Truyen3h.Co

#HURT

Bab 13

karyaseni2u

AATIQ! Raqib buka mata yang entah bila terkatup saat dia menyeru nama itu pada akhir mimpi ngerinya.

Matanya dipisat berkali-kali. Johan tiada di sisi. Ya, dia yang suruh Johan balik rehat. Ikutkan dia, Johan pun boleh bertukar jadi robot. Nak-nak Johan tak pernah bantah setiap kata-katanya.

Pelik!

Kenapa nama dia? Persoalan itu menikam benak. Apa yang tak kena dengan aku ni? Kenapa nama perempuan kejam itu yang aku sebutkan? Jam menghampiri dua belas tengah malam. Dia kena balik rumah abah. Risau dengan keadaan abah. Sebagai anak, dia ingat pesan Mak Yam kali terakhir wanita separuh umur itu menghidangkan makanan untuk mereka.

Kunci kereta dicapai. Jaket dibalut ke tubuh sasa yang begitu letih. Tangan naik pada kepala menyebak rambut yang jatuh ke dahi. Suasana restoran gelap apabila hari ni adalah hari cuti. Hanya dia yang masih setia di sini.

Tidur lenanya - hanya di sini. Kerana bidang ini adalah sesuatu yang baru pada dia. Hanya tiga tahun kebelakangan ini dia menceburkan diri menjadi peniaga. Sedangkan, dia lebih suka kerja yang lepas bebas. Menjadi seorang perunding dalam bidang elektrikal yang ada masanya perlu terbang ke negara orang demi penilaian kelulusan bahan.

Setelah enjin dihidupkan, Raqib menekan pedal minyak. Mencari hala tuju ke rumah abah namun entah di mana akalnya berada, dia akhirnya tiba di kawasan perumahan kos rendah itu sekali lagi.

Enjin kereta dimatikan. Sunyi. Hanya sesekali bunyi deruman motosikal anak-anak muda. Dari jauh, bilik itu nampak gelap.

Dah tidur ke dia? Raqib sangkut dagu pada stereng. Merenung jauh pada rumah yang terang lampu depannya. Seakan-akan dapat ditembusi dengan pandangan biasa. Sesekali, resume dan sijil Aatiq yang ada di tempat duduk sebelah dipandang. Dia tahu, tak ada siapa pun pandang sijil Aatiq termasuklah pengurus restorannya, Shella. Yang tahu sekarang, hanyalah dia dan Johan.

Puas menyembamkan wajah ke stereng, Raqib sandarkan belakang yang terasa sengal. Menutup mata yang begitu berat hingga dia hampir terlelap. Rindunya pada rengekan Raisya. Rindu lagi pada bebelan mama.

Dia... tak punya banyak masa bersama dua wanita kesayangan itu kerana kekangan tugas. Dan apabila dia mahu lapangkan masa, kedua-duanya sudah begitu jauh pergi. Membuatkan masa-masa lapang yang dia ada sekarang dihimpit sepi.

LANGKAH Aatiq kian perlahan saat menghampiri kereta mewah itu. Dia cam sangat dah kereta ni. Perlu ke dia berhenti atau teruskan langkah dan anggap saja dia tak mengenali? Walaupun dalam tidak kepastian, tubuh Aatiq rapat juga pada kereta itu. Memang betul Raqib.

Dialah penyebabnya Raqib muncul di sini. Tapi, dia masih tak tahu apa yang buatkan Raqib memburu. Kakinya terpaku di bumi saat merenung wajah yang nampak lelah itu. Biarpun kurang jelas, tapi apabila dia rapatkan wajah kepada cermin, dada Raqib nampak berombak tenang.

Beg disangkut pada bahu. Dia letih sebenarnya. Seharian keluar mencari kerja tapi rezeki masih tak berpihak kepada dia. Yang satu itulah tinggal menjadi harapan walaupun masih belum ada jawapan. Dia berharap sangat. Moga harapan itu tak layu.

Macam mana dia boleh tidur di dalam kereta yang tak pasang penyaman udara malah cermin pun tak dibuka? Tak panas ke? Didekatkan lagi muka ke cermin. Ditutup kiri dan kanan wajah untuk halang cahaya agar raut Raqib jelas. Tanpa dia sedar, mata kuyu itu sudah terbuka separuh.

Melihatkan Aatiq muncul tiba-tiba, dada Raqib berdebar tak sudah. Ingatkan Aatiq ada di dalam rumah tapi muncul dekat dengan kereta dia malam-malam buta ni. Baru balik gamaknya apabila melihatkan pada pakaian Aatiq.

Sengaja dia tak terus luaskan pandangan mata. Rasa seperti mahu ditatap wajah itu lama-lama. Dalam benaknya masih timbul soalan yang sama. Kenapa wajah yang sebegini ayu dan cantik mampu berlaku kejam? Mana perikemanusiaan Aatiq?

