Truyen3h.Co

#HURT

Bab 15

karyaseni2u

MANA datang rasa belas di dalam dadanya, tak dapat nak dipastikan. Mungkin kerana Aatiq benar-benar mengingatkan dia kepada Raisya. Semakin didekati Aatiq, semakin kuat rindunya kepada Raisya. Semakin dalam luka yang cuba dia pahatkan dalam hati Aatiq, semakin terasa sakit dalam hati sendiri.

Asing benar rasa ini!

Setelah dibiarkan Aatiq masuk sendiri ke dalam bilik doktor, Raqib hanya berdiri tegak di depan klinik dua puluh empat jam itu. Menyedut asap yang baru dia kenal setelah pemergian Raisya. Menyekat rasa mengantuk yang sedang bergayut pada mata.

Telefon bimbit dikeluarkan dari poket jean. Nama Johan ditekan dan hanya beberapa deringan, suara Johan menyapa perlahan.

"Tidur, Jo?"

"Ehem... Tak, bos. Bos dekat mana? Saya datang sekarang." Seperti biasa, dada Johan pasti resah apabila Raqib menghubungi dia pada tengah malam jika mereka tak bersama. Pasti ada sesuatu yang dah jadi.

"Eh, kau ni, Jo. Aku dengar suara baru bangun tidur tu," usik Raqib dalam tawa kecil. Johan ni, takut sangat dekat dia. Sampaikan tidur pun cakap tak tidur.

"Sorry, Jo... Kacau kau tengah-tengah malam ni. Kau rehatlah. Esok masuk kerja lambat sikit tak apa. Tapi, pagi esok telefon Shella minta dia panggil Aatiq untuk lapor diri dekat ofis aku. Tapi pastikan Aatiq tak tahu aku bos dekat situ," pesan Raqib.

"Dia sorang ke, bos?"

"Tiga-tiga. Dua orang lagi hantar ke Taman Melawati dan Kota Damansara. Aatiq aje dekat ofis aku," jawab Raqib laju.

"Satu lagi, Jo..." Berat lidah nak diberitahu kepada Johan. Risau jika Johan fikir bukan-bukan. Cumanya, dia memang tak nak sesiapa tahu melainkan dia dan Johan saja.

"Jangan sampai sesiapa tahu tentang Aatiq termasuklah Shella dan paling penting abah. Aku tahu Shella tak tahu lagi. Dekat abah pun aku cerita macam tu aje. Aku tak nak nanti Aatiq kerja dalam keadaan tak selesa. Aku nak dia selesa dulu sebelum aku betul-betul buat hidup dia macam haram," luah Raqib.

"Faham, bos. Tapi bos dekat mana sekarang?" Lain macam aje dia dengar suasana di tempat Raqib berada. Macam bukan dekat rumah. Masih ada bunyi bising walau dah lepasi tengah malam.

"Klinik."

"Hah?" Johan tak betah duduk.

"Bos accident ke?"

Sekali lagi, tawa halus Raqib pecah.

"Aku bawa Aatiq jahit luka dekat tangan dia. Tadi dia kena ragut tapi melawan macamlah beg buruk dia tu ada emas sekilo. Heh..." Dia menahan geram.

Jujurnya, dia geram dengan diri sendiri. Patutnya dia biarkan aje Aatiq selepas kena ragut tu. Dah, gatal pula nak balut tangan perempuan jahat tu bagai dan sekarang, siap bawa ke klinik. Gila!

Johan simpan senyum. Bagai mengerti yang Raqib pasti sedang membebel kepada diri sendiri. Walaupun orang lain tak tahu siapa Aatiq sebenarnya, ia tetap akan buat Aatiq lari apabila tahu dengan siapa dia bakal bekerja. Apa yang paling merisaukan Johan, Raqib mahu melukakan tapi tak mustahil Raqib juga bakal terluka.

"Saya menurut perintah, bos." Johan akur sebelum talian mati.

Tak sempat diletakkan telefon di dalam poket, pembantu doktor melambai kepada dia. Puntung rokok dibuang dan ditolak pintu kaca lantas mendekat pembantu doktor tersebut.

"Doktor kata, luka puan dalam juga sebab terhentak atas batu tajam. Itu yang darah banyak juga tu. Tak ada pilihan, kita kena jahit tapi puan tak nak. Doktor minta encik pujuk puan." Perlahan pembantu itu bersuara.

