Bab 3
CAHAYA baru keluar bilik air. Segar sikit rasa tubuh bila dapat mandi. Baru beberapa jam pakai baju tunang yang simple tu pun badan dah melekit dan perit. Nanti masa nikah dan kenduri macam manalah agaknya? desis hati Cahaya. Hairan dia, macam mana mamanya boleh tahan pakai baju beropol-ropol macam mak Datin, Puan Sri hari-hari? Patut la Kak Anggun sangat anti pakaian yang sophisticated macam ni. Tak selesa dan agak merimaskan.
Telefon bimbit di atas meja solek bergetar. Baru Cahaya perasan dia lupa untuk hidupkan semula ringtone telefonnya. Hah... Banyaknya panggilan tak berjawab daripada Nik Safri.
"Cahaya ke mana menghilang? Takkan baru lepas bertunang terus nak lesapkan diri?" bebel Nik Safri selepas salamnya dijawab Cahaya.
"Sorry la, Saf... Cahaya mandi tadi."
"Owh, ya ke? Errr... Cahaya dah pakai baju?"
"Saff!" jerit Cahaya spontan. Tahu apa yang tengah Safri bayangkan.
Nik Safri gelak besar di talian sebelah sana.
"Gatal la Saf ni..."
"Memang. Tengah menggaru ni." Safri gelak lagi.
"Tak baik tau, Saf. Boleh jadi zina hati..."
"Alaaa... Dengan tunang sendiri. Imagine sikit-sikit takkan tak boleh?"
"Tadi Saf tak datang? Tak nampak pun."
Cahaya tukar topik, malas nak layan topik gatal Nik Safri. Nanti semakin menjadi-jadi. Baru aje bertunang siang tadi, malam dah nak tunjuk ulat bulu. Habislah Cahaya nanti.
"Ikutkan Saf memang nak sangat ke rumah Cahaya tadi, tapi mommy bising tak kasi. Tak ikut adat katanya. Malas gaduh Saf mengalah la, takut juga kalau mommy marah-marah, dia kensel pergi rumah Cahaya, merana kita. Ni mommy dah warning jangan selalu jumpa Cahaya sampai hari kenduri."
Cahaya ketawa. Kelakar pula dia rasa.
"Betul kata mommy tu, Saf. Patutnya macam tu la, kan? Tempoh bertunang ni kita tak boleh jumpa, tak boleh selalu calling-calling, takut hilang seri masa hari besar nanti," ujarnya kemudian.
"Ya ke? Siapa yang cakap?"
"Orang-orang tua Melayu kita la yang cakap. Adatnya patut begitu. Agama pun gitu juga, belum halal lagi nak main-main mata, berjalan dua-du," jawab Cahaya dengan penerangan yang lebih sedikit.
"Aduh... Matilah Saf macam ni," rungut Safri di talian sebelah sana.
"Kenapa pula boleh mati tiba-tiba?"
"Sakit rindu yang tak tertanggung. Mana tahan tak tengok mata Cahaya yang cantik tu."
"Hesy... Mengada-ada la Saf ni. Tak baik tau. Kena kontrol la sikit perasaan tu."
"Cahaya ni baik sangat la. Sebab itulah Saf tak boleh lepaskan Cahaya."
"Sama-samalah kita baiki kelemahan diri di mana yang lemah dan kurang, Saf. Cahaya pun perlukan Saf untuk jadi imam Cahaya nanti."
"Tapi Saf serius, Cahaya. Tak main-main pasal rindu, pasal perasaan kat dalam ni. Tak sabar sangat dah ni. Rasa macam nak cepatkan aje tarikh nikah kita. Tak perlu tunang lama-lama."
"Errr... Tadi keluarga bincang tempoh paling cepat lapan bulan. Takkan nak pendekkan lagi?"
"Saf ingat nak tunang empat bulan cukuplah. Lapan bulan tu jenuh nak tunggu."
"Errr, tak ke cepat sangat, Saf? Sempat ke kita nak buat persiapan?"
"Lagi cepat lagi bagus. Lagipun Saf dah siapkan perbelanjaan majlis kita semua. Bayar ajelah orang uruskan. Tak ada masalah, kan? Kalau Cahaya tak cukup duit, Saf boleh sponsor. Yang penting majlis kita cepat."
Cahaya terus terdiam. Telan liur pahit berkali-kali. Tak dapat nak hadam permintaan Safri. Terlalu cepat. Masalah dengan mamanya sendiri pun belum settle lagi. Malah punca masalah pun belum jumpa. Kenapa mama jadi macam tu?
"Kenapa diam, sayang?"
Aduh... Bersayang-sayang pula Safri ni. Baru bertunang beberapa jam aje kut. Cahaya tak suka la. Dari dulu lagi Cahaya dah warning jangan panggil sayang selagi belum bergelar suami isteri.
"Sayang macam tak suka aje nak kahwin dengan Saf."
"Errr... Mana ada?"
"Habis tu kenapa tak respons?"
"Cahaya tak boleh bagi kata putus. Perkara penting macam ni kena bincang dengan parents kita dahulu, Saf," jawab Cahaya dengan nada suara lembut. Berharap Safri faham akan maksudnya.
"Ala... Dia orang mesti setuju punyalah. Kita nak buat benda baik, nak kasi halal, bukan nak buat benda bukan-bukan. Bertunang lama-lama pun tak ada faedahnya, sayang. Lagipun orang kata alam pertunangan ini banyak ujiannya. Macam kawan Saf, masa bertunang ni ramai jantan yang nak caras tunang dia. Time inilah ada laki orang yang kaya tergila-gila, yang masuk meminang pun ada lagi. Tergugat sungguh kedudukan kawan Saf, bila ada yang offer hantaran tiga kali ganda daripada yang dia mampu bagi. Cuba sayang fikir, kalau jadi pada sayang benda macam ni macam mana? Mahu gila Saf ni tau!"
"Saf ni... Janganlah fikir benda yang tak elok. Kita banyakkan berdoa dan solat hajat supaya urusan dan perjalanan kita untuk membina mahligai perkahwinan berjalan dengan baik tanpa diuji dengan dugaan yang tak mampu ditanggung. Allah kan sentiasa ada untuk dengar segala doa dan harapan kita, Saf."
"Faham... Tapi Saf tetap nak kita nikah cepat. Nak tangguh lama-lama buat apa? Bukannya kita tak mampu. Saf ni dah prepare lama dah."
Cahaya dah tak tahu nak bagi alasan apa dah. Itulah sikap Nik Safri yang dia kenal. Sekali dia kata A maka A la yang Cahaya kena ikut. Susah dibawa berbincang. Bimbang juga Cahaya, takut sifat ini akan berlarutan sehingga ke alam rumah tangga mereka nanti. Jika sesuatu perkara itu baik tak mengapa la, tapi seandainya yang tak elok bagaimana pula?
Hesy, Cahaya... Takkah melampau sangat fikir tu? Belum apa-apa lagi, kan? Tadi baru saja cakap banyak-banyakkan doa dan solat hajat supaya urusan untuk masa depan berjalan dengan teratur. Ini dah nak fikir yang bukan-bukan dah?!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co