Bab 4
PUAN Wahidah yang sedang termenung keseorangan di tepi kolam ikan koi didekati. Cahaya duduk bersebelahan dengan mamanya. Kelihatan Puan Wahidah memandang Cahaya dengan hujung mata. Satu keluhan berat dilepaskan olehnya. Cahaya tak peduli akan kegelisahan si mama. Petang ini dia ingin mengorek segala isi hati wanita ini. Kenapa mamanya berubah dengan drastik sekali sejak keluarga Nik Safri datang merisik?
"Mama..." perlahan Cahaya memanggil.
"Hurm..." Itu sahaja balasan Puan Wahidah, walaupun hati ibunya sudah tersentuh dengan panggilan lembut si anak yang pandai mengambil hatinya ini. Sungguh, Cahaya ini anak paling istimewa kerana kebolehan dia memujuk hatinya ketika sedih dan murung.
"Mama tak suka Nik Safri jadi menantu mama ke?" Terus saja Cahaya pergi kepada topik perbualan.
Sunyi. Tiada jawapan dari bibir Puan Wahidah.
"Kalau mama tak restu... Cahaya boleh mengalah. Cahaya tak kahwin pun tak apa, asalkan mama Cahaya tak berterusan mengasingkan diri macam ni. Cahaya lebih sayang mama daripada Nik Safri. Cahaya tak mahu mama bermurung dan termenung sana sini. Mama Cahaya kan cantik dan terurus sahaja sebelum ni... Jadi bila mama macam ni, Cahaya jadi susah hati. Cahaya tak nak mama sakit..."
Puan Wahidah menoleh, memandang wajah anak kesayangannya. Wajah Cahaya selalu mengingatkan dia pada seseorang. Kelat air liur melalui kerongkongnya. Seseorang itulah yang selalu menghantui fikirannya sejak dua menjak ini. Itulah masalahnya. Masalah dia. Bukan masalah Cahaya, apatah lagi Nik Safri. Bukan juga masalah Anggun yang masih belum bertemu jodohnya.
"Mama okey... Cahaya jangan bimbang." Antara dengar dengan tidak suara yang dilontarkan bibir Puan Wahidah. Perlahan dan tersekat-sekat.
"Kalau mama tak suka Nik Safri, berterus terang pada Cahaya... Cahaya boleh uruskan dengan abah. Demi mama, Cahaya sanggup berkorban apa saja. Tunang boleh diganti, tapi Cahaya hanya ada seorang ibu kandung... Yang sanggup pertaruhkan nyawa untuk lahirkan Cahaya. Tak berbaloi untuk Cahaya sakiti hati mama hanya kerana seorang lelaki."
"Jangan, Cahaya. Jangan buat perangai macam-macam..." tegah Puan Wahidah dengan suara bergetar. Matanya mula berkaca.
"Mama tak mahu Cahaya buat begitu."
"Habis tu... Kenapa mama jadi macam ni? Mama tak suka Cahaya bertunang, kan?"
Diam.
"Apa yang patut Cahaya buat supaya tak buat mama nampak sedih begini? Mama tak izinkan Cahaya kahwin ke?"
"Tak..."
"Habis tu kenapa, mama? Cahaya bingung, apa salah Cahaya? Atau salah kami adik-beradik?"
"Anak-anak mama tak salah apa-apa. Mama yang salah. Mama yang berdosa."
Berkerut seribu dahi Cahaya. Blur. Keliru. Semakin berbelit-belit masalah. Yang asal belum selesai, ni ditambah pula dengan yang baru.
"Mama nak beritahu apa ni? Cahaya tak faham..."
"Errr... Tak ada apa-apalah!" Puan Wahidah seperti terkejut. Dia dah terlepas cakap. Dipejamkan mata. Laju berfikir... Patutkah dia berterus terang sekarang? Tapi sanggupkah dia menghadapi risiko dan kemungkinan yang akan berlaku nanti? Kusutnya.
"Mama ada masalah dengan abah ke? Pasal Cahaya?" tebak Cahaya. Tak berputus asa untuk mencari punca permasalahan pada mamanya.
Lama Puan Wahidah membisu. Cahaya setia menunggu. Kemudian, perlahan-lahan Puan Wahidah mengangguk. Cahaya melepaskan nafas lega. Sekurang-kurangnya dia dah tahu, bukan Nik Safri yang jadi masalah mamanya. Dan sekurang-kurangnya dia juga tahu yang masalah sekarang adalah antara mama, abah dan mungkin juga dia termasuk sama. Juga bukan masalah berkaitan Kak Anggun.
