Truyen3h.Co

Imanku Lelaki Pendosa

Bab 2

karyaseni2u

"WOW... Kak Cahaya macam tuan puteri, cantik sangat!" komen Dahlia bila masuk ke bilik dan melihat Kak Cahayanya dah siap disolek Kak Anggun.

"Puteri yang mana satu, Dahlia? Nak juga kakak tahu rupa kakak ni macam anak raja mana."

Dahlia melopong. Tak ada jawapan. Sudahnya tiga beradik tergelak sama-sama. Sungguh... Orang selalu kata cantik macam puteri, tapi tak tahu rupa tuan puteri macam mana.

"Pandainya Kak Anggun make over. Tak payah upah MUA mahal-mahal pun letup solekan di wajah Kak Cahaya," komen Dahlia lagi. Nampak sangat muka dia yang kagum dengan hasil kerja kakak sulung pada wajah kakak keduanya. Kak Cahaya yang dah cantik itu bertambah-tambah cantik lagi. Kalah tuan puteri. Ops!

"Haahlah, Dalam diam-diam Kak Anggun terrorlah. Dah la hebat menggubah, hebat juga transform muka orang. Cahaya tak expect dapat hasil excellent macam ni."

"Tengok tangan la, adik-adik sayang oi. Ingat Kak Anggun ni lekeh sangat ke? Walaupun Kak Anggun ni simple aje pakai, tak bermakna kakak tak pandai buat semua ni. Kakak tak show off aje tau!" Anggun bersuara selepas menyelesaikan tugas akhir jarinya di wajah Cahaya. Dari tadi sangat fokus dengan kerjanya sahaja.

Cahaya senyum. Setuju sangat dengan kata-kata Anggun. Si kakak memang seorang yang sangat tak kesah pasal penampilan. Jarang bersolek dan pakai baju mana ada aje. Janji selesa. Jean koyak lutut dan baju T lusuh pun dia sarung. Menjeling abah tengok, tapi Kak Anggun selamba badak aje, ada inner kat dalam apa. Tapi, sesekali kalau Anggun berhias, terbeliak mata semua orang tengok. Cantik siot. Memang gitulah kut, orang yang jarang bergaya ni, sekali dia make over, lawa gila jadinya. Benda rare kan, dah tentu istimewa.

Kak Anggun tak belajar mana-mana pun pasal make up ni. Berguru kat YouTube aje. Tapi tangan dia memang berseni. Seperti kata abah, turun daripada mama. Kak Anggun banyak mewarisi sifat-sifat mama. Walaupun dia orang berdua tak rapat. Sama-sama panas, ada-ada saja yang tak kena bila bersua muka.

Bab-bab menghias diri ni mama Cahaya hebat. Puan Wahidah memang seorang wanita yang cantik dan bergaya. Baju lawa-lawa dan up to date belaka. Tak keluar rumah kalau wajah tak bersolek cantik. Dalam rumah pun sentiasa maintain wangi aje. Pakai gaya mak-mak Datin.

Sayang sekali, obsesi Puan Wahida terhadap kecantikan sedikit pun tak menurun pada anak-anak daranya. Dia orang semua sederhana sahaja penampilan. Tidak terlalu bergaya, tak selekeh juga. Kecuali Anggun la yang sesekali terlebih berani menghodohkan diri walaupun kena kerling dengan Encik Firdaus.

"Dahlia... Mama kat mana?" Tiba-tiba Anggun teringin nak tahu pasal Puan Wahidah. Tanya Dahlia sebab si adik tu yang berada di luar bilik tadi. Mungkin Dahlia ada nampak mama.

Dahlia jongket bahu.

"Tak nampak pun. Abah aje yang sibuk ke hulu ke hilir."

"Mama kat dapur kut, mana tau Dahlia tak perasan." Cahaya cuba bela mamanya. Selalu tu begitulah, Cahaya lebih suka fikir yang positif.

"Mana ada... Bukan ada kerja apa pun kat dapur tu, makanan semua catering hantar," bantah Dahlia.

"Dalam bilik la tu, sembunyi. Nak tunjuk protes tak suka Cahaya bertunang. Nak salahkan Kak Anggun yang belum ada boyfriend lagi sampai Cahaya kena langkah bendul," ujar Anggun.

"Dahlia tak rasa itu sebabnya. Ramai kut sekarang ni, adik kahwin dulu dari kakak. Dah jodoh, kan? Biarlah siapa nak kahwin dulu. Takkan kalau kakak tak kahwin, adik juga kena turut solo sama. Masing-masing punya rezeki."

Laju Anggun mengangguk.

"Betul! Rasa macam ada yang tak kena aje. Mama kita kan moden dan sophisticated, takkanlah dia kesah pasal langkah bendul ni semua? Macam ada sesuatu yang dia sorokkan daripada kita semua."

