Truyen3h.Co

Hingga Akhir Nafasku

Bab 6

karyaseni2u

KELEWATANNYA pagi tadi atas kelalaian sendiri. Maka dia tidak melenting apabila Tengku Hanif menegur secara berhemah tentang keterlanjuran yang telah dilakukan hari ini. Apatah lagi selaku pekerja baru, dia sepatutnya memastikan segala janji temu atau arahan majikan dipatuhi tanpa sebarang alasan.

"Lain kali jangan lambat. Kita nak jumpa klien. So, kena tonjolkan sikap yang baik. Tepati masa... Itu sangat penting."

Ketika itu dia mengangguk dengan kepala tertunduk merenung lantai.

"Hai..."

Nurul Ain tersentak. Nyaris terlepas beg di dalam pegangan.

Melihat aksi spontan gadis itu, Irfan tertawa kecil selajur memohon maaf.

"Lama saya perhatikan awak." Sorot mata mengamati fizikal gadis itu yang tampak ayu mengenakan sepasang baju kurung baby blue tanpa sebarang corak yang diperbuat daripada kain kapas. Bertambah manis dengan sehelai selendang merah jambu bercorak ringkas menutupi kepala.

"Saya... Irfan. And you?"

"Nurul Ain." Dia menjawab dalam senyuman.

Senyuman itu membawa Irfan membelah dimensi yang agak asing. Sejak awal kemunculan si gadis, dia tertanya-tanya. Entah siapa namanya, dari mana asalnya dan bagaimana gadis itu boleh duduk di kerusi yang tidak pernah diketahui fungsinya. Apatah lagi perjumpaan dengan klien pagi ini turut disertai oleh gadis itu.

Pembantu Lufiya.

Aneh.

Adira, setiausaha sendiri pun tidak memerlukan seorang pembantu dan masih mampu mengendalikan tugas dengan baik sekali.

"Irfan."

Kepala menoleh ke belakang. Sekadar menyapa susuk tubuh itu dengan renungan bersahaja.

"Let's having lunch together." Tengku Hanif mempelawa. Namun dia menyedari Irfan tidak akan menyahut. Sekadar membiarkan bicaranya terbazir begitu sahaja.

"Irfan, do you mind to..."

"No... Thank you. Aku nak balik ofis. Ada hal urgent." Kali ini pandangan Irfan tepat menghunus ke arah Tengku Hanif dengan busur bermata tajam yang seolah-olah tersingkap di celah tetingkap mata.

"See you next time, Nurul Ain." Pamitan itu disertai kuluman bibir yang meleret panjang. Kemudian dia mula mengatur langkah tanpa mempedulikan sepasang mata yang kekal memerhatikannya.

PINGGAN yang diusung ke sana sini masih kosong. Meski depan mata terhidang pelbagai juadah yang mampu membuarkan rasa lapar, namun dia masih kaku berdiri di hujung meja dengan mata liar merayapi ke segenap pelosok ruang itu. Persekitarannya dipenuhi manusia-manusia yang datang daripada kelas berbeza-beza. Yang nyata, dia paling terpencil di antara mereka.

"Diet?" Tengku Hanif datang seumpama deruan angin. Menegur dengan suara yang perlahan tetapi masih jelas di pendengaran Nurul Ain.

Nurul Ain mengerling sekilas. Lelaki itu kelihatan sibuk memilih juadah untuk disumbat ke dalam perut.

"Kalau nak diet, jangan sampai tak makan. Nanti sakit. Tu... Banyak makanan yang berkhasiat." Tengku Hanif berkata lagi. Garpu bermata empat dituding ke hujung meja di sebelah kiri mereka.

Entah usikan atau sekadar nasihat percuma di sebalik bicara lelaki itu, Nurul Ain tidak mampu menghadamnya dengan baik. Fikirannya menjurus kepada satu persoalan tunggal; kenapa dia ada di sini, menyertai satu perjumpaan antara dua buah syarikat yang bakal menjalinkan kerjasama korporat?

"Saya nak awak belajar, Nurul Ain. Menjadi pembantu kepada Lufiya tak bermakna awak tak boleh didedahkan dengan benda-benda macam ni. Dari sekecil-kecil hal, sampai ke sebesar-besar perkara, awak kena ambil tahu. Ini bukan meeting terakhir yang awak akan ikut. Malah lebih banyak meeting yang awak kena sertai."