"Kalau berkaitan dengan Cahaya... Boleh tak Cahaya tahu apa masalahnya, mama? Itu pun kalau mama tak keberatan. Cahaya tak nak memaksa mama. Tapi masalah tak akan selesai jika mama terus ambil sikap berdiam diri dan menyendiri."
Amboi, Cahaya... Berani sungguh menasihati mama sendiri. Macamlah ilmu cukup dalam dada dan pengalaman setinggi gunung.
Pucat wajah Puan Wahidah jadinya. Si anak menuntut penjelasan. Dia sangat kasihan dengan Cahaya Malaika yang tertanya-tanya dan keliru dengan sikapnya, namun dia tak mampu.
Mengharapkan Firdaus menyebelahinya juga dia rasa tak patut. Namun, hakikatnya mereka harus menerima kenyataan yang masalah ini harus diselesaikan segera. Walaupun sangat pahit untuk diharungi. Pahit untuk semua orang. Lebih-lebih lagi dia. Oh... Cahaya juga tidak terkecuali. Mungkin juga Cahayalah yang paling teruk tumbang nanti.
"Kita satu keluarga, mama... Apa-apa masalah, seharusnya kita berbincang dan bermuzakarah. Cahaya pun dah cukup dewasa untuk memahami keadaan." Selembut yang mungkin Cahaya cuba menasihati mamanya lagi.
Air jernih sudah jatuh ke pipi Puan Wahidah setitis demi setitis. Puan Wahidah mengelapnya dengan jari. Tersentuh dengan kesungguhan Cahaya. Tapi apa kan daya, sejarah silamnya terlalu pahit untuk diceritakan dari mulut sendiri.
"Mama tak mampu, Cahaya. Mama rasa abah Cahaya mungkin boleh berterus terang dengan Cahaya, apa masalahnya. Mama reda apa yang akan abah putuskan selepas itu. Tapi mama sangat berharap Cahaya akan sabar dan bertabah banyak-banyak apabila rahsia yang satu ini terbongkar."
"Rahsia? Dengar macam serius aje, mama?"
Puan Wahidah mengangguk. Serius. Sangat serius! Mungkin ini adalah kafarah di atas segala dosa-dosanya.
ENCIK Firdaus duduk di birai katil bilik Cahaya, lalu meletakkan sepucuk sampul surat coklat bersaiz A4 ke atas riba anak di sebelah. Wajahnya tenang-tenang sahaja. Sudah lama dia berdoa meminta kekuatan daripada Allah SWT untuk selesaikan kemelut ini. Mungkin sekaranglah masa yang sesuai yang diizinkan-Nya. Dia pasrah dengan apa yang akan berlaku selepas ini.
Sekejap tadi Wahidah merayu padanya supaya berterus terang pada Cahaya. Sungguh-sungguh Wahidah mengharapkan bantuannya kerana pada Wahidah, dia lebih berdiplomasi untuk menyampaikan. Jarang Wahidah merayu padanya, tetapi kali ini jelas kelihatan kesungguhan dan keikhlasannya.
Hah... Jika Wahidah tak meminta sekali pun, dia tetap akan manggalas tanggungjawab ini. Cahaya itu tetap anak gadis yang dia sayang, walau apapun yang telah dan akan berlaku. Dia tak akan lari daripada masalah begitu sahaja. Cahaya adalah amanah Tuhan untuknya. Semestinya dia akan jaga amanah ini sehingga dilepaskan pada suami Cahaya nanti.
Cahaya pandang sampul di atas ribanya dengan wajah hairan.
"Apa ni, bah?"
"Bukalah. Semua jawapan kepada persoalan yang berlegar dalam kepala anak kesayangan abah, mungkin ada di dalam tu."
Ucapan Encik Firdaus tu buatkan dada Cahaya naik turun dengan laju. Saspens sangat. Tak berlengah, Cahaya mula melihat isi sampul dan menarik keluar beberapa keping dokumen di dalamnya. Menatapnya dengan kerutan di dahi.
Tiba-tiba wajah Cahaya berubah... Menjadi pucat seperti tak berdarah. Menggigil-gigil tubuhnya. Dia pitam!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen3h.Co