Bab 8
MALAMNYA tak pernah tak terganggu. Hampir setiap malam, malah kian kerap pula sejak akhir-akhir ini kejadian itu menghiasi mimpinya. Seluruh tubuhnya perlu dibasuh dengan wuduk.
Dia tidak tenang. Dada dia tidak lapang. Dan hanya kepada Pencipta udara inilah dia perlu pinta sedikit ruang untuk bernafas dengan tentang. Saat dia membasuh kedua-dua belah tangan, bagai mengalir darah merah itu daripada kedua-dua belah telapak tangan namun kenapakah darah itu tak pernah mahu kering?
Tuhan...
Aatiq terus membasuh celah jari-jemari. Kanan dan kiri - beralih pada anggota lain pula. Biarpun terasa dosanya tak pernah hilang bersama air yang mengalir, dia masih tak puas membasuh segalanya.
Tak sedar, air matanya menitis lagi. Sesekali, nafas dia sesak benar. Dia mendongak ke siling yang kekuningan. Mata dipejam rapat. Wajah-wajah yang terluka muncul di dalam kepala. Suara jeritan kesakitan Raisya - mengaum kuat. Kelopak mata Aatiq terbuka. Dia terus membasuh muka sekali lagi sebelum keluar dari bilik air menuju ke bilik.
Telekung disarung ke tubuh. Terasa begitu hening. Malah, setiap saat dirasakan hidup dia bagai berada di penghujung jalan yang mati. Jika tidak kerana ibu, pastinya dia akan begitu kejam dan jahil merenggut nyawa sendiri.
Lama dia berteleku di atas sejadah seusai solat sunat taubat dua rakaat. Sujud akhirnya lama. Air mata menitis tak terseka. Setelah itu, dia bangkit dan duduk di birai katil bujang yang sudah usang. Bunyi unggas bersahutan. Seperti bunyi itu sedang memanggil, dia bangkit dan berjalan ke pintu besar. Ditarik selak dan dikuak pintu kayu itu lebar.
Dinginnya udara sepertiga malam. Terasa begitu nyaman memujuk hatinya yang dia sendiri telah lukakan. Dengan tubuh yang masih dibaluti telekung, Aatiq labuhkan duduk di atas kerusi rotan usang yang ada di depan pintu.
Sepi.
Tiada satu suara pun yang berbisik melainkan unggas cengkerik yang bertasbih. Dia pandang ke dada langit yang nampak terang namun sebutir bintang pun tiada menghiasi. Seperti juga dia. Melihat pada riak wajah, pasti masyarakat tak mampu menerka apa yang telah dia lakukan. Wajahnya bersih dan tenang namun hatinya hitam. Tiada seri.
Air mata Aatiq mengalir lagi. Kemudian dipejamkan mata. Lama.
Raisya... Aku tak pernah putus mendoakan kesejahteraan kau setelah kau pergi. Tak pernah sesaat aku lupakan kau dan kesakitan yang kau alami. Tak pernah sesaat aku tersenyum setelah apa yang aku buat dekat kau, Raisya. Tak pernah sesaat aku berhenti daripada menyalahkan diri sendiri.
Kau menang biarpun kau pergi.
Aku kalah walaupun aku masih di sini.
Senyuman aku - pergi bersama kau, Raisya. Kembali kepada Penciptanya.
Tawa aku - terlalu sumbang apabila diselangi tangis kekesalan aku kepadamu.
Adakah keterlaluan jika aku bertanya, Raisya? Adakah kau ampunkan aku?
Dan Aatiq tahu, soalan itu tak pernah berjawapan melainkan air matanya kembali laju mengalir.
MATA Raqib tak lepas sesaat memerhatikan wajah itu dari kejauhan. Biarpun sedikit jauh, tapi pandangan mata dia masih tajam dan tepat. Dia tak pernah tersasar merenung sasarannya. Dia tahu Aatiq menangis. Tapi, adakah tangisan itu mampu membasuh luka dalam hatinya? Membasuh segala dosa yang telah Aatiq lakukan?
Kepala Raqib menggeleng sendiri. Tak sangka. Kedatangan dia seperti dapat dirasakan oleh Aatiq dan gadis itu keluar menyerah diri kepadanya. Jika mahu, dia boleh arahkan Johan menculik Aatiq tapi melihatkan Aatiq berbalut telekung begitu, terasa berat tindakannya malah lidah dia juga memberat sama.
Hanya mata yang memerhati. Lidah pula tak dibenarkan bekerja.
"Bos?" Johan berpaling memandang Raqib.
"Erm..."
"Tak nak balik lagi?" Rasanya dah dekat sejam mereka duduk di dalam kereta ni. Jujurnya, dia juga letih. Esok, pasti lebih banyak tugas yang menanti.
"Kejap, Jo. Aku tak puas lagi nak tengok dia."
Dahi Johan berkerut. Tak dapat dia pastikan maksud kata-kata Raqib namun, selain pilih untuk diam... Tiada apa lagi yang mampu dilakukan.
"Aku tak maksudkan macam apa yang kau fikirkan tu, Jo." Mata kuyu Raqib mengerling Johan. Nampak Johan terkulat-kulat dengan kata-katanya.
