melantun keluar nama itu.
Awang Kader membawa pandangan mata ke hadapan. Dia melihat Maisarah. Pada Maisarah, dia ternampak bayang tubuh Dayang Nur Aishah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co