Truyen3h.Co

Hingga Akhir Nafasku

Bab 9

karyaseni2u

DERAIAN air mata membasahi pipi Ashikin. Bahunya terenjut-enjut menahan esak yang kian menggila. Manakala Nurul Ain di sisi terus berusaha mengawal perasaan. Dia tidak menangis sebagaimana Ashikin, cuma ada cecair jernih bergenang memenuhi tubir mata. Namun jauh di sudut hati, tangisan dan kesedihannya jauh lebih hebat berbanding Ashikin.

Tidak mereka duga, pada pagi Jumaat nan hening, mereka telah menerima berita memilukan daripada Laila, pegawai di bawah seliaan Suriani. Ibu mereka dikhabarkan terlibat dalam kemalangan sewaktu hendak menghadiri seminar. Menurut Laila, Suriani nyaris dilanggar oleh sebuah pacuan empat roda yang menyusuri jalan sehala dengan laju sekali. Meski berjaya mengelak, namun nasib ibu mereka tidak begitu baik. Wanita itu jatuh tersungkur sebelum bergulingan dan akhirnya terhumban ke dalam longkang besar.

Nurul Ain menarik nafas dalam-dalam. Sebenarnya dia sedang berusaha mengawal untaian air mata yang terasa begitu degil hendak mengalir jatuh ke pipi. Lambat-lambat dia menunduk mata, memandang kaki kiri Suriani yang berbalut sehingga ke pangkal betis.

"Shikin tak sekolah?" Suriani menyoal lembut.

"Ain dah cakap pada cikgu sekolah Shikin. Cuti emergency, bu." Nurul Ain lekas menjawab bagi pihak adiknya.

Suriani tersenyum hambar. "Ain pun?"

"Ibu..." Lantunan suaranya kedengaran sarut. "Macam mana Ain nak kerja dalam keadaan ibu macam ni?"

Punggung berlabuh di birai katil. Tangan merayapi balutan pada kaki Suriani. Hasil imbasan x-ray yang telah dilakukan oleh pihak hospital mendapati bahagian buku lali kiri mengalami sedikit kecederaan. Namun dia bersyukur kerana wanita kesayangan mereka tidak mengalami kecederaan lain yang serius. Hanya calar-balar di tangan dan luka kecil di bahagian lutut.

"Ibu tak apa-apa. Ain dan adik tak perlu risau sangatlah." Suriani cuba menenangkan perasaan kedua-dua puterinya.

"Tak apa-apa? Keadaan macam ni ibu kata tak apa-apa dan kami tak payah nak risau?" Nurul Ain menyelar bicara ibunya dengan lontaran suara yang kekal perlahan.

"Tak senang hati kami, bu."

Suriani tersenyum kecil. Pipi Nurul Ain dielus lembut. "Ibu tahu anak-anak ibu sayang ibu, risaukan keadaan ibu tapi ibu cedera ringan saja, sayang. Lagipun ibu bukan sorang dekat sini. Kiri kanan ramai kawan. Esok boleh balik dah. Jadi Ain dan Shikin tak tunggu ibu malam ni pun tak apa."

Air muka Nurul Ain jelas berombak. Jelasnya dia ingin menuntas lagi kata-kata Suriani. "Apa guna kami sebagai anak kalau time macam ni tak tahu nak jaga ibu?" Dia meluahkan rasa tidak puas hati.

Meletus tawa Suriani. Akhirnya dia mengalah.

"Baiklah... Baiklah... Anak-anak ibu teman ibu sampai esok." Genggaman berpaut erat di tangan Nurul Ain. Ashikin pula sudah hilang di dalam dakapan hangat sang ibu.

DIA trauma. Tatkala berita kemalangan yang menimpa Suriani sampai ke pendengaran, terasa bergegar dunianya. Perasaan yang menderu kekal sama sepertimana dia terpaksa menghadapi berita tentang kemalangan yang melibatkan ayah dan ibunya. Kemalangan yang mana akhirnya memisahkan mereka dengan Abdul Halim.

Mereka sekeluarga diuji dengan kematian Abdul Halim. Namun ibu mereka sungguh kuat menghadapi ketentuan dari atas langit. Siapa yang mampu gagah berdiri saat mengetahui suami tercinta telah kembali ke negeri abadi ketika nyawa masih bergelut antara kembali ke jasad atau kepada Maha Pencipta?

Suriani seorang wanita yang kuat. Ibunya tidak meraung hiba. Tiada juga tangisan yang mendayu-dayu. Hanya titisan air mata sahaja menceritakan betapa wanita itu bersedih di atas kehilangan suami yang amat dicintai sepenuh hati.

