Truyen3h.Co

Hingga Akhir Nafasku

Bab 7

karyaseni2u

CINTA itu menyakitkan. Andai sudah tergores hati, maka luka yang ada begitu sukar hendak disembuhkan. Kalau tinggal parut pun, akan kekal dibawa sepanjang hayat.

Cinta juga menuntut sebuah pengorbanan. Ada ketika, pengorbanan itu sebenarnya meranapkan jiwa. Menghancurkan hati sehingga ia bertukar menjadi debu dan terus diterbangkan udara tanpa belas. Sepertimana dia, sekeping hatinya telah berderai saat insan yang bertakhta dalam jiwa mengheret kaki pergi dari hidupnya. Pergi yang tidak akan pernah kembali meski mereka tidak berpisah hijab.

"Gia..." Nama itu meluncur laju tanpa sempat ditahan-tahan.

Lalu, kisah itu terimbas kembali ke dalam mindanya...

"I perempuan jijik." Mengongoi tangisan gadis berambut ikal mayang melepasi bahu. Mata yang sebelum ini sentiasa galak telah hilang seri. Ia sembap dan membengkak. Pipinya lencun dengan air mata.

"You cakap apa ni, Gia?" Irfan terkejut. Gadis itu dihampiri. Duduknya berlabuh di sisi Gia yang tunduk merenung lantai.

"Kenapa ni?" Dia menyoal lembut. Melihat air mata itu menitis lagi, hatinya bagai berteriak ganas.

Gia mengetap bibir. "I tak layak untuk sesiapa pun. Even you."

"Gia..." Sedaya upaya dia cuba memujuk cinta hatinya. Rambut itu dielus lembut. "Sesiapa pun layak memiliki you. You baik, jujur dan..."

Suaranya mati di situ.

Aku cinta padamu, Gia.

Bicara itulah yang ingin sekali dilontar keluar namun apakan daya, dia tidak punya peluang walau sedetik pun. Cinta Gia tersimpul mati buat seseorang.

"Irfan..." Esak tangis Gia enggan berhenti.

"Gia... Please. Jangan macam ni."

Gia semakin menunduk sehingga membuatkan Irfan diamuk resah.

"Dia tak mahu bertanggungjawab. Dia... Dah buang I... I... I..." Gia tekup muka. Tangisan wanita kesayangannya semakin menggila.

"Irfan?"

Teguran seorang perempuan membuatkan ingatan lampau musnah serta-merta. Lalu mata diangkat menjulang paras perempuan itu. Tidak sampai sesaat pun bertentang mata, Irfan sudah mengalih wajah.

"What are you doing here?" Kathy nampak teruja. Senyumnya sampai ke telinga. Tanpa dipelawa, Kathy tarik kerusi lantas terus melabuh duduk mendepani Irfan.

"Tidur." Irfan menjawab.

Terjuih bibir Kathy.

"Dah tu, kenapa tak berguling aje? Tidur gaya duduk?" Kathy membalas dengan muka mencuka.

Irfan menghela nafas panjang. Tidak sangka boleh pula bertembung dengan wanita itu di sini.

Kathy mengerling nipis. "Alah, jumpa I pun muka toya."

Irfan kekal menyepi. Sekadar mengamati gelagat Kathy. Mereka saling kenal sejak kecil. Hubungan kekeluargaan antara mereka, meski jauh berlapis-lapis keturunan tetap dipandang penting oleh keluarga masing-masing.

"Parents you sihat?"

Ya, inilah satu sikap Kathy yang harus mendapat pujian. Wanita yang kelihatan agak sosial, suka berhibur tidak kena gaya namun apabila menyentuh soal keluarga, Kathy boleh dijadikan contoh yang baik.

"Alhamdulillah... Mereka sihat. Mom and your dad?" Ketika ini baru tersingkap senyuman kecil menghinggapi bibir Irfan.

"Sihat juga." Kathy ikut senyum.

"I sebenarnya dari rumah Hanif." Kathy ringan mulut bercerita. "Dekat rumah tak ada. Nak kata kerja, weekend kut. Auntie call pun tak dapat."

Irfan sekadar memasang telinga. Bukan dia tidak tahu kegilaan Kathy terhadap Tengku Hanif. Entah apa yang istimewa tentang lelaki itu. Baginya Tengku Hanif lelaki bangsat yang bertopengkan susuk malaikat.

"Apa yang you kejar sangat pada Hanif tu? Tell me."

"Cinta."

"Cinta?" Irfan ketawa sinis. "Cari orang lainlah kalau nak dapat cinta."

Dahi Kathy mula terlukis dengan garis-garis halus. Dia memandang pelik ke arah Irfan.

"Cari lelaki lain. Tengku Hanif tu..." Jeda. Dia mencuri lihat air muka Kathy yang penuh dengan tanda tanya.

Lelaki tu lelaki tak guna. Hatinya mencemuh marah.

"Better cari lelaki lain." Akhirnya itu sahaja yang terlontar keluar berbanding kata-kata kesat yang memekik lantang dalam kepala.

"Siapa? You?" Lebar senyuman Kathy sampai ke telinga.

Irfan ketawa besar.

Cemberut muka Kathy. "Eleh, nanti kalau betul jodoh you dengan I, padan muka!"

Gelak tawa Irfan mulai luruh. Kini dia lebih tenang. Cuma senyuman kecil kekal memalit muka.

"Serius cari orang lain, Kathy."

Kathy mendengus. "Tapi I nak Hanif. He owned all my heart, Fan."