Kenapa jari-jemari yang mulus halus itu tergamak membunuh? Jika dilihat secara zahirnya, Aatiq nampak lemah dan perlu dilindungi. Memanglah begitulah fitrah kejadian Tuhan dan Aatiq juga tak terkecuali. Dia ialah perempuan yang perlu disayangi dan perlu diberi perlindungan. Bukan untuk disakiti atau dibenci. Tapi itu hanyalah pandangan mata kasar. Pada yang tidak tahu siapa Aatiq sebenarnya.

Aatiq tegakkan tubuh. Dia sendiri tak tahu apa yang buatkan dia terpasak di sini padahal dia dah jelas yang dia adalah punca kebencian. Dia tak terkejut apabila akhirnya Raqib tahu tempat tinggalnya. Bahana benci, Raqib pasti menjejaki.

Kata-kata akhir dia kepada Raqib tempoh hari nampaknya tinggal sebagai kata-kata yang tak bermakna saja. Dia dah berjanji tak akan muncul lagi di depan lelaki itu. Tak akan buat dunia luas Raqib rasa sempit sedikit pun dengan kehadiran dia. Dia akan elak biarpun ke hujung dunia.

Tapi kudrat bukan di tangan dia. Biarpun culas dia mengelak, masalah itu tetap hadir tersengih di depan mata. Seperti sekarang, lelaki ini ada di depan dia. Dekat kawasan rumahnya. Atau mungkin, dia perlu berhenti berlari dan beranikan diri menghadapi? Atas kekuatan yang mana?

Nafas tipis dilepaskan. Jangan dikejut singa lapar yang sedang lena. Berdiri di sini, seperti menyerah diri menjadi habuan kemarahan Raqib. Aatiq berpaling mahu berlalu. Dia perlu elakkan diri. Jika mampu, selamanya dia akan usaha agar tak terbias langsung wajah dia di depan lelaki ini.

Melihatkan Aatiq yang sudah sedia hendak berlalu, Raqib angkat tubuh. Dia pandang langkah gadis itu yang begitu longlai. Penat sangat ke? Apalah yang dia buat seharian? Menyesal pula tak suruh Johan ikut gerak Aatiq siang tadi.

"Kau pergi mana baru balik waktu ni, Aatiq? Tak takut ke?" Suara Raqib berbisik perlahan. Direnung belakang tubuh Aatiq lama hingga lampu motosikal menyilaukan pandangan.

Hanya dua kerdipan, dia lihat Aatiq sudah terduduk di atas jalan raya dan deruman motor kapcai laju meninggalkan kawasan itu. Mata Raqib bulat. Dalam kekalutan, dia meloloskan diri keluar mendapatkan gadis yang sedang cuba bangkit.

"Kenapa?" Soalan Raqib berbaur cemas. Dia pandang pada motor yang sudah lesap entah ke mana. Haih, laju betul. Dapat ke dia tadi... masak dia kerjakan!

Aatiq langsung tak menjerit. Spontan, Raqib paut lengan Aatiq dan membantunya bangkit. Dua kali dia lihat Aatiq jatuh dan kali pertamanya kerana dia sendiri. Tangannya merayap pada pergelangan tangan Aatiq. Melihat pada telapak tangan yang luka dan berdarah.

"Apa dah jadi?" Kali ini, barulah mata mereka bertemu.

Aatiq kelu. Terkejut. Hampir gugur jantungnya apabila Raqib mendekati. Soalan Raqib dibiarkan tanpa jawapan. Melainkan matanya saja berbicara berharap moga bahasa itu difahami.

"Aku tanya, apa dah jadi?" Dia rentap tangan Aatiq sedikit kuat cuba menyedarkan perempuan di depannya. Yang tangan itu sedang luka dan berdarah.

"Saya kena ragut..."

"Hah?" Wajah Raqib semakin terkejut. Tangan kasarnya laju naik ke bahu Aatiq dan dibelek tubuh itu dari atas ke bawah. Kiri dan kanan. Mengesan luka yang lain.

"Kat mana lagi luka?"

Kali ini, Aatiq menggeleng dua kali. Biarpun punggung dan pinggangnya terasa sengal, tak akanlah dia nak cakap dekat Raqib dia sakit bahagian itu.

Raqib tunduk ke jalan raya. Terpandang pada beg Aatiq yang terdampar di atas jalan raya.

"Kena ragut. Habis, tu beg ada?"

"Dia cuba ragut tapi saya..."

"Cuba?" Terus Raqib mendengus tanpa Aatiq sempat sudahkan ayat.

"Yang kau berani sangat balik masa ni dah kenapa? Dah tak ada langsung rasa takut kau mentang-mentang kau tu bekas tahanan juvana? Atau kau nak aku panggil kau banduan? Kau rasa kau hebat sangat sebab dah bunuh orang? Sebab tu kau tak ada rasa takut sikit pun kepada sesiapa? Kan?" soal Raqib dengan gigi yang dikacip kemas.

Ikut hati dia nak jerit sekuat hati kepada Aatiq. Sedarlah diri tu sikit! Kalau dah perempuan, senang sangat menjadi habuan lelaki. Sekeras mana pun, tak berdaya dilawan kudrat lelaki yang dikuasai nafsu.