"SIAPA bagi kau lesen nak keluar?" Mencerlung mata Nirmala membaham paras Anisa. Kedua-dua belah tangannya mencekak pinggang menyamai aksi seorang ibu yang garang hendak memarahi anak.

Anisa terkulat-kulat menahan perasaan.

"Esok lusa bukan kau tak boleh jumpa dia. Lagipun bukan dia yang sakit patah kaki semua tu. Emak dia, kan? So, buat apa nak sibuk-sibuk?" Nirmala mengerling sekilas. Pantang nama Nurul Ain menyelinap masuk ke dalam deria pendengaran, terus terasa ada renjatan elektrik menelusuri setiap urat saraf dalam tubuh. Dia tahu, hubungan baik antara Imran dan Nurul Ain tentu bersebab. Pasti Nurul Ain ada hati dengan kekasihnya. Masakan tidak, walau usia Imran jauh lebih tua berbanding dia, hampir mencecah 15 tahun, tetapi lelaki itu kekal segak dan tentunya perempuan-perempuan di luar sana gatal mata mencuri lihat termasuklah Nurul Ain.

Nirmala kembali membelek kuntuman bunga-bunga segar yang baru sahaja turun dari tanah tinggi. Ekor mata menjaring jasad Anisa yang kekal berdiri bagai tunggul.

"Kalau kau dah rasa duit kau cukup nak tampung kehidupan sebagai penganggur, silakan... Silakan keluar ziarah kawan kau tu."

Ugutan itu nyaris memecahkan dada Anisa. Mahu tidak mahu, akhirnya dia akur.

"Mentang-mentanglah kau tu anak saudara bos, berlagak ya dengan aku. Tak apa... Tak apa. Ada ubi ada batas, sampai hari nanti Allah balas." Habis kertas pembalut bunga dikoyak-koyakkan Anisa. Cebisan-cebisan itu berselerakan di atas lantai.

"Kalau kau dah rasa duit kau cukup nak tampung kehidupan sebagai penganggur, silakan... Silakan..." Mulutnya terkumat-kamit mengajuk kata-kata Nirmala. Dia membega-begakan muka.

Tidak cukup dengan itu, Anisa meramas pula bunga-bunga yang dikutipnya dalam bekas sampah. "Orang macam tu pun boleh pancing Abang Imran. Buta agaknya. Tu bukan perempuan tapi singa. Menyampah aku!"

"Tiba-tiba sebut nama abang ni... Kenapa? Jampi serapah ke apa?"

Teguran Imran hampir membuatkan Anisa pengsan.

"Abang Imran ni! Bagilah salam." Anisa merutuk marah.

Imran ketawa. "Mana Kak Nirmala?"

Anisa menjulingkan mata. Dengar sahaja nama Nirmala disebut-sebut, hati jadi sakit yang amat.

"Buat apa cari dekat sini? Buah hati abang tu mestilah ada dekat ofis. Bos, kan?"

Imran mengerutkan muka, seolah-olah telah berjaya menghidu sesuatu yang mencurigakan. Jarang benar dia lihat Anisa marah-marah seperti sekarang.

"Kenapa marah-marah macam ni? Kak Nirmala buat apa pada Anisa? Beritahu abang..." Lelaki budiman itu cuba memujuk. Anisa atau Nurul Ain, kedua-dua mereka telah dianggap seumpama adik sendiri. Apatah lagi umurnya juga sudah mencecah 40-an. Cumanya pada usia begini dia masih memegang status bujang dan hanya akan berakhir sekiranya janji yang diikat bersama Nirmala ternoktah dengan hubungan yang halal.

Anisa tarik nafas dalam-dalam. Dia mencuri lihat roman tenang Imran. Entah kenapa, hati yang panas tadi terus sejuk. Api yang marak terpadam sedikit demi sedikit.

"Tak ada apa-apalah, bang." Dia berdalih. Bukan sifatnya suka mengadu domba. Kata-kata Nirmala ada benarnya. Esok atau lusa, atau hari-hari mendatang dia boleh menziarahi Suriani.

Sekali hembusan udara dilepas keluar, segulung perasaan marah ikut terhapus bersama. Kini dia boleh melalui hari-hari di kedai bunga ini dengan perasaan aman. Tidak marah-marah, tidak sakit hati.

"SEMUA?" Lufiya membelek buku tebal di tangannya.

"Ya, tolong cancelkan semua." Timbunan fail dikemas ala kadar. Kunci kereta berserta beberapa barang peribadi miliknya lekas dicapai.