Nurul Ain menghela nafas panjang tanpa menyedari ulahnya diperasani oleh Tengku Hanif. Kata-kata itu ditutur Tengku Hanif sewaktu mereka dalam perjalanan menuju ke sini pagi tadi.

"Are you okay? Atau awak tak ada selera nak makan dekat sini?"

Mereka berkongsi renungan. Jaring-jaring yang bertebaran di taman hati sendiri tidak sukar ditafsir. Dia tahu, hatinya mengalun ritma aneh atas dasar apa.

"Eat this." Salad buah-buahan dicedok masuk ke atas pinggan Nurul Ain. Kemudian dia menyudu sedikit kacang panggang dan diletak bersebelahan salad buah-buahan tadi.

"Sesuai untuk diet awak." Sengaja dia berseloroh bagi menyingkir rasa dangkal yang tiba-tiba hadir.

Tidak terbuka pun selera Nurul Ain melihat makanan di atas pinggannya. Dia lapar nasi, bukan hadap salad dan kacang panggang.

"Saya tunggu awak dekat meja sana."

Anak mata Nurul Ain mengekor tudingan jari telunjuk Tengku Hanif. Sejurus langkah lelaki itu turut diperhati sehingga duduknya berlabuh di sebuah kerusi yang terletak di penjuru ruang makan serba luas berkenaan.

"KENAPA papa tak tunggu kami tadi?" Sebaik sahaja kelibat Awang Kader melintasi mata, Tengku Hanif lekas mengaju pertanyaan.

Awang Kader melepas nafas. Dahinya berlapis-lapis menzahirkan minda sedang keras memikirkan sesuatu.

"Hanif..." Dia berjeda.

Tengku Hanif kekal mengamati roman lelaki separuh usia itu.

"I'm... I'm not strong enough." Awang Kader berkeluh-kesah.

Hela nafas turut terbabas keluar dari rengkungan. Sorot mata Tengku Hanif tidak lari sedikit pun daripada memerhatikan olah Awang Kader. Dia punya satu niat namun tidak pernah tertunai kerana sikap sang ayah tiri. Barangkali masih tersisip rasa gusar andai yang diharapkan itu hanya ilusi semata.

"Sampai bila, pa?" ajunya.

Awang Kader menggeleng kepala, sebelum berkata. "Papa perlu masa. Tentu Hanif tahu, kan?"

"Ya... Tapi sampai bila?" ulanginya lagi.

Jari-jari memicit pelipis dahi. Berdenyut. Seluruh jiwa seakan-akan terbeban dengan seketul batu maha besar dan mampat sehingga terasa salur nafas kian menyempit.

"Hanif tak faham." Lirih bunyi suara itu.

Tengku Hanif menarik nafas dalam-dalam. "Atau... Papa takut?"

Soalan itu benar-benar mengejutkan Awang Kader. Buntang matanya membelah renungan Tengku Hanif.

"Trust me, papa."

"Kalau bukan?"

"Papa..." Dia mengetap bibir sesaat dua. "Perempuan tu... Dia... Aishah, kesayangan papa."

Awang Kader menekup wajah.

"APA yang awak buat sekarang, tugas-tugas yang ada sekadar pemanas badan saja. Awak kena tahu lebih. Semua hal berkaitan syarikat ni, awak wajib ambil tahu."

Dengungan suara Tengku Hanif lewat makan tengah hari tadi berpusar di telinga. Bicaranya kedengaran aneh sekali. Namun perbualan mereka tidak meleret ke mana-mana. Mereka terus senyap dalam menikmati juadah masing-masing. Sekadar melantun bicara dengan diri sendiri.

Cumanya sesekali lirik mata agak nakal menelusuri raut tenang Tengku Hanif. Wajahnya bersih dengan tona warna kuning langsat. Jambang bercukur rapi lantas menyerlahkan penampilan segak lelaki berwibawa tersebut. Alis matanya lebat. Rahang yang kelihatan seumpama aset seorang peragawan itu membentuk satu tarikan kepada sesiapa yang memandang. Padanya rupa fizikal Tengku Hanif dicipta sempurna.

