Truyen3h.Co

#HURT

Bab 9

karyaseni2u

DIA tak pernah rasakan dunia ini tidak adil. Tak pernah sekalipun, melainkan dia yang tak pernah adil dengan diri sendiri. Jika dikata dia dizalimi, tidak. Dia yang zalim pada diri sendiri. Dan segalanya seperti satu hukuman.

Sijil di depan mata dipandang. Dia tak ada sijil SPM. Dia tak berkesempatan untuk menduduki peperiksaan penting tu atas beberapa sebab biarpun sekolah tempat dia belajar tentang hidup buka peluang kepada yang layak. Yang menjadikan dia terhalang adalah dia tak layak.

Sekarang hanya berbekalkan sekeping sijil dalam bidang masakan ini saja. Itu pun semuanya seperti tersekat. Adakah terlalu lama dia terasing daripada dunia hinggakan dia tidak sedar yang segalanya telah berubah? Birai mata Aatiq basah. Diseka dengan hujung jari telunjuk. Dia rasa mahu menangis lagi.

Wajah mendongak ke langit yang begitu cerah. Tersenyum pada langit kerana dia tahu, langit pasti membalas senyuman dia. Dia mahu berbicara kepada pemilik isi langit dan bumi ini betapa dia terluka diherdik tentang kisah lalunya.

Tuhan... Aku percaya akan rezeki-Mu. Dan janganlah Kau palingkan hati aku menjadi hati-hati yang mengalah melainkan terus berjuang. Demi-Mu, Allah. Demi ibu. Dan tiada satu pun demi aku. Tiada.

Air jernih itu menitis juga biarpun dia sudah pujuk berkali-kali agar disimpan saja air mata ini. Dah banyak kedai makanan segera dan restoran dia masuk hari ni tapi semuanya tak memerlukan khidmat dia. Hotel besar apatah lagi. Tak pandang terus kepada dia. Biarpun dia merayu untuk diberi tugas sebagai pengangkat sampah pun, itu adalah yang termulia buat insan seperti dia. Dia sudah lama hilang hak untuk memilih. Dia akan hadap apa adanya yang datang.

"Kenapa menangis?"

"Hah?" Terkejut dengan teguran, Aatiq cepat-cepat mengesat sisa air mata di pipi. Dia berkalih ke kanan. Seorang lelaki yang dia kira berpangkat ayah kepadanya tersenyum.

"Kenapa menangis?" Soalan itu diaju lagi melihatkan mata bundar basah itu terkebil-kebil. Terkejut gamaknya ditegur tiba-tiba.

"Errr... Tak ada apa, pak cik." Wajah yang tadinya mendung bertukar ceria. Dia pandang gaya lelaki lebih separuh usia ini. Nampak segak. Berkopiah putih dengan kemeja kotak-kotak dan seluar slek hitam.

"Pak cik tunggu bas?"

Lelaki tua itu menggeleng.

"Tunggu driver."

Bibir Aatiq bulat menerima jawapan itu. Beruntunglah orang-orang yang kaya dan damai hatinya.

"Tunggu bas, ya?"

Giliran Aatiq pula menggeleng.

"Saja rehat kejap. Penat jalan." Dia hanya senyum kepada orang tua di sebelahnya. Tak tahu lagi nak berkata apa.

Ada masanya, apabila kembali berhadapan dengan masyarakat ini, dia seolah-olah risau untuk berkomunikasi. Gamaknya, keyakinan diri dia masih belum ditemui. Mungkin juga kerana itu dia tak diberikan peluang bekerja. Aatiq tunduk memandang telapak tangan. Tak lama, dia pejamkan mata. Takut dia pada tangan sendiri yang sudah banyak berbuat keburukan.

"Nak?"

Kelopak mata terbuka. Dia menoleh ke kiri. Senyum seketika lantas bangkit. Kalau duduk di sini, sampai ke sudah tak dapat kerja. Benda tu semua, bukan datang bergolek.

"Pak cik, maaf. Saya ada kerja lagi sebenarnya. Saya jalan dulu, ya? Pak cik hati-hati tau?" pesan Aatiq dan dia terus bangkit setelah senyuman tipis diukir manis.

"Nak..."

Langkah Aatiq terhenti. Lelaki tua itu menggamit dia mendekati.

"Nak pergi mana tergesa-gesa? Kerja?"

Aatiq geleng menafi. Kerja tu dah betul tapi bukan pergi kerja.