"Kelam-kabut sangat saya tengok Tengku ni. Ada apa-apa hal yang mustahak ke?" Lufiya mengamati olah lelaki itu.

Tengku Hanif sekadar mengangguk. Walhal sejak mendapat berita tentang kecelakaan yang menimpa keluarga Nurul Ain, hati terus diragut resah. Apatah lagi saat pertama kali berita itu sampai ke telinga yang dikhabarkan oleh Lufiya, fikirannya terus mencerna identiti mangsa kemalangan itu ialah Nurul Ain. Namun dia mengurut dada tanda lega setelah fikiran sendiri sudah berjaya memproses maklumat dengan tepat. Bukan Nurul Ain mangsanya tetapi Suriani, ibu kepada Nurul Ain.

"Kalau Datin datang cari?" Langkah Lufiya laju menyaingi Tengku Hanif.

"Cakap saya jumpa klien atau apa-apa sahaja."

Ekor mata mengerling jam di pergelangan tangan.

"Call Tuan Indera dan beritahu dia meeting petang ni terpaksa cancel. Tukar hari lain. Saya minta maaf banyak-banyak."

"Esok, boleh?"

"Sure... Sure. Tomorrow." Derap kaki dikemudi laju melintasi Lufiya.

NURUL AIN tersentak ketika lengannya dipaut seseorang. Dia menoleh. Kemudian senyuman kecil terlahir dari bibir yang menguntum senyum kecil. Kepala Ashikin diusap dengan penuh kasih.

"Tak teman ibu?" Dia mencubit pipi Ashikin pula.

"Kan ibu dah ada peneman. Kacak pula tu." Ashikin sembunyi senyum.

"Shikin rasalah, ibu macam berkenan kat lelaki tu."

Berkerut dahi Nurul Ain. "Berkenan? Nak jadikan ayah baru kita?" Sengihan pula terlihat lebar.

"Eh, apa pula untuk ibu? Untuk kakak." Gadis kecil berusia 14 tahun itu segera mengelak apabila Nurul Ain cuba menarik telinganya. Sejurus gadis kecil itu ketawa terkekeh-kekeh.

"Siapa dia?"

"Siapa?"

Ashikin mencebik.

"Eleh, pura-pura tak tahu pula."

"Bukan Abang Badri ke?" Dia menokok.

Kian dalam garis-garis halus yang merauti wajah Nurul Ain.

"Siapa Abang Badri dalam hidup kakak?" Dengan berani, Ashikin melontar pertanyaan yang sudah lama tersemai dalam fikiran. Walau dia tahu bala apa akan menimpa tetapi persoalan itu harus dilontar keluar kerana ketika ini sudah pula muncul watak kedua iaitu Irfan. Terasa sedang menyaksikan drama Korea kegemarannya pula.

Hidung Ashikin dipicit kuat sehingga gadis kecil itu mengaduh kesakitan. Ashikin seolah-olah jelmaan Anisa dalam sarung jasad yang lebih kecil. Perangai kedua-dua mereka hampir sama!

"Hai."

Kedua-dua mereka mengangkat pandangan hampir serentak. Ashikin memandang dengan senyuman lebar manakala di pihak Nurul Ain, kejanggalan itu jelas terasa.

"Maaf kalau kedatangan saya mengejutkan awak dan keluarga." Irfan cuba mengawal perasaan serba salah yang menghuni hati tatkala menyedari reaksi terkejut Nurul Ain ketika mula-mula dia menjejakkan kaki masuk ke dalam wad ini. Tetapi sudah terlanjur datang, tidaklah pula dia hendak berpatah balik.

Khabar pilu tentang kecelakaan tersebut diterima daripada Lufiya yang kebetulan sedang resah menanti kedatangan Tengku Hanif. Tanpa menunggu lama, terus sahaja dia memecut kereta menuju ke hospital yang diberitakan oleh wanita tersebut.

TENGKU HANIF tidak jadi meneruskan langkah kaki. Dia kaku di penjuru ruang yang memisahkan ruang pendaftaran dan ruang legar utama wad berkenaan.

Bersama alunan desah nafas yang perlahan, kaca mata hitam ditanggalkan daripada membentengi penglihatan. Bergerak-gerak matanya mengitari suasana yang terbentang di depan sana. Bahkan sorot pandangan menembak tepat jasad seorang lelaki yang sedang berbual-bual bersama Nurul Ain. Sesekali terlihat senyuman sang arjuna melebar memaniskan wajahnya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co