Bab 5
DEAN Ilyas menjemput dengan sopan ibu dan kakaknya masuk ke dalam apartmen miliknya. Pelik kerana tiba-tiba sahaja dua wanita ini datang terjah rumah. Pada waktu malam dan hari Rabu, hari bekerja. Lainlah jika hujung minggu atau cuti awam.
"Duduklah dulu ibu, kakak. Dean pergi ambil air sekejap."
Sementara Dean pergi ke ruang dapur, mata Datin Junaidah dan Hidayah meliar sekitar ruang tamu rumah. Seperti mencari sesuatu yang boleh dijadikan petunjuk. Ternyata tidak ada apa-apa yang luar biasa. Ruang tamu apartmen Dean bersih dan teratur sahaja. Tidak nampak petanda yang meragukan. Dean memang seorang yang pembersih dan pengemas. Rumah keluarga milik ibunya juga dia akan pastikan bersih dan kemas apabila balik ke sana.
Seketika kemudian, Datin Junaidah bangun, pergi menjengah pintu bilik Dean. Melihat sekitar bilik. Tak puas hati, dia pergi pula ke bilik sebelah. Semua yang dilihat dalam keadaan biasa-biasa sahaja.
Dean datang semula ke ruang tamu. Dua gelas jus epal dicampur oren segar diletakkan di atas meja kopi. Jus kegemaran Datin Junaidah. Ada juga kek buah kukus yang disusun cantik di atas piring memanjang. Nampak menyelerakan.
Ahah... Dean ni, caranya mengalahkan orang perempuan. Dia sendiri tak seteliti begitu, desis hati Hidayah. Diam saja dia memerhati gelagat adik keduanya.
Mata Dean mencari ibunya. Nampak kelibat wanita tersebut menyelinap ke bilik tetamu, umpama penyiasat profesional.
"Cari apa tu, ibu?!" tanya Dean agak terjerit dari ruang tamu.
Saja mengusik ibunya. Tak kesah pun sebenarnya bila ibu masuk sana sini rumahnya. Tak ada rahsia yang hendak disorokkan.
Lekas-lekas Datin Junaidah balik dan duduk semula di atas sofa ruang tamu. Selamba seperti tidak apa-apa yang berlaku. Rumah anak bujang sendiri kut, tak salah. Jus yang dihulur Dean terus diminum. Sedap saja masuk ke tekaknya. Dean memang tahu apa yang dia suka. Inilah keistimewaan Dean berbanding dua anaknya yang lain. Dean pandai mengambil hatinya dengan sentuhan halus.
"Rasalah kek ni ibu, Kak Dayah. Sedap sangat. Kawan Dean yang kasi."
"Kawan lelaki ke perempuan?" tanya Hidayah sebelum menyuap sepotong kek ke mulut.
Dean senyum saja. Takut bila jawab kawan lelaki yang bagi, banyak pula soalan seterusnya. Yalah, orang lelaki ni jarang-jarang kut nak kasi kek istimewa macam ni. Goreng pisang, karipap tu biasa la. Kak Hidayah ni terror bab imaginasi lebih-lebih. Nanti ibu pun terpengaruh sama.
"Dean tinggal sini sorang-sorang tak sunyi ke?" tanya Datin Junaidah pula.
Soalan perangkap tu. Nak menguji. Kalau-kalau boleh dapat kepastian dari jawapan.
"Mana sempat nak sunyi, ibu. Balik kerja aje pun dah pukul berapa tiap hari. Kalau matahari tu masih ada cahaya, tak jejak kaki ke rumah ni. Balik untuk mandi dan tidur aje. Petang ni, nasib baik tergerak hati nak balik awal. Jika tak, sia-sia aje ibu dan Kak Dayah datang melawat. Datang tak nak sound dulu."
"Ibu ni ha... Rindu kat anak dia sangat sebab lama tak balik rumah," sampuk Hidayah.
"Sorry ibu, projek tengah on, memang busy sangat. Dah habis ni baru lega sikit."
"Ya ke projek kerja? Ke ada projek lain?"
Dean pandang wajah kakaknya.
"Maksud Kak Dayah?
"Manalah kak tahu. Entah-entah ada projek luar biasa," jawab Hidayah selamba.
Dean buat muka blur. Kak Hidayah, kalau bercakap memang suka main lepas sahaja. Kadang-kadang dia sendiri pun tak faham apa yang dikata agaknya. Apatah lagi orang lain.
"Dean ni kenapalah susah-susahkan diri nak tinggal rumah bujang? Padahal rumah ibu dekat saja, bukan berjam-jam kena memandu. Tinggal rumah ibu lagi teratur hidup, makan pakai semua terjaga. Ni hidup sorang-sorang kan susah kena buat sendiri semua," leter Datin Junaidah.
Memang dari awal lagi dia tak berkenan bila Dean nak tinggal kat rumah bujangnya. Walaupun rumah yang dibeli dengan hasil titik peluh Dean sendiri. Dalam situasi sekarang lagilah dia tak suka Dean tinggal di sini.
Pun begitu, dia masih boleh husnuzon. Mungkin saja Dean difitnah. Maklum sajalah, zaman sekarang ni macam-macam niat dalam hati orang. Mungkin ada yang dengki pada Dean, lalu bawa cerita bukan-bukan. Atau mungkin juga ada yang tak puas hati terhadapnya, jadi nak bagi dia sakit hati, macam-macam la cerita direka.
"Biarlah Dean belajar hidup berdikari, ibu. Taklah orang gelar anak emak. Semua benda ibu yang uruskan."
"Tidak pun, cepat-cepatlah kahwin... Umur Dean pun bukan muda lagi. Kerja dah lama, kereta, rumah, duit semua dah ada, tinggal orang rumah aje tak ada. Nak tunggu bila lagi, Dean?"