"Pergi cari kerja, pak cik. Tak ada kerja lagi." Rasa kelakar pun ada walaupun tak adalah kelakar mana.

"Susah sungguh nak cari kerja sekarang, pak cik. Nak-nak orang macam saya ni." Senyuman manis itu bertukar tawar.

"Orang yang macam mana?" tanya lelaki tua itu ramah.

Aatiq memilih untuk diamkan diri. Orang macam mana lagi kalau orang yang menjadi sampah masyarakat. Orang yang patut dihina, dikeji. Orang yang patut dihukum sampai ke sudah.

"Nak, dengar cakap pak cik ni." Lelaki itu juga turut bangkit. Tadi, senyuman anak gadis ini manis seperti madu. Sekarang, biarpun sedikit mendung, tapi masih tersembunyi keindahan sinar-sinar yang bagai malu memunculkan diri.

"Jangan putus asa. Teruskan usaha. Peluang tu akan sentiasa datang pada yang mencari. Percayalah."

"Nah..." Sekeping kad dihulurkan kepada Aatiq. Gadis ini nampak benar-benar memerlukan. Tak salah rasanya dia bantu sedikit. Selebihnya, biarlah Tuhan tentukan setiap perjalanan.

"Itu restoran orang yang pak cik kenal. Cubalah pergi tanya. Manalah tahu ada kerja kosong. Jumpa manager dia. Boleh jadi, ada rezeki dekat situ." Senyuman dikoyak ikhlas.

Lapang dada Aatiq memandang senyuman itu. Antara senyuman yang menenangkan gundah. Seperti juga senyuman ibu. Memujuk kala resah. Kad bertukar tangan. Aatiq terdiam seribu bahasa. Kepalanya hanya ditunduk menatap kad nama tersebut.

"Shella?" Perlahan nama itu meniti pada bibir. Pengurus. The Rebung.

Betul kata pak cik ni. Dia akan ke sana. Mana tahu, rezeki dia. Dia masih berusaha dan tak akan berputus asa. Setelah beberapa saat berlalu, dia angkat wajah.

"Errr, terima ka..." Suaranya mati di situ apabila lelaki tadi hilang tanpa mampu dia jejak.

Eh, takkanlah? Dia tidak dapat tidak, berfikir yang bukan-bukan juga. Kutlah bunian yang datang tolong dia ke? Eh, tak mungkinlah. Siang-siang hari ni, mana nak datangnya orang bunian? Lagipun, bukan dalam hutan.

Akhirnya, dia lakarkan senyuman lebar. Ini dinamakan bantuan Tuhan tiba pada waktu yang tepat. Nafas dihela tenang. Tak sangka. Senyuman kembali menjadi hiasan wajah. Dia akan dapatkan kerja ini walaupun hanya sebagai pencuci. Dia tak kesah. Janji, dia ada pendapatan tetap.

"Jangan senyum!"

Hah? Dada Aatiq berdetak laju. Bagai nak terbang jauh semangat dia disergah tiba-tiba. Tak sempat dia memasang langkah dan kini dikejutkan dengan satu lagi teguran.

Kepalanya tertoleh ke kanan dan ke kiri serta ke belakang. Manalah tahu, teguran itu untuk orang lain. Tapi, hanya dia sendiri di sini dan mata redup itu sedang memandang tepat kepadanya.

"Jangan senyum!" Semakin tajam amaran itu dikeluarkan.

Senyuman Aatiq terus padam. Kad tadi diselit di dalam beg.

"Saya rasa awak ni salah orang," tegur Aatiq.

Lelaki itu menggeleng dengan mata terpejam untuk dua saat. Kemudian, kembali merenung dia.

"Aku tak pernah silap orang." Kasar dan keras penafiannya.

Suasana sepi beberapa ketika. Aatiq beranikan diri menilik wajah di depan biarpun anak mata lelaki itu tak pernah lepas daripada wajahnya. Dia mahu ingat jika dia benar-benar terlupa. Dia mahu kembalikan setiap peristiwa lalu yang ada kaitan dengan lelaki ini tapi dia masih gagal.

"Kita ni..." Atiq masih menilik wajah itu lama.

"Kita saling kenal ke sebelum ni?"

Sekali lagi lelaki tadi menggeleng.

"Kau tak kenal aku dan sekarang, aku nak kau kenal aku. Yang pasti, aku dah lama kenal kau. Cuma sekarang baru dapat cakap dengan kau."

"Kita ni rakan sekolah, ya?" Memori Aatiq bagai berbalam. Dia yakin dia pernah lihat wajah ini tapi...