Sekali lagi, Aatiq terhenyak padu menerima soalan yang tak ubah bagaikan gergaji tumpul yang sedang membelah hatinya. Mana Raqib tahu semua tu? Dan kenapa mesti Raqib nak ungkit semua tu sedangkan dia tak pernah kenal lelaki bengis ini?

"Saya tak tahu apa yang awak cakap ni. Tapi, saya tak minta benda tu jadi."

Raqib tak pernah tahu. Aatiq pun tak harap semua itu menimpa dia. Dia sendiri pun tak sangka dia akan lalui tiga tahun zaman remajanya di dalam pusat tahanan itu. Dia tak nak!

Aatiq nak kembali ke waktu dulu dan pujuk hati dia moga lebih sabar. Tapi, masa lalu itu sudah terlalu jauh ada di belakang. Dia dah tak boleh berpatah balik. Jika dipandang semula, segalanya sudah begitu sayup ditinggalkan. Cuma, masyarakat tetap bercerita tentang semua itu. Raqib salah seorangnya.

"Memang senanglah kau cakap kau tak minta benda ni jadi. Setidak-tidaknya, kalau kau jenis tak sayang nyawa orang lain, sayang nyawa sendiri. Yang kau pergi rentap beg kau sampai jatuh luka berdarah segala ni, dah kenapa? Apa yang ada dalam beg ni sampai kau sayang sangat, hah? Apa?!" jerkah Raqib.

Dia salah faham. Aatiq tak maksudkan tentang dia yang diragut tapi apa yang terbit dari celah bibir tipis lelaki itu.

"Saya..." Suara Aatiq sudah berbaur sendu. Dia masih terkejut dengan kata-kata Raqib. Langsung tak dirasakan pedih pada telapak tangan yang koyak. Sesekali, dia cuba longgarkan lengannya yang masih dicengkam Raqib.

"Saya... tak tahu apa awak buat dekat kawasan rumah saya ni tapi saya tahu awak mesti cari saya sebab kebencian awak kepada saya tu. Cumanya, hal saya kena ragut, tangan luka ke, berdarah ke atau beg saya berharga atau tak..." Aatiq telan liur bertahan agar dia tak menangis lagi. Anak mata terangkat. Memanah tepat mata kuyu lelaki itu.

"Semua tu bukan urusan awak, Encik Raqib! Bukan!" tegas Aatiq bersama air mata yang menitis juga walaupun dia melarang.

"Siapa cakap bukan urusan aku? Siapa cakap?" soal Raqib mendatar. Setiap kali Aatiq melawan, rasa tercabar sungguh. Paling dia tak tahan melihatkan air mata itu mengalir. Dia benci!

"Saya yang cakap." Dia rentap lengannya daripada cengkaman Raqib. Lebih kasar dan kuat. Sedaya upaya dia kawal suaranya agar tak berdentum di tengah malam ini.

"Saya yang cakap." Ditepuk dadanya kasar.

"Apa yang jadi kepada saya bukan urusan awak! Bukan!" Makin tegas Aatiq bersuara.

Melihatkan kemarahan Aatiq yang lebih sedikit daripada tempoh hari, Raqib tenangkan gelora di dalam dadanya. Dihela nafas dalam. Dihembus perlahan. Kakinya melangkah ke depan setapak. Membawa tubuh dia benar-benar hampir pada jasad gadis itu.

"Dan, aku cakap..." Wajahnya ditunduk sedikit.

"Setiap apa yang jadi kepada kau dari hujung rambut ke hujung kaki, adalah urusan aku! Urusan aku!" Raqib juga tumbuk dadanya sendiri. Menyatakan apa yang dia maksudkan.

Jika mahu, dia masih mampu terus menggenggam lengan Aatiq tapi dia juga manusia. Ketika ini, hati lelakinya terasa sangat nyilu saat pandangan mata sekali lagi jatuh pada tapak tangan yang dipenuhi darah merah itu. Apatah lagi, haruman gadis ini begitu menggoda naluri lelakinya.

Dia tahu Aatiq sakit. Menyedari Aatiq yang bergerak ke belakang menjauhi dia, Raqib sekali lagi memaut pergelangan tangan Aatiq. Biarpun sedikit garang tapi tidaklah sekadar tadi. Digenggam perlahan pergelangan tangan halus itu. Kecil benar. Sekali dia hentak, boleh reput tulang Aatiq gamaknya.

"Kau berhutang dengan aku." Bisikan Raqib begitu perlahan melewati peluput telinga Aatiq. Gigi diketap dan rahangnya jelas sedang bergerak.

Jiwa lelaki seorang Raqib sedang berperang dengan musuh baru yang dia sendiri tak pasti apakah ia? Baru saja muncul mencelah antara permusuhan dia dan Aatiq.

"Seluruh jasad kau - hati dan jiwa kau. Milik aku!"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co