Truyen3h.Co

#HURT

Bab 14

karyaseni2u

DIA tak nak pun. Tapi dia dipaksa. Kudrat apa yang dia ada mahu melawan kekuatan Raqib yang menarik dan mendorongnya masuk ke dalam perut kereta? Hendak menjerit, bimbang dia akan diapa-apakan. Sudahnya, dia ada di dalam kereta Raqib sekali lagi. Kali ini berdua. Tanpa Johan.

Aatiq diam meladeni apa yang telah terjadi. Kata-kata Raqib tak ubah bagai pita perakam. Gelaran bekas tahanan juvana sudah cukup menyakitkan. Bagaimana dia mahu terima hadap apabila Raqib memanggilnya banduan? Air mata mula bergantungan pada alis. Aatiq tunduk memandang pada tangan yang dibalut sehelai sapu tangan dan yang membalutnya adalah tangan kasar itu.

Mata Raqib mengerling Aatiq seketika sebelum dia memandang ke depan. Seketika kemudian, jatuh pula pada tangan yang ada di atas riba. Nampak sakit tapi hati dia lebih sakit. Bibirnya herot dengan senyuman senget melihatkan wajah mendung Aatiq. Tadi berkerut juga wajah Aatiq apabila dia membelit sapu tangan pada telapak tangan itu. Dia sengaja. Tapi hairan apabila Aatiq sedikit pun tidak bersuara melainkan hanya mengetap bibir tanda yang dia sedang disakiti.

"Sakit?" Raqib memecahkan hening.

Aatiq menggeleng laju. Masih tunduk menekur pada telapak tangan sendiri seraya mengesat air mata yang belum sempat jatuh menitis.

"Nangis?" Makin lebar senyuman sinis koyak pada bibir Raqib.

Sepi. Aatiq tak bertindak balas sedikit pun.

"Tak payah nangis. Aku tak akan terpedaya dengan air mata tipu kau tu!" cemuh Raqib tanpa apa-apa rasa.

Suasana kembali sepi apabila nyata Aatiq masih diam membisu. Raqib juga memilih untuk diam. Hanya matanya semakin kerap mengerling gadis di sisi. Tak pernah ada mana-mana gadis berada di dalam satu kereta dengannya melainkan arwah mama dan arwah Raisya. Aatiq adalah yang pertama.

Aneh. Kenapa mesti dia yang aku benci?

"Air mata yang macam mana pada awak bukan air mata tipu?"

"Hah?" Terpinga-pinga Raqib dengan soalan Aatiq yang tiba-tiba. Dia terkebil-kebil sendiri sebelum menyoal.

"Air mata macam mana... Apa?" Kurang jelas sebenarnya soalan itu.

"Air mata yang macam mana pada awak, bukan air mata tipu?" ulang Aatiq.

Dipalingkan wajahnya merenung sisi wajah Raqib dan apabila Raqib berpaling dua saat, mata mereka berlaga tepat. Raqib telan liur. Soalan Aatiq sedikit sukar untuk dipangkah. Dia berdeham panjang. Menolak naik rambut yang jatuh ke dahi.

"Pada aku, apa saja daripada kau dan tentang kau... adalah palsu!"

"Kalau macam tu, berhenti sekarang," suruh Aatiq. Berani!

"Kau nak suruh aku campak kau tepi jalan dalam keadaan tangan kau luka berdarah gitu? Malam-malam buta ni?" Raqib buat muka.

Keretanya diperlahankan sedikit dan ditukar lorong paling kiri. Dia tak sekejam Aatiq walaupun kebencian dia pada gadis ini meluap-luap. Dia ada cara sendiri untuk menyakitkan Aatiq dan dia tak pilih untuk sakitkan fizikal gadis ini walaupun seinci. Dia dah janji akan dera emosi gadis ini sehingga dia puas hati.

"Awak cakap apa ada pada saya semuanya palsu. Air mata saya air mata tipu. Luka ni pun mesti tipu. Darah yang mengalir ni..." Kain balutan dibuka kasar. Disuakan telapak tangan yang masih berdarah itu tepat di depan muka Raqib.

"Ini pun darah tipu. Ini semua palsu. Saya tak sakit. Kesakitan saya palsu. Awak anggap ajelah yang kewujudan saya dalam dunia ni palsu. Anggap ajelah saya tak pernah wujud. Jangan ganggu saya lagi. Saya tak pernah sakitkan awak. Saya tak kenal awak. Kenapa buat saya macam ni?" Suara Aatiq biarpun berbalut getar, tapi tegasnya nyata.

Jika mampu, dia nak merayu agar Raqib berterus terang. Tentang salah silap dia. Tentang apa yang menjadikan Raqib begitu benci kepada dia. Dia akan sujud memohon kemaafan demi sebuah kesilapan biarpun sebelum ini dia dah minta maaf tapi Raqib hanya memandang sepi. Dia dah cukup menderita tiga tahun lalu dan sekarang, derita itu masih bersambung.

"Sampai bila awak nak ikut saya macam bayang-bayang?" Halus soalan Aatiq menusuk gegendang telinga Raqib.

Sekali lagi, halkum Raqib bergerak menelan liur. Dia terdiam seketika dihambur pemberontakan Aatiq. Memang pada dia air mata Aatiq adalah palsu. Aatiq gadis yang begitu kejam. Mana mungkin manusia kejam seperti Aatiq mengalirkan air mata tulus?

Tapi... dia kerling lagi tangan yang sudah kembali terdedah apabila gadis itu sendiri merentap balutannya. Rasa nak aje dia berhenti di bahu jalan dan membalutnya sekali lagi. Dia tak kata sakit Aatiq tipu dan dia juga tak kata darah itu palsu. Aatiq sedang menahan pedih. Malah, mungkin sudah dijangkiti kuman. Kerana itu dia heret Aatiq bersama dia.