Sekilas ikan di air, dia dah tahu apa yang bermain di dalam kepala Johan dengan ayatnya tadi. Kemudian, dia kembali memandang Aatiq. Tak takutkah perempuan ni duduk sendiri pada pagi yang begitu hening? Dahlah rumah tak berpagar. Senang-senang aje orang nak culik. Pandangan mata diredupkan lagi. Apabila Aatiq berpaling ke arahnya, bagai berlaga pandangan. Raqib senyum sendiri.
Ataupun dia sudah terlalu berani? Sebab tu sanggup bermain dengan hati aku? Bahagia aku? Keluarga aku? Dan orang-orang yang aku sayang?
"Macam ni ke rupa dia tiga tahun dulu, Jo?" soal Raqib tiba-tiba. Lebih pada diri sendiri sebenarnya. Entahlah. Rasa seperti tak ada apa yang berubah pada wajah itu melainkan tubuh itu nampak begitu kurus.
Johan telan liur. Dia tak pasti. Tapi daripada apa yang pernah dia lihat, nampak tak berubah. Masih cantik dan sejuk mata memandang.
"Saya rasa dia makin cantik, bos," jawab Johan jujur. Pandangan dia sebagai lelaki yang pernah melihat wajah itu dulu.
Tawa sinis Raqib terluah. Menggeleng sambil meraup wajah yang jelas penat. Johan ni, semua orang dia cakap cantik. Namun, jauh di sudut hati, dia perlu akui yang Aatiq memang nampak cantik.
"Tapi sayang, hati dia tak secantik zahir dia. Kalau orang tu ada hati yang cantik, dia tak akan rosakkan bahagia orang lain. Betul tak, Jo?"
Johan tak beri reaksi. Sekadar memandang wajah Raqib daripada cermin pandang belakang. Dia tahu betapa terseksanya Raqib sejak dulu malah setelah bersua kembali dengan Aatiq, kesakitan itu nampaknya semakin menjadi-jadi.
"Kau rasa kenapa dia tak tidur lagi masa ni, Jo?" Masa ini adalah waktu yang seronok untuk mengayam mimpi. Tapi Aatiq tak tidur.
Mata Johan turut merenung jauh pada Aatiq yang nampaknya kembali menengadah langit yang kelam. Dengan bertelekung, sah-sah Aatiq bangkit untuk solat malam dan dia tahu, Raqib tahu itu. Tapi soalan itu masih ditanya. Gamaknya, bos dah habis soalan nak ditanya.
"Kita balik, bos?" ajak Johan.
Perlahan-lahan, Raqib kalih kepala memandang Johan. Dia angguk tipis. Mata dipejamkan.
"Esok kau ikut dia lagi. Sampai dia dapat kerja dan aku nak tahu, dekat mana dia kerja." Di mana Aatiq mahu bertapak dia akan pastikan ia berakhir tanpa permulaan pun.
"Baik, bos."
"Satu lagi..." Mata Raqib terbuka semula.
"Aku nak tahu sijil apa yang dia ada."
Johan angguk. Akur.
DADA Aatiq berdebar tak sudah. Silau lampu kereta itu mula meninggalkan kawasan tempat tinggalnya. Pantas dia berdiri. Melemparkan jauh pandangan tapi kereta itu telah menjauh pergi. Seluruh tubuhnya meremang tiba-tiba. Cepat-cepat Aatiq berpaling dan dia hampir terduduk apabila susuk tubuh ibu tercegat di pintu.
"Allah... Nak gugur jantung Aatiq, bu." Diusap dadanya perlahan seraya melepasi ambang pintu. Dikerling ibu yang merenung sedih.
"Ibu baru jaga?'
Mak Yam menggeleng.
"Ibu jaga bila sedar yang Aatiq tak ada sebelah ibu." Ibu dah jaga lama rupa-rupanya. Pasti berdiri aje dekat situ memerhatikan dia. Aatiq lorekkan senyuman. Tangan ibu dipegang.
"Aatiq terjaga, bu. Itu bangun solat terus alang-alang Tuhan kejutkan Aatiq. Rugi pula kalau tak terus solat. Dua rakaat aje pun. Lepas tu Aatiq rasa panas, itu yang keluar duduk dekat depan," terang Aatiq cuba dihalau keresahan dalam pandangan mata ibu.
"Ibu tahu." Melainkan membalas senyuman Aatiq, Mak Yam tak mampu berbuat apa lagi sedangkan dia tahu, Aatiq jaga daripada dihambat mimpi yang ngeri.
Sejak Aatiq balik, setiap malam juga Aatiq bagai berlari dalam lena. Tidur anaknya memang tak pernah nyenyak.
"Pergilah tidur. Esok nak sambung cari kerja lagi, kan?"
Laju Aatiq angguk.
"Ini kalau lena balik, takut terlajak subuh. Ibu kejut nanti. Bukan apa, selesa sangat tidur takut tak sedar diri." Dia tersengih menggaru kepala yang dibalut telekung.
"Yalah..." Mata tua Mak Yam menghantar kelibat anak yang hilang di balik dinding bilik sendiri.
Ibu tahu Aatiq tak tenang dan cara mana Aatiq mencari jalan tenang itu, adalah yang terbaik sekarang, nak.
Hati ibu berasa begitu pilu tapi melainkan sabar dan doa, dia sendiri tak tahu ubat apa lagi yang perlu dia suntik untuk Aatiq tinggalkan jauh mimpi ngeri itu di belakang. Atau paling tidak, lawan hingga kengerian itu tewas tak bangkit lagi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co