"Kan... Dahlia pun rasa macam tu. Ibu orang lain, excited kalau anak dara dipinang orang, mama kita pula monyok aje muka. Padahal mama paling sayang dengan Kak Cahaya berbanding kita berdua yang suka melawan cakap dia ni. Pelik!"

"Alah... Biarlah. Mungkin mood mama tengah swing. Mama kan selalu macam tu bila datang bulan. Kita semua dah tahu kan, mama murung bila period. Kasihan mama, senggugut dia teruk yang amat."

Anggun merengus kasar, tak puas hati dengan kata-kata Cahaya yang selalu menyebelahi Puan Wahidah, walaupun mama mereka tak betul.

"Cahaya... Ini majlis Cahaya tau. Tak kecil hati ke dengan sikap mama? Cahaya bukan nak bertunang banyak-banyak kali. Sekali seumur hidup kut. Takkan mama tak nak support langsung? Macam kita ni anak-anak tiri dia saja, buat hal masing-masing. Tak patut tau."

"Yalah, Kak Cahaya. Kak Anggun pula yang galas tugas mama, tolong abah urus semua benda. Mama boleh buat tak tahu saja. Emak apa macam tu?"

Jujur si adik mempersoalkan sikap mama mereka. Dahlia memang suka jadi batu api. Tapi yang sebenarnya dia lihat semua yang berlaku dalam rumah ni. Sejak keluarga Nik Safri menyampaikan hasrat untuk meminang Cahaya, mama mereka tunjuk protes seperti tak mahu Cahaya kahwin.

Nak kata Puan Wahidah tak suka pada Nik Safri dan keluarganya, tak juga. Lama dah mereka saling mengenali. Tak ada pula desas-desus tak setuju sebelum-sebelum ini. Bukan sekejap Cahaya kenal Nik Safri, bertahun-tahun sudah. Sejak tahun pertama di universiti. Nik Safri tu senior Cahaya empat tahun. Cahaya tahun satu, Nik Safri dah di tahun akhir.

"Entahlah Kak Anggun, Dahlia. Cahaya pun keliru dengan sikap mama sebenarnya. Ikutkan hati, nak tangguh aje majlis pertunangan ni... Tapi Safri dan keluarganya pula terlalu mendesak. Serba salah Cahaya. Kalau mama tak suka Safri, kenapa tak beritahu dari dahulu. Ni dah nak proceed bertunang baru mama tak setuju. Itu yang Cahaya confuse. Tapi kita tak boleh la bersangka buruk dengan mama. Mungkin dia ada alasan tersendiri. Ibu mana yang tak mahu tengok anak bahagia?"

"Ya, semua ibu nak tengok anaknya happy dan bahagia, kecuali mama kita yang selfish. Hanya fikir pasal diri dia saja, pasal perasaan kita mama tak fikir pun!" Anggun masih membebel, masih tak puas hati.

Cahaya pegang tangan Anggun. Diurut-urut lembut. Cuba kasi relaks sikit urat saraf si kakak yang menegang.

"Dah la tu, kakak. I'm okay. Cahaya tak kecil hati dengan sikap mama. Kita bagilah mama ruang untuk bertenang. Lagipun abah tak kompelin apa-apa pasal mama, jadi kita anak-anak relaks sudahlah, ya? Janji majlis Cahaya hari ini berjalan lancar. Kak Anggun bakal dapat adik ipar dan Dahlia dapat abang soon. Suka tak? Suka tak?"

Cahaya buat mata klip pop-klip pop berulang-ulang pada Anggun dan Dahlia. Comel yang amat, sebiji macam Barbie Doll. Sampai kakak dan adiknya mengukir senyum. Hilang dah urat stres mereka.

"Macam itu la... Kakak dan adik ni melampau la. Hari ni hari Cahaya, janganlah stres. Kasilah chance Cahaya happy. Kalau monyok aje nanti gambar Cahaya tak cantik!"

"Alololo... Kasihannya Cahaya. Sorry okey, Kak Anggun teremosi lebih sikit hari ini, sampai terlupa."

"Hug!" ujar Dahlia sambil mendepangkan kedua-dua tangan. Tak berlengah, dua kakak bangun, masuk dalam dakapan si adik.

Tak berapa minit lepas tu, Jannah sepupu perempuan berumur sebelas tahun ketuk pintu.

"Kakak-kakak cantik semua, Uncle Firdaus suruh keluar... Dah masa sarung cincin katanya."

Anggun pimpin tangan Cahaya ke ruang terletaknya pelamin kecil. Si adik didudukkan di sebuah sofa di situ. Seketika kemudian Ibu Safri menyarungkan cincin di jari manis Cahaya. Ahli keluarga Encik Firdaus yang tak ramai itu memerhati dengan senyuman di bibir masing-masing. Termasuklah Puan Wahidah, namun tiada segaris senyuman pun di bibir. Wajahnya keruh seperti sedang menanggung beban yang amat berat. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co