Bab 10
Kampung Batu Tiga,
Tanah Perkuburan Islam
JARI-JEMARINYA meleret perlahan di atas plat besi yang tertera nama Nur Aminah dalam dua versi iaitu jawi dan rumi. Terpahat sekali tarikh kelahiran dan kematiannya. Untaian nama itu direnung dengan mata bergenang hangat. Kewujudan sang isteri seumpama bersemadi dalam jiwa dan tidak pernah mati.
"Min..." Nama itu diseru dengan perasaan rindu yang menggunung. Sendu terasa memberati dada dan akhirnya merobek tubir mata dengan deraian cecair hangat. Air mata lelakinya tumpah kerana terlalu merindui Nur Aminah, isterinya yang sudah kembali ke alam abadi.
Abang...
Elusan angin yang menyapa seakan-akan membawa bisikan lembut itu.
Awang Kader menundukkan kepala. Perlahan-lahan, matanya terkatup rapat.
Abang...
Kali ini bisikan itu lebih mendayu. Serentak dengan itu, dia dirangkul paras Nur Aminah yang sedang tersenyum manis kepadanya.
"LAMA ke cuti?" Malek melabuh punggung di atas pangkin bersebelahan Sabrina. Rintik-rintik peluh mulai menggigit dahi. Walaupun waktu sudah beranjak petang, menghampiri angka 5 petang, namun suasana persekitaran masih terasa terik membahang.
"Esok kami baliklah," kata Sabrina.
Sorot mata Malek mendasari roman bersahaja sang adik.
"Kenapa cepat sangat, Na?"
"Abang Kader sibuk. Hanif pun sama juga."
Malek memalingkan muka. Dia membuang pandang jauh ke depan. Galak memerhatikan olah anak-anak jiran bermain bola sepak di kawasan lapang, berjarak kira-kira 15 meter dari kediaman mereka.
"Kerja yang tak pernah habis." Tiba-tiba Malek mengeluh sebelum dia kembali menjaring paras Sabrina. Bibirnya bergerak-gerak bagai hendak memuntahkan sesuatu.
"Atau Ina yang tak mahu berlama-lama di sini?" lanjut Malek.
Sejenak, mereka berdua beradu mata.
"Apak tu dah tua, Ina. Entah esok... Atau lusa... Orang tua tu dijemput Tuhan, kita tak tahu." Ada getar memagari bicara Malek. Hujung kaki terkuis-kuis daun mati atas tanah.
"Abang Malek nak cakap apa sebenarnya?" Sabrina merengus kurang senang.
Helaan nafas dilepaskan perlahan.
"Ina berdendam dengan apak?"
Serta-merta otot muka melentur sebuah senyuman kecil yang ketara sinis. Sabrina ketawa kecil kemudiannya.
"Siapa saya nak simpan dendam pada apak? Saya yang berdosa. Saya yang bersalah." Suaranya mendatar.
"Sampai bila pun, saya tetap seorang pendosa di mata apak."
Keluhan itu benar-benar membuatkan Malek berasa kasihan.
"Ina... Benda dah lepas. Apak pun mungkin dah tak fikir macam-macam lagi."
"Mana mungkin dia lupa. Abang Malek pun... Tak lupa, kan?" Sabrina menuntas perlahan. Hatinya hiba namun tidak dipertontonkan secara nyata.
"Tak... Abang dah..."
"Abang tak perlu berbohong." Bicara lembut itu menyelar tegas kata-kata Malek tanpa sempat lelaki itu menyudahi barisan ayatnya.
Malek kunci mulut. Untuk sedetik waktu, dia merenungi paras Sabrina. Terlalu jauh jurang yang membentengi silaturahim antara wanita itu dan Abdullah. Sabrina telah membawa hati lantas membina tembok setinggi langit, manakala Abdullah tidak pernah cuba merobohkan hijab tembok berkenaan.
"Abang Malek! Ina!" Terjengul kepala Ainan, isteri Malek di tengah-tengah regangan jendela kayu yang terbuka luas. Sebelah tangan wanita kesayangan Malek sedang mengawang udara.
Malek menoleh.
"Mari minum petang, bang!" Ainan memanggil lagi.