Fuh... Nafas kasar dilepaskan. Baru nak sejuk, dah kembali menggelegak. Raqib angguk dan terus menuju ke bilik doktor. Tanpa diketuk, dia terus masuk. Nampaknya sedang mencuci luka Aatiq.

"Oh, Encik Raqib..." Doktor muda itu senyum.

"Kena jahit, bos..." Seperti kenalan lama. Ya, dia kenal Raqib dah lama.

"Jahit ajelah." Dia kerling Aatiq yang tunduk.

Apabila doktor menggeleng, Raqib mendekat dan dilabuhkan duduk tepat di sisi Aatiq. Membongkok ke depan, menyulam jari-jemari sendiri sambil menyoroti wajah pucat itu.

"Kau nak doktor jahit atau kau nak aku yang jahit?" tanya Raqib separa mengugut.

"Tak perlu sesiapa jahit. Saya dah okey."

"Masalahnya, aku yang tak okey!" gumam Raqib mengetap bibir.

"Jahit... atau kau dengan aku akan ada dekat klinik ni sepanjang malam."

"Saya tak kesah tangan saya," balas Aatiq tak gentar dengan ugutan. Dia lebih risaukan ibu. Ibu mesti berjaga menanti dia.

"Saya nak balik sekarang. Mak saya mesti risau."

Kening Raqib naik sebelah. Oh, ada mak. Memang itulah yang dia tahu dari mulut Johan. Selain mak, Aatiq dah tiada sesiapa lagi.

"Telefon ajelah dia cakap kau lambat. Atau kau nak aku telefon?"

"Saya tak ada telefon..."

Hai... Apa jenis perempuanlah. Zaman serba canggih ni... Budak sekolah pun pakai smartphone tapi dia tak ada.

"Nah..." Dia hulurkan telefonnya kepada Aatiq tapi Aatiq menggeleng.

"Rumah saya tak ada telefon."

"Pula dah?" Wajah Raqib menyeringai.

Dia kemudian memandang kepada doktor yang sedang tersenyum memerhatikan gelagat mereka berdua. Diisyaratkan agar dijahit aje. Nampak isi sedikit tersembul keluar. Jika tak dijahit, macam mana nak sembuh? Macam mana nak kerja?

"Jahit," putus Raqib.

"Tapi..."

"Syhhh..." Laju Raqib mengisyaratkan agar Aatiq berhenti membantah.

"Ingat... Jasad dan jiwa kau milik aku. Aku kata jahit, kau kena jahit luka tu. Aku tunggu dekat luar. Kalau rasa sakit sangat, kau jerit aje kuat-kuat. Bagi aku dengar jeritan sakit kau tu biarpun tak terbanding dengan sakit dalam hati aku ni," ujarnya cukup perlahan.

Terus dia bangkit. Dia takut sebenarnya. Takut melihat jarum itu menembusi kulit Aatiq. Takut melihat air mata Aatiq dan takut mendengar sendu Aatiq.

"Awak..." Kepala Aatiq tertoleh kepada Raqib. Dia pandang wajah itu penuh berharap setelah Raqib juga berpaling.

"Apa lagi kau ni?!"

"Saya takut jarum," adu Aatiq perlahan dengan birai mata yang basah. Dia ada pengalaman yang tak elok dengan jarum.

Mendengarkan suara itu separuh merayu, kaki Raqib terpaku seketika sebelum dia mendekati Aatiq. Tak jadi nak keluar. Pandangan itu bagai magnet yang menarik dia begitu kuat.

Perlahan-lahan, dia kembali mendekati Aatiq dan doktor muda itu. Menikam wajah yang persis merayu itu. Belas dia muncul. Rasa aneh itu muncul lagi di antara kebencian kepada Aatiq.

"Jahit. Aku temankan..." Dan, dia labuhkan duduk merenung sisi wajah Aatiq tanpa beralih walau sedikit pun.

MATA bundar Aatiq terpejam rapat apabila jarum tajam itu melalui kulit. Sesekali, Aatiq mengetap bibir dan kening itu berkerut-kerut. Lebih menyakitkan, tanpa sebarang ubat bius.