Lamunan sendiri terbejat tatkala keriuhan runut lagu kedengaran menjerit lantang. Sebaik skrin bercahaya keputihan itu memaparkan private number, dia berkerut hairan. Ikon hijau dileret ke kiri, lantas melekapkan gadget canggih berjenama Samsung ke telinga.

"Helo..."

Sepi. Talian di sebelah sana tidak menghadirkan sebarang bunyi.

Dia melihat skrin telefon. Mana tahu panggilan telah terputus. Tetapi jelas menunjukkan mereka masih berhubung melalui entiti komunikasi.

"Helo." Suara ditekan sedikit kuat.

Tiada sebarang sahutan. Kekal menyepi.

Dia jadi geram tiba-tiba. Tanpa menunggu lama, talian diputuskan.

Daripada duduk bertenggek hampir di jendela, dia membawa kaki keluar dari bilik dan terus menuju ke kamar peraduan Suriani. Leret mata mencuri lihat ibunya yang duduk berteleku di atas sejadah, sedang khusyuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

Sesudah itu, ibunya mencapai naskhah al-Quran. Suaranya mendayu-dayu ketika membutirkan kalimah-kalimah suci berkenaan. Tiba-tiba dada didatangi perasaan sayu.

Tanpa mereka, tanpa keluarga ini... Di mana letaknya dia kini?

Nurul Ain memejam mata rapat-rapat. Status anak angkat tidak pernah terlucut dari fikiran. Bahkan dia sentiasa tercari-cari jawapan atas apa yang berlaku dalam hidupnya sebelum berada di dalam kalungan kasih sayang keluarga Abdul Halim dan Suriani.

HAMPIR bercantum kening Sabrina memerhatikan gelagat suaminya. Lelaki itu termenung panjang di balkoni bilik. Sabrina mendekati suaminya. Bahu itu disentuh lembut.

"Abang," panggilnya.

Awang Kader menoleh.

"Na." Lelaki itu sekadar berbahasa selajur kembali melepas pandang ke hadapan semula.

"Tadi abang telefon siapa?"

Pertanyaan itu dibiar terawang-awang. Awang Kader lebih mengutamakan perasaan sendiri yang ketika ini sedang melayang-layang tanpa arah.

Melihat gelagat aneh suaminya, hati Sabrina dipalu resah. Sejak akhir-akhir ini dia menyedari suaminya berkelakuan sedikit aneh. Awang Kader sering termenung panjang seolah-olah sedang memikirkan hal yang amat berat sekali. Ada ketika, terdengar juga keluh-kesah terbabas keluar. Apabila diaju pertanyaan tentang kelakuan itu, suaminya tersenyum sahaja tanpa membicarakan apa-apa.

Matanya masih meratahi paras Awang Kader. Mengamati setiap lentur garis yang terlukis jelas di wajah itu.

"Abang rindukan Kak Min?" Entah kenapa, soalan itu juga yang meluncur laju keluar dari mulutnya.

Pandangan kedua-duanya bersatu cukup lama sehingga akhirnya Awang Kader mengalihkan busur mata melepasi balkoni untuk kali yang ketiga. Senyum yang sedikit menjadi lebar tiba-tiba.

"Rindu yang memang sentiasa ada." Suaranya sarut.

Sabrina terdiam.

"Walau arwah tiada pengganti tapi awak sentiasa dalam hati. Cinta yang kekal sampai mati," seloroh Awang Kader. Dileret-leret suaranya agar mampu menghidupkan suasana ceria mereka suami isteri.

Terburai tawa Sabrina.

"Drama mana abang tengok?" Kening diangkat tinggi.

Awang Kader sekadar menyimpul senyum. Dia memacu langkah masuk ke dalam. Sudah cukup membiarkan tubuh diselaputi kedinginan malam.

Sabrina kekal berdiri di ruang balkoni. Wajahnya menjulang dada langit. Saat itu fikirannya dirangkul imbasan mengejut. Sepasang mata dalam dunia tidak nyata sedang merenung galak ke arahnya. Sepasang mata yang sering dimimpikan bertahun lamanya.

Hati jadi tidak aman tiba-tiba.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co