"Yalah, abang datang ni," sahut Malek.
"Mari kita masuk dalam, Na. Tu... Kakak kau dah buat minum petang untuk kita."
Sabrina angkat punggung. Tapak tangan laju mengibas kain. Dari celah bukaan pintu rumah, dia nampak Abdullah sedang duduk di atas kerusi malas dengan kedua-dua belah tangannya dalam kedudukan kiam. Gerak kaki dikemudi laju sebaik sahaja renungannya berbalas. Tidak lagi menunggu Malek yang memanggil namanya berulang-kali.
AJAKAN anak menantu tidak dihiraukan. Berkali-kali Malek naik turun tangga memanggil tetapi dia kekal membutirkan keengganan. Ekor mata lebih senang mengitari pemandangan tenang pada waktu kian menginjak senja daripada duduk semeja dan berbual entah apa-apa.
"Atuk..." Tengku Hanif duduk bersila di hadapan Abdullah.
Ulas bibir lelaki tua berkenaan melentur senyum kecil.
"Panjang atuk termenung." Tengku Hanif mula membawa jari-jemarinya mengurut kaki tua Abdullah. Dari buku lali sampai ke pangkal betis yang diselubungi kain pelekat kotak-kotak adunan warna merah hati dan biru tua.
"Kamu tu, dari pagi bawa ke petang baru nampak muka." Abdullah pula memuntahkan bicara atas dasar tertanya-tanya.
"Dalam bilik. Buat kerja sikit."
"Balik kampung untuk bercuti, berehat... Bukan buat kerja yang tak pernah habis tu."
Tengku Hanif tersengih. "Nak buat macam mana, tok? Kerja yang tak pernah habis itulah yang kena dihabiskan."
Kepala Abdullah tergeleng-geleng. Dia menyandar tubuh dengan selesa di atas kerusi malas yang sudah lusuh namun masih teguh menampung beban. Ketika ini, fikirannya begitu sarat dengan apungan wajah sang isteri yang sudah lama berangkat ke negeri abadi. Urutan Tengku Hanif tidak setanding Zaleha isterinya, yang cukup mahir menyisih segala sengal dan lenguh di badan.
"Assalamualaikum." Tersembul susuk tubuh Awang Kader di sebalik regangan pintu. Selangkah demi selangkah dia menapak masuk mendekati Abdullah dan Tengku Hanif.
"Waalaikumussalam." Kedua-dua mereka menjawab hampir serentak.
"Tak minum dengan pak long?" Dia menyoal tanpa melihat tepat ke wajah anaknya.
"Kenyang lagi, pa." Tengku Hanif mengengsot menghampiri penjuru rumah untuk memberi ruang kepada ayahnya duduk hampir di sisi Abdullah.
"Kenyang dengan kerja tu, Kader." Abdullah menyahut perlahan dengan niat mengusik.
"Macam kamu juga. Mana tak tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Betul?" Mata terbuka sedikit. Pandangan menjaring roman menantunya dengan senyuman halus menghinggapi bibir.
Awang Kader ketawa.
"Kamu dari mana?" Tidak lepas bidikan mata Abdullah ke arah sang menantu paling dikasihi.
"Dari kubur. Lama tak ziarah kubur arwah mak dan Aminah."
Tangan tua Abdullah menepuk bahu Awang Kader.
"Asalkan jangan dilupakan terus."
Awang Kader tertunduk.
"Tak mungkin saya boleh lupa, pak."
Suasana mendadak sunyi. Awang Kader membawa pandangannya jauh ke hadapan, memerhatikan apa sahaja yang mampu mencetuskan ingatannya kepada Nur Aminah. Hati yang bergelut rawan sedaya upaya tidak terzahirkan di air muka.
Dia tampil tenang walau dadanya berasak segala macam rasa. Abdullah pula selesa memejamkan mata kembali sambil ulas bibirnya bergerak-gerak perlahan membutirkan kalimah suci tanpa suara. Memuji Yang Maha Kuasa agar memberikannya sedikit kekuatan untuk terus bernafas di muka bumi dalam keadaan hati yang masih rapuh.
"AKU... Rasa berdebar-debarlah, Nisa," gumam Nurul Ain.