Pandangan dia tak lepas sesaat pun meratah wajah Aatiq. Cantik betul dia. Hati lelakinya tak mampu menidakkan. Tak berdaya bertahan daripada memuji keindahan di depan mata. Walaupun pucat seolah-olah darah itu kering daripada badan, Aatiq masih punyai keindahan yang boleh melalaikan dia sebagai lelaki yang tercipta dengan satu kehendak.

Lama dia merenung wajah di depan mata. Rasa belas apabila setiap kali jarum tajam itu menusuk ke kulit dan menyentuh isi yang tersembul. Setiap kali Aatiq seperti berdesip, terasa ringan tangannya untuk mengusap bahu gadis ini.

"Ouch..."

Suara Aatiq mematahkan renungan. Tusukan terakhir sedikit berbisa apabila perlu melalui kulit yang tebal.

"Sakit?" soal Raqib. Ya, dia tahu soalan bodoh sebab orang tu dah mengaduh. Dia boleh lagi ajukan soalan macam tu. Entahlah. Spontan terluncur.

"Haruslah sakit, Qib. Tak pakai bius ni." Bukan Aatiq yang menjawab tapi doktor merangkap kenalan dia, memberi jawapan.

Dipalingkan wajahnya kepada doktor itu. Tersengih senget apabila akhirnya rawatan sudah selesai.

"Kenapa kau tak pakai ubat bius?" soal Raqib mahu tahu.

"Ubat bius ni akan memperlahankan proses sembuh. Lagipun, tiga jahitan aje. Nampak dia macam kuat. Steady aje."

Doktor mendekatkan bibirnya ke telinga Raqib.

"Aku nampak kau yang sakit lebih daripada dia," bisiknya.

Serta-merta Raqib bangkit.

"Gila kau ni!" Lebar dia mencebik.

"Kalau dah siap, aku tunggu dekat luar." Tajam dia menjeling doktor yang sedang tersengih.

Puas dapat diusik Raqib yang dah pecahkan rekod. Mana pernah Raqib ambil berat begini sekali terhadap wanita lain. Dia tahu apa yang Raqib lalui. Dia kenal Raqib siapa. Raqib hanya komited tentang kerja dan keluarga. Selain itu, Raqib tak kesah.

Wajah Aatiq dipandang mesra. Entah apalah yang buatkan Raqib begitu kesah tentang perempuan ni. Sarung tangan getah dibuka setelah siap semuanya.

"Aatiq, kan?"

Aatiq angguk.

"Saya kawan Raqib sebenarnya. Kenal dalam tiga tahun lepas..."

"Tiga tahun lepas?" soal Aatiq kembali.

"Ya, masa tu dia diduga berat. Saya ada masa tu dengan dia."

"Kenapa dengan dia masa tu?"

"Kenapa, ya?" Doktor muda tersebut buat-buat tidak mengerti. Dia bangkit mendekat pada daun pintu. Dikuak pintu lebar.

"Kenapa dengan dia masa tu?" ulang Aatiq.

"Kenapa Cik Aatiq rasa nak tahu tentang dia?" Melihat pada tingkah Raqib, dia tak fikir Aatiq dan Raqib ada hubungan istimewa sebagai pasangan kekasih. Jauh sangat tu.

"Entahlah. Saya rasa dia tu..." Tak jadi Aatiq mahu bersuara apabila Raqib berpaling kepada dia dan sedang mengatur langkah kemas menuju kepadanya.

"He is coming. And... when the time comes, you will know. Just take care of him," pesan doktor itu separuh berbisik sebelum susuk tubuh sasa Raqib benar-benar terpacak di depan mereka.

"Dah siap?"

"Yup."

"Aku blah dulu."

"Okey." Kening doktor terjongket tinggi. Nampak menarik betul asal pertemuan dua makhluk di depan dia ni.

"Jom, balik!" Arahan Raqib tegas. Dia terus menapak membiarkan Aatiq terkial-kial sendiri.

Sempat Aatiq berpaling kepada doktor itu, namun hanya senyuman tipis yang menghantar kepergian mereka berdua.

Siapa Raqib ni? Mengapa begitu banyak persoalan yang timbul biarpun mereka baru saja dipertemukan?

Kenapa lelaki ini begitu perahsia orangnya?

Dan kenapa harus dia yang menjadi mangsa?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co