Menjadi bayang-bayang Aatiq? Sampai bila? Dia menggeleng sendiri tanpa sedar diri diperhatikan. Sampai satu saat yang dia sendiri masih tak pasti, bilakah ia?

"Kau akan tahu nanti apa salah kau pada aku. Tapi sekarang..." Entah. Raqib gagap tiba-tiba. Apatah lagi apabila air mata yang dikatakan palsu itu mengalir setitis dua.

"Sekarang ni, ikut aku dulu."

"Saya tak tahu hutang apa saya pada awak tapi kalau niat awak nak rosakkan saya untuk dendam awak tu, saya akan lawan sampai mati," ujar Aatiq perlahan.

Ketawa sinis Raqib pecah. Dia tepuk stereng beberapa kali dan menggeleng bagai tak percaya akan apa yang terbit dari celah bibir Aatiq.

"Aku tak pernah terniat nak rosakkan sesiapa. Kau lebih-lebih lagi. Tak hadap aku nak kotorkan tubuh aku bila sentuh tubuh kotor kau tu!" herdik Raqib datar.

"Tapi buat masa sekarang, aku hantar repair kau dulu sebelum aku betul-betul rosakkan kau dengan lebih teruk sampai tak ada mana-mana bengkel boleh repair kau lagi!"

Terkedu lagi Aatiq menerima ayat Raqib. Dia... tak ubah seperti barangan pada pandangan Raqib. Tapi Raqib, masih kekal berahsia tentang hutang yang dikatakan.

Dia semakin rimas.

Lemas!

Setelah dia lepas dari tembok tinggi itu, dia nak hidup dengan berlapang dada. Cukuplah ada Tuhan dan ibu. Dia tak perlukan lain. Tapi, benar bagai dikata. Dia hanya merancang dan sekarang, Tuhan sedang menentukan yang lain. Mungkin kali ini dia akan benar-benar belajar apa itu erti sabar. Bukan hanya pada bibir semata-mata tapi pada hati dan jiwa yang dikatakan kepunyaan Raqib sekarang. Namun, nak menyerah... Tak mungkin!

"Kalau macam tu sekali bencinya awak kepada saya, rasanya awak tak perlu nak risau tentang saya. Tak perlu setiap kali nak terpacak di depan rumah saya. Tak perlu cari saya dan tak perlu pandang muka saya yang awak benci sangat ni. Tak perlu nak balut luka saya..."

Mendengarkan ayat terakhir Aatiq, brek ditekan mengejut. Aatiq hampir tersembam pada dashboard tapi pantas, telapak tangan kasar itu menahan dahi Aatiq. Berdebar juga di dalam dada apabila Aatiq hampir menyembam pada dashboard. Boleh lebam dahi licin itu.

"Sebab aku ni..." Tangan Aatiq yang luka ditarik kasar.

Sapu tangan yang ada di atas riba Aatiq dicapai dan dibalut luka itu sekali lagi. Kali ni dengan begitu kasar. Tak dihirau langsung wajah yang sedang menyeringai. Rasakan! Masa orang berlembut, kau berlagak kasar!

"Sebab kebencian awak pada saya mengatasi segalanya?" tanya Aatiq separuh berbisik melihatkan tangan Raqib ligat membelit tangannya. Dilap saki baki darah merah yang sudah mula nampak kering.

Jika tak diingat kerana kebencian yang dia tak tahu puncanya, dia akan jatuh suka kepada Raqib. Dia akan serahkan jiwa raga kepada lelaki ini demi untuk disayangi. Untuk dicintai. Tapi, itu semua mimpi ngeri dan dia perlu sentiasa jaga agar dia tidak terus begitu lena bersama mimpi yang menakutkan ini.

"Sebab, aku manusia. Aku manusia yang tahu sakit apabila dilukai. Aku manusia yang ada hati dan belas. Aku manusia yang..." Kelopak mata diangkat. Dipandang tepat pada anak mata Aatiq yang sejak dari tadi memandang dia.

Aku manusia yang rasa sakit di dalam dada apabila lihat kau luka tanpa aku tahu sebabnya sedangkan aku begitu bencikan kau! Bibir Raqib bergetar tapi sayang, suaranya hanya bergema di dalam dada sendiri.

"Kau buka lagi sekali balutan tu, aku koyak pakaian kau buat balut luka kau tu lagi. Faham?!" ugut Raqib.

Ditolak tangan Aatiq kasar. Dia kembali pegang stereng apabila lampu merah bertukar hijau. Setiap kali bersama gadis ini, dia sendiri hampir hilang arah. Setiap tindakan Aatiq memang sentiasa buat dia marah. Geram.

"Duk diam. Pakai tali pinggang tu elok-elok. Jangan sampai aku brek lagi sekali, muka kau pecah," pesan Raqib dan BMW X6 itu meluncur laju.

Sempat dia mengerling kepada Aatiq yang mengengsot rapat ke dinding. Ke mana lagi Aatiq boleh pergi di dalam kereta yang sedang meluncur laju ni? Erat Aatiq memeluk jasad sendiri. Terkesan dengan kata-kata dia yang mahu merobek baju gadis itu.

Tapi dia ialah Muhamad Raqib. Dia harus akur yang dia semakin jauh dari simpang kebenaran tapi untuk rosakkan anak dara orang, dia masih berfikiran waras. Tapi, jika ugutan itu mampu buatkan Aatiq berdiam diri, dia sekadar ukir senyuman. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co