Anisa di sebelah sekadar menoleh sekilas sebelum kembali memacak anak mata tepat ke skrin televisyen.
"Kenapa?" soalnya.
Nurul Ain mengusap batang tengkuk. Sukar digambarkan perasaannya ketika ini. Seolah-olah sedang dibawa menelusuri 'sesuatu' dengan kewarasan nyata.
"Entah..." Keluhan berat terbabas keluar.
Mulut Anisa yang sejak tadi begitu rancak mengunyah kerepek ubi perisa keju langsung kaku. Matanya terus menjaring paras Nurul Ain. Mukanya sudah berkerut tanda hairan. Dia curiga.
"Ke..." Jeda sejenak. Anisa berkalih posisi duduk. Kini dia bersimpuh di hadapan Nurul Ain. Mereka berlaga mata.
"Ke kau rindu pada Kak Nirmala?" Kening Anisa terjongket tinggi. Kemudian bibirnya melorek sengihan lebar apabila melihat reaksi sahabatnya menjulingkan mata ke atas. Dia ketawa berdekah-dekah.
"Kau ni kalau dibiarkan, dengan balang-balang sekali kau telan nanti." Anisa dikerling tajam.
Gadis seusianya terus hambur tawa.
"Alah, macam tak biasa. Kan aku ni anak ibu kau juga."
Spontan Nurul Ain menjegilkan mata.
Anisa pula masih bersahut-sahutan tawanya.
"BILA, mak?" Pintu ditutup rapat. Dengan berhati-hati, dia kembali melabuhkan punggung di hujung katil. Ashikin yang sudah lena diulit mimpi dipandang sekali imbas.
"Katanya hujung bulan nanti." Hajah Ramlah memberitahu tanpa berselindung apa-apa daripada anak tunggalnya.
Suriani terdiam. Lidahnya bagai bersimpul ketat. Kesakitan yang dialami seumpama lenyap sekelip mata sebaik sahaja Hajah Ramlah mengkhabarkan berita itu.
"Untuk apa?" Kedengaran dingin bicaranya menuntas.
"Mereka cuma mahu berjumpa Nurul Ain saja."
"Ambil Ain dari saya? Macam tu?"
Di hujung talian yang menghubungkan mereka, Hajah Ramlah sudah berkeluh-kesah. Dia tahu Suriani terlalu menyayangi Nurul Ain meski lahirnya anak itu bukan daripada salasilah keluarga mereka.
"Su, jangan fikir yang bukan-bukan. Kan sudah mak beritahu, mereka cuma berkehendak jumpa Nurul Ain. Kamu sayang Ain, mak pun sama. Tak ada sesiapa yang sanggup kehilangan anak, Su." Hajah Ramlah memujuk lembut.
Suriani mengetap bibir.
"Tiada siapa yang sanggup kehilangan anak, Su."
Patah bicara akhir Hajah Ramlah mencucuk rongga pendengaran lantas turut sama menzalimi perasaannya ketika ini. Jika dia yang terdengar khabar itu mula rasa gelisah dan gundah-gulana, apatah lagi keluarga kandung Nurul Ain yang sudah kehilangannya lebih 20 tahun lamanya.
Tetapi... Tiada apa yang mampu difikirkan lagi melainkan Nurul Ain akan dibawa pergi jauh darinya. Itu lebih memilukan.
"Saya sayangkan Ain, mak." Bicaranya terhambur dalam paduan kepiluan.
"Anisa!" Desit suara Nurul Ain mengejutkan Suriani. Tiba-tiba rumah mereka jadi riuh-rendah. Begitulah kebiasaan jika Anisa datang bertandang. Tidak pernah sunyi dengan gelak tawa dan usik-mengusik sesama mereka.
Sejurus, bibirnya membuahkan senyuman. Leretan yang muncul hanya seketika cuma sebelum ia lenyap apabila Hajah Ramlah membicarakan sesuatu yang telah lama dia lupakan.
"Semoga suatu hari nanti, dia menemui keluarganya kembali."
Mata terkatup rapat. Dengungan itu saling membantai pendengaran. Dia ingat akan perempuan tua itu. Perempuan tua yang menyerahkan Nurul Ain kepada mereka suami isteri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co