"Then cari orang lain yang nama Hanif."

"Gila!"

Irfan menopang dagu. Pandangannya tajam menujah tepat ke dalam kolam mata Kathy.

"Cari orang lain, Kathy."

Kathy menjuling mata ke atas. Bosan mendengar ungkapan serupa yang diulang berkali-kali oleh Irfan.

UNJUKAN gelas kaca pantas disambar. Terburu-buru dia meneguk air putih dalam sekali nafas.

"Hanif ke mana sepanjang hari ni? Mama call tak dapat. Tu, Kathy datang cari."

Awang Kader menyepak perlahan kaki anaknya di bawah meja. Kemudian pandangan kedua-duanya bersatu sambil terkidum-kidum menyembunyikan senyum.

'Tengok mama kamu. Tak lepas sebut nama bakal menantu kesayangan dia.'

Seolah-olah mampu menerima pesanan melalui angin yang dilontar Awang Kader, Tengku Hanif menjongket bahu.

'Dah nak pecah telinga saya ni.'

Bicara dua beranak itu tanpa suara.

"Kasihan Kathy. Penat dia datang nak jumpa. Ingat ada ke perempuan segigih dia?"

Tengku Hanif berdeham.

"Kita tengah makan ni, Na. Terbantut selera kami."

"Eh, saya cakap aje. Bukan orangnya ada depan mata pun sampai selera makan tu mati." Sabrina menuntas geram.

"Kamu ke mana, Hanif?"

"Jumpa kawan, ma."

"Siapa?"

"Sudahlah. Biar budak tu makan." Awang Kader menegah. Faham benar perangai isterinya. Wanita itu tidak akan berhenti mendesak Tengku Hanif agar akur dengan kehendaknya, walhal telah sedia maklum akan apa yang ada di dasar jiwa pemuda tersebut.

"Abang ni! Geramnya saya..." Sabrina mengancing gigi.

Terburai tawa kedua-dua beranak itu tanpa dapat ditahan-tahan. Manakala Sabrina kekal menegangkan roman wajah. Dia benar-benar geram melayani olah 'sekapal' suami dan anaknya.

Dalam pada itu, kepala Awang Kader dipenuhi dengan bayang seseorang. Seseorang yang terlalu dekat dalam hati sehinggakan dia sanggup melakukan apa sahaja demi perempuan itu. Kemudian beroleng pula paras si gadis yang manis dengan senyuman. Senyuman yang memukau. Senyuman yang mengingatkan dia kepada Nur Aminah, isteri kesayangannya.

Kampung Sungai Sayong

"DAYANG NUR AISHAH. Nama dia Dayang Nur Aishah." Pengakhiran itu seperti kelaziman. Ternoktah dengan barisan nama yang tidak pernah ditemui siapa pemiliknya.

Damia memerhatikan kerutan merauti wajah wanita yang mesra digelar 'emak'. Seolah-olah ada sesuatu yang sedang disembunyikan oleh wanita tua itu daripada pengetahuan sesiapapun.

"Mak..." Damia mengengsot hampir dekat dengan Mak Wok. Tangan tua itu dielus lembut. Jelas kelihatan urat-urat kasar timbul di sebalik lapis kulit yang ketara berkedut dimamah usia.

Mak Wok membawa pandangan menatap Damia. Sedikit demi sedikit otot muka membentur senyuman halus.

"Dia sudah sebesar kamu, Damia," katanya dalam kepiluan yang ditahan-tahan.

Damia mengerutkan muka. "Kami... Sebaya?" soalnya.

Mak Wok tidak menjawab kali ini. Sorot mata menjulang ke atas.

"Seusia kamu," ulangnya.

"Kak Mia! Oh... Kak Mia!" Megat memekik lantang. Suaranya kedengaran sayup-sayup melepasi regangan pintu.

Damia lekas berdiri. Pintu utama diterpa. Tersembul muka Megat di depan mata sedang berdiri di anak tangga paling bawah.

"Ada apa, dik?" Damia menyusun langkah menuruni anak tangga sehingga dekat pada Megat.

Megat mengunjuk sebekas Tupperware hijau kepada Damia. "Ini... Umi kasi dekat Atok Wok."

Unjukan itu bersambut. Leret mata Damia menembusi isi dalam bekas tersebut. Ada lauk ikan kicap dan sayur campur kegemarannya. Seulas senyuman muncul tanda gembira. Perutnya juga sudah berdendang sejak tadi. Bahkan kemunculan Megat sangat dinanti-nantikan.

"Umi pesan tadi, suruh Kak Mia makan dengan Atok Wok."

Damia mengangkat kening. "Tahu."

"Nasi?"

Megat mencebik. "Orang dah kasi betis, nak paha pula."

Sudahnya Damia ketawa kecil. Lantas dia berkata. "Yalah, nanti Kak Mia masak untuk emak."

"Atok Woklah, kak. Apa panggil emak pula? Bunyi macam tak hormat aje," komen Megat dengan lancar. Air mukanya berkerut-kerut.

"Amboi, mengajar orang pula." Damia menjuih bibir. "Kan panggilan macam tu lebih mesra. Lagipun dulu masa Kak Mia kecil, Atok Wok yang jaga Kak Mia. Dah terbiasa panggil emak."

"Megat nak panggil macam tu, Kak Mia tak kasi." Megat mengungkit pula.

"Sebab panggilan tu sesuai untuk Kak Mia aje. Kau mana layak." Panjang tawa Damia mengiringi usikannya kepada Megat.

Megat tarik muka masam.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co