Dean garu pangkal lehernya. Pening nak jawab.
"Mahunya dia nak kahwin, ibu. Ada bini susah, banyak komitmen, hidup dia tak boleh bebas macam sekarang la, bini mesti bising."
Terkulat-kulat Dean kena tempelak dengan Kak Hidayahnya.
"Dean ni nak kahwin dengan siapa, ibu? Girlfriend pun tak ada," jawab Dean, berterus terang.
Sungguh, dia mana ada teman wanita, walaupun sekalian alam kata dia kacak, bijak dan berharta.
Bukankah itu ciri-ciri yang disukai wanita? Tak dinafikan ramai juga yang terhegeh-hegeh, tapi masalahnya hati dia pula yang tak tergedik-gedik pada orang tu. Habis nak buat maca mana... Pasrah sajalah kena sembur dengan ibu dan Kak Dayah. Itu belum masuk emak-emak saudara, sepupu sepapat, saudara jauh dekat lagi tu. Keluarga besar mereka memang rapat antara satu sama lain.
"Kalau susah sangat nak dapat girlfriend, biar ibu carikan... Nak?" tanya Datin Junaidah.
Dean cekik air liur. Apa nak jawab?
"Kalau dengan anak Auntie Sofia Dean tolak mentah-mentah, mama jangan nak jodohkan anak dara dia dengan Dean." Dean tunjuk protes secara halus. Nak kata semua anak dara pilihan ibunya dia reject tak boleh la pula, kan? Harap ibu faham-faham sendiri la.
"Si Balqis tu? Hesy... Kalau yang tu, ibu pun tak nak jadikan menantu! Hampeh. Harap rupa aje cantik, rumah kotor kalau biar kat dia. Gedik tahap langit ketujuh, loya ibu tengok."
Dean gelak.
"Tahu pun ibu. Mahu Dean jadi orang gaji kalau berjodoh dengan dia."
"Ala... Pasal calon tu, kau jangan bimbang la Dean, kawan-kawan Kak Dayah pun ramai yang baik-baik."
"Tapi kalau mulut macam Kak Dayah, Dean tak sanggup. Bernanah telinga, bengkak hati hari-hari mahunya."
Hidayah jegil mata pada Dean.
"Kutuk orang pandai, buruk diri sendiri tak sedar."
"Pedas sangat statement Kak Dayah tu..." ujar Dean perlahan. Masih sopan caranya.
"Aik, terasa ke?"
"Dah la tu, Dayah. Kamu ni keras sangat kalau bercakap dengan adik-adik. Patutnya sebagai kakak kamu lebih lembut."
Datin Junaidah menegur sikap anak sulungnya. Kurang selesa dengan sikap lantang Hidayah.
Semua diam.
"Macam inilah... Ibu buat keputusan akan carikan calon isteri yang baik-baik untuk Dean. Nanti Dean berkenalanlah dulu. Kalau tak suka tak payah on... Pilih yang Dean berkenan saja... Okey?"
"Ibu janganlah susah-susah untuk Dean. Biarlah Dean yang cari sendiri calon isteri. Dean yang nak hidup hari-hari dengan dia, kan? Bagilah Dean ruang dan peluang buat pilihan sendiri, ibu."
"Tapi sampai bila, Dean? Dah lama ibu tunggu. Ibu tak kesah kalau Dean dah ada teman wanita, boleh ibu pergi pinang cepat-cepat. Ibu okey aje siapa pun pilihan Dean. Tapi masalah sekarang ni tak ada, kan? Crush pun tak ada, kan?"
"Confirm tak ada, ibu. Tengok gaya muka kosong tu pun kita dah tahu jawapan," tempelak Hidayah lagi.
Dean diam.
"Kalau Dean ada nanti, cepat-cepat beritahu. Ibu tak ada masalah. Pagi Dean cakap, petang ibu dah pergi meminang. Tapi dalam masa yang sama... Ibu pun usaha cari juga. Itu pun ibu kenalkan dahulu, taklah paksa Dean terima buta-buta. Ibu pun faham, kahwin ni bukan untuk sehari dua, tapi sepanjang hayat. Kalau boleh, tak naklah ada cerai-berai dalam keluarga kita. Setuju tak Dean dengan cadangan ibu? Kiranya win-win situation ni, bukan kuasa veto."
Lambat-lambat Dean angguk. Cuak jugalah si ibu menunggu. Peliklah Dean ni, orang nak tolong dia carikan bini aje pun, bukan rugi apa-apa. Satu sen tak perlu keluar. Free of charge aje semua.
"Kalau dah setuju... Ibu senang hatilah nak balik. Jom Dayah, balik rumah!"
"Yalah... Dayah pun ada suami dan anak-anak yang kena jaga." Bergegas Hidayah bangun sambil mulut membebel.
"Ibu jangan bimbang pasal Dean. Nanti Dean akan selalu balik rumah ibu." Janji Dean sebelum ibunya keluar pintu rumah.
"Setiap hujung minggu, boleh?"
Laju Dean angguk. Tak ada masalah.
"Janji? Tiap-tiap minggu?"
"Janji, ibu."
Senyum lebar Datin Junaidah.
"Okey, ibu tunggu."
"Baik, ibu. Setiap minggu Dean balik."
Datin Junaidah lega. Boleh la dia balik dengan rasa sedikit tenang. Untuk malam ini saja. Esok-esok belum tentu lagi. Entah apa pula cerita yang akan didengarnya. Kadang-kadang rasa susah juga ada keluarga besar ni, mulut mereka tak henti-henti menyampaikan itu ini, yang buruk, yang baik semua ada. Akan tetapi yang buruklah selalu diberi perhatian. Cepat saja tersebar.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co