Tawa lelaki di depan mata mencantas usaha dia menggali segala memori yang ada.

"Kau ada nampak aku sebaya kau ke?"

Tiada jawapan melainkan gelengan Aatiq saja. Lelaki di depan dia sekarang ni nampak tua beberapa tahun saja. Mungkin masa dia tingkatan lima, lelaki ini tingkatan enam atas.

"Sungguh saya tak ingat." Dia tak menipu. Dia tak pernah reti untuk menipu melainkan dipendam segalanya sendiri.

"Tak apa. Masa akan buat kau ingat semuanya." Raqib meratah segenap inci wajah yang nampak begitu tenang.

Andai Aatiq tahu dia siapa, mampukah wajah itu terus beriak tenang?

Dia beralih pada sekujur tubuh Aatiq yang bertutup sopan. Jika tak diingatkan apa yang dah jadi, rasanya dia mungkin jatuh suka kepada gadis seperti Aatiq. Nampak sopan dan baik pada luaran. Namun, Aatiq indah khabar dari rupa. Zahir yang nampak bersih, tak akan mampu menyucikan kotoran yang pernah Aatiq lakukan.

"Errr, awak. Saya bukan nak kurang ajar tapi saya nak cepat ni. Saya jalan dulu."

Suara Aatiq mencantas renungan Raqib. Saat Aatiq hendak berlalu, dia lebih laju mencengkam lengan Aatiq. Nampak mata Aatiq merah memberi amaran tapi dia tetap tenang bagai tak terkesan langsung akan amaran gadis itu.

"Awak ni nak apa daripada saya sebenarnya?" Terkejut bukan kepalang dia apabila lelaki asing ni begitu berani melelar lengannya.

Sudahlah bertegur tanpa amaran. Dia tak kenal pun. Mungkin wajah ini hadir dalam ribuan manusia yang pernah berselisih dengan dia tapi dia tak pernah tahu siapa lelaki ini.

"Rasanya saya tak berhutang apa-apa dengan awak. Baik awak lepaskan sebelum saya..." Dia cuba rentap tangannya, tapi semakin kejap pula dicengkam.

"Jerit?" Kening lebat Raqib terjongket tinggi. Dia gariskan senyuman senget. Cukup tajam dan mengilukan pada pandangan Aatiq.

"Berani kau cakap kau tak ada hutang apa-apa dengan aku sedangkan aku tak fikir kau mampu bayar hutang kau pada aku biarpun kau hidup seribu tahun," bisik Raqib. Begitu tajam menusuk gegendang telinga Aatiq.

Terasa payah liur yang ditelan. Mata Aatiq berair. Dia pandang sekeliling. Ada mata yang mula menjeling tapi tiada seorang pun berani mendekati. Ikut hati dia mahu jerit tapi kotak suara dia terkunci mendengarkan ayat akhir lelaki ini.

"A... Apa hu... Hutang saya?" Gagap dia menyoal kembali.

"Kau nak tahu?" cabar Raqib.

Gadis itu diam tak beri reaksi tapi anak mata bundar itu jelas menunjukkan jawapan.

"Ikut aku." Saat ini BMW X6 itu berhenti tepat di depan mereka.

Aatiq kerut kening. Dia cam kereta ni. Bila pemandu itu keluar, dia hampir jatuh rahang. Dia cam pemandu itu. Kemudian, dia berpaling pula kepada lelaki di depan mata. Lama dia merenung mata yang juga yang merenung dia.

Dia? Dan, getaran di dalam dadanya semakin mengganas.

"Ingat aku?"

Bagai kehilangan kata, segala yang terjadi beberapa hari lepas terlayar kembali. Luka pada sikunya terasa pedih tiba-tiba.

"Saya ingatkan semuanya setakat hari tu aje."

Raqib dekatkan bibirnya ke sisi wajah Aatiq.

"Ikut hati, aku nak lenyek kau atas jalan raya tu, perempuan!" Keras ditekan ayat akhirnya.

Air mata Aatiq yang sekadar menari di birai kelopak, menitis akhirnya. Ingatkan semuanya akan berakhir di situ. Tapi hari ini, soalan yang sama muncul lagi. Apa salah dia kepada lelaki ini? Dosa apa lagi yang telah dia lakukan? Benar gamaknya, hukuman sebelum ini tak pernah cukup hingga hukuman kedua sedang dijatuhkan.

Tapi, siapa lagi yang akan menghukum dia?

Atas kesalahan yang mana?


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co